Dalam kenyataan akhbar bersama Pemuda Umno dan jawatankuasa Suqiu disiarkan 5 Januari lalu, dan antara lain, gabungan persatuan Cina itu telah "bersetuju bahawa tujuh perkara (yang dituntut oleh Pemuda) diketepikan memandangkan ketegangan etnik yang wujud dan hak, kedudukan dan keistimewaan orang Melayu dan Bumiputera mana-mana negeri Sabah dan Sarawak seperti yang termaktub dalam peruntukan Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan dan peruntukan lain yang berkaitan, tidak dipersoalkan."

Perkembangan terbaru ini dialu-alukan oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sebagai "satu kemenangan bagi rakyat Malaysia."

Padahal ia lebih merupakan satu kemenangan bagi politik perkauman berbahaya yang dipermainkan oleh Umno, dengan restu Perdana Menteri Dr. Mahathir Mohamad sendiri, melalui budak-budak suruhannya seperti Pemuda Umno dan Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), diselaraskan secara rapi oleh media arus perdana.

Ia memang berunsur 'sandiwara:' Satu kenyataan bersama kononnya telah berjaya mengelakkan suatu krisis antara kaum!

Jika dikaitkan dengan penerimaan keseluruhan "pada prinsipnya " dokumen Suqiu itu oleh kabinet sebelum pilihanraya 1999, tanpa perlu menyebut penerimaan lebih ikhlas oleh Barisan Alternatif dan badan-badan bukan kerajaan (NGO), dan selama setahun tiada pihak yang menyoalkan sensitiviti dan legitimasinya, perkembangan terbaru ini memang 'tidak masuk akal'dan 'ironi' sekali. Demikianlah kehodohan politik perkauman yang sanggup 'mengharamkan' yang 'halal'; dan jika perlu, 'menghalalkan' yang 'haram'.

Pada hemat penulis, peranan Suqiu lebih seakan-akan 'diculik' untuk membantu "melepaskan anjing tersepit" atau menghadapi akibat yang lebih buruk seperti ugutan Pemuda Umno, GPMS, dan pelampau-pelampau Melayu yang lain (termasuk beberapa orang 'cerdik pandai' yang terkenal).

Dan menurut beberapa tokoh politik BA, yang ada hubungan secara peribadi dengan penulis, seolah-olah ugutan itu bukan main-main.

Sandiwara 'babak kedua'

Masyarakat Cina padahal belum mempunyai 'pelampau' yang 'tulen' (selain seperti direka-reka oleh Umno demi politik perkauman hodohnya) yang sanggup menghadapi gertakan mana-mana pihak yang bersedia untuk mencetuskan krisis antara kaum; berbanding dengan 'wira-wira' Melayu yang sering tampil mendakwa diri mereka sanggup 'berputih tulang'demi mempertahankan hak keistimewaan dan ketuanan Melayu pada bila-bila masa saja. Menghadapi realiti politik perkauman seperti itu, pimpinan jawatankuasa Suqiu tentu tidak ada hati hendak bersandiwara untuk memperolok-olokkan sikap 'pengecut' diri mereka sendiri!

Penulis kagum dengan keberanian Hishammuddin Rais yang menyatakan: "Hak keistimewaan dan ketuanan Melayu yang diheboh-hebohkan ini sama seperti Santa Klaus, semua ini adalah mitos. Mitos hak keistimewaan dan ketuanan Melayu sengaja diwujudkan Umno untuk politik hodoh mereka." Namun yang mengkhuatirkan ialah politik hodoh itu seolah-olah telah berjaya setapak demi setapak.

Selain kenyataan bersama itu, sandiwara politik perkauman "babak kedua:" penyatuan Melayu, (sudah tentu satu lagi mitos seperti diungkap Hishammuddin Rais dan dipersetujui penulis). Jika tidak hati-hati, ia juga akan dipentaskan tidak lama lagi dengan bantuan 'pelakon-pelakon yang diculik' seperti terjadi pada pimpinan Suqiu. Bezanya kali ini pelakon itu terdiri daripada PAS dan Parti Keadilan Nasional pula, memandangkan dua parti pembangkang tersebut pada awalnya telah bersetuju untuk duduk semeja dengan Umno.

Andainya pemimpin Suqiu terpaksa berlakon kerana tidak berani menghadapi gertakan krisis antara kaum yang mungkin dicetuskan, apakah pula alasan PAS dan Keadilan sanggup berlakon untuk "melepaskan anjing tersepit" itu - takut kehilangan sokongan Melayu yang masih mempercayai mitos "air dicincang tidak akan putus"? Atau apakah masih ada antara pemimpin dua parti itu yang mempercayai mitos berkenaan secara sedar atau tidak sedar?

