Paling Popular
Terkini

KOLUM | Satu Malaysia sedar betapa rapuhnya kerajaan Muhyiddin Yassin, dengan majoriti dua kerusi di Dewan Rakyat. Malah Mak Cik Kiah akan mengangguk-angguk bersetuju bahawa Perikatan Nasional (PN) yang tidak terikat dengan undang-undang, boleh rebah pada bila-bila masa sahaja.

Tanpa Umno menarik diri lantaran tuntutan jawatan tidak dipenuhi, tanpa PAS memutuskan tahaluf siyasi dengan Muhyiddin Yassin ekoran kasino tidak diharamkan, PN tetap akan rebah. Andaikan beberapa ahli Dewan Rakyat yang terikat dengan kes mahkamah “tidak sempat” bergegas ke Parlimen untuk menyokong usul agar Belanjawan 2021 diluluskan, maka tamatlah riwayat Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri Malaysia yang paling singkat tempoh pemerintahannya.

Malah Umno dan PAS yang “tidak kehilangan apa-apa”, sanggup membiarkannya jikalau ia terjadi. Bagi kedua-dua parti yang bersejarah lebih setengah abad ini, mereka yakin bahawa mereka memiliki kelebihan seandainya parlimen dibubarkan dan PRU15 diadakan – dengan jenama, mekanisme dan akar umbi sedia ada. Cuma, siapa akan menolak rezeki kuasa yang datang secara tiba-tiba menyusuli Langkah Sheraton? Lebih-lebih lagi, melawan PH dalam keadaan Umno-PAS sebagai kerajaan, menambah kelebihan dari segi kuasa dan sumber kepada dua parti itu.

Justeru itu, persoalannya bukan sama ada kerajaan Muhyiddin Yassin boleh tumbang atau tidak, tetapi sejauh manakah kerajaan PH mampu bertahan, seandainya mereka merampas semula kuasa dari PN?

Sejauh mana kemampuan PH?

Pertama, jikalau PH merampas semula kuasa dengan majoriti tipis, maka PH akan berdepan dengan “ketidakstabilan” sebagaimana yang dialami PN. Jikalau PH cuba melebarkan majoriti dengan menarik ahli Dewan Rakyat sama ada dari blok Muafakat Nasional mahupun BN, maka asas moral PH terhakis kerana mereka sekadar mengulangi apa yang dilakukan Muhyiddin-Azmin terhadap mereka sendiri. Jikalau “pengkhianat” balik semula ke pangkuan PH, maka PH berdepan dengan krisis integriti. Apa jaminan pengkhianat ini tidak mengkhianat sekali lagi?

Itupun sekadar soal permainan angka, pengagihan sumber dan perebutan kuasa. Hakikatnya, persoalan yang lebih mencabar sedang menanti: Adakah PH akan mengitar semula apa yang berlaku sepanjang tempoh 22 bulan selepas menawan Putrajaya pada 9 Mei 2018?

Sesungguhnya, pergelutan kuasa antara beberapa orang individu, terutamanya Mahathir, Anwar dan Azmin menjurus kepada kejatuhan PH pada Februari 2020. Namun, agak naif seandainya kita menuding jari kepada mana-mana individu, atau satu-satu faktor sebagai jawapan kepada kejatuhan itu. Pada masa sama, suasana politik yang semakin hangat dengan sentimen perkauman dan agama sepanjang tempoh 22 bulan itu menyumbang untuk menghanguskan kuasa PH.

Untuk berlaku adil, api perkauman ini bukan dimulakan PH, tetapi gagal dipadamkan PH. Dengan isu seperti Icerd, kematian Adib, pengiktirafan UEC, tulisan Jawi, yang membawa kepada tewasnya calon Melayu-Muslim daripada Bersatu dalam PRK Tanjung Piai di tangan calon Cina-bukan-Muslim daripada MCA yang disokong pimpinan Muafakat Nasional. Kekalahan ini dikatakan telah mencetuskan kegusaran Bersatu terhadap masa depan parti itu sendiri.

Selain itu, kejayaan propaganda “Islam terancam” dan “kerajaan tanpa DAP” sedikit sebanyak mengendurkan penentangan masyarakat Melayu-Muslim terhadap percaturan Langkah Sheraton. Bayangkan, jika ia berlaku dua minggu selepas 9 Mei 2018, agak pasti ia mencetuskan kemarahan rakyat Malaysia, termasuk masyarakat Melayu. Mungkin kita perlu akur bahawa wabak Covid-19 cuma alasan untuk menjelaskan sikap dingin masyarakat umum terhadap aksi politik ini. Realitinya, rakyat umum sudah tidak lagi terpanggil untuk mempertahankan PH.

Fenomena ini agak rumit untuk diperincikan. Kegagalan PH untuk menepati janji yang terkandung dalam Buku Harapan, ketidaksampaian anggota Kabinet dari segi kecekapan dan pengalaman dalam pelaksanaan dasar, ditambah pula dengan komunikasi yang lemah – ini semua meletakkan PH dalam situasi yang genting.

