Kebankrapan semangat kekitaan BN
Berbanding dengan Lee Kuan Yew (LKY), Ketua Pemuda, Umno Hishammuddin Tun Hussein (HTH) dan Naib Ketuanya Khairy Jamaluddin(KJ) rasanya lebih bersifat pengecut. Kerana sungguhpun ramai yang menganggapnya tidak ikhlas, LKY telah meminta maaf atas ulasan beliau bahawa kaum Cina Malaysia telah dipinggirkan secara sistematik.
Namun, Hishammuddin tidak berani meminta maaf kepada Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Ong Tee Kiat yang terbukti berasas dalam mendakwa terdapat pegawai kerajaan yang melesapkan wang peruntukan khas untuk beberapa buah SJKC di Johor. Namun Tee Kiat yang bercakap benar, telah diselar oleh Hishammuddin yang mempertahankan pegawai kerajaan yang nyata terbabit.
Kes KJ lagi memalukan. Pada Ogos lalu, ketika merasmikan Persidangan Perwakilan Pemuda Umno Bahagian Jerlun Kedah, dia telah mendakwa kaum Cina akan mengambil kesempatan daripada kelemahan Umno. Dakwaan ini telah mencetuskan kemarahan masyarakat Cina amnya dan Pemuda MCA dan Gerakan khasnya.

Dalam media bahasa Cina, KJ "umpama tikus yang menyeberangi jalan, telah dikutuk orang ramai", tentu tidak sunyi daripada mereka yang ingin menjadi "wira" kaum seperti KJ dan sejenis dengannya, di kalangan kaum dan media masing-masing.
Kita tidak tahu apa telah berlaku dalam mesyuarat Pemuda Barisan Nasional (BN) pada 3 Oktober lalu. Namun, keputusan mesyuarat yang diumumkan oleh Hishammuddin selaku Pengerusi Pemuda BN, cukup menakjubkan.
Kononnya mesyuarat Pemuda BN hari itu 'puas hati' dengan penjelasan Naib Ketua Pemuda Umno, KJ berhubung kenyataannya bahawa kaum Cina akan mengambil kesempatan daripada kelemahan Umno.
Kurang senang
Menurut Hishammuddin, kesemua pemimpin Pemuda BN mengambil pendirian bahawa kenyataan itu telah disalahtafsir hingga menyebabkan timbul rasa kurang senang di kalangan pihak tertentu negara ini.
Tambahnya, bagi menyelesaikan kekeliruan yang timbul di peringkat akar umbi ekoran timbulnya isu itu, mesyuarat hari itu turut mengarahkan semua ketua pemuda parti komponen BN supaya menjelaskan perkara tersebut kepada kalangan Exco dan kemudian ke peringkat ahli.
Menurut laporan Utusan Malaysia pada 3 Oktober, Ketua Pemuda MCA Liow Tiong Lai dan Ketua Pemuda Gerakan Mah Siew Keong, kedua-duanya akur dengan keputusan dan arahan yang dikeluarkan oleh mesyuarat terbabit.
Yang aneh sekali ialah selepas mesyuarat, dua sidang akhbar telah diadakan. Satu sidang akhbar bagi Pemuda BN yang dipanggil oleh Hishammuddin, satu lagi diadakan untuk Pemuda MCA dan Pemuda Gerakan.
Dalam sidang akhbar Pemuda BN, Hishammuddin merupakan jurucakap tunggal untuk mengumumkan keputusan dan arahan mesyuarat seperti tersebut di atas. Media tidak dibenarkan mengemukakan sebarang soalan kepada KJ, Liow Tiong Lai dan Mah Siew Keong.
Yang amat tidak masuk akal ialah butiran penjelasan KJ dalam mesyuarat mengenai bagaimana kenyataannya telah disalahtafsirkan tidak dibenarkan didedahkan secara terbuka, dengan alasan untuk mengelakkan perdebatan selanjutnya dalam media. Nampaknya disalahtafsir oleh media telah menjadi 'senjata rahsia' bagi menyelamatkan KJ!
Tentu tidak adil jika media dituduh telah mensalahtafsirkan kenyataan KJ tanpa diberi alasan yang munasabah. Jika ia merupakan suatu 'rahsia' yang hanya boleh dijelaskan kepada ahli Pemuda BN saja, siapa tahu ia bukan suatu tipu helah yang direka-reka?
Dikambinghitam
Tak sangka Pemuda BN sanggup membuat keputusan yang begitu tidak bertanggungjawab! Dan amat mengecewakan ialah pihak media yang dituduh tanpa alasan konkrit boleh menelannya bulat-bulat tanpa bantahan! Di manakah maruah profesion media?
Kenapa tidak bangkit mempertahankan maruah profesion kewartawanan yang diinjak-injak oleh KJ dan Pemuda BN dengan angkuh dan biadab sekali? Berapa lama lagi kalian sanggup dijadikan kambinghitam oleh petualang-petualang politik yang terdesak (desperate) kerana salah langkah atau salah cakap?
Dalam sidang akhbar Pemuda MCA dan Gerakan, menurut laporan malaysiakini versi bahasa Cina, Liew Tiong Lai dan Mah Siew Keong kedua-duanya enggan memberi jawapan yang tegas sama ada mereka berpuas hati dengan penjelasan KJ.
Kata Liew, dia tidak puas hati dengan perkembangan isu terbabit, tetapi menerima penjelasan KJ. Mereka terpaksa akur kononnya kenyataan KJ telah disalahtafsirkan. Tetapi bagaimana ianya disalahtafsirkan, hanya boleh diterangkan kepada ahli nanti!
Berbanding dengan kelantangan dan keberanian Liew dan Mah dalam membidas KJ sebelum ini, jelas sekali mereka telah membelakangkan pendirian mereka atas 'semangat kekitaan BN'!
Untuk menjaga 'keangkuhan' dan 'air muka' seorang petualang politik perkauman yang 'berkuasa', tergadailah budaya berani mengaku kesilapan, prinsip keadilan dan bertanggungjawab, seburuk inilah kebankrapan 'semangat kekitaan BN'!