Hubungan etnik negara kita mudah sekali ditegangkan apabila kaum bukan Melayu/Islam digertak dengan Peristiwa 13 Mei. Dulu petualang rasis Umno memang suka mempermainkan kad 13 Mei untuk menakut-nakutkan kaum bukan-Melayu/Islam. sekarang tak sangka PAS pula yang menggunakan taktik yang paling negatif dan tidak bertanggungjawab itu!

Gertakan terbaru membabitkan resolusi Gerakan Wilayah Persekutuan yang menggesa supaya Mufti Perak Datuk Seri Harussaini Zakaria dipecat kerana didakwa terlibat dalam penyebaran SMS yang mengaitkan Datuk Azhar Mansor dengan dakwaan beliau telah memurtadkan sebilangan orang Islam di Perak pada suatu ketika dahulu.

Perkembangan terbaru ini lebih membimbangkan daripada cadangan Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sebelum ini, supaya tongkat yang dipegang oleh pegawai polis yang menyampaikan khutbah Jumaat di atas mimbar, digantikan dengan senjatapi seperti M16 simbolik militan yang tidak sesuai dengan suasana aman negara kita dan mudah sekali dieksploitasi musuh untuk menjejaskan imej PAS.

Menurut laporan Harakahdaily , gesaan Gerakan tersebut dilihat sebagai isu yang amat sensitif dan mencabar kewibawaan umat Islam oleh beberapa tokoh Islam.

Antara lain, Pengerusi Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan, Dewan Pemuda PAS Pusat, Ustaz Ridhuan Mohd Nor telah memberi amaran tegas kepada mana-mana pemimpin negara dan badan bukan kerajaan (NGO) supaya tidak bermain api kerana bimbang akan berulang peristiwa 13 Mei 1969.

Pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Profesor Dr Abdul Aziz Bari pula membidas gesaan Gerakan itu sebagai jahil tentang kedudukan Islam dalam perlembagaan, dan menganggap gesaan terbabit boleh diambil tindakan di bawah Akta Hasutan 1948.

Katanya, kuasa pelantikan mufti itu adalah prerogatif mutlak Sultan sejak sebelum merdeka lagi dan kuasa terbabit dikekalkan oleh perlembagaan. Bahkan Menteri Besar dan Perdana Menteri juga tidak mempunyai apa-apa kuasa dalam hal ini.

Prerogatif Sultan

"Gerakan telah melampaui batas yang sepatutnya, pihak Peguam Negara seharusnya mengambil tindakan supaya ia akan memberi pengajaran kepada yang lain pada masa yang akan datang" tambah Dr Abdul Aziz.

Rasanya, Gerakan mungkin tidak begitu jahil sehingga tidak mengetahui kuasa pelantikan mufti itu adalah prerogatif Sultan, dan mustahil juga ada sesiapa yang berani 'campurtangan' atau 'menghina Sultan' seperti dakwaan setengah pihak.

Masalah yang lebih relevan yang memerlukan perbincangan secara lebih mendalam ialah andainya seseorang mufti yang dilantik Sultan itu tidak bersikap adil, malah pertuturan dan tingkahlakunya telah mengeruhkan suasana hubungan baik antara agama,, maka sebagai rakyat Malaysia, adakah parti politik atau badan-badan bukan kerajaan yang lain, dibenarkan membuat permohonan kepada Sultan atau menggesa agar mufti terbabit dipecat?

Seorang mufti yang anti-agama bukan-Islam umpamanya, bukan saja akan menjejaskan hubungan baik dan keharmonian antara agama, tetapi ia juga akan menjejaskan imej baik agama Islam sendiri, malah boleh menimbulkan masalah keamanan dan keselamatan negara.

Di samping itu, membuat permohonan atau gesaan juga patut diakur sebagai kebebasan bersuara rakyat yang dijamin oleh perlembagaan kita tanpa mengira kaum dan agama, asalkan kebebasan itu tidak disalahgunakan dengan niat yang jahat.

PAS dan tokoh Islam yang lainnya memang berhak untuk mempertahankan Mufti Perak, tetapi bukan melalui gertakan akan tercetus Peristiwa 13 Mei atau diambil tindakan di bawah Akta Hasutan 1948, atau menuduh orang lain 'campurtangan' dalam urusan Islam yang merupakan prerogatif mutlak Sultan dan sebagainya.

Berikut diturunkan beberapa penulis siber yang menyokong agar Mufti Perak terbabit dipecat. Pendapat mereka, yang ada antaranya mungkin beragama Islam, juga perlu diteliti dan dipertimbangkan oleh tokoh-tokoh PAS.

Reaksi penulis siber

Din, antara lain menulis: "Betul juga kata Gerakan, Mufti Perak seharusnya kena ditendang kerana campurtangan dalam agama kristian, dengan fitnah bahawa ramai orang Islam masuk kristian, padahal itu tidak benar juga."

Lebog menulis: "Mufti Perak inilah salah satu mufti yang menjatuhkan martabat Islam di mata orang-orang bukan Islam. Ingat lagi isu yang dibangkitkan beliau mengenai haramnya orang-orang Islam meraikan dan menyertai perayaan kaum-kaum lain seperti Tahun Baru China, Deepavali dan Krismas? Orang Islam janganlah terlampau sensitif kerana ianya mencerminkan kerapuhan iman."

BROSNAN menulis: "No cleric is above the law, let him be from any religion. Sesiapa yang buat fitnah patut ditegur, mufti ke, priest ke, sami ke. Instigate followers of your faith to interrupt other peaceful religious gathering in their house of worship by spreading rumours is a very irresponsible act. He cannot be censored?

Kekecewaan dan kemarahan orang bukan Islam mungkin boleh diperlihatkan dari dua orang penulis siber berikut.

Glock17 menulis: "Bila DEB dipersoalkan Umno gertak dan ugut dan nak amok. Bila isu mufti dipersoalkan PAS gertak dan ugut dan nak bersyahid. PAS/Umno between the devil and deep blue sea"

BobSam menulis: "So now PAS is warning us about May 13th. PAS has the audacity to think that they can intimidate us before they are in power. They want us to vote for them. You got to be kidding Call for a Gerakan, PPP, Keadilan, PBS, even DAP merger for a new UNITED opposition front."

Jika strategis-strategis PAS masih tidak mengindahkan rumusan dan bantahan seperti tersebut di atas, maka sukarlah mereka mengharapkan sokongan pengundi bukan Islam.