Orang kuat Presiden MCA tersungkur
baru
MCA seakan-akan 'sudah jatuh ditimpa tangga'. Masih belum pulih daripada pukulan isu pembelian Nanyang Press, ia sekali lagi terbabit dalam insiden kekecohan yang tercetus dalam Perhimpunan Agung Tahunan Pemuda MCA pada 3 Ogos 2001 di Hotel Flamingo.Kekecohan tersebut dianggap sebagai amat 'memalukan' oleh kawan dan lawan. Ini kerana ia membabitkan panggilan bom palsu, penggunaan bom busuk, pergelutan dan tumbuk-menumbuk, bertindak liar dan membaling kerusi sehingga ada yang memulau perhimpunan secara beramai-ramai.
Tidak dinafikan ia membayangkan bagaimana sengitnya kemelut perebutan kuasa antara puak Ling Leong Sik dengan puak Lim Ah Lek dalam MCA. Ia amat ketara setelah tercetus kontroversi pembelian Nanyang Press, yang menjadikan MCA sebagai "pihak yang kalah paling teruk sekali" (kata Ting Chew Peh, Setiausaha agung MCA) dari segi imej dan hubungan parti itu dengan masyarakat Cina .
Perkembangan terbaru ini menunjukkan pengaruh puak Lim Ah Lek berkembang pesat, sehingga dua orang kuat Presiden dalam Pemuda MCA, iaitu Setiausaha Agung Pemuda, Senator Yew Teong Look dan Naib Ketua Pemuda merangkap Setiausaha Politik kepada Menteri Pengangkutan, Loh Seng Kok terus tersungkur selepas dilucutkan jawatan masing-masing oleh Perhimpunan Agung Tahunan Pemuda MCA.
Tempoh jawatan
Sebelum ini, kedua-dua orang kuat presiden tersebut masih agak agresif dengan cubaannya untuk menyingkir Ketuanya, Ong Tee Keat, dengan mengadakan Sidang Tergempar Jawatankuasa Pusat tanpa arahan Ong, untuk membatalkan resolusi menentang pembelian Nanyang Press yang diluluskan oleh Perhimpunan Agung Luar Biasa pada 23 Jun 2001 .
Selain itu, Perhimpunan juga mengesahkan kesahihan resolusi menentang pembelian Nanyang Press yang diluluskan dalam Perhimpunan Agung Luar Biasa itu. Ia juga memutuskan bahawa Sidang Tergempar Jawatankuasa Pusat pada 12 Julai 2001 yang dipanggil oleh 25 orang ahli Jawatankuasa Pusat adalah tidak sah dan resolusi yang diluluskan oleh sidang tersebut sekaligus dibatalkan.
Pemuda dan Wanita MCA juga meluluskan usul mengenai tempoh jawatan Presiden, Ketua Pemuda dan Ketua Wanita MCA dihadkan kepada tiga penggal atau sembilan tahun saja .
Kejayaan ini tentu menaikkan semangat puak Lim lagi, kerana resolusi ini membawa mesej jelas daripada kumpulan akar umbi MCA agar Ling berundur atau disingkirkan dari jawatan presiden yang terlalu lama disandangnya.
Padahal usul yang sama pernah ditolak oleh Jawatankuasa Pusat yang dikuasai puak Ling. Jika tidak, kemungkinan ia diluluskan oleh sidang Perhimpunan agung MCA ke-48 juga wujud memandangkan terhakisnya pengaruh Ling setelah beliau terbabit dalam beberapa skandal kewangan, termasuk yang terbaru berkaitan dengan pembelian Nanyang Press.
Ditambah lagi, dengan kegagalan beliau dalam menangani beberapa isu pendidikan Cina, seperti Projek Sekolah Wawasan, SRJK Damansara, dan diskriminasi pinjaman buku teks kepada sekolah aliran Cina dan Tamil.
'Khabar angin' cepat tersebar di lamang-lamang internet, sehingga Dr Ling terpaksa menafikannya dengan mencabar pihak berkenaan supaya membuat laporan polis sekiranya mereka mempunyai bukti.
Kopitiam.com
Dr Ling juga menyatakan kesediaan beliau untuk meletak jawatan sebagai Presiden MCA jika terbukti beliau mendapat manfaat daripada pengambilalihan 72.35 peratus saham Nanyang Press.
'Khabar angin' mengenai skandal pengambilalihan Nanyang Press tampaknya bukan khabar biasa, kerana selepas butir-butir terperinci mengenai skandal tersebut disiarkan dalam forum bahasa Cina yang agak popular: laman web kopitiam.com (kopitiam dalam bahasa Cina bermakna kedai kopi).
Laman web bebas itu dengan tidak semena-mena telah dirampas dan perampasnya berjaya merampas hak kawalan terhadap laman web itu dan menapis semua bahan yang berkaitan dengan skandal pengambilalihan Nanyang Press.
Malah perang IT menyusul, dan pada satu ketika tiga laman web dengan nama kopitiam telah wujud berdampingan pada masa yang sama, dan oldkopitiam.com muncul semula sebagai sambungan kopitiam asal yang melaksanakan dasar bebas untuk semua.
Rasanya kedudukan Ling makin goyah akibat perkembangan terbaru. Umpamanya insiden kekecohan yang dipercayai dicetuskan oleh puak Ling yang membabitkan perwakilan dari negeri Perak, Selangor dan Wilayah Persekutuan, sudah pasti akan mencemari imej Ling selanjutnya.
Ong Tee Keat telah membuat laporan polis mengenai insiden tersebut, dan siasatan parti juga dijalankan. Sekiranya tindakan disiplin diambil terhadap budak-budak Ling jika mereka didapati bersalah, imej Ling tentu akan turut terjejas.
Ling secara sinis menyindir musuh politiknya, buat apa susah-susah hendak meminda perlembagaan parti untuk menghadkan tempoh jawatan Presiden kepada tiga penggal atau sembilan tahun, jika hendak menjatuhkannya, tahun depan mereka boleh berbuat demikian melalui Perhimpunan Agung Tahunan parti.
Cabaran sinis ini sebenarnya mendedahkan rasa takut dan sedar beliau akan menghadapi kesulitan untuk mempertahankan kedudukannya sebagai Presiden tahun depan. Menurut trend perkembangan terbaru, tidaklah memeranjatkan jika beliau dicabar atau dijatuhkan!

