Pengiktirafan ijazah Universiti Peking dan Universiti Tsinghua
Sikap teragak-agak kerajaan kita dalam mengiktiraf ijazah Jurusan Bahasa dan Sastera Tionghua dari Universiti Peking dan Universiti Tsinghua dua Universiti yang tersohor bagi negara China, umpama Universiti Oxford dan Universiti Cambrigde bagi UK telah menimbulkan tandatanya tentang kebijakan kerajaan kita dalam menangani perkara ini.
Malah, beberapa orang penulis dalam media tempatan secara sinis mengatakan ijazah yang mendapat pengiktirafan seluruh dunia itu, tidak memerlukan pengiktirafan negara kita, kerana nilainya tidak akan terjejas sedikitpun jika negara kita tidak mengiktirafnya, kerana dalam bidang terbabit, berbanding dengan China, negara kita seperti melukut di tepi gantang.
Sikap teragak-agak kerajaan kita ini mencerminkan dasar diskriminasi bahasa kerajaan kita dan telah mengakibatkan sikap berat sebelah dalam pengiktirafan ijazah-ijazah dari universiti dari China, juga Taiwan dan Hongkong selama ini.
Sikap teragak-agak kerajaan kita dalam mengiktiraf ijazah Jurusan Bahasa dan Sastera Tionghua dari Universiti Peking dan Universiti Tsinghua dua Universiti yang tersohor bagi negara China, umpama Universiti Oxford dan Universiti Cambrigde bagi UK telah menimbulkan tandatanya tentang kebijakan kerajaan kita dalam menangani perkara ini.
Malah, beberapa orang penulis dalam media tempatan secara sinis mengatakan ijazah yang mendapat pengiktirafan seluruh dunia itu, tidak memerlukan pengiktirafan negara kita, kerana nilainya tidak akan terjejas sedikitpun jika negara kita tidak mengiktirafnya, kerana dalam bidang terbabit, berbanding dengan China, negara kita seperti melukut di tepi gantang.
Sikap teragak-agak kerajaan kita ini mencerminkan dasar diskriminasi bahasa kerajaan kita dan telah mengakibatkan sikap berat sebelah dalam pengiktirafan ijazah-ijazah dari universiti dari China, juga Taiwan dan Hongkong selama ini.
Pada 9 Mac 2007, akhbar Oriental Daily telah melaporkan Encik Cao Kok Hing, Ketua Rombongan Perwakilan bagi Biro Kerjasama dan Pertukaran Pendidikan Negara China amat terperanjat dan tidak memahami kenapa kerajaan Malaysia masih teragak-agak untuk mengiktiraf ijazah Jurusan Bahasa (dan Sastera) Cina Universiti Peking dan Universiti Tsinghua.
Tanya beliau: "Jika Jurusan Bahasa (dan Sastera) Cina dari negeri asalnya juga tidak diiktiraf, maka ijazah dari negeri manakah yang berkelayakan untuk diiktiraf?"
Tambah Cao lagi: "Saya tidak pernah dengar ada mana-mana negeri dalam dunia yang keberatan untuk mengiktiraf ijazah dari Universiti Peking dan Universiti Tsinghua, khasnya Jurusan Bahasa (dan Sastera) Cinanya."
Belajar di luar negeri
Hingga sekarang, katanya, China telah menandatangani Persetujuan Saling Pengiktirafan Ijazah Pendidikan dengan 28 negara, termasuk negara-negara besar dari Eropah seperti Perancis, Jerman dan United Kingdom (UK), dan akan menandatangani persetujuan yang sama dengan negara-negara Asia dalam masa terdekat, dan draf persetujuan terbabit telahpun diserahkan kepada pihak Malaysia.
Menurut beliau, perkembangan institusi pengajian tinggi di China amat pesat daripada jumlah enrolmen 1.08 juta pelajar pada tahun 1998, meningkat sehingga 5.40 juta pada tahun 2006 dan permintaan tempat kosong mencecah angka 10 juta. Oleh itu, ramai daripada mereka yang mampu, akan melanjutkan pengajian ke luar negeri.
