Umpama sudah jatuh ditimpa tangga...
Pada 26 Julai lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dilaporkan telah meminta Gabungan Artikel 11 supaya berhenti menganjurkan forum umum yang bertajuk 'Perlembagaan Persekutuan: Perlindungan untuk Semua'.
Gabungan Artikel 11 itu kemudiannya mengeluarkan kenyataan akhbar pada hari yang sama, seolah-olah terpaksa menurut arahan tersebut dengan berjanji "ahli-ahli gabungan akan segera mengadakan pertemuan untuk mengambilkira pandangan Perdana Menteri dalam perancangan aktiviti-aktiviti di masa masa hadapan".
Gabungan tersebut juga membuat penjelasan bahawa badan itu tiada kaitan dengan Suruhanjaya Antara Agama atau IFC dan meminta untuk mengadakan perjumpaan dengan Perdana Menteri bagi menjelaskan salahfaham yang dipercayai wujud dan menjadi asas arahan tersebut dikeluarkan.
Pada 26 Julai lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dilaporkan telah meminta Gabungan Artikel 11 supaya berhenti menganjurkan forum umum yang bertajuk 'Perlembagaan Persekutuan: Perlindungan untuk Semua'.
Gabungan Artikel 11 itu kemudiannya mengeluarkan kenyataan akhbar pada hari yang sama, seolah-olah terpaksa menurut arahan tersebut dengan berjanji "ahli-ahli gabungan akan segera mengadakan pertemuan untuk mengambilkira pandangan Perdana Menteri dalam perancangan aktiviti-aktiviti di masa masa hadapan".
Gabungan tersebut juga membuat penjelasan bahawa badan itu tiada kaitan dengan Suruhanjaya Antara Agama atau IFC dan meminta untuk mengadakan perjumpaan dengan Perdana Menteri bagi menjelaskan salahfaham yang dipercayai wujud dan menjadi asas arahan tersebut dikeluarkan.
Presiden Hakam, Malik Imtiaz Sarwar dalam kenyataannya (Article 11 setting the record straight) juga menegaskan bahawa inisiatif IFC untuk penubuhan suatu badan berkanun yang tidak mempunyai kuasa undang-undang, demi membantu kerajaan mencapai keharmonian agama, sudahpun terhenti selepas draf rang undang-undang terbabit diluluskan oleh sebuah persidangan kebangsaan pada Februari 2005 dan dikemukakan kepada kerajaan.
Tentang inisiatif Gabungan Artikel 11, Malik telah menitikberatkan beberapa perkara yang agak penting untuk menjernihkan suasana sekarang, termasuk:
Road show terbabit bertujuan meningkatkan kesedaran rakyat mengenai jaminan Perlembagaan Persekutuan di bawah konsep kedaulatan undang-undang, bertentangan dengan penegasan yang sering diutarakan bahawa Malaysia adalah negara Islam dari segi undang-undang.
Perbezaan antara Negara Islam yang bermakna majoriti penduduk negara terbabit adalah Muslim dengan Negara Islam yang bermakna undang-undang tertinggi negara terbabit adalah syariah.
Malaysia merupakan negara sekular berdasarkan keputusan mahkamah pada 1988 dalam kes Che Omar Che Soh yang berbunyi: " we have to set aside our personal feelings because the law in this country is still what it is today, secular law, where morality not accepted by the law is not enjoying the status of the law until the law and the system is changed, we have no choice but to proceed as we are doing today." (terjemahan: kita kena mengetepikan perasaan peribadi kita kerana undang-undang negara ini masih merupakan undang-undang sekular seperti hari ini di mana moraliti yang masih belum diterima undang-undang, tidak dapat menikmati kedudukan undang-undang sehingga undang-undang dan sistem kita berubah, kita tiada pilihan melainkan meneruskan apa yang kita buat sekarang. )
Kumpulan Artikel 11 tidak pernah mempersoalkan kedudukan Islam sebagai agama rasmi Malaysia atau mencabar pentadbiran Undang-undang Islam atau kedudukan Raja-Raja Melayu.
