Dalam bidang ilmu logik, ada satu cerita yang agak popular tentang kelicikan seorang pelanggan yang pandai bermain dengan tipu helah dan mengelirukan konsep yang berlainan. Ceritanya lebih kurang seperti berikut.

Si pelanggan itu mula-mulanya memesan sup ayam yang berharga 3 ringgit semangkuk tetapi kemudiannya menukarkannya dengan sup kambing yang sama harga.

Setelah habis, penjual sup meminta pelanggan itu membayar harga sup kambing. Pelanggan itu enggan membayar. Katanya: "Sup kambing ini saya tukar dengan sup ayam."

Penjual sup lalu meminta dia membayar harga sup ayam, pelanggan itu juga enggan membayar. Katanya: "Bukankah sup ayam saya telah kembalikan kepada encik, kenapa saya perlu bayar?"

Di sini ada dua konsep: 'bayar' dan 'tukar.' Pelanggan sengaja mengelirukan dua konsep tersebut. Apabila penjual sup meminta membayar harga sup, pelanggan mengelakkan masalah bayar, dan dipesongkan kepada masalah tukar.

Jika penjual sup itu berfikiran logik, beliau dengan senang saja dapat memecahkan tipu helah pelanggan berkenaan. Misalnya beliau boleh berkata: "Sup ayam yang ditukarkan dengan sup kambing itu memang telah dikembalikan kepada saya. Namun, sama ada sup ayam atau sup kambing, encik belum bayar lagi. Sila bayar, harganya 3 ringgit." Oleh itu pelanggan itu tentu tidak dapat berdolak-dalik lagi.

Baru-baru ini pihak berkuasa dan beberapa orang politik juga cuba menggunakan kaedah atau alasan yang tidak logik untuk memperdayakan pihak-pihak tertentu. Saya berikan tiga contoh mengenai apa yang dikatakan tidak logik itu.

Pertama, kad perakuan akhbar wartawan malaysiakini . Wartawan akhbar web ini dilarang membuat liputan majlis-majlis rasmi kerajaan dengan alasan mereka tidak mempunyai kad akhbar.

Tetapi akhbar yang diiktiraf saja yang mendapat kad untuk wartawan-wartawannya. Organisasi media internet seperti malaysiakini dikecualikan pengiktirafan itu maka, wartawannya tidak memiliki sebarang kad.

Iktiraf atau tidak malaysiakini ?

Cara penyelesaian yang logik ialah sama ada pihak berkuasa mengiktiraf malaysiakini dan mengeluarkan kad untuk wartawan- wartawannya, atau akhbar web harian ini dikecualikan pengiktirafan dan wartawan-wartawannya dibenarkan membuat liputan tanpa kad akhbar.

Tetapi pihak berkuasa terus berdegil dengan sikap yang tidak logik - tidak mengeluarkan kad untuk wartawan malaysiakini tetapi pada masa yang sama, mereka dikehendaki menunjukkan kad sebelum dibenarkan menyertai majlis-majlis rasmi kerajaan!

Kedua, Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (Cina) Damansara. Penutupan sekolah ini di Kampung Baru Damansara tidak dapat dinafikan. Justeru itu, penduduk kampung tersebut melancarkan kempen supaya sekolah asal tersebut dikekalkan demi kepentingan anggota masyarakatnya.

Namun, beberapa orang pemimpin MCA menuduh tanggapan tersebut sebagai penipuan kerana SRJK (C) Damansara telah pun dipindahkan ke Tropicana, bukan ditutup.

Anggapan ini mungkin boleh mengelirukan orang luar, tetapi kepada penduduk Kampung Baru Damansara sekolah kecintaan mereka yang berusia 71 tahun itu memang telah ditutup dan tidak wujud lagi. Yang tinggal hanya namanya yang dipinjamkan kepada sebuah sekolah baru yang sedang dibina di Tropicana.

Mengapakah sekolah baru itu tidak dinamakan SRJK (C) Tropicana, tetapi dinamakan SRJK (C) Damansara? Dan mengapa pula sekolah baru di Bandar Utama tidak dinamakan SRJK(C) Utama, tetapi dinamakan Puay Chai (II)?

Jawapannya sangat menyedihkan, kerana kerajaan Barisan Nasional melaksanakan dasar diskriminasi kaum terhadap sekolah-sekolah rendah Cina dan Tamil. Sungguhpun Akta Pendidikan 1995 memberikan kuasa kepada Menteri Pendidikan untuk membina sekolah rendah baru Cina dan Tamil mengikut keperluan tetapi sudah menjadi dasar kerajaan untuk tidak membina sekolah rendah baru Cina dan Tamil. Mereka hanya membenarkan sekolah tertentu diperluaskan atau dipindah!

Andainya sekolah baru yang dibina itu diberikan nama SRJK (C) Tropicana, maka ia tidak akan mengelirukan sesiapa lagi bahawa SRJK (C) Damansara bukan saja telah ditutup pada hakikatanya, bahkan juga tidak wujud lagi pada namanya!

'Maklumat terlindung' Ling dan Lim

Penduduk Kampung Baru Damansara membantah penutupan sekolah kecintaan mereka tetapi beberapa pemimpin MCA mengatakan sekolah itu tidak ditutup. Ia hanya dipindah. Pada hakikatnya, siapakah yang lebih logik?

Ketiga: 'maklumat terlindung' (privileged information). Ketika perbalahan dalaman MCA (pusingan terbaru) antara puak Presiden Ling Liong Sik, dengan puak Timbalan Presiden Lim Ah Lek, kuncu-kuncu Ling telah mendedahkan bahawa dalam 'formula pakej' yang dirundingkan, Lim telah meminta Ling menetapkan tarikh beliau berundur.

Kuncu-kuncu Ling dari Johor, Selangor, Wilayah Persekutuan, Melaka dan Negeri Sembilan satu demi satu mengumumkan sokongan terhadap Ling, dan membidas Lim dengan alasan memaksa Ling berundur. Ling hadir bersama dalam sidang-sidang akhbar 'tunjuk taat setia' oleh puak-puaknya.

Lim menafikan beliau pernah meminta Ling menetapkan tarikh berundur dan meminta Presiden MCA itu mengumumkan keadaan dan fakta sebenar. Ling enggan berbuat demikian dengan alasan apa yang berlaku dalam rundingan 'formula pakej' adalah 'maklumat terlindung' dan tidak boleh didedahkan!

Setelah memperkenankan puak-puaknya mendedahkan apa yang dinamakan 'maklumat terlindung' untuk melakukan serangan demi serangan terhadap Lim, Ling enggan mendedahkan 'maklumat terlindung' untuk menunjukkan beliau adalah seorang pemimpin yang berprinsip! Dan tidak masuk akal sama sekali Lim meminta Ling agar menerima penafiannya.

Kalau tanya suri rumah di pasar, mereka tentu mencabar: Berani sumpah atau tidak? Kalau berani, marilah ke tokong untuk melakukan acara bersumpah, iaitu memotong kepala ayam! Cabaran suri rumah tersebut sungguhpun tidak begitu saintifik dan bijak, tetapi lebih logik rasanya.