Ruas Dr Mahathir bertemu dengan buku Lee Kuan Yew?
Kenyataan bekas Perdana Menteri dan Menteri Mentor Singapura, Lee Kuan Yew (LKY), bahawa Cina Malaysia dipinggirkan secara sistematik, boleh diumpamakan sebagai menjolok sarang tebuan.
Sebagai seorang veteran politik dalam rantau ini, Kuan Yew pasti mengetahui dan bersedia untuk menghadapi lentingan dan sengatan dari pemimpin-pemimpin Malaysia.
Sebermulanya, Najib menyifatkan kenyataan terbabit sebagai 'nakal', Pak Lah menuduhnya sebagai 'menghasut' dan meminta penjelasan selanjutnya, rencana pengarang Utusan Malaysia mendesak Kuan Yew perbetulkan kenyataannya dan Muhyiddin pula anggap beliau kena mohon maaf. Yang lebih 'emosional' malah menyaran agar segala pelaburan Singapura di negara kita dibatalkan!
Reaksi bertemu ruas dengan buku datang daripada Dr Mahathir yang setanding dengan Lee Kuan Yew, dari segi suka berlagak sebagai wira bangsa masing-masing. Dr Mahathir mengulangi dakwaan beliau bahawa orang-orang Melayu Singapura 'ditekan, dipinggirkan dan ditindas' sehingga tidak ada status sama sekali.
Kenyataan bekas Perdana Menteri dan Menteri Mentor Singapura, Lee Kuan Yew (LKY), bahawa Cina Malaysia dipinggirkan secara sistematik, boleh diumpamakan sebagai menjolok sarang tebuan.
Sebagai seorang veteran politik dalam rantau ini, Kuan Yew pasti mengetahui dan bersedia untuk menghadapi lentingan dan sengatan dari pemimpin-pemimpin Malaysia.
Sebermulanya, Najib menyifatkan kenyataan terbabit sebagai 'nakal', Pak Lah menuduhnya sebagai 'menghasut' dan meminta penjelasan selanjutnya, rencana pengarang Utusan Malaysia mendesak Kuan Yew perbetulkan kenyataannya dan Muhyiddin pula anggap beliau kena mohon maaf. Yang lebih 'emosional' malah menyaran agar segala pelaburan Singapura di negara kita dibatalkan!
Reaksi bertemu ruas dengan buku datang daripada Dr Mahathir yang setanding dengan Lee Kuan Yew, dari segi suka berlagak sebagai wira bangsa masing-masing. Dr Mahathir mengulangi dakwaan beliau bahawa orang-orang Melayu Singapura 'ditekan, dipinggirkan dan ditindas' sehingga tidak ada status sama sekali.
Menurut Anwar bila diwawancara oleh wartawan Malaysiakini sebelum ini, beliau akur ada bukti yang menunjukkan bahawa Mahathir menggunakan sindiran secara tersirat yang bersifat perkauman dalam kemelutnya dengan Perdana Menteri Abdullah.
Anwar berpendapat Dr Mahathir bukan hanya bercakap mengenai isu nasionalisme tetapi juga bersikap menentang orang Cina dan Singapura yang dia dakwa sebagai pihak yang berusaha untuk bertindak melawan kepimpinan Melayu dan mereka perlu diberi pengajaran.
Justeru, antara Dr Mahathir dan Lee Kuan Yew, sukar juga untuk memastikan pihak manakah yang memulai putaran ganas (vicious circle) tuduh-menuduh terbabit. Yang pasti ialah bertepuk sebelah tangan tidak akan berbunyi, dan hubungan baik Malaysia-Singapura dan kepentingan rakyat kedua-dua negara telah terjejas!
Tuduh menuduh
Berasaskan latar belakang tersebut, saya rasa mungkin lebih bermanfaat bagi kedua-dua pihak melakukan muhasabah atau kritik-diri daripada meneruskan putaran ganas tuduh-menuduh terbabit.
Tidak dapat dinafikan bahawa mencari penyelesaian menang-menang adalah lebih bijak daripada terus membangkitkan sentimen perkauman yang meluap-luap dari kedua-dua pihak.
Presiden MCA Ong Ka Ting dan Presiden Gerakan Lim Keng Yaik, dengan segera menafikan kenyataan LKY terbabit. Tindakan mereka mudah difahami, kerana mereka terpaksa menunjukkan semangat Barisan Nasional untuk menghadapi cabaran 'luar'.
