Mogok ngeri di Triang - Bah 1
Boleh dikatakan 'kebetulan', saya menyertai perjuangan pekerja ladang di Bukit Asahan, Melaka dan Triang, Pahang pada 1967.
Jika saya tidak dipecat daripada Universiti Nanyang, Singapura dan diusir oleh regim Lee Kuan Yew, tentu saya tidak kembali ke Semenanjung sebagai 'penganggur', dan kemudiannya diajak ke Melaka.
Bagaimanapun, siswa Universiti Nanyang pada masa itu memang bersimpati pada perjuangan kaum pekerja yang tertindas. Justeru setelah dipecat, kami secara sukarela ke Bukit Asahan dan Triang untuk bersama perjuangan rakyat.
Pada masa itu, intelektual yang insaf tidak begitu mengindahkan 'ijazah' dan kepentingan peribadi. Mereka kebanyakannya sudi ke tempat-tempat yang memerlukan perkhidmatannya. Mereka bekerja kuat, berkorban masa,wang dan kebebasan demi kepentingan kaum pekerja.
Dalam masa yang singkat, kami mendapat kepercayaan dan sokongan pekerja. Oleh itu, kami dapat memainkan peranan positif dalam perjuangan pekerja, sekali gus mendapat ujian dan didikan dalam perjuangan.
Setelah beberapa bulan hidup dan berjuang bersama pekerja-pekerja ladang Bukit Asahan, barulah saya secara amali mengetahui keadaan yang sebenar bagaimana majikan menindas dan memeras pekerja.
Membela kepentingan kaum pekerja tidak lagi konsep abstrak, tetapi kenyataan hidup sehari-hari. Berkhidmat kepada rakyat tidak lagi 'romantik' - ia lebih berkaitan dengan pahit-getir, malah hidup mati pekerja. Ia bukan perkara remeh-temeh yang boleh dimain-mainkan mengikut sentimen atau cita rasa kaum intelektual.
Linangan air mata ibu
Saya amat terharu oleh kejadian-kejadian yang saya alami seperti berikut. Pertama, melibatkan ibu. Masa itu, ibu takut saya - setelah terlepas ancaman kuku besi regim Lee Kuan Yew - terjatuh pula dalam genggaman kuku besi regim Tunku Abdul Rahman. Oleh itu, beliau 'memaksa' (dengan rayuan dan titisan air mata) seorang teman membawanya ke ladang Bukit Asahan untuk berjumpa saya.
Ibu telah berazam membawa saya pulang dengan apa cara sekalipun supaya tidak ditangkap polis. Saya membuat persiapan untuk menghadapi situasi sukar seperti ini. Namun, semua alasan dan pujukan yang dihafal sebelum itu lenyap daripada fikiran saya sebaik saja mata bertembung dengan mata ibu yang berlinangan air mata dan selepas menatap wajah ibu yang tertera seribu kekhuatiran.
Sebelum itu, beberapa pekerja wanita yang sebaya dengan ibu telah bersalaman dengannya dan mengajaknya 'bersembang.' Entah apa yang dibualkan, kesudahannya amat ketara, ibu nampaknya berjaya diyakinkan bahawa tidak patut membawa saya pulang.
Sebelum menginggalkan Bukit Asahan, ibu memberitahu secara ringkas: "Rasanya, semua orang di sini benar-benar sukakan kau dan juga memerlukan bantuan kau. Ibu tidak patut mementingkan diri sendiri saja. Tetapi janji kepada ibu, berhati-hatilah supaya tidak jatuh ke tangan mereka!"
Keluarga saya daripada lapisan masyarakat bawahan yang sentiasa terjeremus dalam pahit-getir kehidupan. Ibu dengan mudah saja dapat memahami keadaan pekerja-pekerja yang tertindas itu, dan bersimpati dengan perjuangan mereka. Saya berasa lega, malah berbangga, dengan ibu yang kian meningkat kesedarannya.
Kejadian kedua berlaku di balai polis Bukit Asahan pada 23 Mac 1967. Waktu itu, saya dengan setiausaha agung Kesatuan Pekerja-pekerja Ladang Malaya Bersatu (KPLMB), Lim Joo, telah ditahan dengan sewenang-wenangnya.
Polis hendak membawa kami ke tempat tahanan balai polis Melaka tetapi pekerja-pekerja cuba menghalangnya. Mereka melaung-laungkan kata-kata secara berterusan, meminta kami dibebaskan segera.
Ikhlas, mengenang budi
Mereka sangat beremosi dan sanggup berbuat apa sahaja untuk mempertahankan kebebasan kami. Demi mengelakkan keadaan tegang yang mungkin mengakibatkan pertumpahan darah, kami dengan tegas meminta para pekerja agar bertenang dan berundur. Dalam perjalanan ke bandar Melaka, kami sangat terharu memikirkan keberanian dan kesediaan mereka mempertahankan kebebasan kami.