Pada tahun lalu, seramai 160,000 pelajar dari China telah melanjutkan pengajian di luar negeri, termasuk 12,000 yang datang ke Malaysia. Dan mengikut statistik negara kita, 1,700 pelajar kita telah melanjutkan pengajian ke China pada tahun yang sama.
Jika menjadikan Malaysia sebagai pusat pengajian tinggi di rantau ini merupakan dasar tegas negara kita, dan Persetujuan Saling Pengiktirafan Ijazah Pendidikan Malaysia-China sedang diproseskan, maka sikap teragak-agak dalam mengiktiraf ijazah Jurusan Bahasa (dan Sastera) Cina dari Universiti Peking dan Universiti Tsinghua, mungkin memberi persepsi atau gambaran negatif seolah-olah negara kita tidak berminat untuk menandatangani persetujuan terbabit.
Dasar pengiktirafan ijazah yang bukan berasaskan penilaian pencapaian akademi ijazah terbabit, tetapi berasaskan dasar diskriminasi bahasa, juga berlaku terhadap Sijil Peperiksaan Bersama Sekolah Menengah Cina Swasta yang diselenggarakan oleh Dong Jiao Zong di negara kita.
Sijil tersebut telahpun diiktiraf oleh ratusan universiti di China, Taiwan, Singapura, Jepun, India, Indonesia dan universiti di Amerika Syarikat, Kanada, Australia, British, Perancis, Jerman, Rusia, sebagai kelayakan kemasukan ke universiti mereka, dan beribu-ribu pemegang sijil tersebut telahpun lulus dalam pengajian mereka dan dianugerahkan ijazah sarjana muda, sarjana dan PhD.
Namun hingga sekarang, tiada mana-mana Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) di negara kita yang bersedia untuk menilai dan mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersama Sekolah Menengah Cina Swasta yang telah teruji pencapaian akademinya serta kecemerlangan prestasi pemegang sijil terbabit yang melanjutkan pengajian ke universisti di seluruh dunia.
Dasar-dasar diskriminasi
Di samping itu, banyak lagi dasar-dasar bahasa yang bersifat diskriminasi masih terus diamalkan dalam IPTA negara kita, antara lain:
Tanpa kelulusan subjek Bahasa Melayu dalam SPM, pemegang ijazah PhD sekalipun, tidak dibenarkan berkhidmat di IPTA negeri kita.
Persatuan Bahasa Cina tidak dibenarkan berdaftar di setengah IPTA kita dengan alasan kononnya ianya merupakan badan bersifat satu kaum, sungguhpun bahasa Cina sekarang telah merupakan lingua franca antarabangsa seperti yang diakui Menteri Pelajaran Hishammuddin baru-baru ini.
Tulisan Bahasa Cina, Bahasa Tamil dan bahasa kaum minoriti yang lain, tidak dibenarkan dalam kampus IPTA, hospital, Parlimen, dan institusi-institusi kerajaan yang lain yang berfungsi "rasmi" , kerana selain daripada bahasa Melayu, bahasa-bahasa lain bukan bahasa rasmi negara kita.
Dalam Jurusan Bahasa Cina di Universiti Malaya umpamanya, tesis bagi ijazah sarjana dan PhD tidak dibenarkan ditulis dalam bahasa Cina. Contohnya, seorang calon PhD yang membuat kajian tentang pemikiran konfusianisme melalui bahasa Cina (moden dan klasik), hanya dibenarkan menulis tesisnya dalam bahasa Melayu atau bahasa Inggeris, tetapi dilarang menulis dalam bahasa Cina! Kepelikannya umpama seseorang yang membuat kajian Melayu tidak dibenarkan menulis tesisnya dalam bahasa Melayu!
Kepelikan dan ketidak-munasabahan kesemua perkara tersebut berpunca daripada dasar bahasa kita yang hanya mengakui bahasa Melayu/kebangsaan sebagai bahasa rasmi yang tunggal.
Kita memang memerlukan bahasa kebangsaan sebagai lingua fanca antara kaum, namun ini tidak bermakna kaum-kaum minoriti yang lain, tidak berhak untuk menggunakan bahasa masing-masing secara bebas mengikut keperluan, secara rasmi atau tidak rasmi, di samping penggunaan bahasa kebangsaan.

