Nanyang: Sokongan bawa Ling rebah
Setelah mencapai kemenangan tipis, majoriti 53 peratus undi, dalam mesyuarat agung luar biasa Ahad lalu, Ling Liong Sik dengan bangganya berkata: "Kemenangan itu tetap kemenangan, tidak penting sama ada majoriti 1 undi, 10, 50 atau 150 undi."
Jika dipandang hanya dari sudut pembelian Nanyang Press Holdings Bhd, oleh sayap pelaburan parti itu Huaren Holdings Bhd, kenyataan Ling itu memang tidak dapat dinafikan.
Namun jika dianalisis secara lebih mendalam dalam konteks perebutan kuasa dalam MCA dan kontroversi yang wujud daripada pengambilalihan syarikat akhbar itu, rasanya terlalu awal bagi Ling mengumumkan kemenangannya (dalam erti kata yang sebenar).
Kumpulan Lim Ah Lek mendapat peluang emas untuk mencabar kepimpinan Ling dengan mengeksploitasi isu pengambilalihan Nanyang Press yang turut ditentang hebat oleh masyarakat Cina umumnya .
Jelas sekali 'Kumpulan Lapan' - nama timangan bagi puak Ah Lek - telah mendapat sokongan akar umbi MCA sehingga berjaya memaksa Ling untuk bersetuju mengadakan mesyuarat agung itu demi mencapai keputusan muktamad. Jika diambil kira kuasa dan kemudahan yang dimiliki Ling sebagai presiden dan 'taktik-taktik kotor' yang digunakannya, maka kemenangan tipis Ling itu sesungguhnya tidaklah meyakinkan.
Sebaliknya, kredibilitinya sebagai presiden terjejas teruk apabila segala tohmahan menjijikkan dilemparkan tanpa berselindung lagi oleh Kumpulan Lapan kepada 'kepala ikan yang sudah busuk' itu (diakui Ling sendiri) di merata-rata tempat ketika siri ceramah diadakan.
Sebelum ini, Kumpulan Lapan sendiri sedar dan khuatir jika mereka gagal dalam mesyuarat agung itu, kepala mereka mungkin boleh dicantas oleh Ling. Namun, sokongan yang mereka terima begitu kuat - menyebabkan Ling hingga kini tidak berani mengambil sebarang tindakan 'balas dendam' dengan melulu.
Malapetaka amat besar
Jika Ling masih berura-ura hendak menghukum Kumpulan Lapan, maka Pengerusi Barisan Nasional Dr Mahathir Mohamad mungkin penghalang utama dalam hal ini, kerana pemimpin Umno itu yakin: "Presiden MCA Datuk Seri Dr Ling Liong Sik tidak akan membalas dendam terhadap ahli partinya yang lantang menentang langkah pembelian tersebut." Ling tentu faham amaran tersirat itu.
Beranikah Ling menghampakan keyakinan Perdana Menteri itu terhadapnya? Bukan lagi rahsia bahawa Ah Lek memang rapat dengan Umno, dan imejnya juga lebih bersih berbanding Ling yang terkait dalam skandal wang yang melibatkan anaknya. Faktor ini agak penting memandangkan Dr Mahathir sedang berusaha membersihkan imej partinya (juga BN?) daripada politik wang.
Oleh itu untuk jangka pendek, jika Kumpulan Lapan lebih berhati-hati dalam tindak-tanduk mereka, nampaknya mereka boleh selamat walau parti itu umpama retak menunggu belah!
Andainya Ling mengabaikan tentangan masyarakat Cina, dan berdegil hendak mengekalkan pembelian Nanyang Press, masyarakat itu mungkin tidak dapat membuat apa-apa pada masa ini, tetapi kemarahan mereka mungkin dijelmakan melalui sokongan kepada Barisan Alternatif pada pilihan raya umum akan datang.
Hanya peralihan beberapa peratus undi BN kepada BA, sudah cukup untuk menggoncang kuasa pemerintahan BN. Keadaan ini bermakna kemenangan tipis dan kedegilan Ling pada masa ini boleh membawa malapetaka yang amat besar kepada dirinya, partinya, malah BN umumnya.
Ling suka sebut tentang strategi, dan pengambilalihan yang berbaur politik Nanyang Press digelar pelaburan strategik yang akan memberikan keuntungan besar kepada MCA. Adakah ada ahli strategi yang dapat memberikan analisis bahawa langkah yang begitu berbahaya itu boleh dikatakan bijaksana dan menguntungkan?
Keadaan menjadi lebih buruk lagi apabila Dr Mahathir memperbaharui serangannya terhadap Nanyang Siang Pau dan China Press kononnya kedua-dua akhbar itu telah mengapi-apikan sentimen perkauman dalam liputannya ketika pilihan raya kecil Lunas November lalu dan menyebabkan kekalahan calon BN.
Jawatankuasa rayuan pilihan raya Suqiu dan beberapa persatuan Cina yang menentang pengambilalihan Nanyang Press pula dibidas sebagai bersekongkol dengan DAP dan akhbar berbahasa Cina dituduh 'cuba menggambarkan seolah-olah kerajaan anti-Cina.'
Hak istimewa Cina
Sungguhpun Dr Mahathir menafikan beliau memberikan arahan kepada MCA untuk membeli Nanyang Press, tetapi akhirnya beliau mengaku bersetuju urus niaga itu apabila Ling meminta pendapatnya.
Kini perjuangan kaum itu untuk mempertahankan kebebasan media berbahasa Cina dibidas dan ditanggapi sebagai menuntut 'hak-hak istimewa kaum Cina'. Maknanya masyarakat Cina memang tidak berhak untuk mempertahankan kebebasan media daripada dikuasai oleh parti politik - alasannya semua media arus perdana berbahasa Melayu dan Inggeris sudahpun dikuasai oleh parti komponen BN.
Amat dikesali, sejak akhir-akhir ini Dr Mahathir asyik memainkan sentimen perkauman. Umpamanya menjelang pilihan raya umum 1999, BN telah menerima rayuan Suqiu pada dasarnya. Setahun kemudian beliau, sebagai Pengerusi BN, Suqiu mencabar hak-hak istimewa Melayu.
Siapa kata kaum Melayu tidak memperjuangkan kebebasan media mereka? Said Zahari dalam tahun 1950-an telah memulakan tradisi ini di Utusan Melayu kerana menentang Umno yang cuba menguasai akhbar itu. Sekarang Kumpulan Aktivis Media Independen (Kami), yang asalnya diwujudkan sekumpulan wartawan Melayu, juga dengan gigih sedang memperjuangkan kebebasan media tanpa mengira bahasa dan bangsa, termasuk menentang pengambilalihan Nanyang Press oleh MCA.
Sekarang di hadapan Ling dan MCA hanya ada dua pilihan sahaja - terus berdegil atau menjual semua saham Nanyang Press kepada konsortium persatuan Cina yang diketuai oleh Tan Sri Lim Guan Teik, pengerusi Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Malaysia (Accim), dengan harga berpatutan. Lim mengalu-alukan pihak yang sudi menjadi rakan kongsi dalam pembelian tersebut asalkan bukan parti politik dan bukan pula bertujuan memonopoli media tempatan.
Andainya Ling masih berdegil hendak memegang sejumlah saham Nanyang Press - agar dapat menguasai media tersebut - dengan kerjasama rakan-rakan kongsi strategik yang lain, masyarakat Cina mungkin tidak dapat berbuat apa-apa pada masa ini, tetapi sanggupkah MCA dan BN menghadapi mereka pada pilihan raya umum akan datang?
Sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna!

