Nanyang-MCA: arahan PM?
Pengambilalihan Nanyang Press oleh MCA melalui Huaren Holdings telah diluluskan oleh jawatankuasa pusat parti itu minggu lalu dengan 32 undi menyokong dan lapan menentang. Ini bermakna urus niaga berbaur politik bernilai RM230 juta itu diteruskan walau menghadapi tentangan hebat dari pelbagai pihak.
Pada hari yang sama, melalui iklan akhbar, mesyuarat tergempar perwakilan persatuan-persatuan Cina anjuran Dong Jiao Zong, Dewan Perhimpunan Cina Selangor, dan Gabungan Persatuan-persatuan Murid Tua Sekolah Cina Malaysia berjaya dilangsungkan di Dewan Perhimpunan Cina Selangor, Kuala Lumpur.
Hampir seribu wakil dari lebih 200 persatuan Cina seluruh negara telah menghadiri mesyuarat tergempar tersebut dan dengan sebulat suara meluluskan lima resolusi seperti berikut:
1. Akhbar yang diuruskan oleh swasta merupakan lidah rasmi rakyat, ia tidak harus dicampur tangan dan dikuasai oleh mana-mana parti politik, agar pendiriannya bebas dan sifatnya kekal objektif. Mesyuarat ini dengan tegas menentang pengambilalihan Nanyang Siang Pau dan China Press oleh MCA dengan mengabaikan kehendak rakyat;
2. Mesyuarat ini menyeru pemimpin-pemimpin dan ahli akar umbi MCA yang bersimpati agar menyokong gerakan kami untuk menentang pengambilalihan dua akhbar berbahasa Cina itu;
3. Ia menyeru masyarakat Cina supaya bersama-sama memulaukan Nanyang dan China Press apabila pengambilalihan kedua-dua akhbar tersebut menjadi kenyataan;
4. Mesyuarat juga menyeru MCA supaya menerima hasrat masyarakat Cina. Jika parti itu berdegil dengan keputusannya dan mengabaikan hasrat masyarakat tersebut, ia tentu akan mengalami kerugian besar dalam pilihanraya umum akan datang;
5. Mesyuarat mengesali pendirian Sin Chew Jit Poh kerana tidak membuat liputan mengenai tentangan masyarakat Cina terhadap pengambilalihan dua akhbar berkenaan.
Satu perkembangan menggalakkan, penganjur mesyuarat tergempar itu mengambil sikap lebih terbuka terhadap pemimpin parti-parti pembangkang yang hadir.
70 penulis pulau
Presiden Parti Rakyat Malaysia Dr Syed Husin Ali, Penegrusi DAP Lim kit Siang, Presiden Keadilan Dr Wan Azizah Ismail dan wakil PAS Dr Hatta Ramli telah diundang ke atas pentas, dan diberikan peluang berucap sepatah dua. Pemimpin-pemimpin ini memberikan jaminan bahawa mereka akan menentang pengambilalihan akhbar oleh mana-mana parti politik, termasuk parti pembangkang.
Hingga kini, lebih 70 penulis utama daripada akhbar-akhbar yang terbabit telah mengumumkan bahawa mereka tidak akan menyumbangkan tulisan sebagai membantah pengambilalihan akhbar-akhbar berkenaan. Tindakan tegas, cepat dan padu penulis-penulis ini memperlihatkan kesedaran kaum penulis untuk membela kebebasan media agar tidak dikuasai parti-parti politik.
Walaupun tindakan penulis itu dialu-alukan, tetapi ada juga pihak yang beranggapan tindakan itu pasif, seolah-olah meletakkan senjata tanpa berperang, dan merugikan pembaca.
Bagaimanapun jika mereka terus menyumbang tulisan kepada akhbar-akhbar itu, langkah itu bermakna mereka 'bikin tak serupa cakap' - menentang dengan mulut, tetapi menyokong dengan sumbangan tulisan!
