Paling Popular
Terkini

Berita makin menular makin merebak. Suasana heboh. Media tak habis-habis memberi analisa. Perkara yang dibincangkan: Kumpulan mazhab kanan dan mazhab kiri di Amerika Syarikat sedang bersedia mengangkat senjata jika calon mereka tewas.

Pada Selasa 3 November warga Amerika akan mengundi untuk memilih Presiden AS ke 46. Undi pos berjalan awal. Warga Amerika di luar negara telah mula mengundi.

Presiden Donald Trump dari Parti Republikan sedang bertahan dan berkubu di Rumah Puteh. Musuh ketat Trump yang ingin merampas Rumah Puteh ialah Joe Biden dari Parti Demokrat.

Pilihan raya presiden kali ini dibaca sebagai permulaan revolusi kedua untuk Amerika. Revolusi Amerika pertama 1776 bila mana warga Amerika mengangkat senjata untuk membebaskan diri dari menjadi tanah jajahan Inggeris.

Revolusi kedua – November 2020 - kali ini musuh tidak sajelas tahun 1776. Kalau dulu jelas angkat senjata menentang kaum raja dan kaum feudal di London.

Revolusi kedua Amerika November 2020 adalah dalam bentuk perang saudara antara ‘Amerika kanan dan Amerika kiri’.

Di Amerika pernah terjadi perang sudara dari tahun 1861 hingga 1865. Pergaduhan tentang agenda hak memiliki hamba abdi, perebutan ekonomi dan nilai apa sebenarnya budaya dan sistem politik Amerika.

Wilayah Selatan Amerika Syarikat yang mahu terus menggunakan tenaga hamba abdi telah mengangkat senjata menentang Washington untuk menubuhkan negara dan kerajaan sendiri.

Saya perlu jelaskan di sini bahawa takrifan kanan dan kiri ini pun agak tidak tepat. Republikan dan Demokrat ini seperi Coca Cola dan Pepsi Cola. Mengikut takrifan kaum Marxis dua parti ini tidak banyak berbeza.

Kedua-dua parti ini adalah parti penyokong sistem ekonomi kapitalis. Kedua dua parti politik ini mendapat dana sokongan daripada kaum pemodal.

'Kenapa sampai nak angkat senjata?'

Kedua dua parti ini mendakwa bahawa parti mereka lebih baik mengendalikan sistem kapitalis. Kedua parti ini mendakwa bahawa mereka lebih berjaya untuk membentuk suasana politik dunia demi perniagaan dan keuntungan kaum pemodal Amerika dan kaum pemodal antarabangsa.

Jika ini yang didakwa - apa yang membezakan dua parti ini sehingga para penyokong sedang bersedia untuk mengangkat senjata?

Dari pandangan Marxis dua parti ini tidak ada perbezaan ideologi. Republikan dan Demokrat hanya berbeza dari sikap. Republikan lebih konservatif. Manakala Demokrat lebih liberal.

Republikan menentang gerakan gay, lesbian atau homoseksual. Republikan menentang kemasukan pendatang asing.

Republikan menafikan pemanasan dunia. Republikan menentang penguguran bayi.

Sementara itu, Demokrat menyokong LGBT, simpati terhadap pelarian perang dan sedar akan bahaya pemanasan dunia. Demokrat percaya badan wanita adalah hak wanita bukan milik gereja.

Jika hanya perbezaan sikap kenapa penyokong sedang bersedia mengangkat senjata.

Untuk memahami politik Amerika 2020 kita wajib kembali melihat apa berlaku pada tahun 2016. Pada tahun 2016 Hillary Clinton daripada Demokrat menjadi buah hati media.

Dalam analisa elit kapitalis, pemilik kilang senjata, pemain saham di Wall Street – adalah cantik tersusun dan indah untuk pandangan dunia apabila Hillary - seorang wanita dinobatkan sebagai presiden.

Kaum pemodal liberal dan mazhab konservatif baru mahu Amerika dilihat sopan.

Dari segi perancangan elit politik dan elit ekonomi Hillary amat molek untuk membawa imej feminis. Ini sama seperti imej Barack Obama. Sosok kulit hitam, liberal dan tidak menggugat politik dan kestabilan politik dunia.

Walhal Obama didakwa lebih banyak meledakkan bom membunuh warga dunia ketiga berbanding jumlah campuran total yang mati dibunuh oleh Bush dua beranak.

Justeru kaum pemodal internasional mahu wakil mereka di Rumah Puteh yang sopan yang beradab. Adalah lebih senang kaum kapitalis menjarah dunia jika Rumah Puteh bersopan.

Semua perancangan menobatkan Hillary gagal apabila Donald Trump masuk dan menduduki Rumah Puteh. Kaum kapitalis Amerika menjadi gelabah, gugup dengan kesampaian Trump. Kini Rumah Puteh diduduki oleh seorang jantan yang kasar, lucah dan kurang sopan.

Saya adalah penyokong Donald Trump yang setia. Saya bukan menyokong garis kanan yang dibawanya. Saya juga tidak menyokong sikap Trump yang kurang sopan.

Saya menyokong Trump kerana jantan ini jujur. Sosok ini bercakap dari rasa hatinya. Inilah dia sebenarnya watak dan sikap kaum kapitalis – kasar, rakus, gelojoh untuk mendapat kekayaan. Ini watak Trump. Inilah watak kaum pemodal. Inilah perangai orang kaya. Inilah contoh keangkuhan dolar, dinar daripada sesiapa yang memiliki kuasa.

Donald Trump tidak berlapik. Dia berkata benar dalam Twitter. Untuk saya Trump adalah seorang revolusioner garis kanan.

