Negara Islam: Dilema PAS dan BA
Selama ini isu negara Islam memang menjadi satu dilema bagi PAS khasnya dan parti-parti dalam pakatan Barisan Alternatif amnya.
Selepas Dr Mahathir Mohamad membuat serangan terbaru terhadap PAS atas isu negara Islam semasa menggulung perbahasan pada perhimpunan agung Umno ke-55, dilema itu makin menjadi-jadi, sehingga menimbulkan krisis antara DAP dan PAS. Jika krisis itu gagal diselesaikan, ia mungkin mengancam keutuhan pakatan BA.
Dalam ucapan penggulungan Dr Mahathir yang dianggap oleh tukang ampu sebagai 'boleh mengalih gunung' itu, Dr Mahathir telah membuat tuduhan serius bahawa tokoh-tokoh PAS telah menipu orang Melayu, sekali gus orang Cina.
Dr Mahathir memberi hujah: "PAS sanggup tipu orang Melayu dengan mendakwa jika masuk PAS akan masuk Islam, undi PAS masuk syurga, sembahyang imam Umno tidak sah, sembelihan orang Umno haram dan bermacam lagi."
Cabar beliau pula: "Jika PAS tidak berhajat menipu orang Cina seperti PAS menipu orang Melayu, beritahu secara bertulis jenis kerajaan yang akan didirikan oleh PAS kepada sahabat karib PAS dalam DAP dan Suqiu."
Sama ada PAS menipu orang Melayu atau Umno menipu orang Melayu, tentunya orang Melayu lebih mengetahui.
Namun satu perkara yang penulis yakin dan rasanya sukar dipertikaikan: berbanding ahli-ahli Umno, imej ahli-ahli PAS memang lebih takwa dan beriman, sekalipun daripada kaca mata orang bukan-Islam .
Takwa dan beriman
Manusia yang takwa dan beriman tentu tidak pandai menipu. Sebab itu, apabila dicabar, tokoh PAS lantas mengaku jika mereka memegang kuasa pemerintahan, mereka akan melaksanakan negara Islam.
Oleh kerana negara Islam masih merupakan suatu konsep yang umum, tokoh PAS terpaksa mengaku pula bahawa PAS hanya akan menjelaskan secara terperinci bentuk negara Islam yang akan ditubuhkan selepas ia memperolehi kuasa pemerintahan negara nanti.
Dengan demikian, tokoh-tokoh PAS nyata sekali terperangkap dalam strategi Dr Mahathir yang merupakan 'serampang dua mata' itu.
Pertama, memaksa PAS mengaku tanpa berdolak-dalik lagi (kerana tidak mahu dituduh sebagai menipu orang Melayu) bahawa mereka akan melaksanakan negara Islam sekiranya mereka memperolehi kuasa pemerintahan. Ini untuk mengadu-dombakan PAS dengan DAP - parti yang memang kuat menentang penubuhan negara Islam selama ini.
Kedua, memaksa PAS menjelaskan secara terperinci bentuk negara Islam yang hendak ditubuhkan. Apabila PAS gagal berbuat demikian seperti yang diduga terlebih dahulu, maka ia akan dituduh pula sebagai berhajat untuk menipu orang Cina.
Sebagai seorang strategis, Dr Mahathir selanjutnya cuba membandingkan negara Islam corak Umno dengan negara Islam corak PAS untuk meyakinkan orang bukan Melayu bahawa negara Islam corak Umno adalah lebih sederhana dan rasional daripada negara Islam corak PAS.
Dr Mahathir dengan senyap-senyap telah membina sebuah negara Islam tanpa diwar-warkan, dan dengan sokongan secara sedar atau tidak sedar oleh parti-parti bukan Melayu dalam BN. Sungguhpun ia tidak diakui sebagai negara Islam oleh PAS, menurut Dr Mahathir, kerana BN tidak melaksanakan hukum hudud yang menjadi kriteria sesebuah negara itu Islam.
Menipu parti komponen
Mengikut logik Dr Mahathir, PAS juga boleh menuduh beliau sebagai menipu orang Melayu sekali gus menipu orang Cina, kerana di satu pihak beliau mendakwa Malaysia sebuah negara Islam yang tidak diterima PAS. Bukankah dakwaan beliau itu merupakan penipuan kepada orang Melayu? Di satu pihak yang lain, beliau telah menipu orang Cina, malah parti-parti komponen BN yang lain, kerana telah membina sebuah negara Islam dan penubuhan itu mengingkari Perlembagaan Persekutuan.
Tapi hairan sekali, apabila Dr Mahathir mengaku dengan tidak berselindung lagi bahawa negara kita adalah sebuah negara Islam, semua pihak membisu seribu bahasa. Seolah-olah semua bersetuju dengan PAS bahawa negara Islam corak Umno bukan negara Islam, negara Islam hanya merupakan hak monopoli PAS.