Namun, terdapat juga sesetengah penyokong yang sanggup menyimpan sedikit kesabaran, menyedari keterbatasan yang dihadapi PH khususnya kedudukan kewangan yang sukar. Tetapi apabila projek “kereta terbang” dikemukakan dengan megah, maka kesabaran itu hilang melayang. Ia umpama satu penghinaan ke atas akal setiap manusia yang memiliki otak.

Dalam bab politik identiti pula, PH yang tersepit di tengah-tengah diasak dari kiri dan kanan. Mereka gagal membebaskan diri daripada kebuntuan ini dengan mengetengahkan wacana yang lebih segar. Mengulangi hujah lapuk dengan imej stereotaip umpama “Melayu malas”, “Cina kaya” hanya mengeruhkan, bukan menjernihkan, keadaan sedia ada.

Apa penyelesaian PH?

Bukan semua, tetapi inilah antara persoalan yang menghantui PH sepanjang 22 bulan berkuasa. Tidak keterlaluan seandainya kita mengajukan soalan berikut: Apakah PH boleh menjamin bahawa kemelut yang telah berlaku itu, tidak akan berulang seandainya mereka kembali berkuasa? Dengan kata lain, apakah yang mahu ditawarkan kepada rakyat jikalau PH mengambilalih semula Putrajaya?

Perlu diingat, Malaysia sedang berdepan dengan situasi yang genting dan kemelesetan ekonomi selepas wabak Covid-19 sudah hampir pasti melanda. Jika tiada jaminan untuk mempercepatkan proses reformasi sistem politik (sekurang-kurangnya pemansuhan dan pindaan akta drakonian), atau pendekatan baru untuk merungkai persoalan politik identiti (kaum, agama, bahasa dan sebagainya), agaknya apa perubahan yang akan mengujakan rakyat jikalau PH kembali berkuasa?

Persoalan ini dibangkitkan bukan untuk menafikan hak PH merampas balik apa yang dimilikinya. PN adalah kerajaan yang dipertikaikan keabsahannya kerana ditubuhkan oleh sekerat ahli Dewan Rakyat yang berpaling tadah dengan mengkhianati mandat yang diberikan pengundi. Mereka mengolah sokongan dalam PRU14 dengan manifesto PH, tetapi sokongan yang diraih itu digunakan untuk menentang PH.

Apa yang ingin dibangkitkan adalah, PH seharusnya bersikap bertanggungjawab untuk melanjutkan perbincangan daripada “kembali berkuasa” kepada “mengekalkan kuasa untuk reformasi”. Bayangkan, jikalau kerajaan PH 2.0 ini ditumbangkan sekali lagi dalam jangka yang singkat sebelum hasil reformasi sempat dituai, maka politik tanah air akan dilihat tidak lebih daripada “jatuh-menjatuhkan”. Rakyat gagal merasai perubahan yang bermakna daripada pergelutan kuasa politikus yang saling memecat dan saling mengkhianati. Akhirnya rakyat menjadi sinis, dan hilang keghairahan untuk menggerakkan perubahan melalui politik.

Harus kita ingat, sudah sekian lama “penyokong tradisi pembangkang” berkompromi dengan PH yang kononnya terdesak untuk mencukupkan sokongan pengundi atas pagar agar pertukaran kerajaan persekutuan boleh berlaku. Mereka pulang dari luar negara dengan tambang yang mahal dan bertungkus-lumus berkempen dan menjadi PACABA untuk memenangkan PH. Mereka mengidamkan sebuah negara yang lebih demokrasi, adil, bebas daripada rasuah, dan lebih toleransi terhadap perbezaan dan kemajmukan.

Namun pada kebanyakan masanya mereka dikecewakan, malah dikhianati. Integriti pemimpin politik menjunam sedalam-dalamnya. Agenda rakyat kekal sebagai omong-omong kosong, tanpa sehiris rasa tanggungjawab untuk cuba sedaya-upaya mengembalikan semua ini ke atas landasan yang betul. Rakyat menuntut wacana segar, dasar yang menyeluruh, halatuju yang jelas, pelaksanaan yang berkesan. Akan tetapi apa yang ditawarkan politikus sebaliknya adalah perang mulut dengan air liur murahan. Sindir-menyindir, ejek-mengejek, ataupun troll yang tidak mencerminkan tahap intelektual yang wajar.

Rakyat Malaysia sememangnya layak menuntut sesuatu yang lebih daripada itu. Kuasa datang bersama tanggungjawab. Tunaikan tanggungjawab anda sebagai tokoh politik tatkala menggarap kuasa.


LIM HONG SIANG ialah pengarah eksekutif Saudara (penyelidikan sosiobudaya).

Rencana ini adalah pandangan peribadi penulis serta tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini

Lihat Komen
ADS