Mereka yang mengkritik Gabungan Artikel 11, melalui pemutarbelitan dan pengeksploitasian sensitiviti kaum dan agama, adalah cuba mencabar status quo. Justeru, proses mencampuradukkan agama, politik dan kedaulatan undang-undang telah mengakibatkan kekeliruan sekarang. Kesalnya proses ini telah makin bertapak.
Demonstrasi bantahan
Tidak dapat dinafikan penubuhan IFC sudah ditangguhkan oleh kerajaan sepertimana yang diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sendiri, tetapi ini belum memuaskan pihak yang anti-IFC yang ingin memperjuangkan penolakannya.
Dalam Memorandum Bantahan Artikel 11 tanggal 21 Mei 2006, Dewan Pemuda PAS Pusat (DPPP) secara terus-terang mendesak agar road show Gabungan Artikel 11 ke seluruh negara dihentikan segera dengan amaran jika gabungan tersebut terus dibenarkan menganjurkan program road show, DPPP percaya ianya akan menimbulkan ketegangan yang sukar untuk dikawal.
Namun sebaliknya, PAS telah memainkan peranan utama dalam demonstrasi bantahan pada 14 Mei di Pulau Pinang dan pada 22 Julai di Johor Bahru.
Di samping itu, dalam perhimpunan 10,000 orang di Forum Syariah dan Isu Semasa yang berlangsung pada 23 Julai 2006 di Masjid Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, telah merumuskan 11 resolusi, antaranya:
Kedudukan istimewa Islam harus dipertegaskan dan diterima oleh semua pihak, Islam dan bukan Islam.
Semua peruntukan Perlembagaan dan Undang-undang yang bekaitan dengan Islam perlu diperkukuhkan untuk menutup semua ruang usaha untuk menggunakan saluran mahkamah bagi melemahkan kedudukan Islam.
Seluruh umat Islam perlu menyatukan suara, sikap dan tindakan dalam mempertahankan kedudukan Islam yang sedang diancam.
Setiap ancaman terhadap Islam adalah bermakna ancaman terhadap martabat dan kedudukan Raja-Raja Melayu yang menjadi Ketua Agama di setiap negeri dan terhadap kewibawaan institusi-institusi Islam.
Pendekatan konfrontasi melalui road show (majlis penerangan) dan pertikaian mahkamah hanya akan mengakibatkan ketegangan dan mengancam ketenteraman masyarakat.
Fahaman kebebasan dan hak asasi acuan sekular-liberal adalah bercanggah dengan ajaran Islam serta agama-agama lain.
Hak perlembagaan
Dakwaan bahawa kedudukan istimewa Islam sedang terancam dan umat Islam bangkit mempertahankannya, 'road show' Gabungan Artikel 11 serta pertikaian mahkamah, dianggap sebagai 'pendekatan konfrontasi' akan menimbulkan ketegangan dan mengancam ketenteraman masyarakat, dan fahaman kebebasan dan hak asasi pula dianggap sebagai bercanggah dengan ajaran Islam kesemua ini merupakan punca yang mengeruhkan suasana sekarang.
Pendek kata, di bawah amalan sistem undang-undang sekarang, semua pihak yang terbabit, tidak kira rela atau tidak, hendaklah cukup matang untuk menerima kebebasan bersuara melalui majlis penerangan dan hak individu untuk mempertahankan hak perlembagaannya melalui mahkamah, juga patut dihormati.
Semua pihak harus lebih berhati-hati dalam menangani pertikaian isu-isu agama. Dakwaan yang tidak berasas dan retorik yang berunsur hasutan dan penyinggungan seperti mengancam, menghina, menodai atau mencemari sesuatu agama atau campurtangan dalam urusan sesuatu agama oleh penganut agama yang lain dan sebagainya, hendaklah seboleh-bolehnya dielakkan.
Jika diteliti secara objektif, bagi Gabungan Artikel 11, arahan agar majlis penerangannya dihentikan adalah 'umpama sudah jatuh ditimpa tangga!'
Bagi pihak yang anti-Gabungan Artikel 11 pula, hanya kerjasama daripada pihak mereka yang mungkin dapat menjernihkan semula suasana sekarang. Rasanya PEMBELA boleh memainkan peranan positif dalam aspek ini.