Namun, harus diakui bahawa jika memulau sumbangan tulisan itu bermakna meletak pena, ia memang satu tindakan pasif dan merugikan penulis sendiri dan para pembaca .
Dengan kata lain, penulis-penulis yang terbabit - bila memboikot sumbangan tulisan masing-masing kepada dua akhbar yang dikuasai MCA - harus juga terus menulis dan menyumbangkannya kepada penerbitan alternatif.
Masalahnya di manakah akhbar atau penerbitan alternatif? Tidak dapat dinafikan, bilangannya terlalu sedikit dan edarannya juga sangat terhad. Ini bermakna tugas pejuang-pejuang kebebasan media yang tidak dapat dilengah-lengahkan lagi adalah dengan sedaya upaya mewujudkan akhbar dan penerbitan alternatif.
Kali ini bantahan terhadap MCA juga digerakkan oleh kakitangan Nanyang Siang Pau dan China Press . Mereka mengadakan tunjuk perasaan yang mendapat simpati dan sokongan yang meluas orang ramai.
Puak Ling lawan Lim
Tunjuk perasaan juga diadakan di depan pintu masuk pejabat Sin Chew Jit Poh untuk membantah akhbar tersebut -- pada peringkat awal, akhbar itu tidak menyiarkan semua berita mengenai tentangan terhadap pengambilalihan Nanyang dan China Press oleh MCA. Sin Chew juga enggan menafikan khabar angin bahawa pihaknya turut terlibat dalam pengambilalihan tersebut.
Hingga sekarang, keraguan orang ramai terhadap peranan Sin Chew Jit Poh dalam pengambilalihan itu masih belum terjawab. Andai pihaknya tidak terlibat, kenapa pengurusan kedua-dua akhbar yang terbabit telah diambilalih oleh kakitangan-kakitangan kanan daripada Sin Chew Jit Poh ? Kita tidak harus melupakan bahawa sebelum ini Sin Chew dan Nanyang adalah musuh ketat dalam perniagaan.
Lebih-lebih lagi, pengambilalihan itu juga ditentang oleh puak Lim Ah Lek, Timbalan Presiden MCA, yang sedang bermusuh dengan puak Ling Liong Sik, presiden parti itu. Sungguhpun puak Lim telah ditewaskan dalam mesyuarat jawatankuasa pusat (untuk membuat keputusan tentang hal ini), namun tidak harus dipandang ringan bahawa kumpulan Lim mendapat sokongan akar umbi MCA dalam kontroversi ini.
Di samping itu, orang ramai tentu ingin sekali ingin mengetahui siapakah sebenar 'tangan hitam yang tersembunyi' dalam pengambilalihan tersebut. Adakah urusniaga ini 'suka sama suka' atau sebaliknya?
Daripada maklumat dalaman yang boleh dipercayai, pemilik asal terpaksa melepaskan Nanyang Press kerana 'orang atas sekali' memberikan arahan agar MCA berbuat demikian.
Bagaimanapun apabila ditanya pemberita, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berkata beliau tidak menyokong dan tidak juga menentang pengambilalihan Nanyang Press. Seterusnya beliau menambah, jika PAS boleh mempunyai Harakah dan DAP boleh mempunyai Rocket , kenapa MCA tidak boleh mempunyai Nanyang Press?
Ini bermakna Dr Mahathir tidak berkecuali tetapi menyokong MCA menguasai Nanyang Press. Namun apakah Nanyang dan China Press boleh disamakan dengan dua akhbar pembangkang itu?
Harakah dan Rocket dibenarkan dikeluarkan hanya dua kali sebulan. Pembacanya dihadkan kepada ahli-ahli parti sahaja dan dilarang dijual di kedai-kedai biasa.
MCA mungkin akan berjaya untuk mengambilalih Nanyang Press dalam masa yang singkat. Tetapi tanpa sokongan masyarakat Cina, bagaimanakah Nanyang dan China Press dapat mengelakkan nasib yang sama dengan akhbar Thong Pao sebelum ini - terpaksa ditutup selepas dikuasai oleh MCA!


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.