Setiap kali menjelang pilihanraya umum negara, gerak laku DJZ atau Dong Jiao Zong ringkasan untuk Persekutuan Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia dan Gabungan Persatuan Guru Sekolah Cina Malaysia akan diperhatikan secara dekat, kerana tidak dapat dinafikan, sebagai benteng pelajaran bahasa ibunda Cina, mereka masih berpengaruh dalam masyarakat Cina.

Umpamanya, tuntutan Suqiu yang dikemukakan oleh DJZ bersama lebih 2,000 badan bukan kerajaan Cina yang lain menjelang pilihanraya umum ke-10 pada 1999, bukan saja mendapat sokongan penuh Barisan Alternatif (BA), tetapi juga mendapat sokongan pada prinsipnya oleh Barisan Nasional (BN).

Dua tahun selepas BN mencapai kemenangan, tercetus pula Peristiwa Suqiu di mana pemimpin DJZ dilabel sebagai komunis dan Al-Maunah oleh Perdana Menteri ketika itu, Dr Mahathir Mohamad dan kononnya BN telah diugut untuk mempersetujui tuntutan Suqiu, dan digertak pemimpin-pemimpin Suqiu akan ditahan di bawah ISA.

Gertakan tersebut disusuli pula dengan tuntutan keras Pemuda Umno agar Suqiu mengetepikan beberapa tuntutan yang dianggap mencabar hak keistimewaan orang Melayu, atau menghadapi akibat buruk, termasuk ancaman membakar Dewan Perhimpunan Cina Selangor dan huru-hara perkauman. DJZ terpaksa berganjak untuk mengelakkan akibat buruk seperti gertakan Dr Mahathir dan Pemuda Umno itu!

Menjelang pilihanraya umum ke-11, mereka terpaksa mengumumkan pendirian berkecuali agar tidak terus dituduh sebagai pro-pembangkang serta dipinggirkan dan ditindas. Mereka malah menaruh sepenuh harapan kepada Perdana Menteri Abdullah Ahmad Badawi yang dianggap lebih liberal berbanding dengan Dr Mahathir.

Namun, permintaan DJZ untuk berjumpa dengan Abdullah sejak beliau menyandang jawatan Perdana Menteri, bagi mendapat bantuan untuk menyelesaikan beberapa masalah mendesak membabitkan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC), khasnya dasar pengajaran/pembelajaran sains dan matematik dalam bahasa Inggeris, Sekolah Wawasan dan pembangunan SJKC baru mengikut keperluan enrolmen dan lain-lainnya, masih belum tercapai lagi hingga sekarang.

Sukar jumpa PM

Abdullah bercakap tentang mesra rakyat dan berkhidmat kepada rakyat tetapi sikapnya terhadap DJZ dan pelajaran ibunda Cina padahal berprasangka. Bertahun-tahun DJZ meminta dan menunggu untuk menemui beliau, tetapi tidak tercapai. Rasanya menghadap maharaja di zaman feudal pun tidak sesukar hendak bertemu Perdana Menteri kita sekarang inikah namanya sistem demokrasi!

Dalam kekecewaan dan bersikap kompromi, bekas Pengerusi Dong Zong, Quek Suan Hiang dalam temubualnya dengan akhbar Sin Chew Daily pada 26 Mac 2007, telah bercadang agar DJZ mengambil inisiatif untuk berdialog dengan Umno dan orang Melayu untuk melenyapkan jurang "salahfaham", dan meminta MCA agar Perdana Menteri sudi berjumpa dengan DJZ.

Tidakkah usaha berulangkali DJZ untuk berjumpa dengan Perdana Menteri itu merupakan inisiatif badan tersebut untuk berdialog dengan Umno dan orang Melayu? Mana ada jurang salahfaham selain daripada prasangka Umno terhadap DJZ dan pelajaran bahasa ibunda Cina?

Cadangan Quek itu mendapat liputan besar-besaran media arus perdana dan disambut baik oleh MCA dan badan-badan bukan kerajaan Cina yang pro-kerajaan, dan Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Hussein juga bersedia untuk berjumpa dengan DJZ, dengan syarat mereka mesti bersikap jujur dan tidak membesar-besarkan perkara ini dalam media.

