Sistem kuota kemasukan ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA) diibaratkan oleh A Kadir Jasin sebagai sarang tebuan, sesiapa yang menjoloknya akan disengat.

Justeru, tiada sesiapa yang berani menjolok sarang itu, terutama setelah satu daripada berpuluh-puluh rayuan jawatankuasa rayuan pilihanraya Cina (Suqiu) - sistem kuota kemasukan IPTA digantikan dengan tindakan afirmatif (affirmativ action) tanpa mengira kaum sebagai perlindungan kepada golongan lemah dan memerlukan bantuan - terpaksa diketepikan akibat tekanan perkauman yang tidak rasional. Malah, tuntutan itu dianggap telah menggugat perpaduan rakyat dan keamanan negara.

Kali ini, kontroversi bermula apabila dilaporkan terdapat beratus-ratus pelajar bukan Melayu lulusan Sijil Pelajaran Malaysia yang cemerlang gagal mendapat tempat IPTA. Sementara di pihak yang lain, dilaporkan (mula-mula disahkan tetapi selepas lima hari dinafikan pula oleh Kementerian Pendidikan) lebih 7,000 tempat bagi kuota Bumiputera dikosongkan kerana tiada pemohon yang layak. Maka rasa tidak berpuas hati yang sudah lama terbenam itu tercetus kembali.

Kontroversi menjadi-jadi setelah Perdana Menteri pula memberikan ulasan bahawa kerajaan mungkin membuka kuota yang tidak berjaya dipenuhkan itu kepada pelajar bukan Bumiputera.

Tegasnya, pelajar Bumiputera mesti menerima kenyataan bahawa jika mereka tidak berminat menggunakan peluang tersebut, maka mereka juga tidak berhak menghalang orang lain mendapatkannya.

Entah kerana terlalu marah atau ada motif tersembunyi, Dr Mahathir Mohamad berkata lagi: "Kita buat ini (sistem kuota) kerana kepentingan rakyat. Jika mereka berpendapat dasar ini tidak baik, tidak mahu kuota, kerajaan boleh hapuskan kuota. Tetapi kerajaan akan akur kehendak rakyat sahaja."

Dalam konteks tersebut, 'kehendak rakyat' boleh dibaca sebagai 'kehendak Bumiputera' kerana 'kehendak bukan Bumiputera', umpamanya rayuan Suqiu berhubung hal ini telah diketepikan.

Sarang tebuan seolah-olah sengaja dijolok oleh Dr Mahathir, maka 'tebuan-tebuan' pejuang Melayu berterbangan di sana-sini untuk menyengat sesiapa yang dianggap 'musuh Melayu' kerana ingin menghapuskan sistem kuota.

Dr Mahathir dengan pantas menjelaskan bahawa cadangannya itu adalah kelonggaran yang tidak mutlak - untuk sesi pengambilan tahun ini berdasarkan kekurangan semasa. Kuota tersebut tidak akan dihapuskan kerana ia hak istimewa yang telah dipersetujui oleh semua kaum di negara ini selepas kemerdekaan.

BA berdolak-dalik

Menurutnya lagi, jika ia ditarik balik, Bumiputera yang ketinggalan dan didiskriminasi ketika zaman penjajahan akan terus ketinggalan. Beliau malah mencabar PAS agar menjelaskan pendirian parti itu mengenai sistem kuota tersebut.

Penulis berpeluang bertukar-tukar fikiran dengan beberapa orang cendekiawan Melayu parti-parti Barisan Alternatif mengenai isu ini. Menurut mereka, Islam boleh menerima dasar tindakan afirmatif tanpa mengira kaum. Namun, jika mereka mengambil pendirian agar sistem kuota kemasukan IPTA digantikan dengan tindakan afirmatif tanpa mengira kaum, maka mereka tentu akan dicap pengkhianat bangsa. Nampaknya inilah sebabnya Dr Mahathir berani mencabar PAS agar menjelaskan pendirian parti itu.

Justeru itu, tiada parti komponen Barisan alternatif yang berani mendesak agar sistem kuota kemasukan IPTA dihapuskan. Kali ini Dr Mahathir sendiri yang mengatakan kerajaan sedia menghapuskan sistem tersebut jika tuntutan itu 'kehendak rakyat'. Kemudian setelah dicabar begitu, PAS pula berada dalam keadaan serba-salah.

