Rustam A Sani dalam kolumnya 'Suara Bicara' ( Suara PRM , April 2001) mengingatkan bahawa penggabungan Parti Keadilan Nasional dengan Parti Rakyat Malaysia masih boleh tergelincir akibat kekeliruan sentimen. Peringatan ini patut dipandang berat oleh semua pihak yang ingin menyaksikan terlaksana percantuman dua parti tersebut.

Memang senang difahami, sebagai seorang yang terlibat secara langsung dalam proses perbincangan penggabungan itu yang berlarutan, Rustam mulai berasa 'rimas' kerana sering ditanya: Bilakah lagi PRM dan Keadilan akan begabung?

Mungkin kerana terlalu ghairah, sesetengah kawan sudah tidak sabar-sabar lagi menunggu, sungguhpun selalunya dijelaskan bahawa penggabungan dua parti bukanlah proses mudah, banyak soal-soal teknikal dan ideologi yang rumit perlu diselesaikan!

Lebih merisaukan ialah Rustam dan rakan-rakan partinya berasa 'jengkel' apabila menghadapi pertanyaan seperti: Bilakah PRM akan dibubarkan dan menyertai Keadilan? Sepucuk surat pembaca seumpama yang ditulis oleh 'Topi Hitam Sogo' ( Berita Keadilan , 2 Mac 2001) juga membuat saranan yang sama: Mengapa tidak ahli dan pemimpin PRM beramai-ramai memohon menyertai Keadilan di peringkat cawangan dan bahagian sedia ada? Bukankah itu proses biasa untuk menjadi ahli?

Penggabungan bukan perkara baru, dan mengikut Rustam, pelbagai modus operandi untuk penggabungan dua parti itu sudah dibincangkan secara meluas. Kaedah membubarkan PRM demi menyertai Keadilan telah ditolak awal-awal lagi.

Tidak dapat dinafikan bahawa PRM yang terbentuk sejak 1955 memang mempunyai sejarah perjuangan yang cukup lama dan gemilang. Parti itu sekarang mungkin kecil tetapi mempunyai banyak kelebihan sebagai sumbangan kepada parti baru dalam cantuman PRM-Keadilan.

Dr Chandra Muzaffar, Timbalan Presiden Keadilan, sendiri merumuskan lima sebab percantuman dua parti itu perlu disegerakan, sebab-sebab berkenaan sebenarnya adalah kelebihan PRM yang diakui umum.

Lima sebab disegerakan

Pertama, Keadilan dapat berkongsi pengalaman dan semangat dengan anggota-anggota veteran PRM yang terkenal sebagai mereka yang berpegang teguh kepada prinsip perjuangan, biarpun mereka melalui banyak kesusahan dan kekurangan.

Mereka berjuang semata-mata untuk melihat terbentuknya sebuah masyarakat adil. Ketekalan serta ketahanan mereka itu sangat berguna dalam perjuangan Keadilan dan Barisan Alternatif seluruhnya.

Kedua, demi keadilan sosial, mereka mempunyai hubungan rapat dengan rakyat kebanyakan terutama mereka yang miskin dan tertindas, yang sering menjadi mangsa pembangunan yang tidak seimbang dan agihan kekayaan yang tidak adil.

Kehadiran PRM dapat membantu menyediakan fokus yang diperlukan untuk menghadapi Barisan Nasional, terutama untuk mengkritik konsep dan pendekatan parti kerajaan itu dalam menguruskan pembangunan negara.

Ketiga, PRM mempunyai imej yang terserlah sebagai sebuah parti berbilang kaum dan antiperkauman. Penggabungan sudah pasti akan memberikan sumbangan untuk menguatkan lagi imej parti berbilang kaum yang sedang diusahakan oleh Keadilan.

Keempat, sebahagian anggota PRM mempunyai kemahiran dan pengetahuan yang diperlukan dalam keadaan politik sekarang. Selain mampu berhujah dan menulis, mereka mempunyai jaringan perhubungan yang baik, terutama dengan kelas bawahan serta golongan profesional.

Kelima, gabungan itu akan menguatkan lagi pengaruh dua parti itu dalam sektor pekerja dan golongan pertengahan bukan Melayu yang memang tidak asing lagi dengan PRM, serta sudah mulai menerima Keadilan dengan agak menggalakkan.

Justeru itu, PRM sebenarnya dapat memberikan banyak sumbangan kepada parti baru yang bakal diciptakan bersama "sebagai proses kreatif melahirkan suatu tenaga baru yang padu daripada dua entiti yang ada sekarang."

Lebih-lebih lagi modus operandi membubarkan PRM demi menyertai Keadilan telah ditolak awal-awal lagi. Namun menurut Rustam lagi, malangnya 'bibit kekeliruan' tentang gagasan penggabungan itu telah tertanam pada Jun tahun lepas setelah Kongres Nasional PRM dan Perhimpunan Agung Keadilan dilangsungkan.

Bermula bibit-bibit kekeliruan

Mengikut ketetapan jawatankuasa bersama, kedua-dua parti itu akan membawa usul yang kira-kira sama bahasa dan sentimennya di perhimpunan agung parti masing-masing, untuk meminta mandat parti bagi meneruskan inisiatif penggabungan itu.

