P Ramakrishnan dalam Suara Keadilan (12-27 Disember 2006) menganggap Menteri Penerangan Zainuddin Maidin (Zam) sebagai menteri kabinet yang paling bebal kerana menuduh rakyat awam tidak cukup matang untuk menerima perlakuan ahli Parlimen dan debat berbaur perkauman.

Tidak pasti sama ada Zam menteri kabinet yang paling bebal atau bukan. Apa yang pasti ialah kebebalannya sekali lagi terdedah apabila beliau menyamakan wira anti-Jepun dengan komunis dan melahirkan rasa tidak senang dengan tindakan pihak-pihak tertentu yang mendirikan memorial bagi memperingati wira-wira anti-Jepun pelbagai kaum yang terkorban.

Pihak-pihak terlibat dituduh sebagai:

Tidak sensitif terhadap perjuangan rakyat negara ini menentang komunis;

Tidak peka terhadap sambutan 50 tahun kemerdekaan negara pada tahun depan serta boleh menggangu-gugat perpaduan rakyat; dan

Mengadakan memorial untuk kenang komunis.

Nyata sekali Zam buta sejarah. Maklumlah, selepas tentera penjajah British menyerah diri kepada tentera penceroboh Jepun pada 15 Februari 1942, ratusan ribu rakyat Malaya pelbagai kaum telah diperkosa, diganasi dan dibunuh secara beramai-ramai oleh algojo-algojo Jepun dalam zaman pemerintahan Jepun selama tiga tahun lapan bulan.

Tidak dapat dinafikan bahawa Parti Komunis Malaya (PKM) yang tampil ke hadapan untuk menubuhkan Tentera Anti-Jepun Rakyat Malaya (TAJRM) dengan kerjasama pihak Bersekutu (The Allied), tetapi ini tidak bermakna, hanya komunis saja yang memainkan peranan dan berkorban dalam perang anti-Jepun.

Wira anti-Jepun

Hendaklah diakui bahawa pada masa itu, PKM bukan saja tidak ditentang oleh rakyat, sebaliknya ramai yang menyertai TAJRM untuk mempertahankan negara serta nyawa dan hartabenda rakyat .

Oleh itu, jika wira-wira anti-Jepun disamakan dengan komunis, Zam sebenarnya telah memperbesar-besarkan sumbangan dan pengorbanan PKM secara mutlak, dan ini tidak adil kepada golongan-golongan lain daripada pelbagai kaum.

Jika wira-wira anti-Jepun semuanya terdiri daripada komunis, bagaimana pula dengan nasionalis Cina, Melayu dan India, serta pihak Bersekutu? Adakkah Zam menganggap selain daripada komunis, pihak-pihak yang lain semuanya hanya berpeluk tubuh atau bersubahat dengan Jepun sebagai pengkhianat bangsa dan negara?

Zam tentu tidak sangka sejarawan pujaannya, Prof Emeritus Dr Khoo Kay Kim juga tidak setuju dengan anggapannya bahawa wira-wira anti-Jepun adalah sama dengan komunis. Beliau berpendapat mereka terdiri daripada dua golongan besar, iaitu komunis dan nasionalis Cina, serta Melayu dan India.

Pengetahuan Zam mengenai sejarah anti-Jepun dikatakan Prof Dr Khoo sebagai amat terhad, dan ditegaskan bahawa pengetahuan sejarah hendaklah diasaskan kepada kajian dan bukan hanya disandarkan "pengetahuan umum".

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Tugu Wira Anti-Jepun Pelbagai Kaum Malaya di Taman Peringatan Nilai, Quek Jin Teck pula memberi penjelasan bahawa tugu dengan tulisan lima bahasa (Bahasa Melayu, Cina, Tamil, Inggeris dan Jepun) langsung tidak mengaitkan komunis, ia bertujuan untuk memperingati semua wira yang telah memerangi pencerobohan Jepun dari tahun 1941 hingga 1945. Zam malah dijemput untuk menyaksikan sendiri tugu terbabit.

Amat disesali dan juga amat tidak masuk akal ialah wira-wira pelbagai kaum (termasuk komunis) yang terkorban dalam perang anti-Jepun (1941-1945) sanggup dikaitkan dengan apa yang dinamakan "musuh nombor satu negara"!

Patriot tulen

Pendirian anti-komunis yang keterlaluan itu mendedahkan Zam sebagai manusia yang tidak tahu mengenang jasa mereka yang telah mengorbankan nyawa untuk mempertahankan rakyat dan negara, tanpa mengira mereka itu komunis atau bukan komunis.

Memperingati wira-wira anti-Jepun pelbagai kaum pasti juga tidak bercanggah dengan kepekaan memperingati setengah abad kemerdekaan negara kita. Wira-wira terbabit adalah patriot negara yang tulen, dan semangat berani berjuang dan berani berkorban mereka perlu disemarakkan untuk menjamin kemerdekaan negara kita.

Dan perlu ditegaskan juga bahawa sumbangan PKM dalam memperjuangkan kemerdekaan negara juga telah diakui kerajaan Barisan Nasional semasa perundingan damai kerajaan dengan PKM yang mengakibatkan penandatanganan Perjanjian Haadyai 1989.

Dengan lain perkataan, sudah lama kerajaan tidak menganggap PKM sebagai musuh lagi, anggota-anggota komunis telah meletakkan senjata dan dibenarkan hidup sebagai warga negara yang mempunyai hak dan tanggungjawab yang sama dengan warga negara yang lain.

Kepada mereka yang sudah terkorban, mereka juga berhak untuk dikuburkan dalam perkuburan milik persendirian dan diperingati oleh kawan-kawan seperjuangan mereka dahulu dan ahli-ahli keluarga mereka sekarang.

Ini patut dipandang sebagai amalan adat istiadat dan tamadun masyarakat manusia, di samping semangat Perjanjian Damai Haadyai, tidak semestinya dipandang dari segi lanjutan pertentangan ideologi yang padahal tidak wujud lagi.

Sikap anti-komunis melampau Zam yang salah zaman dan sasaran, nampaknya sukar hendak mendapat sambutan daripada mana-mana pihak seperti yang diharapkan, kerana maklumlah sudah lama komunis tidak layak lagi dianggap sebagai musuh, jangankan musuh nombor satu rakyat.

Oleh itu, Zam patut insafi kesalahannya walaupun tiada pihak yang percaya beliau akan meminta maaf secara ikhlas.