Saya penganut mazhab garis kiri lebih mudah mengenali sosok seperti Trump. Kontradiksi miskin kaya dan hitam putih bertambah tajam di bawah Trump. Musuh sedemkian lebih mudah untuk dikenali kerana ianya tidak menyamar. Tidak memakai ketayap. Tidak menjadi imam atau tidak berkhutbah. Apa dirasa itu dicakap.

Belum pernah dalam sejarah Amerika, seorang presiden berkata secara terbuka ‘CNN pembohong', 'Washington Post dan New York Times akhbar kaki putar… Jangan percaya akhbar ini kerja mereka membuat onar.’

Untuk pertama kali rakyat Amerika disedarkan bahawa selama ini media meniupkan asap ganja untuk mereka berkhayal. Media melalai dan memanaikan fikrah mereka. Terima kasih Doland Trump yang telah menaikkan semangat kemarahan kaum buruh Amerika. Amin.

Kejujuran Trump ini menggerunkan kaum pemodal. Ini menakutkan elit politik. Kacau bilau berlaku di Washington DC. Topeng kesopanan mereka selama ini telah dikoyakrabakkan oleh Trump.

Mak Cik Elegan dan Pak Cik Tweed yang minum Earls Grey Tea dengan jari kelengkeng terangkat ketika memegang cawan kini terperanjat besar apabila melihat presiden mereka minum dari kole.

Mereka merasa terganggu. Mereka tergugat oleh wujudiah Trump di Rumah Puteh. Topeng liberal dan topeng sopan mereka selama ini telah ditelanjangi oleh Trump.

Selama ini, kaum pemodal telah menjual air jampi kepada kaum buruh, kelas buruh dan kelas bawahan di Amerika. Mereka menggunakan Parti Demokrat yang di war-war sebagai parti liberal ‘kiri’ untuk kaum buruh, kaum pekerja dan kelas bawahan. Garis politik ini telah dihuru-harakan oleh Trump.

Kaum buruh kelas bawahan kulit putih Amerika amat senang mendengar slogan - Amerika untuk Amerika – Make America great again – America first - Orang luar keluar - Pendatang asing bawa masalah.

Kelas bawahan kulit putih yang selama ini tanpa suara tiba-tiba terdengar bunyi suara Trump. 

Inilah bunyi dan nada hati dan cita rasa mereka yang selama ini dihalang dan diserang oleh media liberal seperti Washington Post dan suku sakatnya.

Pada 9 September 2016, Hillary Clinton telah memanggil para penyokong Trump sebagai ‘a basket of deplorables‘ - sebakul golongan Pak Lekeh yang bebal. Ini lah pandangan kelas elit Amerika terhadap kelas buruh di Amerika. Justeru mereka berbondong-bondong mengundi Trump.

Untuk pertama kalinya presiden Amerika telah berkata bahawa syarikat Amerika yang membuka kilang di China sebenarnya memperkuat musuh Amerika - China Merah.

Mengikut pandangan Trump syarikat yang membuka kilang di luar negara tidak patriotik. Syarikat jenis ini tidak sayangkan Amerika. Trump bukan sahaja beretorik nasionalis tetapi membuktikan kata-katanya dengan mengeluarkan dana berbilion dolar menjemput pulang kilang ini kembali ke Amerika.

Ha ha ha. Slogan nasionalis dan pro rakyat bawahan ini mendapat sambutan hangat daripada kaum bawahan kelas buruh kulit putih Amerika. Mereka berbondong-bondong menyokong Trump. Mereka inilah yang sedang bersedia untuk mengangkat senjata jika Trump gagal mempertahankan Rumah Puteh.

Tidak cukup dengan ini, presiden Trump telah memulakan projek mendirikan tembok besar untuk menghalang kemasukan pendatang haram dari negara Amerika Latin dan negara lain. Laluan dari Mexico sering dibolosi oleh pendatang haram. Tembok - jawapan Trump ini disambut hangat oleh puak kanan yang sentiasa benci kepada pendatang.

'Asah parang, simpan makanan'

Penyokong Trump terunggul ialah NRA – National Rifle Association. Badan NGO ini amat berpengaruh di Amerika. Mereka pelobi hak untuk warga Amerika memilki senjata. Tidak ada calon Presiden Amerika yang berani menyerang NRA.

Rata-rata ahli NRA dari haluan mazhab kanan. Malah ada di antara pecahan kumpulan ini yang menjadi ektremis rasis kanan yang benci kepada kulit hitam.

Pada tahap ini, seratus peratus ahli NRA akan mengundi untuk Trump. Amin

Suasana menjadi tegang apabila Trump mengeluarkan kenyataan bahawa undi pos yang sedang dijalankan di Amerika adalah satu penipuan. Trump melihat undi pos ini menyebelahi pihak lawan. Untuk itu Trump telah memotong dana kerajaan untuk mengendalikan sistem undi postal. Ketua pengarah Perkhidmatan Pos yang baru dilantik ialah sosok peminat Trump.

Dalam masa yang sama aktivis Republikan sedang menyusun dan mengatur ahli-ahli mereka untuk memantau tempat membuang undi. Mereka ini terdiri daripada bekas tentera dan bekas pasukan keselamatan. Mereka cekap menggunakan senjata.

Jelas penyokong Trump sedang bersedia. Mereka sedang mengasah parang dan menyimpan makanan. Bagaimana pula dengan penyokong Joe Biden daripada Parti Demokrat? Tunggu minggu hadapan.


HISHAMUDDIN RAIS ialah aktivis politik, penulis dan pengarah filem.

Tulisan ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS