Politik baru cabar perkauman Umno
Momok tentang ancaman Suqiu terhadap "hak-hak keistimewaan" dan "ketuanan Melayu" telah direka-rekakan oleh politik perkauman Umno.
Tidak hairan jika sesetengah orang Melayu terbawa-bawa oleh sentimen perkauman sempit itu apabila diapi-apikan oleh media massa arus perdana.
Pelawaan Umno kepada PAS dan Parti Keadilan Nasional untuk membincangkan penyatuan Melayu memang nampak logik sekali. Lagipun, teori utama parti pimpinan Dr Mahathir Mohamad itu seperti sering diutarakan ialah Suqiu kini "melampau" untuk mengambil kesempatan daripada keadaan Melayu yang telah "berpecah dan menjadi lemah."
Taktik ini memang licik. Pada perhitungan Umno, PAS dan Keadilan mungkin berada dalam keadaan serba-salah. Jika bersetuju menerima pelawaan, dua pembangkang itu akan dipandang sebagai "berpaling tadah" oleh penyokong Suqiu, terutama masyarakat Cina. Penyokong Suqiu akan bersimpati dengan jawatankuasa rayuan itu kerana ia boleh diibaratkan "sudah jatuh ditimpa tangga."
Jika tidak bersetuju pula, mungkin PAS dan Keadilan dipandang serong oleh orang Melayu. Mereka akan dituduh tidak memperjuangkan nasib dan masa depan kaum sendiri di negara sendiri, terutamanya isu "hak istimewa" dan "ketuanan Melayu."
Nampaknya Umno masih menaruh harapan besar terhadap politik perkaumannya yang menjadikan kaum bukan Melayu (kali ini kaum Cina yang diwakili Suqiu) sebagai musuh ilusi yang sedang mengancam. Lalu Umno mempelawa (memaksa) semua pihak untuk mempertahankan maruah dan ketuanan Melayu yang pantang dicabar dan tidak boleh dipertikaikan. Menurut logik itu, "air yang dicincang tidak akan putus" dan "tongkang pecah, yu yang kenyang."
Dengan perkataan lain, perpaduan Melayu mengatasi perselisihan fahaman politik dan segala-galanya. Justeru itu, semua parti kaum itu mesti duduk semeja untuk membincangkan penyatuan orang Melayu tanpa sebarang syarat.
Momokan Suqiu dan ancaman kaum Cina yang direka-rekakan itu memang melucukan. Suqiu sebenarnya hanya satu memorandum yang mengandungi 83 isi rayuan yang dikemukakan oleh lebih daripada 2,000 persatuan Cina menjelang pilihanraya umum 1999. Pada masa itu, dokumen tersebut telah disokong oleh parti-parti komponen Barisan Alternatif (dengan jujur) dan Barisan Nasional (dengan penipuan untuk memancing undi Cina) pada prinsipnya.
Generasi muda makin matang
Walau beberapa perkara dalam 83 isi rayuan tersebut mungkin kontroversi sedikit atau mungkin ada kena-mengena dengan kedudukan istimewa orang Melayu. Namun bukankah membuat rayuan itu juga suatu hak demokrasi rakyat Malaysia yang termaktub dalam perlembagaan negara kita?
Mengikut amalan demokrasi, kita boleh menolak perkara berkenaan jika kita tidak bersetuju, tetapi kita tidak berhak memaksa sebarang pihak untuk menangguhkan atau menggugurkan rayuan mereka seperti layanan Pemuda Umno terhadap Suqiu baru-baru ini.
Sekalipun ada perkara yang menyentuh hak sesuatu kaum, jika Parlimen tidak meminda perlembagaan dengan sokongan dua pertiga, maka rayuan Suqiu itu tinggal rayuan. Jadi di manakah ancamannya? Sekiranya dua pertiga ahli parlimen bersetuju untuk meminda perlembagaan, maka ia juga boleh dipinda secara sah. Inilah yang dinamakan amalan demokrasi, yang sebenarnya bukan ancaman, tetapi hak rakyat di sisi perlembagaan.
Tetapi orang Melayu sekarang, terutama generasi muda dalam PAS dan Keadilan, ramai yang telah matang dalam politik demokrasi. Mereka tidak senang terbuai-buai oleh sentimen perkauman secara membabi-buta. Mereka tidak begitu mudah terperangkap dalam politik perkauman Umno lagi. Perhitungan licik Umno kali ini rasanya meleset, ibarat "angkat batu terhempas di atas kaki sendiri"!
