Taman Medan: Angkara khabar angin?
Pergaduhan yang membabitkan dua kaum di Jalan Kelang Lama, sekitar Taman Desaria, Kampung Lindungan, Kampung Ghandi, Kampung Datuk Harun dan Taman Medan, sejak 4 Mac lalu sangat membimbangkan walaupun polis telah berkali-kali memberikan jaminan bahawa keadaan sudah terkawal dan semakin pulih.
Mengikut Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Jamil Johari, setakat kini, enam nyawa telah dikorbankan, lebih 40 orang tercedera (termasuk empat yang parah), dan 190 orang ditahan dan akan didakwa atas kesalahan-kesalahan memiliki senjata, merusuh, menyerang dan menyebabkan kecederaan serius.
Di samping senjata-senjata berbahaya yang telah dirampas, termasuk bom buatan sendiri, parang, pisau, pedang samurai, kayu lastik, rantai, paip besi, cota dan kapak, polis juga mencatatkan dua buah motosikal dan sebuah lori dibakar manakala 13 buah kenderaan - sembilan buah kereta, dua buah van, sebuah bas dan sebuah motosikal - dirosakkan.
Sehingga kini, 692 anggota Polis Simpanan Persekutuan (FRU), Rela dan pasukan bantuan kecemasan Persatuan St John telah ditempatkan di kawasan terbabit bagi mengawal keadaan, dan pasukan khas juga disediakan bagi mengiringi mereka yang berulang-alik untuk bekerja atau menghantar anak ke sekolah.
Selain itu, dua buah helikopter Polis Diraja Malaysia dihantar untuk memberi khidmatnya bagi membantu mengawal dan memantau keadaan sekitar kampung-kampung terbabit.
Lebih merumitkan, orang ramai masih belum diberitahu gerangan apakah yang telah berlaku di sekitar Jalan Kelang Lama itu?
Mengapakah punca-punca kecil seperti pergaduhan antara jiran yang menjalankan upacara pengebumian dan acara perkahwinan serta pergaduhan yang ditimbulkan oleh kanak-kanak nakal yang melastik serta memecahkan cermin van boleh merebak menjadi persengketaan besar-besaran yang berbau perkauman dan mengancam keselamatan manusia serta hartabenda secara serius?
Profesional, telus dan tegas
Polis berulang-ulang kali menasihatkan orang ramai supaya bertenang dan jangan mempercayai khabar-khabar angin mengenai pergaduhan kaum itu.
Namun, ahli Dewan Undangan Negeri kawasan itu, Norkhaila Jamaludin telah dilaporkan sebagai berkata "kononnya orang Melayu sudah lama bersabar". Beliau seolah-olah telah mengesahkan pergaduhan di Taman Medan memang bersifat perkauman, dan pendirian beliau juga sangat mengecewakan!
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi telah memberikan arahan kepada Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Jamil Johari, supaya menjelaskan sepenuhnya kejadian itu dan tidak menyembunyikannya.
Arahan ini wajar memandangkan begitu ramai orang India telah terbunuh dan dicederakan (5 kematian dan beberapa puluh lagi cedera).
Di samping itu, aduan-aduan telah diterima bahawa pada peringkat awal, polis diminta menjalankan tugas secara profesional, telus dan tegas. Dan lebih serius lagi ialah terdapat lima anggota tentera daripada Kem Sungai Besi dilaporkan ditahan berhubung kekecohan itu.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo pula berpendapat beliau percaya ada anasir luar yang cuba mengganggu-gugat keharmonian dan perpaduan rakyat dengan hasrat melihat negara ini porak-peranda.
Tuduhan Menteri Besar Selangor ini memang berat, sekiranya tindakan yang pantas dan berkesan tidak diambil untuk menumpaskan anasir luar berkenaan, keharmonian kaum dan keselamatan negara kita akan senantiasa terancam!
Dalam keadaan yang agak tegang dan sensitif sekarang, polis tidak menolak kemungkinan pergaduhan di sekitar Jalan Kelang Lama yang berlarutan itu akan terus merebak ke tempat lain jika penduduk terlibat terus menyebar dan mempercayai khabar angin.
Tetapi, mengapakah orang ramai tidak mempercayai maklumat yang dibekalkan oleh polis dan pihak berkuasa yang berkenaan? Mereka sebaliknya lebih rela mempercayai khabar-khabar angin yang disebarkan, kenapa?
Adakah ini akibat ketidaktelusan pihak berkuasa sehingga orang ramai telah hilang kepercayaan mereka? Atau sesetengah 'akhar angin' itu memang ada kebenarannya?
Memang mudah segala-gala yang telah berlaku disalahkan kepada khabar-khabar angin yang disebarkan oleh anasir-anasir jahat yang tidak dapat dikenal pasti identitinya.
Kenyataan Mahathir
Saya sangsi, menyalahkan khabar angin semata-mata mungkin juga merupakan satu taktik untuk melepaskan tanggungjawab pihak-pihak terbabit.
Ada pula pihak yang menyifatkan kejadian tumpah darah itu sebagai pergaduhan kumpulan-kumpulan samseng semata-mata. Pandangan ini sangat tidak adil kepada mereka yang terkorban dan masyarakat India amnya, sungguhpun gejala samseng ( gangsterism ) wujud di kawasan itu.
Dua fakta harus ditekankan. Pertama, samseng merupakan masalah sosial yang berkait rapat dengan sistem sosio-ekonomi negara kita, ia bukan kesalahan mana-mana komuniti atau kaum. Kedua, pergaduhan kumpulan samseng boleh dikatakan berlaku setiap hari di beberapa tempat lain di negara kita, ia tidak menimbulkan permusuhan dan ketegangan kaum seperti yang berlaku di sekitar Jalan Kelang Lama baru-baru ini.
Selain menyalahkan khabar angin dan kumpulan samseng, saya fikir satu masalah yang lebih penting ialah: Bagaimanakah latar belakang atau suasana kaum yang agak buruk sekarang telah memainkan peranannya?
Dan bagaimana pula hubungan kaum yang baik itu telah dipengaruhi oleh kenyataan-kenyataan perkauman yang sering dikeluarkan oleh pemimpin-pemimpin Umno kebelakangan ini, terutamanya oleh Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad sendiri?
Umpamanya, bagaimanakah reaksi orang Melayu terhadap empat agenda yang dikemukakan oleh Dr Mahathir sendiri untuk dibincangkan dalam pertemuan Umno-PAS nanti jika pertemuan tersebut berjaya dilangsungkan?
Empat agenda itu ialah mengenai hak istimewa orang Melayu, bahasa Melayu, agama Islam sebagai agama rasmi dan status Raja-raja Melayu yang kononnya telah dicabar oleh pihak-pihak tertentu daripada kaum bukan Melayu.
Lebih menghampakan ialah sudah begitu lama pergaduhan dan kekecohan di sekitar Jalan Kelang Lama berlarutan, mengapakah hingga sekarang Dr Mahathir sendiri masih belum turun ke padang untuk melawat kawasan itu dan meredakan ketegangan kaum sekarang?
Api perkauman yang masih kecil lagi baik dipadam segera sebelum ia merebak menjadi kebakaran besar yang sudah barang tentu akan menjahanamkan rakyat dan negara kita pada masa akan datang!
Bertindaklah sebelum terlambat!


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.