Antara prinsip dan muslihat politik
Parti politik yang berideologi selalu berpegang teguh kepada prinsip politiknya. Umpamanya memperjuangkan demokrasi, keadilan, hak asasi manusia dan nilai-nilai sejagat yang lain.
Prinsip-prinsip politik seperti yang tersebut di atas tidak akan berubah mengikut kepentingan politik semasa atau kepentingan peribadi atau fahaman perkauman.
Pada masa yang sama, parti politik yang oportunis sebaliknya tidak berideologi dan tidak dipandu dengan prinsip-prinsip tertentu. Pendirian politiknya berubah-ubah mengikut manipulasi dan muslihat politik demi kepentingan peribadi atau politik semasa yang mudah dalam jangka pendek .
Sikap dan pendirian Umno, terutamanya Dr Mahathir terhadap sistem kuota dalam bidang institusi pendidikan tinggi awam (IPTA) adalah satu contoh yang baik sekali tentang bagaimana ahli politik oportunis memanipulasi dengan muslihat politik yang mengelirukan rakyat sehingga menimbulkan ketegangan kaum.
Menjelang pilihanraya umum tahun 1999, Umno melalui kerajaan BN telah terima pada prinsipnya rayuan(termasuk cadangan membatalkan sistem kuota) pilihanraya umum yang di kemukakan oleh Jawatankuasa Suqiu Persatuan-Persatuan Cina, untuk meraih sokongan pengundi Cina.
Setahun kemudian, Dr Mahathir sebaliknya membidas Jawatankuasa Suqiu Persatuan-Persatuan Cina, kononnya mereka mencabar hak-hak keistimewaan orang Melayu, dan perbuatan mereka disamakan dengan perbuatan Al'maunah dan komunis. Hal ini menyebabkan kemarahan masyarakat Cina dan disusuli dengan kekalahan calon BN dalam pilihanraya kecil DUN Lunas di Negeri Kedah.
Menyahut cabaran
Jumaat lalu , Dr Mahathir sendiri pula menyatakan kerajaan mungkin melaksanakan dasar meritokrasi ke atas pelajar untuk memasuki IPTA pada semester depan. Ia satu langkah radikal untuk memastikan pelajar Bumiputera menumpukan perhatian terhadap pelajaran, bukannya terbabit dalam kegiatan tidak berfaedah terutama politik.
Aneh sekali, cadangan Dr Mahathir yang serupa dengan cadangan Suqiu itu bukan saja tidak disamakan dengan perbuatan Al'maunah dan komunis, malahan disokong oleh pihak yang sama dulunya menentang cadangan Suqiu kerana khuatir hak keistimewaan orang Melayu tercabar.
Umpamanya Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GMPS) kini meminta pelajar Bumiputera menyahut cabaran Perdana Menteri bagi membuktikan mereka mampu mencapai kecemerlangan sama seperti pelajar bukan Bumiputera .
Lidah pengarang Utusan Malaysia (30 Julai, 2001) pula berpendapat bahawa langkah kerajaan yang mengetepikan kepentingan politik itu hendaklah dilihat sebagai sesuatu tindakan yang perlu diambil bagi mengembalikan keupayaan pelajar Melayu khususnya dan orang Melayu amnya, untuk bersaing dengan kaum-kaum lain.
Menteri Pendidikan Tan Sri Musa Mohamad berpendapat rakyat termasuk ahli akademik tempatan harus melihat langkah ini sabagai sesuatu yang positif bagi orang Melayu dan Bumiputera.
Setiausaha Agung Umno, Tan Sri Khalil Yaakob juga memberi sokongan kepada Dr Mahathir dengan alasan bahawa penggunaan dasar meritokrasi ke atas kemasukan pelajar Bumiputera ke universiti bertujuan mengelak mereka, kerajaan dan orang Melayu mengalami kerugian jangka panjang.
Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Rafidah Aziz lagi berani. Beliau menegaskan bahawa masuk ke universiti bukan hak istimewa Melayu tetapi hak mereka yang pandai dan mereka yang layak.
