Tanpa dikisahkan peranan yang dimainkan oleh Pak Rashid dalam Rundingan Damai Baling 1955 dan Rundingan Damai Haadyai 1989, maka tidak lengkaplah bagi riwayat perjuangan beliau.

Rundingan Baling diadakan pada 28-29 Disember 1955 antara rombongan PKM yang terdiri daripada Chen Ping, Chen Tien dan Rashid Maidin, dengan rombongan Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu yang terdiri daripada Tunku Abdul Rahman, Tun Tan Cheng Lock, David Marshall dan Hamid Jumat.

Menurut rumusan Pak Rashid, Rundingan Baling bukanlah perundingan dalam erti kata sebenar, kerana pihak Tunku, sebagai boneka penjajah British, cuba menekan pihak PKM dengan mengenakan bermacam-macam syarat tanpa bersedia untuk tolak ansur sedikitpun.

Dalam ucapannya dalam majlis perundingan, Tunku telah menyarankan supaya PKM meletakkan senjata dan menyerah diri. Di samping itu, PKM akan tetap diharamkan, sementara ahli parti serta anggota gerila Tentera Pembebasan Nasional Malaya akan diproses, maknanya akan ditahan dan disoal siasat oleh Cawangan Khas British.

Menjelang perundingan, rombongan PKM telah mencapai persetujuan bahawa tujuan utama perundingan bagi PKM ialah pengiktirafan PKM sebagai sebuah parti politik yang sah dan boleh menjalankan proses politiknya di Malaya seperti parti-parti politik yang lain; manakala tujuan sekunder perundingan ialah untuk memencilkan kuasa penjajah British di Malaya dan membolehkan tanah air mencapai kemerdekaan.

Justeru, jawapan Chen Ping seperti yang diintisarikan Pak Rashid berbunyi: "Bahawa kami dari pihak PKM mahukan perdamaian, tetapi perdamaian itu mestilah satu perdamaian yang adil ke atas kami. Kami telah bermandi darah menentang kekejaman permerintahan fasis Jepun, dan ketika itu berganding bahu dengan British pula.

Perjuang kemerdekaan

"Setelah Perang Dunia Ke-2 tamat, pihak British datang menjajah semula dan mengisytiharkan Darurat lalu menindas kami dengan kejam. Kami terpaksa memikul senjata sekali lagi dan bermandi darah mempertahankan kewujudan parti kami. Jadi tidaklah munasabah untuk menuntut kami menyerah diri dan diletakkan di penempatan sementara.

"Nampaknya ada udang di sebalik batu. Jika kita boleh berdamai, kita harus adakan perdamaian yang adil yang sekurang-kurangnya menghormati maruah kami dalam memperjuangkan kemerdekaan.

"Tak mengapalah Tunku, tidak perlu kita berbalah di sini, Tunku pun belum ada kuasa lagi untuk membuat sebarang keputusan dengan kami. Pergilah berunding ke London dalam menuntut kemerdekaan. Setelah merdeka nanti kita boleh sambung perundingan ini dengan panjang lebarnya."

Jelas sekali, pihak PKM telah menaruh harapan kepada Tunku yang dengan licik sekali telah memperalatkan sokongan PKM terhadap beliau dalam hubungan menuntut kemerdekaan Malaya daripada penjajah British.

Namun selepas mencapai kemerdekaan, Tunku yang masih mengikut kuit telunjuk penjajah British telah memungkiri janjinya hendak menyambung semula rundingan dengan pihak PKM untuk mencari perdamaian.

Sebagai sebuah parti yang berprinsip dan bermaruah, PKM tiada pilihan melainkan menepati ikhrarnya bahawa mereka "sekali-kali tidak akan bertekuk lutut" serta "akan berjuang hingga ke titisan darah yang terakhir" !

Rundingan awal

Dasar dan strategi meneruskan perang demi kepentingan penjajah British telah merupakan warisan Tunku Abdul Rahman, Tun Abdul Razak dan Tun Hussein Onn, sungguhpun pihak PKM yang terpaksa mempertahankan perjuangan bersenjata sentiasa membuka pintu selebar-lebarnya ke arah perundingan untuk menamatkan peperangan dan membangun negara asalkan berada di atas landasan yang adil dan munasabah.

Pada penghujung tahun 1980-an, kerajaan Dr Mahathir Mohamad cuba menyimpang daripada strategi berperang dengan PKM tersebut, dan pada tahun 1988 rundingan-rundingan awal pun dimulai antara Abdullah C.D. yang mewakili Rejimen Ke-10 dan Ghafar Baba yang mewakili kerajaan Barisan Nasional, untuk meletakkan asas bagi perundingan rasmi seterusnya.

