Mesyuarat ke-188 Majlis Raja-raja yang dilangsungkan pada 22 Mac lalu telah membuat keputusan bahawa:

1. Tiada halangan menggunakan perkataan Islam pada pertubuhan, malahan digalakkan, tetapi ia hendaklah berasaskan ilmu dan iman;

2. Tiada pihak berhak menentukan keIslaman seseorang itu dengan mengenakan syarat-syarat tambahan setelah orang itu menepati rukun Iman dan rukun Islam;

3. Ketentuan ke syurga atau neraka adalah hak mutlak Allah.

Sebelum keputusan Majlis tersebut dicapai, Umno berura-ura mendesak perkataan 'Islam' itu digugurkan daripada nama PAS. Keputusan tersebut telah menggagalkan inisiatif parti itu. PAS nampaknya 'memenangi' satu lagi pusingan dalam pergelutan politiknya dengan Umno.

Sebelum mesyuarat Majlis Raja-raja, PAS khuatir Majlis Fatwa Kebangsaan akan didalangi Umno supaya menggugurkan perkataan Islam pada parti tersebut. Namun majlis fatwa telah membuat keputusan sebaliknya dan diterima oleh Majlis Raja-raja.

Mengikut Pengerusi Majlis Fatwa Kebangsaan Datuk Dr Ismail Ibrahim ( Mingguan Malaysia , 25 Mac), keputusan itu dibuat kerana mereka "tidak mahu dilihat sebagai orang yang tidak mendaulatkan Islam."

Apatah lagi perkataan-perkataan Kristian dan Buddha juga boleh digunakan pada nama pertubuhan-pertubuhan berkenaan, termasuk institusi pendidikan. Penggunaan perkataan agama tersebut bukan saja tidak menimbulkan perpecahan, malah pertubuhan itu meraih banyak kebaikan, antaranya mendapat sokongan daripada penganut-penganut agama berkenaan, terutama memantapkan ekonomi pertubuhan itu.

Keputusan Majlis itu bijaksana dan sesuai dengan sistem demokrasi yang diamalkan di negara kita. Memang lumrah di negera-negara rantau ini atau Barat, perkataan agama masing-masing digunakan pada parti politik atau pertubuhan.

Dr Syed Hussein Alatas, bagaimanapun, berpendapat tidak baik jika perkataan Islam digunakan pada parti politik demi menjaga kemurnian Islam. Islam itu adalah payung utama tempat semua pihak berlindung. Oleh itu, perkataan Islam hendaklah digunakan untuk keseluruhan umat bukan untuk satu pihak saja.

Malu kepada Islam

Beliau juga khuatir setelah parti-parti politik yang bernama Islam atau mengaku sebagai parti Islam mendapat kuasa, seperti selepas Perang Dunia Kedua, mereka mengamalkan rasuah, menekan demokrasi, merosakkan kestabilan negara, menindas rakyat miskin dan bertindak sewenang-wenangnya, maka ia boleh membawa malu kepada Islam.

Namun demikian, keputusan Majlis Raja-raja itu mungkin telah berjaya mengelakkan suatu situasi krisis. Presiden PAS Datuk Fadzil Noor dalam wawancaranya dalam akhbar dan tarikh yang sama telah memberi analisa yang agak tepat.

Katanya: "Pengalaman menghalang penggunaan nama (perkataan) Islam di beberapa negara Islam seperti Turki dan Asia Barat, juga di Indonesia semasa pemerintahan Sukarno telah menimbulkan kesan yang sangat negatif kepada umat Islam. (Amalan itu) menjadikan mereka porak-peranda dan memburukkan keadaan kerana tiada saluran untuk orang ramai suarakan pandangan."

Seorang pemimpin PAS, Mohamad Sabu, pula memberikan amaran di Dewan Rakyat baru-baru ini bahawa jika perkataan Islam digugurkan daripada PAS, maka beliau tidak dapat memberikan jaminan bahawa negara kita akan aman. Sekiranya dimasukkan semula ke kem tahanan ISA di Kemunting, beliau rela menghadapinya, katanya.