Kejadian ketiga berlaku pada tahun 1990-an. Saya ke Triang untuk menghadiri seminar anjuran DAP. Seminar itu tamat hampir tengah malam. Namun, masih ada beberapa orang pekerja yang telah berusia dari ladang Triang datang mengajak saya minum di kedai kopi. Mereka tidak menyebut tentang kerugian dan pengorbanan mereka dalam mogok pekerja tahun 1960-an tetapi berulang-ulang memuji dan memberikan penghormatan kepada pemimpin-pemimpin KPLMB kerana dipenjara bertahun-tahun lamanya demi membela kepentingan kaum pekerja.
Kejadian keempat berlaku ketika kempen pilihan raya umum 1990. Waktu itu saya calon DAP bagi kawasan parlimen Bakri (Muar, Johor). Suatu petang, seorang pekerja India datang ke pusat pilihan raya untuk berjumpa saya tetapi saya telah keluar.
2 Beliau memperkenalkan diri sebagai bekas pekerja ladang Bukit Asahan. Katanya, beliau hendak mendermakan RM500, yang telah dikutipnya, sebagai sokongan kepada saya. Setelah menyerahkan wang itu, beliau terus meminta diri kerana perlu bekerja pagi esok. Beliau datang dari Batu Pahat dengan menunggang motosikal.
Kejadian-kejadian yang berlaku semasa dan selepas mogok pekerja di ladang-ladang Bukit Asahan dan Triang membuktikan kaum pekerja sangat tulus ikhlas dan mengenang budi. Mereka dapat membezakan kebenaran daripada kepalsuan.
Semasa menyertai perjuangan pekerja ladang, usia kami dalam lingkungan 20-an, keikhlasan kami untuk bersama rakyat bercorak romantik.
Namun, kenyataan perjuangan dengan cepat memberikan pengajaran bahawa ia sebenarnya tidak romantik sama sekali. Meski motifnya tulen, cara-caranya demokratik, halal dan aman, kami tetap menghadapi permusuhan keras dan penindasan.
'Neraka' ladang Triang
Andainya tidak tunduk, kami mungkin ditahan mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), dikurung tanpa perbicaraan di mahkamah terbuka, tempoh penahanan pula boleh dilanjutkan dua tahun demi dua tahun.
Pengalaman peribadi saya rasanya sangat tidak adil. Semasa mogok pekerja dimulai, saya turut berkempen secara aman agar mereka bertindak membela nasib sendiri. Namun, seorang samseng daripada kesatuan yang bermusuhan telah menyerang saya dengan batang besi. Mujurlah sempat dihalang oleh pekerja-pekerja. Jika tidak, hari itu tentu saya telah tercedera.
Pada 14 April, hari pertama kami berarak beramai-ramai ke Kuala Lumpur untuk membuat rayuan, kira-kira 12 batu dari bandar Melaka, pasukan Polis Pencegah Rusuhan (FRU) membawa seorang majistret untuk mengumumkan bahawa perhimpunan itu. Kami diberi amaran agar bersurai serta-merta.
Lim Joo dan saya tampil ke depan untuk menjelaskan bahawa kami terpaksa berjalan kaki ke Kuala Lumpur untuk membuat rayuan kepada pihak berkenaan. Kami memberikan jaminan untuk tidak menganggu lalu lintas dan acara itu aman dan selamat.
Polis tidak menghiraukan rayuan dan jaminan kami. Beberapa orang pegawai Cawangan Khas (SB) malah untuk menyerang kami berdua di depan majistret. Kemudian kami ditangkap. Inilah kali pertama saya diserang pihak berkuasa tanpa melakukan sebarang kesalahan.
Seumur hidup saya, keganasan yang dahsyat pernah saya alami mungkin kejadian di ladang Triang pada 12 Jun 1967.
Tahun lalu, saya berpeluang berjumpa Tan Kok Keong, seorang pekerja yang menyertai mogok pada masa itu. Beliau berulang kali berkata: "Sungguh dahsyat Ban Chen dibelasah hari itu. Nasib baik dia memakai jaket saya. Apabila jaket itu dipulangkan kepada saya, ia telah koyak-rabak akibat serangan binatang-binatang yang tidak berperikemanusiaan."
Saya tidak lagi mengingati jaket itu. Tetapi saya sekali-kali tidak akan lupa bagaimana anggota-anggota polis yang buas itu sambil mengganas sambil melaung: "Inilah Tiger, siapa tidak takut mati, dia boleh terus mogok!"
Beratus-ratus pekerja dibelasah tanpa belas kasihan, ladang Triang seolah-olah 'neraka'. Hampir semua orang mendapat kecedaraan ringan, sekurang-kurangnya. Entah berapa kali saya terkejut daripada mimpi ekoran adegan-adegan ngeri itu.
Satu lagi pengalaman menyertai mogok di Bukit Asahan dan Triang - saya mengetahui secara mendalam tentang ciri-ciri keganasan dan kezaliman jentera-jentera negara!

