Kebakaran DTC: Titik mula pembersihan kampus?
Punca kebakaran di Dewan Tunku Canselor (DTC) Universiti Malaya dan bangunan Jabatan Matematik dan Sains Komputer, Universiti Putra Malaysia masih dalam siasatan polis.
Jabatan bomba tidak menafikan kemungkinan litar pintas sebagai puncanya, manakala pihak pengurusan UM dan UPM juga percaya kedua-dua insiden itu tidak melibatkan pelajarnya.
Namun Pemuda Umno dengan melulu mengaitkan kebakaran DTC itu dengan penerbitan majalah Varsiti 2001 dan penyebaran risalah 'Mahasiswa Bersama-sama Masyarakat'. Ketuanya Datuk Hishammuddin Hussein malah memberi amaran akan mendedahkan identiti apa yang dinamakan 'kumpulan antikerajaan' di kampus UM.
Penolong Setiausaha Pemuda Umno Zulkifli Mohd Alwi secara terus terang mendesak pengurusan institusi pengajian tinggi supaya mengambil tindakan tegas ke atas pertubuhan tidak berdaftar seperti Gabungan Mahasiswa Islam Semalaysia (Gamis) serta Himpunan Mahasiswa Islam Selangor (Hamas), 'menjalankan aktiviti dalam kampus secara bebas'.
Lidah pengarang Utusan Malaysia 2 Julai berjudul: 'Titik Mula Bagi Pembersihan Kampus', mengaitkan dua insiden kebakaran itu, berpunca daripada perbuatan khianat kumpulan militan di kampus. Seterusnya ia menggesa pihak universiti memulakan tindakan pembersihan dalam kampus.
Tambah lidah pengarang itu, turut menyuarakan kebimbangan bahawa kegiatan militan pelajar ini mungkin ada kaitan dengan gerakan pengganas antarabangsa yang melakukan jenayah atas nama jihad.
Lidah pengarang itu juga menyebut kumpulan berbahaya yang disyaki membunuh, menyerang balai polis, meletup kuil dan gereja, merompak bank dan menyamun pasar mini ini dipercayai sebagai sebahagian daripada rangkaian militan antarabangsa.
Perbuatan khianat
Pada hemat penulis, jika wujud kumpulan berbahaya seperti dinyatakan dalam lidah pengarang itu, maka mereka haruslah didedahkan dengan bukti-bukti yang kukuh dan dibicarakan di mahkamah terbuka supaya mereka mendapat pembelaan sewajarnya dan boleh dikenakan hukuman setimpal.
Bukti yang kukuh penting bagi membuktikan tuduhan itu. Ini kerana tuduhan Utusan itu boleh memberi kesan yang buruk kepada imej pelajar UM dan UPM. Justeru, ia tidak boleh berdasarkan andaian saja.
Memang terlalu awal untuk mengaitkan insiden kebakaran yang berkenaan dengan perbuatan khianat, apatah lagi mengaitkannya dengan kumpulan berbahaya yang merupakan sebahagian daripada gerakan pengganas antarabangsa.
Salah sangka boleh wujud daripada andaian-andaian. Kita tidak mahu pertubuhan pelajar seperti Gamis dan Hamas dijadikan 'kambing hitam' kepada segala insiden ini, sehingga baru sekarang pihak universiti digesa melakukan pembersihan di kampus UM dan UPM.
Seandainya insiden kebakaran itu juga dikaitkan dengan penerbitan majalah dan penyebaran risalah antikerajaan, maka adalah terlalu awal untuk membuat kesimpulan kerana punca insiden kebakaran sebenarnya belum diketahui.
Tambahan pula, sifat jenayah itu berlainan bentuk - penerbitan majalah atau penyebaran risalah yang lebih berbaur politik, dan sekiranya isi kandungannya tidak keterlaluan, maka ia masih boleh ditolak ansur berdasarkan perspektif demokrasi yang tulen dan matang.
Adalah tidak adil juga sekiranya kita melabelkan Gamis dan Hamas sebagai pertubuhan gerakan bawah tanah kerana mereka tidak didaftarkan, dan ia boleh menimbulkan persepsi negatif kepada pertubuhan-pertubuhan berkenaan.
Gerakan reformasi
Walaupun kegiatan mereka mungkin tidak digemari oleh universiti terbabit, kerana dianggap bertentangan dengan Akta Universiti dan Kolej Universiti, atau dicap antikerajaan, namun mereka masih boleh mempertahankan hak mereka untuk berpersatuan, bersuara dan menjalankan aktiviti.
Campur tangan Pemuda Umno dan Utusan Malaysia dengan menggesa pihak universiti mengambil tindakan terhadap pertubuhan pelajar yang disyaki terbabit dalam insiden kebakaran itu adalah amat dikesali.
Kita masih belum lupa bagaimana kerajaan melancarkan pembersihan terhadap gerakan reformasi negara April lalu dengan menahan 10 aktivis di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), menggunakan tuduhan yang sengaja direka tanpa bukti kukuh.
Kini aktivis-aktivis kampus pula menghadapi tuduhan lebih berat berbanding dengan yang dilemparkan kepada 10 tahanan ISA itu, kerana mereka telah dicap sebagai 'pelajar militan' dan disyaki melakukan jenayah yang dikaitkan dengan kebakaran di UM dan UPM.
Umpama 'pucuk dicita, ulam tiba', tidaklah hairan jika pihak berkuasa mengambil kesempatan ini untuk 'menangguk di air keruh.' Akhirnya insiden kebakaran UM dan UPM dijadikan titik mula bagi pembersihan kampus seperti yang dicadangkan oleh lidah pengarang Utusan Malaysia .
Kita khuatir akta ISA akan diguna pakai sekali lagi, dan yang jadi sasaran kali ini tentulah aktivis-aktivis kampus dari 'pertubuhan-pertubuhan haram' ini.
Berdasarkan analisis ini, para aktivis kampus harus bersiap sedia untuk menghadapi risiko dan mematahkan komplotan pembersihan kampus demi kepentingan gerakan pelajar khasnya dan keadilan masyarakat amnya.
Badan-badan hak asasi manusia, terutamanya Suhakam hendaklah memberi pemantauan rapi terhadap perkembangan dalam kampus supaya campurtangan parti pemerintah dalam urusan dalaman institusi pengajian tinggi dihentikan segera.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.