Seseorang yang mengikuti liputan akhbar sahaja mungkin sukar sekali memahami apa yang benar-benar berlaku pada Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (Cina) Damansara. Orang ramai mungkin tertanya-tanya, kenapa di Petaling Jaya yang kekurangan sekolah rendah Cina, sekolah di Damansara itu perlu ditutup?

Kenapa bangunan baru untuk SRJK (C) Damansara di Tropicana belum lagi dibina tetapi murid-muridnya sudah dipindah? Kenapa pula mereka dipindahkan ke SRJK (C) Puay Chai II?

Berasaskan kemusykilan ini, ibubapa murid-murid SRJK (C) Damansara ada alasan untuk berasa khuatir, sama ada sekolah itu akan ditutup, murid-muridnya dicantumkan dengan SRJK (C) Puay Chai II, bangunan baru sekolah itu di Tropicana seperti yang dijanjikan itu akhirnya tinggal janji saja, dan/atau tapak SRJK (C) Damansara sekarang, malah tanah-tanah di sekitarnya akan diambil alih oleh pihak-pihak tertentu untuk projek pembangunan komersial.

Perkembangan terbaru bukan saja tidak membantu menghapuskan kekhuatiran tersebut, malah lebih meyakinkan ibu bapa dan penduduk tempatan bahawa kebimbangan mereka itu mungkin akan menjadi kenyataan yang tidak dapat diterima.

Sekolah Cina di Damansara itu ditubuhkan pada 1930-an dan dipindahkan ke tapak sekarang seluas 0.8 ekar pada 1953 dengan puluhan orang murid saja. Kini, jumlah muridnya telah melebihi 1,400 orang.

Tidak dapat dinafikan sejumlah pelajar itu tidak sesuai menjalankan proses pembelajaran di atas tanah seluas 0.8 ekar. Ia memang terlalu sesak. Tetapi juga tidak benar dakwaan bahawa keselamatan pelajar diancam kesibukan kenderaan di Lebuhraya Sprint yang berdekatan atau sekolah itu menghadapi pencemaran yang keterlaluan.

Sekiranya tidak wujud dasar pendidikan negara kita yang menyekat perkembangan pendidikan Cina, penyelesaiannya padahal bukanlah begitu sukar: SRJK (C) Damansara yang sedia ada dikekalkan tetapi perlu dibina pula SRJK (C) Damansara II untuk menempatkan bilangan murid yang semakin meningkat.

Walau Menteri Pendidikan diberikan kuasa untuk membina sekolah-sekolah baru, termasuk sekolah jenis kebangsaan Cina dan Tamil, tetapi dalam pelaksanaannya, diskriminasi terhadap sekolah-sekolah itu diamalkan secara terang-terangan.

Amaran dan gertakan

Pembinaan sekolah baru untuk masyarakat Cina dan Tamil hanya mungkin kerana keperluan politik Barisan Nasional, iaitu dijadikan umpan bagi memancing undi kaum-kaum itu menjelang pilihanraya. Umpamanya BN pernah berjanji untuk membina 12 buah sekolah rendah Cina menjelang pilihanraya umum 1999. Namun, hingga sekarang, janji itu masih belum ditunaikan.

Suatu ketika dahulu, pihak berkuasa berkenaan bersetuju memindahkan SRJK (C) Damansara ke suatu tapak (kini dijadikan SRJK (C) Puay Chai II) seluas enam ekar, lengkap dengan empat bangunan tiga tingkat, kantin dan padang yang mencukupi. Tetapi tiba-tiba tapak tanah tersebut diberikan pula kepada sekolah Puay Chai II tanpa berunding dengan sekolah Damansara itu. SRJK (C) Damansara sebaliknya diberikan tapak tanah di Tropicana yang masih belum dibangunkan.

Dalam keadaan yang kelam-kabut ini, Kementerian Pendidikan telah berjaya mempengaruhi Lembaga Pengurus dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru-guru SRJK (C) Damansara untuk memindahkan pelajar sekolah itu ke Puay Chai II untuk berkongsi sekolah. Mereka berjaya memindahkan majoriti pelajar melalui bermacam-macam cara, termasuk memberikan elaun tambang, amaran dan gertakan (akan membuang pelajar yang tidak mendaftar). Akan tetapi hingga kini masih ada lebih 80 pelajar yang tetap tidak bersetuju untuk berpindah.

Dengan sokongan lapan guru sukarela, gabungan pendidikan Dong Jiao Zong dan penduduk tempatan, kelas masih diteruskan di SRJK (C) Damansara demi menjaga kepentingan pelajar yang enggan berpindah itu.

