OSA tidak dapat menutup salahlaku kerajaan
Dalam kontroversi pembinaan/pembatalan Jambatan Bengkok antara Tun Dr Mahathir Mohamad dan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, bekas Perdana Menteri itu pernah menyiarkan surat-menyurat antara Kerajaan Singapura dengan Kerajaan Malaysia untuk membuktikan bahawa Kerajaan Singapura sudah bersetuju negara kita membinakan jambatan tersebut.
Dalam kontroversi pembinaan/pembatalan Jambatan Bengkok antara Tun Dr Mahathir Mohamad dan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, bekas Perdana Menteri itu pernah menyiarkan surat-menyurat antara Kerajaan Singapura dengan Kerajaan Malaysia untuk membuktikan bahawa Kerajaan Singapura sudah bersetuju negara kita membinakan jambatan tersebut.
Tindakan Dr Mahathir itu pernah dituduh sebagai melanggar Akta Rahsia Rasmi (OSA) kerana dokumen-dokumen terbabit telah diklasifikasikan di bawah OSA.
Dr Mahathir sebaliknya menyindir Abdullah agar jangan berselindung di sebalik OSA. Dr Mahathir yang menggubal undang-undang anti-ketelusan itu tentu amat mengetahui fungsi OSA dari segi menutup "rahsia" kerajaan daripada diketahui umum!
Untuk menafi dakwaan Dr Mahathir dan untuk mempertahankan rasional kerajaan membatalkan pembinaan Jambatan Bengkok itu, Abdullah terpaksa mengklasifikasikan semula beberapa dokumen kerajaan supaya dokumen-dokumen terbabit dapat disiarkan dalam media tanpa melanggar OSA.
Episod tersebut telah mendedahkan bagaimana OSA telah merampas hak rakyat untuk mengetahui dasar-dasar kerajaan yang mempengaruhi kepentingan mereka, dan seperti tuduhan Dr Mahathir, cuba menutup salahlaku kerajaan dalam menggadaikan kepentingan negara!
Sudahpun terbukti klasifikasi semula dan penyiaran dokumen-dokumen terbabit bukan saja tidak menjejaskan kepentingan negara, malah ia amat berguna bagi orang ramai membuat penilaian sendiri selepas mengetahui apa sebenarnya berlaku.
Jika surat-menyurat antara Kerajaan Singapura dengan Kerajaan Malaysia boleh diklasifikasikan semula, kenapa perjanjian antara kerajaan dengan syarikat konsesi tol Lingkaran Trans Kota Sdn Bhd (Litrak) tidak boleh diklasifikasikan semula jika benar ianya telah diklasifikasikan di bawah OSA?
Kandungan perjanjian
Bagaimanapun, rakyat sebagai pembayar tol, sewajarnya berhak untuk mengetahui isi kandungan perjanjian terbabit, terutama bila mereka menghadapi kenaikan bayaran tol yang tidak berpatutan dan mengesyaki sesuatu yang tidak kena telah berlaku.
Terlebih dahulu, memang tidak masuk akal, perjanjian konsesi tol, yang merupakan perjanjian urusniaga yang langsung tidak bersangkut paut dengan sebarang rahsia atau keselamatan negara, perlu diklasifikasikan di bawah OSA, melainkan kerajaan ingin menyorok sesuatu yang melibatkan salahlaku pihak terbabit seperti kritikan umum.
Justeru itu, pendedahan Tian Chua dan rakan-rakan seperjuangannya tentang isi kandungan perjanjian antara kerajaan dengan Litrak syarikat konsesi Leburaya Damansara-Puchong (LDP) yang berat sebelah dan merugikan kepentingan pengguna tol, adalah sesuatu yang wajar dan patut dialu-alukan.
Contohnya, di bawah jadual bayaran tol yang dipersetujui, kenderaan kelas 1 yang menggunakan LDP perlu membayar RM1.5 dari tahun 1998-2006, RM2.1 dari tahun 2007-2015 dan RM3.1 bagi tahun 2016 hingga akhir tempoh konsesi.
Menurut Tian lagi, meskipun syarikat konsesi tol terbabit telah mengaut keuntungan besar, ia masih dibenarkan meneruskan kutipan tol dengan kenaikan bayaran seperti yang dijadualkan, tanpa ruang untuk membuat penyesuaian untuk menjaga kepentingan pembayar tol.
Tian malah mendakwa kerajaan telah "berbohong" kerana berpura-pura berunding dengan syarikat konsesi terbabit untuk mengurangkan kadar tol, padahal kadarnya telahpun ditetapkan di bawah perjanjian bagi keseluruhan tempoh konsesi selama lebih 30 tahun sejak 1998.
Dakwaan Tian
Jika kerajaan bersikap telus dan bertanggungjawab, ia sewajarnya memberi jawapan kepada dakwaan Tian sama ada mempertahankan perjanjian terbabit jika ianya tidak merugikan kepentingan pengguna LDP atau mengaku kesilapan kerajaan jika dakwaan Tian memang berasas.
Amat dikesali kerajaan bukan saja tidak berani menghadapi dakwaan Tian dan rakan-rakannya, sebaliknya Tian, Khalid Ibrahim, Hatta Ramli dan Ronnie Liu telah disiasat oleh Bukit Aman di bawah OSA, dan pejabat Suara Keadilan dan rumah kediaman Tian Chua telah digeledah. Jelas sekali, ia merupakan suatu tindakan ugutan yang bertujuan untuk menutup isu yang berkepentingan awam.
Melalui ugutan penjara mandatori, tindakan kerajaan telah menguatkan hujah Gerakan Demokrasi dan Anti Korupsi (Gerak) bahawa OSA hanya digunakan untuk melindungi rasuah atau jenayah terancang, khususnya untuk memunggah harta kekayaan negara.
Di samping ugutan OSA, perhimpunan dan demonstrasi aman yang dianjurkan oleh Jawatankuasa Protes Kenaikan Harga Tol juga sering ditindas dengan penangkapan beramai-ramai dan keganasan polis.
Kesemua ini sudah barang tentu tidak dapat membantu menyelesaikan kemarahan orang awam akibat kenaikan bayaran tol menurut perjanjian yang berat sebelah.
Ia sebaliknya mungkin mencetuskan bantahan yang lebih meluas dan lebih sukar ditangani jika kerajaan masih fikir boleh berselidung di sebalik OSA dan percaya segala bantahan bisa disenyapkan melalui keganasan polis!

