Mansuhkan Auku, bukan ketatkan lagi
Ekoran kebakaran Dewan Tunku Canselor, seolah-olah suatu konspirasi menindas gerakan siswa secara menyeluruh telah dimulai dengan melabel mereka terlibat dalam kegiatan 'militan' dan 'antikerajaan.'
Malah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) sekali lagi - sejak sekian lama - digunakan untuk menahan pelajar Institut Kemahiran Mara (IKM) Khairul Anuar Ahmad Zainuddin dan Presiden Majlis Perwakilan Universiti Malaya (MPMUM) Mohamad Fuad Mohd Ikhwan dengan 'mengancam keselamatan negara.'
Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad selanjutnya mencadangkan pindaan Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku) bagi memastikan pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) memberikan tumpuan kepada pelajaran, bukannya kegiatan luar.
Timbalan Menteri Pendidikan Abdul Aziz Shamsuddin pula memberikan reaksi tanpa berlengah-lengah lagi: "Jika keperluannya mendesak, pindaan itu akan menjadi kenyataan tahun depan."
Pada hari yang sama, lidah pengarang Utusan Malaysia (16 Julai) memberikan sokongan penuh dan berhujah bahawa pindaan akta seumpama itu selaras dengan harapan rakyat dan ibu bapa pelajar. Masa depan negara dan siswa sendiri amat bergantung kepada tumpuan mereka untuk cemerlang dalam pelajaran.
Walau diakui pelajar perlu memiliki sifat-sifat unggul dan menerima idea-idea baru seiring dengan perkembangan masyarakat dan dunia, namun mereka dikehendaki pula 'melihat usaha kerajaan dari sudut positif untuk kebaikan bersama.' Secara logik, bercanggah pendapat dengan kerajaan sering ditafsirkan sebagai sikap negatif yang merugikan.
Minda mereka tertutup
Bagaimanakah siswa dapat disifatkan sebagai idealistik dan sanggup menerima idea-idea baru, jika mereka dibenarkan bertumpu kepada pelajaran sahaja, dan dilarang menyuarakan pendapat tentang, misalnya, hak asasi (termasuk hak siswa sendiri) untuk berpersatuan, berkumpul secara aman, bersuara, dan memperjuangkan keadilan?
Mereka juga dilarang menentang ISA yang kejam, dan menentang Auku yang mengongkong kebebasan bergerak mereka, bagaimana?
Tidak dinafikan, tumpuan kepada pelajaran tugas utama pelajar. Namun, jika hujah itu dijadikan alasan untuk menindas gerakan siswa yang bertanggungjawab, maka bagaimanakah mereka yang bakal menjadi pemimpin negara ini dapat diasuh menjadi manusia yang berfikiran terbuka, bebas, kritis dan berdikari?
Andainya mereka hanya terkurung di bilik kuliah dan perpustakaan, pakar dalam menghadapi pelbagai peperiksaan, cemerlang menghafal teori sesuatu disiplin yang dipelajarinya, tetapi tidak berminat dan buta isu-isu semasa yang mempengaruhi negara kita - mahasiswa seperti ini tentu tidak layak disifatkan mempunyai ciri-ciri unggul dan minda mereka tertutup daripada menerima idea-idea baru.
Mereka mungkin rakyat yang taat setia, berjiwa hamba, dan mudah sekali diperdayakan. Namun, bakal pemimpin negara kita seperti ini pasti juga tidak dapat diharapkan!
Cuba siasat latar belakang pemimpin-pemimpin politik negara kita, baik daripada parti pemerintah atau pembangkang, bukankah kebanyakan mereka bekas aktivis serta pemimpin gerakan pelajar? Berapa orang 'ulat buku' yang benar-benar berjaya dalam arena politik negara kita?
Tergamak kerajaan Barisan Nasional menuduh siswa terlibat membakar DTC tanpa bukti yang kukuh, lantas menahan dua orang aktivis pelajar di bawah ISA dengan tuduhan 'mengancam keselamatan negara,' dan selanjutnya bercadang meminda Auku agar kegiatan pelajar dapat ditindas dengan lebih berkesan lagi.
Semangat antipelajar
Semua ini menunjukkan kerajaan BN telah kebuntuan fikiran untuk menghadapi kebangkitan gerakan siswa yang kian menjadi-jadi - melainkan dengan cara kuku besi dan semangat antipelajar.
MPMUM telah menunjukkan kematangan, kesabaran dan kesederhanaan mereka dengan menyerahkan 'Deklarasi Misi Keamanan Universiti Malaya' kepada pihak-pihak berkuasa yang berkaitan dalam usaha diplomasi untuk membersihkan nama presiden mereka yang ditahan mengikut akta itu.
Deklarasi tersebut antara lain memohon kerjasama semua pihak agar bertenang ketika menghadapi kegawatan situasi yang sedang berlaku di kampus, serta menuntut pembebasan presiden mereka yang dipercayai tidak pernah terlibat dalam sebarang kesalahan jenayah yang boleh menjejaskan keselamatan negara dan masyarakat.
Di samping itu, 11 majlis perwakilan pelajar (MPP) turut mengeluarkan kenyataan bersama.
Kenyataan itu menuntut segala label negatif yang tidak berasas yang dilontarkan oleh media kepada siswa, seperti 'mahasiswa militan' dan 'mahasiswa antikerajaan', ditarik balik dan dihentikan daripada sebarang perbincangan melalui media, demi membersihkan nama pelajar sebagai generasi harapan negara pada masa hadapan.
Nyata sekali komplot kerajaan BN yang disokong oleh media arus perdana menggunakan label-label itu sebagai alasan rekaan untuk menahan dua aktivis pelajar mengikut ISA khasnya, dan menindas gerakan pelajar amnya. Tindakan ini telah mengguris hati dan menyinggung perasaan warga kampus seluruh negara.
Hubaya-hubaya, bantahan dan tuntutan warga kampus IPT awam yang tegas, lantang dan munasabah ini tidak harus diabaikan oleh pihak yang terbabit sebelum mereka yang selama ini bersifat sederhana, jinak dan menyerah ini menjadi benar-benar bertukar 'militan' dan 'antikerajaan'.

