Bahagian Kawalan Filem Unit Penapisan Filem Kementerian Dalam Negeri telah memberi tujuh sebab mengapa filem dokumentari Amir Mohammad yang berjudul 'Apa Khabar Orang Kampung' diharamkan.

Manakala dalam surat rayuannya, Amir telah memberi 14 dalil mengapa filem tersebut tidak layak diharamkan. Selepas membaca dan membandingkan sebab-sebab tersebut, ternyata sikap terbuka seorang seniman telah mengatasi sikap autokratik dan kaku Kementerian Dalam Negeri.

Tujuh sebab terbabit ialah:

1. Tema filem ini seolah-olah cuba menggambarkan perjuangan Barisan Bersatu Komunis di Semenanjung Tanah Melayu sebagai satu perjuangan yang murni dan patut mendapat penghargaan. Dengan itu mesej filem ini lebih pemihak kepada mereka khasnya anggota komunis berbangsa Melayu.

2. Filem ini juga menunjukkan bahawa kerajaan Malaysia tidak berlaku adil kerana tidak menghargai perjuangan mereka.

3. Filem ini hanya menunjukkan pendapat dan cerita pihak komunis saja tentang pendirian dan matlamat perjuangan mereka supaya masyarakat bersimpati dan menghargai sumbangan mereka.

4. Kritikan-kritikan terhadap kerajaan Malaysia jelas ditunjukkan dalam filem ini kerana menawarkan skim pemulihan yang tidak dapat diterima, berbanding dengan kerajaan Thailand yang sedia memberikan tanah, rumah dan kemudahan asas bagi membolehkan mereka meneruskan hidup setelah berhenti dari menjadi komunis. Di samping kritikan terhadap kerajaan, penghinaan sistem pemerintahan beraja dan orang Melayu juga ditunjukkan.

5. Filem ini juga cuba memperlekehkan Tunku Abdul Raham, bekas Perdana Menteri Malaysia sebagai orang yang menyebabkan 'Rundingan Baling' menemui kegagalan sedangkan fakta yang sebenarnya ialah pihak komunis tidak bersetuju untuk meletakkan senjata.

6. Bekas anggota komunis itu menyamakan perjuangan mereka dengan perjuangan pahlawan Melayu yang menentang pemerintahan British seperti Dato' Bahaman, Mat Kilau, Tok Gajah, Dato' Maharaja Lela, Tok Janggut dan lain-lain. Ini memesongkan fakta sejarah.

7. Filem ini tidak sesuai untuk dipertontonkan kepada masyarakat umum kerana fakta-fakta yang tidak tepat di samping menyentuh sensitiviti dan kenangan pahit bekas anggota keselamatan dan orang awam yang pernah menjadi mangsa kekejaman komunis.

Gerakan sayap kiri

Menurut ahli sejarah terkenal negara kita, Prof Dr Cheah Boon Kheng ( The Sun 28 Feb, 2007) pemimpin negara kita, termasuk Perdana Menteri pertama, Tunku Abdul Rahman, dua orang bekas Timbalan Perdana Menteri Tun Dr Ismail Abdul Rahman dan Tun Ghafar Baba, secara terbuka dan rasmi mengaku sumbangan komunis dan gerakan kiri dalam memperjuangkan kemerdekaan negara kita.

Kata Prof Cheah, Tunku dalam memoir beliau Lest He Forget 1983 telah menulis: 'Seperti Indonesia yang melancarkan perang berdarah, komunis Malaya juga berbuat demikian demi kemerdekaan'.

Ismail dalam himpunan ucapannya Amanat Tun Dr Ismail, telah mengatakan perjuangan untuk kemerdekaan Malaysia bukan saja dilakukan oleh pemimpin Umno, MCA dan MIC, tetapi juga dilakukan oleh mereka dalam gerakan sayap kiri.

Justeru, penghargaan terhadap gerakan kiri dan komunis atas sumbangan mereka dalam perang anti-fasis Jepun dan anti-penjajah British demi kemerdekaan negara yang tulen, adalah sesuatu yang adil dan saksama.