Perundingan pusingan pertama berlangsung pada 2-3 Februari 1989 di Pulau Phuket. Wakil PKM yang menghadiri persidangan ini ialah Chang Ling-Yun @ Ah Soo (diganti oleh Wu Yi Shek pada rundingan pusingan ketiga selepas Ah Soo meninggal dunia) sabagai ketua, dan Zainun, Rashid Maidin dan Indra Jaya Abdullah @ Anas sebagai ahli rombongan . Chen Ping hanya menyertai rundingan pusingan kelima, iaitu pusingan terakhir yang mengakibatkan penandatanganan persetujuan damai tiga pihak, iaitu Kerajaan Malaysia, Kerajan Diraja Thailand dan PKM, di Hotel Lee Gardens Haadyai, Selatan Thailand pada 2 Disember 1989.

Ketua rombongan kerajaan Malaysia, Datuk Abdul Rahim Noor, Timbalan Ketua Polis Negara Malaysia ada masa itu pada mulanya amat memandang rendah kepada wakil PKM, beliau hanya berjabat tangan dengan Pak Rashid "dengan jarinya sahaja" selepas Pak Rashid menghulurkan tangannya dengan terlebih dahulu dan tunggu dijabat buat beberapa ketika .

Rahim Noor ingin mengulangi sejarah Rundingan Baling, menurut Pak Rashid, beliau "berlagak seperti raja besar", PKM telah diserang dan dihentam dengan berbagai-bagai tuduhan. Pak Rashid tidak tahan dengan keangkuhan Rahim Noor, dan ditegaskan kepada kawan-kawannya jangan biarkan wakil kerajaan menghentam mereka lagi. Sikap tegas beliau itu telah diterima oleh wakil-wakil PKM yang lain.

Maka selepas membuat persediaan, Ah Soo pun menghentam balas dengan bukti dan fakta yang lengkap. Beliau bongkarkan habis-habisan taktik jahat dan kejam kerajaan di bawah anjuran penjajah British. Beliau terangkan bahawa PKM telah bersukat darah, bertimbang daging melawan penjajah British untuk kemerdekaan. Sesungguhnya sumbangan dan darah PKM, tersulam indah di jalinan sejarah kemerdekaan tanah air. Setelah itu barulah tiada lagi tuduhan seumpamanya dilemparkan ke atas wakil PKM.

Jalan buntu

Kebijaksanaan dan kemampuan Pak Rashid dalam mematahkan hujah-hujah wakil pihak kerajaan amat menonjol terutamanya mengenai tiga isu pokok yang menjadi kemusykilan antara wakil Kerajaan Malaysia dengan wakil PKM.

Iaitu PKM dikehendaki menyerah diri, dikehendaki meletak dan memusnahkan seluruh persenjataannya dan tidak akan diiktirafkan oleh Kerajaan Malaysia sebagai sebuah parti politik yang sah di sisi undang-undang.

Hujah Pak Rashid melalui bidalan lama orang Melayu yang tepat dan sukar dinafikan telah memberi sumbangan untuk memburaikan jalan buntu kemusykilan terbabit.

Kata beliau: "Kalau tiga isu ini diletakkan bebannya ke atas kepala PKM sahaja, jadi macam bidalan lama orang Melayulah: Bagaikan bapa ayam dengan ibu ayam kepala dipatuk, kepak dipijak, buntut dicucuk. Itulah yang hendak dibebankan ke atas parti kami. "

Bidalan tersebut mencetuskan gelak berdekah-dekah dari wakil-wakil kedua-dua pihak, dan berjaya mendedahkan sikap ketidak-adilan pihak kerajaan membebankan tiga isu pokok terbabit ke atas bahu pihak PKM. Hujah Pak Rashid yang bijak itu rasanya merupakan titik perubahan (turning-point) kepada pencapaian penyelesaian yang lebih munasabah.

Akhirnya, PKM bersetuju untuk membubarkan Tentera Rakyat Malaya, dan memusnahkan senjata, dan Kerajaan Thailand sebaliknya memberi jaminan terhadap ketenteraman dan keselamatan pihak PKM. Selaras dengan itu isu menyerah diri pun tidak timbul lagi.

Bagaimanapun, PKM terus diharamkan dan mereka bersetuju untuk membubarkan parti itu. Sebagai gantinya mereka dibenarkan untuk mendirikan sebuah parti sosialis yang baru dan bergerak secara terbuka di Malaysia.

Sungguhpun perdamaian telah tercapai selama 17 tahun, namun hasrat Pak Rashid dan tokoh-tokoh bekas PKM yang lain untuk balik bermastautin di tempat tumpah darah mereka masih tidak terkabul, kerana selagi undang-undang ISA tidak dimansuhkan, ia tetap merupakan "pedang yang sentiasa berada pada tengkuk kami " !

Rasanya kerajaan dan rakyat Malaysia amat berhutang budi kepada Pak Rashid sebagai wira tulen anti penjajah yang terpaksa berputih tulang sebagai perantau. Saya yakin pada suatu hari nanti, jenazah Allahyarham akan disambut kembali ke tanahair dan kampung halamannya dengan meriah sekali dan ditanam semula sebagai seorang wira rakyat!