Suasana yang menguntungkan BN ini telah dieksplotasi sepenuhnya oleh Menteri Pelajaran itu dalam temubualnya dengan Sin Chew Daily pada 1 Mac 2007 di mana Hishammuddin telah dengan seboleh-bolehnya cuba berlagak sebagai seorang pemimpin liberal yang ingin berlaku adil kepada SJKC, malah matlamat akhir untuk menghapuskan SJKC dan SJKT juga dianggap sebagai telah ketinggalan zaman, dan jika dasar itu dilaksanakan maka negara kita akan menjadi tidak stabil.

Pandangan Hishammuddin

Dalam wawancara itu yang disiarkan dalam empat halaman penuh jika tidak silap, suatu layanan istimewa yang jarang sekali diberi kepada mana-mana pemimpin negara kita antara lain beliau telah memberi pandangan bahawa:

Ditegaskan beliau tidak promosi dasar pelajaran satu aliran, dan tidak khuatir dan menganggap kewujudan seribu lebih SJKC akan mengganggu integrasi nasional.

Isu pelajaran Cina bukan merupakan zero-sum game, dan bahasa Cina juga bukan bahasa untuk orang Cina saja, ia telah merupakan lingua franca antarabangsa.

Rancangan Sekolah Wawasan yang tidak diterima masyarakat Cina sudah dihentikan dan digantikan dengan Program Perpaduan dan Integrasi Pelajar.

Jika perlu, pembangunan SJKC yang baru juga tidak menjadi masalah dan sensitif, namun prioriti masih diberikan kepada pemindahan dan pengembangan SJKC yang sedia ada.

Masyarakat Cina tidak perlu takut kepada apa yang "mungkin" berlaku, padahal kerajaan tidak pernah menutup mana-mana SJKC dan tidak akan berbuat demikian pada masa yang akan datang. Kejujuran kerajaan akan terbukti melalui perjalanan masa.

Beliau memahami kebanggaan dan tekad masyarakat Cina dalam mempertahankan kewujudan dan perkembangan SJKC, dan diharapkan pencapaian SJKC sama unggul dengan sekolah rendah di negeri China.

DJZ bukan satu-satunya badan yang memperjuangkan pelajaran Cina di negara kita, tiada mana-mana pihak yang boleh memonopolikan isu pelajaran.

Bekas Pengerusi Dong Zong, Quek Suan Hiang dipuji sebagai seorang pejuang pelajaran Cina yang bijak, sederhana, jujur dan rasional, dan didedahkan Quek pernah berjumpa dengan beliau semasa menangani Peristiwa Suqiu (yang mengakibatkan beberapa tuntutan Suqiu diketepikan atas tekanan Pemuda Umno) .

Beliau mempertahankan 'peristiwa hunus keris' yang mendatangkan kritikan negatif dan memberi jaminan bahawa sebagai seorang pemimpin BN, beliau akan membela kepentingan semua kau,. contohnya, jika rumah kawan Cinanya akan diletupkan oleh pelampau Islam, beliau dengan tidak teragak-agak akan melawan pelampau Islam terbabit. Beliau juga mengatakan kesudian untuk mengangkat senjata seperti kapak atau pedang Kungfu selain daripada keris.

Sanggupkah imej pelampau seorang pemimpin Umno yang menghunus keris untuk mempertahankan ketuanan Melayu dan melaksanakan dasar diskriminasi terhadap SJKC dan SJKT, akan berubah dengan satu wawancara yang cuba menonjolkan imej liberal?

Bagaimana pandai sekali Hishammuddin bersandiwara, kejujurannya tetap diragui. Ramai yang meminta beliau mengulangi pandangan-pandangan beliau itu dalam media Melayu dan dikemukakan dalam Parlimen dalam bentuk pindaan kepada Akta Pendidikan 1996 serta dimasukkan dalam Pelan Induk Pembangunan Pelajaran kita supaya dapat dilaksanakan dengan segera.