Ketika media massa arus perdana melaporkan secara besar-besaran bahawa Presiden PAS, Datuk Fadzil Noor dan Presiden Keadilan Dr Wan Azizah Wan Ismail bersetuju duduk semeja dengan Umno demi diskusi penyatuan Melayu, Keadilan pula menolak undangan Dr Mahathir itu secara dramatis tapi tegas. Penolakan itu menamatkan sebarang spekulasi dan manipulasi mengenainya..
Pada 8 Januari pula, BA menjemput BN menghadiri 'Sidang Meja Bulat' untuk membincangkan cabaran-cabaran genting negara hari ini. Cbaran itu merupakan krisis yang berkaitan nilai serta etika, demokrasi serta hak manusia, hubungan etnik serta pengurusan ekonomi.
Jemputan BA kepada BN ini merupakan strategi yang bijak sekali. Kedudukan PAS dan Keadilan yang pasif dalam menghadapi pelawaan Umno itu telah bertukar menjadi inisiatif pembangkang untuk mengundang parti kerajaan.
Lebih mengagumkan, parti baru itu secara lantang mengumumkan kepada dunia bahawa "Keadilan bukan sebuah parti Melayu!" Dengan tekanan politik perkauman Umno dan media massa perdana miliknya, keberanian Keadilan itu membuktikan bahawa:
- Keadilan berpegang teguh kepada dasar dan prinsipnya sebagai parti berbilang kaum;
- Pemimpinnya cukup yakin bahawa walau 90 peratus daripada ahli-ahlinya orang Melayu, ia bukan parti oportunis yang sedia mengeksploitasi kaum lain atau dengan mudah tunduk kepada sentimen perkauman untuk kepentingan politik jangka masa pendek; dan
- Mereka berazam untuk memulakan suatu era politik baru bersama-sama rakyat berbilang kaum untuk memperjuangkan kewujudan Malaysia yang lebih bebas, demokratik, sama rata, adil dan maju.
PAS menari rentak Umno?
Penolakan tegas Keadilan dan kebijaksanaan BA mengambil inisiatif mengundang BN, secara perbandingan, mendedahkan perbezaan pendirian PAS yang bersedia menerima pelawaan Umno walau dengan syarat meluaskan skop perbincangannya, iaitu tidak terhad pada topik penyatuan Melayu.
Premis perlunya perbincangan tentang penyatuan orang Melayu berpremiskan dua fakta: kaum Melayu telah berpecah dan wujud ancaman kaum bukan Melayu.
Tentang perpecahan orang Melayu, pendapat-pendapat yang dikemukakan di kalangan BA boleh dirumuskan seperti berikut:
- Tiada perpecahan di kalangan orang Melayu tetapi wujud peralihan sokongan daripada Umno kepada PAS dan Keadilan; dan
- Jika perpecahan orang Melayu itu bermakna berselisih fahaman dan pendirian politik, ia memang wujud; tetapi gejala itu bukan wujud di kalangan orang Melayu sahaja, malah ia juga wujud di kalangan semua kaum di negara kita.
- Penyatuan tidak selalunya baik, umpamanya persekongkolan kroni-kroni Umno untuk merampas harta benda rakyat. Sementara perpecahan tidak semestinya tidak baik, umpamanya perpecahan kerana menentang penindasan dan kezaliman Umno.
Tentang ancaman kaum bukan Melayu, atau dengan lebih tepat ancaman Suqiu, ia memang igauan siang Umno, kenapa perlu PAS menari mengikut rentak politik perkauman parti lawan?
Andainya Umno bersetuju dengan syarat PAS untuk memperluaskan skop perbincangan, mengapa antara PAS dengan Umno saja dan bukan antara BA dengan BN dalam Sidang Meja Bulat?
Peringatan Naib Presiden PRM Hassan Karim patut dipandang berat iaitu: "Mahathir dan Umno sengaja mahu membawa PAS dan Keadilan ke dalam 'orbit Melayu' yang diada-adakan untuk memisahkan kedua-dua parti itu daripada kekuatan-kekuatan lain pembangkang yang menentang BN."
Pemimpin PAS yang berpengalaman dan arif selok-belok politik kotor Umno tentu tidak akan mengecewakan rakyat berbilang kaum dalam perjuangan menentang politik perkauman parti itu!


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.