Ketua Penerangan PAS, Azizan Abdul Razak dan Ketua Pemuda PAS, Mahfuz Omar sebaliknya tampil ke hadapan untuk menentang dasar meritokrasi yang dicadangkan oleh PM itu , demi mempertahankan hak keistimewaan orang Melayu seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
Taktik ugutan BN
Cadangan PM itu dibidas oleh Mahfuz Omar sebagai 'tidak rasional', 'tidak sesuai', 'tidak berguna', dan merupakan 'taktik ugutan' BN untuk mengembalikan undi Melayu sekali pun melalui paksaan.
Mahfuz memang sensitif dalam mengenalpasti cadangan PM itu sebagai 'taktik ugutan'. Padahal Dr. Mahathir tidak berselindung bahawa tujuannya ialah supaya orang Melayu terutama pelajar IPTA berterima kasih kepada dasar sistem kuota BN, jauhi politik pembangkang dan aktiviti-aktiviti yang dianggap sebagai anti-kerajaan, dan bersetuju untuk menandatangani 'perjanjian berkelakuan baik' serta pindaan AUKU untuk memperketatkan kawalan terhadap pelajar IPTA.
Namun, apabila pemimpin Umno sendiri terpaksa mengaku, sungguhpun sebagai muslihat politik, tentang kepincangan sistem kuota , pemimpin PAS sebaliknya tampil ke hadapan untuk mempertahankannya.
Perbuatan seperti ini bukan saja menyimpang daripada prinsip politik hak-hak asasi manusia dan kesetaraan kaum, ia juga tidak bijaksana dari segi taktik politik kerana mempertahankan kegagalan Umno dalam amalan sistem kuota. Satu kepincangan yang ketara apabila sistem kuota diamalkan selama berpuluh-puluh tahun , pelajar Melayu kehilangan daya saing sama sekali.
Mengikut 'statistik yang menakutkan' seperti didedahkan oleh Abdullah Ahmad (Rencana , Mingguan Malaysia, 29 Julali, 2001), jika sistem meritokrasi dilaksanakan, dikhuatiri bilangan pelajar Bumiputera di IPTA akan menurun kepada tahap seperti sebelum merdeka , iaitu antara 8-20 peratus. Di Fakulti Perubatan, hanya 4 peratus yang berkelayakan.
Statistik menakutkan
Dari statistik tersebut, jika mana-mana pihak atau parti politik masih bermati-matian hendak meneruskan sistem kuota yang telah membunuh daya saing pelajar Melayu, adakah mereka itu benar-benar memperjuangkan nasib, maruah dan kepentingan kaum Melayu seperti yang didakwakan selama ini?
'Statistik yang menakutkan' tersebut dengan sendiri membayangkan bagaimana sukarnya Dr Mahathir dan Umno hendak menghadapi pelajar dan orang Melayu jika dasar meritokrasi dilaksanakan.
Begitu juga PAS, tidak berani menyokong dasar meritokrasi kerana ia akan menjejaskan kepentingan orang Melayu dalam jangka masa pendek, sebaliknya mungkin menguntungkannya pada jangka masa panjang, jika ia diamalkan sejajar dengan tindakan affirmatif yang mengambil kira kedudukan sosio-ekonomi pelajar tanpa mengira kaum.
Muslihat politik Umno mudah terdedah, apabila ia dilihat sebagai satu gertakan Dr Mahathir untuk satu tahun saja, agar pelajar berterima kasih kepada sistem kuota yang diperkenalkan BN. Seterusnya persetujuan untuk menandatangani 'perjanjian berkelakuan baik' dan pindaan ke atas akta universiti (AUKU ) bertujuan memperketatkan kawalan terhadap pelajar IPTA.
Pemuda Umno tentu tidak ketinggalan menentang dasar meritokrasi yang dicadangkan itu, dan tentu ada banyak nasionalis 'haprak' yang akan terikut-ikut untuk menyuarakan penentangan.
Mengikut Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dr Rais Yatim, dasar meritokrasi bagi kemasukan ke IPTA tidak boleh dilaksanakan tanpa pindaan ke atas Perlembagaan Persekutuan, melainkan mendapat arahan daripada Perdana Menteri untuk meminda Perlembagaan, status quo kekal.
Memang benar, status quo kekal. Nampaknya, Rais Yatim lebih bijak membaca muslihat politik Dr Mahathir !