Namun Dr Mahathir mempertahankan negara Islam corak Umno dengan mencabar PAS untuk menyebutkan mana-mana satu negara yang menguatkuasakan hukum hudud. Menurut Dr Mahathir, setakat yang mereka sahkan, tidak ada satu pun negara yang menguatkuasakan hukum hudud, kerana masyarakat sekarang berbeza dengan masyarakat Islam pada zaman Nabi.
Tidak dapat dinafikan bahawa pandangan Dr Mahathir mengenai hukum hudud itu lebih liberal serta praktikal, dan bersesuaian dengan peredaran zaman dan keadaan masyarakat negara kita sekarang.
Dari segi strategi, mengambil pendirian yang memesong daripada pendirian bersama seperti yang dijelaskan dalam manifesto bersama BA dalam pilihanraya umum 1999 memang tidak bijaksana walau kerana dicabar oleh Dr Mahathir. Dan menafsirkan kandungan manifesto itu sebagai mengizinkan penubuhan negara Islam juga tidak munasabah.
Krisis dalaman
Antara parti-parti komponen BA, PAS mungkin lebih kuat dari segi bilangan ahli dan organisasi, maka PAS mulai bercakap tentang hendak menjadi tonggak BA, malah bercakap tentang pelaksanaan negara Islam jika PAS (kenapa bukan BA?) memperolehi kuasa pemerintahan pada pilihan raya umum yang akan datang. Rasanya sikap PAS itu sudah memperlihatkan sifat angkuh dan kurang semangat sepasukan dan setiakawan.
Pendirian keras, tuduh-menuduh, dan cabar-mencabar untuk meninggalkan pakatan BA secara terbuka juga bukan sikap positif, berdisiplin, toleran dan hormat-menghormati antara parti-parti komponen . Dalam proses menyelesaikan perbezaan, malah krisis dalaman, BA gagal mempertahankan imejnya sebagai pakatan yang matang dan berwibawa.
Kelemahan-kelemahan ini jika tidak dibendung dan dibetulkan dengan segera, ia sudah tentu akan menjejaskan keutuhan pakatan BA yang semakin mendapat sokongan rakyat pelbagai kaum kini.
Bagaimanapun, kita harus akui bahawa penubuhan negara Islam di negara kita juga tidak praktikal jika diambil kira faktor-faktor berikut:
Jaminan Perlembagaan Persekutuan bahawa negara kita adalah negara sekular;
Negara kita merupakan masyarakat majmuk dengan 40 peratus rakyatnya terdiri daripada orang bukan-Islam;
Ia tidak dapat diterima oleh parti-parti komponen BA yang memperjuangkan keadilan dan demokrasi pada peringkat ini;
Umat Islam juga mempunyai pengertian malah pendirian yang berlainan terhadap apa yang dinamakan negara Islam itu; dan
Ia mungkin bercanggah atau sukar dikompromikan dengan nilai-nilai sejagat zaman kini, umpamanya kesetaraan kedudukan jantina, agama dan bangsa; hak-hak asasi manusia, dan prinsip-prinsip kebebasan dan demokrasi.
Rakyat majoriti
Faktor-faktor tersebut harus diambil kira dan ditangani secara serius, walaupun ia bermakna perlu diadakan kajian, perbincangan, bahkan perbahasan secara mendalam, meluas dan terbuka bukan sahaja di kalangan pemimpin-pemimpan BA, tetapi juga di pelbagai lapisan dan golongan rakyat yang terdiri daripada agama dan kaum yang berlainan.
Jika persetujuan tidak dapat diperolehi daripada kaum dan rakyat bukan Islam, maka negara Islam tidak patut dipaksakan ke atas mereka walaupun melalui referendum, kerana masalah yang berkaitan dengan kepentingan agama-agama yang lain dan rakyat bukan Islam tidak harus ditentukan oleh rakyat majoriti yang beragama Islam, apatah lagi negara Islam tidak semestinya menguntungkan umat Islam dalam masyarakat majmuk seperti Malaysia.
Bagi rakyat pelbagai bangsa dan agama yang benar-benar menghargai nilai-nilai sejagat zaman kini seperti prinsip-prinsip demokrasi, hak-hak asasi manusia dan kesetaraan kedudukan jantina, agama dan bangsa. PAS harus berhati-hati dalam menangani isu negara Islam yang terlalu kontroversial ini.
Moga-moga suatu penyelesaian yang merupakan kompromi rakyat semua bangsa dan agama dapat dicapai oleh BA menjelang pilihan raya umum akan datang.

