Pada 19 Julai 2006, Kabinet telah membuat keputusan untuk menarik balik buku panduan pengajaran Hubungan Etnik yang digunapakai di Universiti Putra Malaysia (UPM), susulan pertikaian mengenai fakta-fakta sejarah dan interpretasinya dalam buku tersebut.

Tidak dapat dinafikan bahawa fakta dan interpretasi berprasangka yang amat menonjol sekali, telah dikemukakan dalam buku panduan terbabit, terutamanya mengenai Tragedi 13 Mei 1969, Peristiwa Kampung Medan 2001 dan apa yang dinamakan Tuntutan Ekstremis Suqiu, dipetik seperti berikut:

Tragedi 13 Mei 1969: "DAP yang kebanyakannya terdiri daripada orang-orang Cina telah mengadakan perarakan di Kuala Lumpur sambil menghina dan mengeluarkan kata-kata yang menyakitkan hati orang-orang Melayu. Rentetan daripada itu, orang-orang Melayu telah bertindak balas." (ms. 78)

Peristiwa Kampung Medan 2001: "Perbuatan anasir luar yang ingin mengganggu ketenteraman di kawasan tersebut dan mewujudkan ketidakstabilan politik. Masyarakat Melayu di kawasan tersebut telah hilang sabar terhadap sikap anti-sosial sekumpulan remaja India dan mereka ingin memberi suatu pengajaran." (ms. 78)

Tuntutan Ekstremis Suqiu: "Tuntutan Suqiu ini dilihat sebagai satu langkah untuk menghapuskan kontrak sosial yang telah dicapai oleh orang-orang Melayu dengan orang bukan Melayu sebelum ini. Isu ini boleh mencetuskan konflik dan pergaduhan antara kaum kerana perkara-perkara pokok yang menjadi tunjang hubungan natara kumpulan etnik yang telah termaktub dalam Perlembagaan Malaysia tidak seharusnya dipersoalkan oleh mana-mana pihak." (ms. 79)

Sesiapa yang berfikiran waras tentu faham tuduhan melulu seperti di atas, sudah barang tentu bertentangan dengan matlamat pengenalan subjek Hubungan Etnik dan tidak mungkin diterima oleh kumpulan etnik yang disalahkan secara berat sebelah akibat pemutarbelitan fakta-fakta sejarah dan interpretasinya.

Yang sukar difahami, sungguhpun Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nazri Aziz sudah mengaku kandungan buku itu bersifat menghasut, dan diikuti pula bantahan dari MCA, Gerakan dan MIC, Menteri Pengajian Tinggi Datuk Mustapa Mohamed masih cuba mempertahankan buku tersebut sebagai "secara keseluruhan sesuai digunakan" !

Sebagai pengajaran

Tragedi 13 Mei 1969 yang mengorbankan ratusan nyawa, Peristiwa Kampung Medan 2001 yang mengakibatkan kematian enam orang dan kecederaan kepada lebih 90 orang, kononnya semata-mata kesalahan DAP dan sekumpulan remaja India yang anti-sosial, sedangkan orang Melayu hanya "bertindak balas" dan "memberi pengajaran" kerana dihina dan hilang kesabaran!

Yang tersirat dalam hujah tersebut cukup menakutkan, seolah-olah jika sesuatu kumpulan etnik berasa terhina dan hilang kesabaran, maka ia berhak mengambil tindakan balas terhadap kumpulan etnik yang ingin diberi pengajaran.

Lebih serius lagi, jika kumpulan etnik terbabit kebetulan merupakan etnik majoriti yang berkuasa, dan disasari pula etnik minoriti yang lemah dan terpinggir. Tidaklah hairan Tragedi 13 Mei sering digunakan untuk memomokkan mereka yang tidak menyokong Umno/Barisan Nasional

Masyarakat Cina khasnya dan mereka yang menyanjungi amalan demokrasi mnya, masih tersinggung kerana tujuh perkara daripada 83 perkara rayuan Suqiu terpaksa diketepikan akibat tekanan dan gertakan (untuk membakar Dewan Perhimpunan Cina Selangor) oleh Pemuda Umno, sungguhpun ianya merupakan

rayuan bersama lebih 2,000 Persatuan Cina menjelang pilihanraya umum tahun 1999, dan telahpun disokong penuh oleh Barisan Alternatif dan Barisan Nasional pada pokoknya.

Lebih-lebih lagi, pemimpin Dong Jiao Zong yang bersikap sederhana dan mematuhi lunas-lunas amalan demokrasi selama ini (termasuk mengemukakan rayuan melalu memorandum), telah dituduh oleh Tun Dr Mahathir Mohamad, Perdana Menteri masa itu, sebagai Komunis dan Al'maunah. Hingga sekarang beliau masih enggan menarik balik tuduhan yang tidak berasas dan menggores hati masyarakat Cina itu.

Justeru, dasar perkauman Umno/Barisan Nasional dan hujah-hujahnya yang berat sebelah seperti itu, sentiasa menjejaskan hubungan baik antara etnik. Jika punca ini tidak dibetuli, maka subjek Hubungan Etnik hanya akan memburukkan lagi hubungan etnik yang sudah cukup tegang sekarang.

Dalam konteks ini, subjek Hubungan Etnik patut dibatalkan saja kerana pelaksanaannya hanya akan memburukkan lagi hubungan etnik yang sudahpun tegang seperti perkembangan terbaru ini.