Apalagi jika mereka mengaku kaum Cina telah dipinggirkan secara sistematik seperti dakwaan LKY, bermakna mereka mengaku telah gagal dalam mempertahankan kedudukan kaum Cina seperti yang dijanjikan sebagai sebuah parti politik perkauman.
Rela atau tidak rela, tindakan mereka juga boleh diinterpretasikan sebagai membela dasar perkauman Kerajaan Barisan Nasional yang memang ditentang oleh kaum Cina, dan memberi peluang kepada musuh politik mereka, terutamanya DAP untuk menyerangi kehipokritan mereka.
Kebanyakan orang Cina, termasuk akar umbi MCA dan Gerakan, dipercayai lebih bersetuju dengan kenyataan LKY terbabit, tak kira mereka suka LKY atau tidak.
Namun, mereka tidak mahu dipandang sebagai warga negara yang tidak partriotik dan enggan menyinggung sensitiviti kerajaan. Apalagi kenyataan LKY telah disifatkan sebagai 'hasutan' yang akan menjejaskan keharmonian kaum. Mereka membisu mungkin juga kerana takut kepada Akta Hasutan.
Monopoli jawatan
Sungguhpun demikian, ramai juga pemimpin persatuan Cina yang memberi sokongan kepada kenyataan terbabit secara tidak langsung, umpamanya melalui bidalan "umpama minum air, masing-masing mengetahui panas atau sejuknya", "jawapan ada di dalam hati", atau "kenyataan LKY patut difikirkan secara mendalam" dan sebagainya.
Padahal dari rasional politik perkauman, isu-isu kebelakangan ini, termasuk kejadian Menteri-Menteri MCA gagal mempertahankan Ong Tee Kiat dalam Kabinet, desakan Umno Pulau Pinang agar Jawatan Ketua Menteri Pulau Pinang digilirkan, hujah-hujah perkauman Khairy serta keangkuhan dan ketidakrasionalan Menteri Pelajaran Hishammuddin Hussein dalam mendesak Ketua Menteri Dr Koh Tsu Koon dan Ong Tee Kiat, kesemuanya boleh dikaitkan dengan kepinggiran politik parti-parti komponen Barisan Nasional yang terbabit.
Baru-baru ini, Timbalan Menteri Pelajaran Noh Omar telah mengumumkan bahawa antara 180 buah sekolah rendah yang akan dibina di bawah Rancangan Malaysia ke-9, tiada satu pun Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina (SRJKC) atau Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Tamil (SRJKT) yang akan dibina!
Menurut kenyataan Dong Jiao Zong, dari tahun 1970 hingga 2006, dianggar 2,900 sekolah kebangsaan telah dibina. Dalam jangka masa yang sama, 193 buah sekolah jenis kebangsaan, termasuk 58 buah SRJKC dan 134 buah SRJKT sebaliknya telah ditutup. Bukankah ini suatu bukti yang sukar dinafikan bahawa sekolah aliran Cina dan aliran Tamil telah dipinggirkan secara terang-terangan?
Beberapa contoh yang sering dikemukakan sebagai bukti kepinggiran bukan Melayu ialah hegemoni kuasa politik Umno, monopoli orang Melayu bagi jawatan Naib Canselor dalam institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan terlalu berat sebelah bagi orang Melayu berkaitan jawatan-jawatan tinggi dalam IPTA dan perkhidmatan awam dan institusi-institusi awam kerajaan yang lain, penganugerahan projek-projek kerajaan, biasiswa dan agihan tempat kosong dan jurusan yang tidak adil dalam IPTA, dan lain-lain.
Padahal dalam banyak memorandum dan dokumen persatuan-persatuan masyarakat Cina, umpamanya Memorandum mengenai Kebudayaan Nasional 1983, Deklarasi Persatuan-Persatuan Cina 1985, dan Rayuan (Suqiu) Pilihanraya Persatuan-Persatuan Cina 1999, telah dicatatkan pelbagai fakta dan hujah bagaimana kaum Cina telah dipinggirkan oleh dasar-dasar perkauman Barisan Nasional dari segi bahasa, pelajaran, kebudayaan, ekonomi dan sosial.
Rasanya daripada meminta LKY membuat penjelasan mengenai dakwaannya, lebih senang membaca semula memorandum dan dokumen terbabit. Sekalipun LKY memohon maaf, ia juga tidak akan mengubah hakikat dalam beberapa bidang seperti tersebut di atas, orang Cina atau lebih tepat bukan Melayu memang dipinggirkan menurut perhitungan kaum.

