Diktator Lee, baliklah Singapura!
Lee Kuan Yew, seorang politikus veteran yang banyak menerima pelbagai anugerah dan ijazah dari badan-badan akademik di seluruh dunia. Pada 7 Disember lalu, beliau sekali lagi dianugerahkan ijazah doktor kehormat undang-undang oleh Universiti China Hong Kong.
Lee Kuan Yew, seorang politikus veteran yang banyak menerima pelbagai anugerah dan ijazah dari badan-badan akademik di seluruh dunia. Pada 7 Disember lalu, beliau sekali lagi dianugerahkan ijazah doktor kehormat undang-undang oleh Universiti China Hong Kong.
Namun, kali ini beliau telah menghadapi rintangan dan protes. Lebih 1,000 orang professor, pensyarah, mahasiswa dan graduan universiti tersebut menandatangani suatu deklarasi bersama untuk membantah penganugerahan tersebut.
Apabila upacara penganugerahan tersebut berlangsung di Universiti China Hong Kong, puluhan mahasiswa dan aktivis telah mengadakan demonstrasi. Gambar Lee telah dibakar dan slogan-slogan anti-Lee seperti "diktator balik Singapura!" juga dilaung-laungkan..
Dalam deklarasi itu, sebab-sebab Lee tidak layak dianugerahkan ijazah berkenaan ialah:
(a) Beliau seorang diktator terkenal di Singapura yang tidak pernah dengan sepenuh hati menerima nilai-nilai kebebasan dan demokrasi;
(b) Politik paternalisme yang bersifat authoritarian yang diamalkannya telah merampas hak demokrasi rakyat, sungguhpun pilihanraya diadakan dari semasa ke semasa, namun Parti Tindakan Rakyat (PAP) senantiasa memonopoli kuasa politik republik itu;
(c) Meskipun ada rangka pemerintahan undang-undang, tetapi selalu disalahgunakan oleh pihak berkuasa untuk menindas suara yang berbeza;
(d) Rakyat mungkin telah menikmati pembangunan ekonomi, namun kehidupan harian mereka dimanupulasi oleh kuasa kerajaan yang terdapat di mana-mana;
(e) Universi Nanyang yang ditubuhkan untuk memperjuangkan perkembangan pendidikan Cina telah ditutup oleh kerajaan pimpinan Lee secara paksa, sementara sekolah-sekolah rendah dan menengah Cina juga makin merosot sehingga tidak wujud lagi di pulau itu;
(f) Khuatir penghormatan akademik Universiti China Hong Kong dijadikan alat politik murahan untuk menandakan permulaan politik authoritarian di Hong Kong (SAR);
(g) Mengingati masyarakat supaya menghargai nilai-nilai hak asasi manusia, kebebasan dan ketelusan, sekalik-kali jangan mencontohi Lee.
Rontaan terakhir
Tidak dapat dinafikan bahawa fakta-fakta tersebut tidak diteliti terlebih dahulu oleh universiti itu kerana apabila Lee diperkenalkan, yang dititik berat ialah pencapaian dan sumbangan beliau dalam bidang pembangunan ekonomi di Singapura dan rantau ini.
Misalnya, antara lain: "Sumbangan cemerlang beliau tidak terbatas dalam mencipta sebuah negara yang kuat dan merdeka di Singapura, tetapi juga menjadikan rantau ini lebih aman, stabil dan makmur."
Namun, pengulas-pengulas di Hong Kong kebanyakannya membidas Lee dari aspek-aspek yang lain, terutama sekali konsep politik dan prinsip moral beliau yang memang boleh dipertikaikan.
Umpamanya, Wen Si-hui menganggap sinis apabila Universiti China itu menilai seseorang hanya berasaskan kepada pencapaiannya semata-mata.