Kongres PRM yang berlangsung seminggu lebih dulu daripada perhimpunan agung Keadilan, telah meluluskan usul yang dipersetujui oleh jawatankuasa bersama itu dengan sebulat suara, setelah melalui perdebatan yang agak seru.

Tetapi minggu berikutnya, melalui kebijaksanaan pemimpinnya, Keadilan sekadar meluluskan usul 'menglu-alukan hasrat PRM' itu. Menurut Rustam, di sini bermula sentimen umum bahawa yang terlalu ingin menyertai Keadilan adalah PRM. Malah banyak pihak menganggap 'proses biasa' yang wajar bagi penggabungan itu adalah PRM dibubarkan dan menyertai Keadilan!

Daripada analisa tersebut, mungkin ada anggota-anggota Keadilan yang sebenarnya terkeliru oleh keadaan yang memang boleh mengelirukan. Mereka itu mungkin tidak berprasangka, mereka secara tulus ikhlas mempercayai cara pembubaran satu parti dan kemudian menyertai satu parti yang lain adalah mudah sekali.

Mungkin pengalaman cetek tidak membolehkan mereka memahami bahawa cadangan mereka itu telah melukai sentimen pejuang-pejuang yang pantang dihina, bak kata pepatah: lebih baik berputih tulang, daripada berputih mata. Daya usaha mereka untuk meneroka politik baru melalui cantuman dengan Keadilan tidak patut dipandang sebagai kelemahan mereka!

Namun, tiada pihak yang patut terbawa-bawa oleh sentimen yang terkeliru sehingga tergelincir. Barisan pemimpin kedua-dua parti harus dengan secepat mungkin menjelaskan kekeliruan itu dan mereka yang mungkin hampir tergelincir hendaklah dipimpin agar balik kepada landasan yang betul.

Laporan Ridzuan Bakar ( Harakah , 16-31 Mac 2001) menarik perhatian penulis. Ada sumber-sumber yang terlibat dalam proses perbincangan penggabungan itu berpendapat bahawa ada pihak tertentu yang nampaknya sengaja melambat-lambatkan proses itu.

Menurut sumber itu lagi, tentangan terhadap gagasan penggabungan itu terdiri daripada dua jenis. Ada pihak yang khuatir bahawa kedudukannya dalam parti terjejas apabila masuk para pemimpin daripada parti lain.

Sambutan terhadap sosialisme

Ada pula yang beranggapan bahawa penyertaan PRM mungkin menjejaskan daya tarikan massa terhadap Keadilan kerana PRM dikatakan masih mempunyai imej sebagai parti sosialis yang tidak mudah diterima rakyat.

Berpuluh-puluh tahun kebelakangan ini, tokoh-tokoh PRM tidak pernah memenangi sebarang kerusi, baik kerusi Dewan Rakyat atau kerusi Dewan Undangan Negeri. Jika ia sebuah parti yang mementingkan kerusi, PRM pasti sudah hilang. Jika pemimpin-pemimpinnya berjuang untuk menjadi Yang Berhormat, mereka pasti sudah memasuki parti lain untuk mengadu nasib masing-masing.

Berpuluh-puluh tahun tidak memenangi sebarang kerusi bukan sesuatu yang dapat dibanggakan. Tetapi sebagai parti, PRM telah menunjukkan kekuatan sebagai suatu budaya politik, sebagai sesuatu disiplin orang kiri, dan sebagai etika berpolitik berprinsip dan bukan untuk mencari keuntungan diri sendiri.

Dari segi ini, mereka yang bakal menjadi rakan seperjuangan dalam gabungan PRM-Keadilan itu patut berasa malu kerana kesalahan diri mereka sendiri - beranggapan tokoh-tokoh PRM sebagai ancaman kepada kedudukan politik mereka - yang melahirkan pandangan serong itu.

Tentang sama ada fahaman sosialis boleh diterima oleh rakyat atau tidak, hal ini adalah masalah yang agak kompleks. Dipandang sejarah perkembangan politik Malaya-Malaysia, Barisan Sosialis (gabungan Parti Buruh Malaya dengan Parti Rakyat Malaya) memang pernah menjadi pencabar terkuat terhadap Perikatan (kini Barisan Nasional) dalam tahun 1960-an.

Setelah memasuki tahun 1980-an dan 1990-an, sosialisme mengalami kesusutan, malah keruntuhan di negera-negara kesatuan Soviet Russia, Eropah Timur dan di beberapa tempat lain. Sosialisme di negara kita juga mengalami kesusutan akibat pengaruh dunia yang sangat tidak menguntungkan itu.

Namun demikian, Parti Sosialis Malaysia masih mendapat sokongan dan dengan sedaya-upaya cuba mendapat pendaftaran sebagai sebuah parti politik di negara kita. Andai sosialisme sudah tidak diterima oleh rakyat kita, kenapa kerajaan masih takut hendak meluluskan pendaftaran Parti Sosialis Malaysia?