Dalam konteks ini, jika mereka tidak layak menyamakan perjuangan mereka dengan perjuangan pehlawan Melayu yang menentang pemerintahan British, seperti Dato' Bahaman, Mat Kilau, Tok Gajah, Dato' Maharaja Lela, Tok Janggut dan lain-lainnya, maka siapa pula yang layak?

Tentang fakta sebenar sejarah, kegagalan Rundingan Baling bukan kerana pihak komunis tidak bersetuju untuk meletakkan senjata. Mereka setuju tetapi bukan atas syarat 'serah diri'!

Di samping itu, skim pemulihan yang ditawarkan kerajaan Malaysia tidak dapat diterima berbanding dengan yang ditawarkan oleh kerajaan Thailand juga suatu hakikat yang tidak dapat dinafikan.

Dalam 14 dalil yang dikemukakannya, antara lain, Amir telah menekankan bahawa sebab-sebab pengharaman terbabit langsung tidak menyentuh aspek keselamatan negara, sebaliknya hanya tertumpu kepada interpretasi sejarah yang bercanggah dengan versi rasmi.

Menurut beliau, dalam 10 tahun kebelakangan ini, lebih ramai rakyat Malaysia dimangsai keganasan dan kerakusan Mat Rempit berbanding komunis. Namun sudah tiga filem mengenai Mat Rempit dibenarkan untuk tayangan luas di seluruh negara.

Amir hanya mempertikaikan pengharaman, beliau berpendapat memadailah dengan amaran atau potong. Malah, malah meminta slot 'tayangan terhad' jika ia dianggap tidak sesuai untuk 'masyarakat umum', seperti contoh The Passion of the Christ.

Beliau juga menyaran agar dokumentari tersebut diberi klasifikasi 18PA untuk unsur politiknya, kerana dipercayai mereka yang cukup umur 18 tahun, telah mengetahui versi sejarah yang rasmi melalu sistem persekolahan kerajaan.

Tayangan perdana

Filem dokumentari ini, menurut Amir, juga selamat ditonton oleh mereka yang telah menonton rancangan yang mendiayahkan anti-komunis seperti 'Jungle Green Khaki Brown' , dan sesuai juga ditonton oleh mereka yang telah membuat ikrar 'akujanji' kali ini berjanji untuk tidak sekali-kali mengamalkan fahaman komunisme, biarpun dalam mimpi!

Jika masih tidak mencukupi, dicadangkan pula tayangan dokumentari terbabit didahului dengan amaran berikut: "Amaran oleh Kerajaan Malaysia: Fahaman Komunisme Dilarang dan Anda Ditegah daripada Meniru Ideologi Merbahaya ini!"

Dokumentari ini mendapat tayangan perdana di Festival Filem Antarabangsa Berlin, dan menurut Amir, tidak ada penonton yang memprotes, pengsan atau mengamuk.

Katanya, filem ini juga besar kemungkinan lulus untuk tayangan di Singapura seperti Lelaki Komunis Terakhir yang juga telah diharamkan di negara kita tahun lalu.

Tidak lupa juga diingatkan Amir bahawa pengharaman filem ini tampaknya bercanggah dengan beberapa prinsip yang terkandung dalam Wawasan 2020 yang menjadi pegangan kita, seperti 'berjiwa bebas', 'masyarakat demokratik yang matang', 'progresif' dan 'masyarakat liberal dan bertolak ansur'.

Kata pepatah Melayu, berani kerana benar. Jika versi rasmi kerajaan yang telah didiayah lebih daripada setengah abad melalui seluruh media aliran perdana adalah benar dan telahpun diterima oleh rakyat secara umum, apa perlu takut sangat terhadap beberapa dialog bekas komunis yang dianggap sebagai 'terpesung daripada fakta-fakta sejarah'?

Bekas komunis berbangsa Melayu yang hidup berkampung di Thailand telah lama meletakkan senjata dan berdamai dengan kerajaan Malaysia. Mereka sudah tidak lagi merupakan ancaman kepada keselamatan negara kita.

Selepas berpuluh-puluh tahun versi rasmi anti-komunis kerajaan didiayahkan, apa salahnya pihak komunis juga diberi peluang untuk mengemukakan versinya, dan biar rakyat yang membuat kesimpulan sendiri. Bukankah cara ini lebih bersemangat demokrasi dan 'fairplay'?