Selain itu, boleh jadi hasrat Umno untuk mengadakan pertemuan dengan PAS turut menyumbang kepada keputusan Majlis itu. Satu daripada tiga prasyarat PAS - agar kerajaan tidak meneruskan usaha menggugurkan perkataan Islam pada parti politik dan pertubuhan - harus dipenuhi sebelum menjayakan pertemuan itu.

Dalam wawancara itu, Fadzil juga tidak menafikan sekiranya Umno akur dengan keputusan Majlis itu dan tidak meneruskan usaha mengharamkan perkataan Islam, ruang lebih positif dibuka ke arah pertemuan dua parti itu.

Justeru itu Naib Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin menggesa agar keputusan Majlis itu dijadikan pendorong bagi PAS meneruskan pertemuan Umno-PAS untuk membincangkan isu penyatuan Melayu.

Di samping itu, Umno juga cuba mengeksploitasi keputusan Majlis Raja-raja tersebut untuk menyerang lagi PAS dengan dakwaan 'penyelewengan', umpamanya gejala pulau-memulau majlis perkahwinan, kenduri-kendara, jenazah, kafir-mengkafir dan sembahyang dua imam.

Amanat Hadi

Umpamanya, melalui tokoh-tokoh agama, Umno cuba memberi tekanan kepada PAS supaya menolak 'Amanat Haji Hadi' yang didakwa dibuat ketika Timbalan Presiden PAS Abdul Hadi Awang berceramah di Kampung Banggol Peradong, Kuala Terengganu pada 7 April 1981. Kononnya amanat tersebut membawa implikasi mengkafirkan ahli-ahli Umno.

Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Rais Yatim, undang-undang sedia ada, seperti Kanun Keseksaan, Akta Hasutan serta beberapa peruntukan undang-undang syariah negeri berkaitan penyelewengan Islam boleh digunakan untuk mendakwa mereka yang menyalahgunakan nama Islam seperti keputusan Majlis Raja-raja. Namun kesukarannya adalah, siapakah yang dapat memantau secara berkesan supaya keputusan tersebut dipatuhi oleh pihak-pihak berkaitan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Brig Jen (B) Datuk Abdul Hamid Zainal Abidin berpendapat kerajaan pusat dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) hanya bertindak membantu menyelaras dan memantau pertubuhan-pertubuhan itu. Tindakan penguatkuasaan terpulang kepada kerajaan negeri masing-masing kerana hal-hal agama terletak di bawah bidang kuasa mutlak kerajaan negeri.

Jelas sekali, sama ada sesuatu perbuatan itu menyeleweng atau tidak di sisi Islam, tafsiran kerajaan pusat dan Jakim mungkin bertentangan dengan tafsiran negeri-negeri yang diperintah oleh PAS. Bagaimanakah ia dapat diselaraskan?

Contohnya pada 1984, isu perpecahan umat Islam telah dibincangkan dalam mesyuarat khas Majlis Fatwa Kebangsaan sehingga fatwa dikeluarkan bagi melarang sama sekali tuduhan kafir-mengkafir dan penyelewengan agama, namun masih dilaporkan perbuatan kafir-mengkafir sesama umat Islam hingga sekarang.

Sekarang tiada sesiapa lagi yang boleh memaksa PAS untuk menggugurkan perkataan Islam daripada nama parti itu, tetapi Haikal Nor dari Rawang ( Utusan Malaysia , 24 Mac) masih berpendapat parti Islam itu sendiri patut menukar nama kerana ia akan kelihatan lebih terbuka. Langkah itu tidak menimbulkan stigma kepada penganut agama lain untuk menyokong parti itu. Dalam takrifan demokrasi, parti politik seharusnya tidak mendiskriminasi orang ramai menurut agama atau kaum.

Tidak dapat dinafikan, perjuangan atas nama atau panji sesuatu kaum, atau agama tertentu, tidak dapat dibandingkan dengan perjuangan atas prinsip-prinsip atau nilai-nilai sejagat yang progresif dan melintasi kaum serta agama.

Parti-parti politik negara ini diharapkan akan melalui proses reformasi yang diperlukan agar lebih terbuka dan progresif serta dapat memperjuangkan nasib dan pembebasan kaum-kaum yang tertindas tanpa mengira bangsa dan agama!