Komen Wen: "Lee pro-komunis pada satu masa dan anti-komunis pada masa yang lain; menindas pendidikan Cina pada satu masa dan pada masa yang lain mengagung-agungkan pula apa yang dinamakan 'nilai-nilai Asia' dan menentang nilai-nilai Barat; dan beliau mengamalkan pemerintahan demokrasi pada lahirnya, padahal menggunakan kekuasaan politik untuk meraih kekayaan bagi keluarganya."
Kong Hou-feng dari majalah Ming Pao pula mengibaratkan kerajaan Singapura sebagai "rontaan terakhir kerajaan autoritarian menjelang tumbangnya".
Pengerusi Persatuan Alumni Universi China Hong Kong bagi tahun 1983, Luo Yong-sheng, sangat menyesali lenyapnya semangat humanisme Universiti tersebut. Ia membantah: "sia-sia saja kerana ingin berdampingan dengan politikus antarabangsa yang kononnya 'terkenal', maka tradisi universiti sejak ditubuhkan telah dimusnahkan".
Seorang pengulas yang berasal dari Malaysia, Tang Nam-fat berpendapat penganugerahan ijazah itu sangat memalukan dan akan ditertawakan oleh dunia buat selama-lamanya kerana Universiti China Hong Kong merupakan sebuah institusi akademik yang terutamanya ditubuhkan demi membela keutuhan pendidikan ibunda pada zaman pemerintahan Inggeris. Walhal Lee seorang penindas pendidikan Cina di Singapura .
Lee yang berpendidikan Inggeris itu sebenarnya sangat mengagung-agungkan bahasa penjajah itu sehingga dijadikan bahasa pengantar utama dalam sistem pendidikan Singapura. Bahasa Melayu dijadikan bahasa kebangsaan hanya suatu muslihat politik yang tidak ikhlas.
Mengejek pelajar Hong Kong
Bahasa, pendidikan dan kebudayaan kaum-kaum Cina, Melayu dan India di Singapura padahal menerima nasib yang serupa: sama-sama ditindas.
Menghadapi protes seperti itu, Lee sangat tersinggung. Beliau menuduh siswa-siswa yang berdemonstrasi itu sebagai pengidap "sindrom Tian-an-men." Siswa berkenaan diperli dan dicabar: jika benar-benar berani, mereka patut pergi ke Peking dan berdemonstrasi di sana!
Saya rasa siswa-siswa Universiti China itu yang berani bertindak untuk membela kebenaran harus dipuji jika dibandingkan dengan siswa-siswa Singapura yang sentiasa membisu saja akibat tekanan dan tindasan rejim autoritarian Lee.
Dari tahun 60-an lagi, rejim Lee Kuan Yew sudah tidak dapat bertolak ansur dengan sebarang demonstrasi walau secara aman. Penulis masih ingat tatkala bangunan perpustakaan baru Universiti Nanyang dirasmikan oleh beliau, waktu itu sebagai Perdana Menteri, kami siswa-siswa telah berdemonstrasi di depannya untuk membantah percubaan kerajaan PAP untuk menjadikan universiti itu menggunakan bahasa pengantar Inggeris serta merampas kebebasan akademi dan autonomi universiti.
Perjuangan siswa-siswa universiti itu mengakibatkan ratusan pelajar dipecat, ditahan, atau diusir dari Singapura. Justeru pemerintahan kuku besi rejim Lee selama ini yang mematahkan gerakan pelajar di Singapura. Jika tidak, masakan beliau berani hendak mengejek pelajar di Hong Kong?
Sungguhpun penganugerahan ijazah telah menjadi suatu hakikat, namun sebagai seorang daripada mangsa-mangsa rejim Lee, saya menulis rencana ini untuk menandakan sokongan saya terhadap tindakan siswa-siswa Universiti China Hong Kong, dan mengucapkan syabas kepada mereka!
LEE BAN CHEN merupakan penulis yang terkenal di kalangan pembaca Cina, pernah ditahan di bawah akta ISA dan kini merupakan aktivis sosial


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.