Malaysiakini
KOLUM

KOLUM | Pameran Seni Haram

Abdullahjones

Diterbitkan

Kerana sukarnya mendapat peluang untuk mempamerkan hasil kerja mereka, sekumpulan karyawan seni di Kuantan mengambil inisiatif bagi mengatasi kekangan berkenaan.

Justeru mereka yakni beberapa orang pelukis dan jurufoto berpakat dan bersindiket untuk mengadakan pameran mengikut cara sendiri.

Mereka memilih kawasan terbuka di lorong-lorong belakang bangunan di Kuantan sebagai 'galeri' bagi mempamerkan hasil kerja masing-masing. Dan ia dilakukan tanpa mendapat sebarang kelulusan daripada pihak berkuasa tempatan.

Idea ini dicetuskan oleh Syed Azimal yang memang terkenal sebagai individu di sebalik pelbagai aktiviti yang melibatkan orang ramai di sekitar Kuantan.

Antaranya adalah program sarapan percuma, juadah berbuka percuma dan perpustakaan awam untuk penduduk di kawasan petempatan golongan berpendapatan rendah.

Syed Azimal berkata pameran yang dijalankan itu adalah sebagai tanda protes golongan terbabit kepada pihak tertentu yang kurang mengambil perhatian ke atas pengkarya seni tempatan.


Di Kuantan terdapat tiga buah galeri yang kerap mengadakan pameran iaitu Galeri Pantai Timur, 90Degree Art And Cafe serta sebuah galeri milik kerajaan negeri.

Namun demikian, tidak semua artis di bandar tersebut mendapat peluang untuk mengadakan pameran di ketiga-tiga galeri berkenaan.

Kerana kecewa dengan keadaan tersebut maka Pameran Seni Haram akan diadakan setiap Ahad bermula 18 Okt ini.

Pameran berkenaan akan diadakan di lorong belakang Jalan Besar Kuantan dengan menjadikan dinding belakang bangunan kedai sebagai galeri.


Karya-karya peserta akan dilekatkan pada didinding bangunan seperti mana karya-karya lain dipamerkan dalam galeri seni rasmi.

Terdapat lebih kurang 10 orang peserta yang akan mengambil bahagian dari siri pertama pameran ini.

Lukisan dan seni foto menjadi agenda utama untuk pameran kali ini di samping persembahan musik dan juga puisi.

Diharapkan Pameran Seni Haram ini akan membuka mata pihak-pihak yang bertanggungjawab agar lebih memberi tumpuan membuka ruang kepada karyawan seni tempatan untuk mempamerkan hasil kerja mereka kepada masyarakat umum.

Orang ramai adalah dijemput untuk memeriahkan acara ini.


ABDULLAHJONES ialah pelukis, penulis dan pengembara.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Mulai 15 Oktober 2020, Malaysiakini versi BM memperkenalkan sistem komen baru yang lebih baik.

Untuk berhubung secara telus dan bertanggungjawab dengan pengulas lain, pembaca BM kini perlu menjadi pelanggan berbayar. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.