Sudah tiba masanya Barisan Alternatif tidak terus berdolak-dalik dan terperangkap dalam keadaan serba-salah, tetapi mengambil suatu pendirian yang tegas mengenai sistem kuota ini yang banyak menimbulkan masalah dan ketidakadilan. Parti yang progresif harus tegas dalam prinsip politik dan sepatutnya berupaya memimpin rakyat berbilang bangsa untuk memerangi fahaman perkauman sempit, dan tidak berkompromi atau tunduk akibat diperas-ugut atau takut kehilangan undi.

Di bawah tekanan emosi perkauman yang kian memuncak, dan selepas menerima isyarat yang jelas daripada Perdana Menteri sendiri, Kementerian Pendidikan tiba-tiba menjelaskan bahawa tidak wujud kekosongan kuota pelajar Bumiputera. Malah, laporan 7,168 tempat kosong itu adalah silap!

Jika silap, mengapakah tidak menafikan awal-awal lagi? Dan sukar dipercayai Dr Mahathir sanggup membuat ulasan sebelum mengesahkannya daripada kementerian itu terlebih dahulu.

Maklumlah Dr Mahathir sangat pantang disebut bersandiwara, tetapi tidakkah polemik sistem kuota baru-baru ini terlalu dramatik sehingga sukar sekali hendak dipercayai? Tidakkah ia seakan-akan kanak-kanak yang bermain silap mata!

Harus diingat, bukan semua pihak di kalangan Bumiputera cuba mempertahankan sistem kuota tersebut. Umpamanya penulis pojok Mingguan Malaysia Awang Sulung dan penulis New Sunday Times A Kadir Jasin telah mengemukakan pandangan-pandangan yang harus dipandang berat.

Melayu rasa terhina

Awang dalam rencana bertajuk 'Mentaliti pintu belakang punca melayu tidak cemerlang' (13 Mei lalu) menulis: "Awang pula berasa marah apabila ada pemimpin Melayu yang hanya nampak jalan mudah dengan menggesa kerajaan menurunkan syarat kelayakan supaya anak-anak Melayu dapat masuk ke universiti.

"Kenapa tidak minta supaya anak Melayu boleh masuk universiti secara automatik selepas Tingkatan Lima?

"Pemimpin seperti itu memalukan orang Melayu. Gesaan seperti itu boleh dianggap pengakuan bahawa anak-anak Melayu memang tidak mempunyai kekuatan sendiri untuk memenuhi syarat kemasukan ke universiti.

"Mentaliti seperti inilah yang terus merosakkan orang Melayu. Jika tidak mampu bersaing, gunakan kuasa politik. Masuk ikut puntu belakang. Tidak mengapa jika pelajar yang keluar itu nanti separuh masak atau graduan kelas tiga."

Kadir pula, dalam ruangan 'Other Thots' (hari yang sama) dengan tajuk 'Mengenai kuota dan sarang tebuan', menulis: "Apabila kita mara ke depan dan meninggalkan masa lampau di belakang, demi kecemerlangan akademik dan tradisi intelektual, sekurang-kurangnya kita harus menggabungkan beberapa unsur meritokrasi dalam pendidikan tinggi kita.

"Bukan semua orang Melayu suka bergantung kepada kuota. Kebanyakan mereka masuk universiti dengan kelayakan yang melebihi syarat minimum. Mereka tidak memerlukan jaring keselamatan (jaminan perlindungan). Namun mereka juga mengalami rasa terhina kerana digolongkan sebagai mereka yang ke IPT kerana kuota."

Bagi orang Melayu, sistem kuota itu hak istimewa seperti digariskan oleh peruntukan undang-undang atau rasa terhina seperti tanggapan Kadir? Apakah sistem itu menguntungkan Melayu pada keseluruhannya, terutama pada zaman kini yang sangat mementingkan daya saing?

Adakah sistem kuota tersebut adil kepada pelajar bukan Melayu yang juga memerlukan bantuan? Soalan-soalan ini akan terus dibahaskan lagi, selama penyelesaian memuaskan semua pihak belum dicapai.