Paling Popular
Terkini
mk-logo
Kolum

KOLUM | Bagi Pengarah Komunikasi Amanah Khalid Samad , Pakatan Harapan (PH) perlu bertanding PRK DUN Chini atas dasar prinsip.

Bagaimanapun ramai kalangan penyokong PH sendiri yang berpendapat gabungan itu tidak perlu letak calon kali ini dengan mengambil kira pelbagai aspek termasuk wabak Covid-19.

Pucuk pimpinan PH bagaimanapun belum membuat keputusan.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sudah pun mengumumkan tidak ada ceramah jika perintah kawalan pergerakan (PKP) masih berkuat kuasa. Tentunya sukar untuk berkempen.

Hari penamaan calon ialah pada 20 Jun manakala pilhan raya kecil ditetapkan 4 Julai.

Kerusi DUN Chini kosong apabila wakilnya Abu Bakar Harun meninggal dunia 6 Mei lalu.

Chini memang kubu kuat BN. Pada pilihan raya umum ke-14, Allahyarham Abu Bakar mewakli Umno/BN mengenepikan cabaran PAS dan PH untuk mempertahankan kerusi Chini dengan majoriti 4,622 undi.

Berdasarkan reputasi, Umno cukup yakin mampu mengulangi kejayaannya. Lagi pun PAS kini sudah bersama mereka dalam Muafakat Nasional.

Sebelum ini PAS yang bertapak kuat di rancangan tanah Felda di kawasan Chini menjadi musuh utama Umno. Pun begitu masih tidak boleh menewaskan Umno.

Menyukarkan lagi buat PAS ialah Chini terletak dalam kawasan parlimen Pekan yang disandang bekas perdana menteri Najib Razak.

Lantas Setiausaha Agung Veteran Umno Mustapha Yaakub mahu PH memberi kemenangan percuma kepada Umno/BN dengan tidak bertanding PRK ini.

Umno atau PAS?

Menurut Mustapha PH tidak mampu menandingi kekuatan gabungan Umno – PAS dan “supaya tidak malu besar elok jangan bertanding ”.

Organ informasi PAS, Harakah melalui beberapa penulisnya bagaimanapun mencabar PH khususnya PKR meletakkan calon di Chini sambil menyatakan “naga Tasik Chini sedang menunggu PH”.

Keyakinan itu boleh dilihat sebagai keyakinan PAS kerana Harakah adalah lidah rasmi parti.

Ketua Penyelidik Ilham Centre Dr Yusri Ibrahim berpendapat mengikut adat dan logik politik, peluang PH menyaingi Umno/ BN pada PRK Chini sangat tipis.

Dalam keadaan negara berhadapan isu kesihatan dan ekonomi yang meruncing, kata Yusri “barangkali lebih baik PH tidak menyertai pertembungan tersebut” dan menumpukan semua sumber kepada percaturan politik nasional yang sedang rancak digerakkan oleh pelbagai pihak sekarang.

Bagaimanapun jika pertandingan berlaku kerana PH mahu juga menyertai temasya demokratik itu persoalannya ialah siapa yang akan mewakili kerajaan Perikatan Nasional.

Umno atau PAS? Kedua-dua parti kini berada dalam kerajaan PN walaupun tidak berhasrat menyertai gabungan PN jika kolisi itu didaftar kelak.

Umno sudah beberpa kali menyatakan secara terbuka ia tidak mempunyai masalah meletak calonnya berdepan dengan calon PN termasuk calon Bersatu daripada kem Muhyiddin Yassin pada PRU ke-15 kelak jika keadaan memerlukan.

PAS dijangka menuruti pendirian itu walaupun sehingga kini belum membuat kenyataan terbuka .

Bagaimanapun, untuk PRK Chini, hal itu tidak mungkin berlaku kerana pada hemat saya PN khususnya pihak Bersatu yang menyebelahi Muhyiddin tidak akan meletakkan calon.

Lantas berbalik kepada persoalan Umno atau PAS ?

Bagi Yusri, untuk pengukuhan Muafakat Nasional dan tanda terima kasih Umno kepada PAS yang membantu memenangkan mereka dalam lima PRK terakhir elok juga dihadiahkan kerusi Chini kepada PAS.

Bukan pinjam selama-lamanya

Dalam lima PRK terakhir itu PAS memberi lalaun kepada Umno. Bukan itu sahaja. Menurut Yusri, PAS memberi komitmen untuk memenangkan Umno yang bertanding atas tiket BN.

Bahkan di Cameron Highlands dan Semenyih, PAS adalah faktor utama memberi kemenangan BN.

“Sebagai tanda terima kasih dan setiakawan serta komitmen untuk menguatkan lagi Muafakat Nasional, wajar sangat Umno memberi laluan kepada PAS di Chini,” kata Yusri .

Bagaimanapun Yusri menegaskan “bukan beri untuk selama-lamanya. Sekadar pinjam buat sementara sekurang kurangnya sehingga PRU15 nanti lepas itu ambillah semula”.

Maknanya jika saranan Yusri ini menjadi kenyataan dan calon PAS menang seperti yang dijangkakan, beliau akan memegang jawatan Adun Chini selama lebih kurang tiga tahun sebelum PRU ke-15 diadakan selewat-lewatnya pada 2023.

Diakui meminjamkan kerusi Chini bukan perkara mudah kerana ia adalah kerusi tradisional Umno. Begitu juga PAS yang boleh menganggap Chini kerusi tradisionalnya kerana secara tradisional bertanding di situ .

Saya faham jika Umno agak liat atau bimbang untuk meminjamkan kerusi Chini kepada PAS. Ini kerana kadangkala (atau kerap kali?) orang yang meminjam sukar untuk membayar balik. Atau dalam lain perkataan pihak yang meminjam sukar atau tidak mahu memulangkan apa yang dipinjam.

Ketika Muafakat Nasional dimeterai dulu pemimpin Umno menyifatkannya sebagai mendirikan rumah tangga atau sebuah pernikahan yang indah.

Dalam sesebuah rumah tangga yang aman dan bahagia, pasangan suami isteri mesti ada antara lain keikhlasan, kejujuran serta percaya mempercayai antara mereka .

Saya tidak mahu bercakap siapa suami, siapa isteri dalam konteks Muafakat Nasional. Tapi yang ingin ditegaskan ialah Chini akan memberi peluang keemasan kepada Umno dan PAS membuktikan keikhlasan dan kejujuran masing masing.

Mereka boleh menunjukkan sifat saling mempercayai. PAS percaya Umno ikhlas meminjamkan kerusi Chini kepda mereka manakala Umno pula percaya PAS juga ikhlas dan akan memulangkan kerusi itu bila tiba masanya kelak.

Tidak perlu tandatangani dokumen perjanjian. Yang perlu cuma berjabat tangan berdasarkan “gentleman’s agreement ”. Namun kata seorang teman “politik mana ada gentleman, bro”.

Saya hanya mampu berkata waullahualam.


MOHSIN ABDULLAH ialah seorang wartawan tua yang menulis mengenai itu dan ini, di sana dan di sini.

Tulisan ini pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.


Lihat Komen
ADS