Kekuatan atau pengaruh mitos Melayu itu juga tidak patut dipandang ringan. Menjelang Hari Raya Aidil Fitri lalu, pengendali-pengendali lapan laman proreformasi dalam kenyataan khas mengemukakan alasan "tidak melihat isu ini dari sudut politik kepartian (non-partisan), tetapi melihat isu ini sebagai satu isu Melayu yang kolektif demi menghormati hak kaum Melayu", dan dengan itu mereka "dengan sebulat suara menolak tuntutan/rayuan Suqiu dalam membicarakan hak-hak keistimewaan Melayu dalam resolusi/rayuan yang mereka kemukakan."

Mujur kemudiannya mereka membetulkan kesilapan pendirian mereka itu dengan menarik balik kenyataan khas mereka.

Bagaimanapun, prinsip-prinsip demokrasi tanpa mengira kaum yang dikemukakan oleh kenyataan rasmi sebuah lagi laman web proreformasi, Mahafiraun 2020 , harus disokong oleh semua pihak yang benar-benar ingin memperjuangkan reformasi politik dan keadilan di negara kita, iaitu:

- Mengikut prinsip musyawarah, Suqiu berhak menyuarakan pendapat dan tuntutan mereka tanpa sebarang tekanan mahupun paksaan oleh mana-mana pihak; - Rakyat Malaysia daripada semua kaum, sebagai warganegara yang matang dan berpegang pada demokrasi yang terbuka, mempunyai kuasa mutlak untuk meminda, mengubah atau mengekalkan mana-mana peruntukan undang-undang yang termaktub di negara ini; - Prinsip keadilan tidak terbatas hanya kepada orang Melayu atau kelompok Bumiputera, sebaliknya merangkumi semua rakyat, tidak kira bangsa dan suku keturunan; dan - Rakyat Malaysia, melalui peti undi, adalah penentu masa depan negara ini, termasuk isi kandungan Perlembagaan Persekutuan.

Sanubari tidak mungkin gugur tuntutan

Kenyataan bersama Pemuda Umno Suqiu secara terang-terangan mengingkari prinsip-prinsip demokrasi dan keadilan yang tersebut di atas.

Rayuan atau tuntutan yang dikemukakan oleh lebih 2,000 persatuan Cina, yang disokong oleh BA dan NGO, dan juga diterima oleh kabinet kerajaan Barisan Nasional pada prinsipnya menjelang pilihanraya umum tahun 1999, adalah suatu dokumen de facto yang sah di sisi undang-undang. Siapakah yang berhak untuk memaksa ribuan persatuan berkenaan untuk mengetepikan atau menggugurkan mana-mana perkara dalam dokumen de facto tersebut?

Sekiranya Umno atau GPMS dan beberapa lagi badan Melayu menolak sebahagian atau seluruh tuntutan Suqiu, mereka berhak berbuat demikian. Samalah halnya dengan parti-parti komponen BA dan NGO, mereka juga berhak menyokong sebahagian atau keseluruhan tuntutan tersebut.

Malah GPMS juga berhak mengemukakan 100 perkara tuntutan seperti yang didakwa sebelum ini. Cara ini dinamakan amalan demokrasi. Kenapa harus memaksa orang lain untuk menggugurkan tuntutan-tuntutan mereka yang dikemukakan secara ikhlas dan sah? Bukankah ia juga merupakan hak perlembagaan bagi setiap warganegara Malaysia?

Saya yakin ketujuh-tujuh perkara yang diketepikan itu memang tuntutan tulen dan ikhlas sebahagian besar rakyat Malaysia. Tuntutan-tuntutan itu walaupun diketepikan dalam kenyataan Pemuda-Suqiu, ia sekali-kali tidak mungkin digugurkan daripada sanubari setiap rakyat Malaysia yang meyakini prinsip-prinsip demokrasi dan keadilan.

Saya juga yakin mana-mana kumpulan politik yang menyokong tuntutan-tuntutan berkenaan secara ikhlas tentu akan mendapat sokongan besar pada pilihanraya umum akan datang.

Pilihanraya kecil Lunas, Kedah November lalu adalah contoh terbaik. Tidak dapat dinafikan bahawa rakyat pelbagai bangsa yang tertindas sudah pandai menggunakan undi untuk menegakkan keadilan yang diimpi-impikan.

Umno dan Pemudanya sanggup memaksa Suqiu untuk mengetepikan tujuh perkara rayuan/tuntutan mereka. Namun, sanggupkah mereka dipaksa lagi untuk menyokong BN pada pilihanraya umum akan datang?

Nampaknya BN belum lagi mengambil iktibar daripada kekalahan mereka di Lunas!