Namun, hasrat dan keputusan ibu bapa pelajar dan orang ramai yang menyokong tindakan kumpulan itu langsung tidak diberikan layanan oleh kementerian. Menteri Pendidikan Tan Sri Musa Mohamad malah mengeluarkan kenyataan yang mengelirukan bahawa "campur tangan dan hasutan DAP, Parti Keadilan Nasional dan Dong Jiao Zong dikenal pasti sebagai punca kedegilan segelintir ibu bapa murid (enggan berpindah)."

Beliau selanjutnya menegaskan, "mereka yang terlibat akan dikenakan tindakan mengikut peruntukan Akta Pendidikan 1996 di bawah Seksyen 102 dan Seksyen 114."

Menurut Seksyen 102, jika terdapat sekolah yang beroperasi tanpa kelulusan Ketua Pendaftar, sekolah itu boleh ditutup dan sesiapa yang ingkar akan didakwa di mahkamah dan apabila disabitkan kesalahan, mereka boleh didenda tidak lebih RM30,000 atau dipenjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya.

Manakala guru yang mengajar tanpa permit daripada Ketua Pendaftar pula boleh didenda mengikut Seksyen 114.

SRJK (C) Damansara telah ditutup secara rasmi pada 12 Januari lalu mengikut Seksyen 102 akta tersebut. Kebimbangan ibu bapa dan penduduk tempatan bahawa sekolah itu ditutup kini sudah menjadi kenyataan. Sekarang, sekolah itu dikawal ketat oleh polis. Masalah pendidikan cuba diselesaikan melalui kekerasan dan paksaan, bukankah cara-cara itu sendiri bersifat antipendidikan?

Pemindahan terburu-buru

Pelajar kini dinafikan hak belajar di sekolah mereka sendiri dan terpaksa menumpang di mana-mana bangunan. Kementerian pula bukan sahaja enggan menyediakan guru, malah tenaga pengajar sukarela turut boleh dibawa ke mahkamah dan menghadapi hukuman denda dan/atau penjara.

Bolehkah Menteri Pendidikan yang menudingkan jarinya kepada pembangkang itu menjelaskan: Apakah tindakannya itu berbau politik atau berunsur pendidikan?

Sekiranya kementerian telah berjaya mencantumkan sekolah Damansara dengan sekolah Puay Chai II, apakah sekolah baru perlu lagi dibina di Tropicana seperti dijanjikan? Sebelum sekolah baru itu siap dibina dan pelajar asal Damansara itu ditempatkan di situ, siapakah yang berani memberikan jaminan bahawa BN tidak akan memungkiri janji?

Siapakah yang berani berkata pihak berkuasa tidak akan menggunakan alasan bahawa pelajar SRJK (C) Damansara telah ditempatkan di Puay Chai II, maka bangunan baru itu tidak perlu dibina lagi?

Ada pihak berpendapat, pemindahan pelajar sekolah Damansara secara terburu-buru ke Puay Chai II itu 'ada udang di balik batu.' Besar kemungkinan ada pihak tertentu sedang berusaha memiliki tapak tanah SRJK (C) Damansara yang telah ditutup itu. Malah mereka juga didakwa mempunyai niat untuk memiliki tapak tanah di kawasan sekitarnya yang mempunyai nilai komersial.

Siapakah sebenarnya yang mempunyai kepentingan dalam agenda-agenda tersembunyi itu?

Bukankah lebih bijak jika isu itu diselesaikan demi kepentingan pendidikan semata-mata, tanpa perhitungan politik. Sekiranya kepentingan itu yang diutamakan, maka cara-cara penyelesaiannya lebih mudah, iaitu:

- SRJK (C) Damansara dibuka semula dan dikekalkan untuk pelajar yang enggan berpindah. Pelajar yang telah berpindah ke Puay Chai II tetapi ingin kembali ke sekolah asalnya boleh berbuat demikian;

- Kementerian Pendidikan hendaklah menyediakan guru yang mencukupi kepada sekolah di Damansara itu; - kelengkapan dan persekitaran sekolah itu diperbaiki dan dipertingkatkan;

- SRJK (C) Puay Chai II dan SRJK (C) Damansara II boleh berkongsi sekolah buat sementara waktu; dan

- Pembinaan sekolah baru di Tropicana hendaklah dimulakan segera. Sebaik sahaja ia sesuai digunakan untuk aktiviti pengajaran-pembelajaran, satu daripada dua sekolah tersebut hendaklah dipindahkan ke bangunan baru.

Isnin lepas, ratusan pelajar dan ibu bapa mereka berhimpun di depan bangunan kementerian untuk merayu agar sekolah itu dikekalkan dan masalah mereka diselesaikan segera. Adakah Menteri Pendidikan peka dan bersimpati dengan rayuan itu? Atau, beliau akan terus berdegil?