Pengalaman pahit saya sepanjang terlibat dengan gerakan pekerja telah mencelikkan mata tentang sistem demokrasi palsu yang diamalkan oleh Barisan Nasional.

Pertama, seperti disebut di atas, seorang majistret menyaksikan pasukan Polis Pencegah Rusuhan menghalang pekerja yang berjalan kaki dalam perarakan ke Kuala Lumpur untuk membuat rayuan, dan membenarkan pegawai Cawangan Khas membelasah serta menahan pemimpin kesatuan sekerja.

Sementara di lokap balai polis, saya dikehendaki mengambil bahagian dalam kawad cam (seseorang untuk dikenal pasti). Lim Joo dan saya didakwa, oleh majikan, telah mencederakan pengurus ladang Bukit Asahan, Melaka.

Oleh kerana kami berdua wakil kesatuan untuk berunding dengan majikan, pengurus itu tentunya mengenali kami terlebih dahulu. Apa makna mengadakan kawad cam itu? Sebab itu, saya membantah dan enggan bekerjasama untuk bersandiwara bagi menganiaya diri kami sendiri.

Kes tersebut dibicarakan di makahmah Jasin pada 9 September 1967 dari 11.30 pagi hingga 6 petang. Menurut laporan akhbar, saya telah membela diri selama 1 jam 20 minit.

Tujuan saya, seboleh-bolehnya menggunakan saluran perbicaraan di mahkamah itu untuk mendedahkan pemerasan dan penindasan pemodal asing terhadap pekerja ladang Bukit Asahan, dan agar mendapat sokongan pendapat umum.

Isi kandungan pembelaan saya meliputi cara-cara bagaimana pemerasan majikan, bagaimana huru-hara berlaku dan kecederaan yang dialami pengurus itu pada hari kejadian, bagaimana Lim Joo dan saya meyakinkan pekerja-pekerja agar berundur dan membenarkan kami dihantar ke balai polis Melaka untuk mengurangkan ketegangan antara kumpulan pekerja dengan pasukan berwajib itu di balai polis Bukit Asahan.

Saya juga membangkitkan isu-isu tentang sandiwara kawad cam yang boleh dikatakan tidak masuk akal, prasangka dan permusuhan pengurus ladang terhadap kesatuan dan wakil-wakilnya, serta niat jahat pengurus itu untuk menganiayai kami demi menghancurkan mogok tersebut.

Alasan lucu si hakim

Semua itu hakikat yang sebenarnya, dan kami memang tidak bersalah. Tidak disangka, majikan sanggup memanggil sembilan saksi untuk membuktikan saya telah melakukan kesalahan yang direka-rekakan itu. Saya sungguh marah pada waktu itu. Dengan lantang, saya menuduh mereka semua sebagai pembohong!

Bagaimanapun, hakim memutuskan saya bersalah dengan alasan yang agak lucu. Menurut laporan Nanyang Siang Pau pada 11 November 1967, keputusan itu antara lain berbunyi: "Daripada butiran-butiran kes ini, jelas sekali, yang tertuduh pertama seorang pegawai yang taat setia kepada kesatuan sekerja serta membela kepentingan ahli-ahlinya. Dalam pembelaannya, beliau (Lee Ban Chen) telah menceritakan dalam mogok selama 45 hari (sebenarnya 75 hari - penulis), dua bayi telah mati akibat kebuluran dan kemiskinan.

"Setelah menimbangkan bukti-bukti lain, saya merumuskan bahawa tertuduh Lee Ban Chen melakukan kesalahan berkenaan kerana terlalu mencintai ahli-ahli kesatuannya. Oleh itu, saya hanya menjatuhkan hukuman denda 250 ringgit atau penjara selama dua bulan."

Dalam tahun 1960-an, kami sepenuhnya hilang kepercayaan terhadap sistem keadilan negara ini. Selain sebab-sebab di atas, pengalaman kami sebagai mangsa Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Setelah pihak berkuasa melakukan tindakan zalim di ladang Triang pada 12 Jun 1967, hampir semua barisan pemimpin kesatuan ditahan mengikut ISA untuk menutup dosa-dosa mereka.

Dalam lokap High Street (sekarang Jalan Tun HS Lee) Kuala Lumpur, saya meminta untuk berjumpa penasihat undang-undang kesatuan, ST Gamany. Tetapi permintaan itu ditolak berkali-kali oleh pihak berkuasa berkenaan. Mengikut ISA, dalam bulan pertama (kemudiannya bertukar menjadi dua bulan) tahanan boleh dinafikan hak untuk berjumpa dengan sesiapapun, termasuk ahli keluarga dan peguam.

Apabila saya dibenar berjumpa dengan Gamany, dan apabila saya mengadu hak berjumpa dengan peguam telah dirampas, beliau ketawa sinis dan mengejek: "Apa boleh buat, ISA itu memang all-powerful !"

Ketika dalam tahanan, cara-cara yang sering digunakan untuk mengubah pendirian seseorang termasuk 'soal siasat marathon ' (sesi itu dijalankan terus-menerus, tahanan tidak dibenarkan berehat, sementara pegawai SB berehat mengikut giliran masing-masing), penyeksaan fizikal dan mental, dan bermacam-macam ugutan.

SB ajak kerjasama

Seksaan yang saya alami boleh dianggap ringan jika dibandingkan dengan penyeksaan tahanan-tahanan lain. Namun, ia tentunya tidak mudah untuk dihadapi dalam kurungan terasing dan suasana yang menakutkan itu.

Lima cara digunakan pegawai SB untuk mengubah pendirian saya: Pertama, mengugut. Pada suatu hari, pegawai penyiasat menuduh saya anggota kongsi gelap dan memaksa saya mengaku. Saya ingat mereka bergurau tetapi mereka sangat serius. Saya diugut untuk diserahkan kepada pegawai Jabatan Siasatan Jenayah, dan tentu saya akan dikerjakan!

Beberapa anggota SB yang berbadan besar dan berwajah bengis masuk ke bilik siasatan. Saya dimaki-hamun dan disuruh melucutkan semua pakaian. Mereka mengepung saya, seolah-olah hendak membelasah.

Saya pun mencabar mereka: "jika mahu pukul, pukul saja. Tidak payah berlagak dan membuang masa!" Mereka tahu ugutan itu telah gagal. Lalu saya disuruh memakai semula baju dan seluar. Mereka sebaliknya berkata mahu memeriksa sama ada badan saya bertatu atau tidak.

Cara kedua, cuba 'membeli'. Mereka memuji saya kerana dapat menguasai tiga bahasa (Melayu, Cina, dan Inggeris) dan lebih 'hebat' daripada Lim Chin Siong dan Fong Swee Suan (dua tokoh politik pembangkang yang terkenal di Singapura). Saya diberitahu, SB sangat memerlukan orang seperti saya. Jika saya sudi bekerjasama, mereka memberi jaminan masa depan saya tentu cerah sekali!

Ketiga, memujuk supaya saya 'balik tongsan'. Hujah mereka, saya menganut sosialisme. Malaysia tidak sesuai untuk saya, lebih baik saya ke China yang melaksanakan sistem sosialisme.

Kata mereka, jika saya ingin ke negeri itu secara sukarela, kerajaan akan membiayai segala perbelanjaan perjalanan saya ke sana, termasuk ahli keluarga yang sudi pergi bersama-sama saya. Saya menolak pelawaan itu dan menegaskan bahawa negara ini tanah tumpah darah saya. Saya akan hidup dan mati di sini. Tiada sesiapa yang berhak menghalau saya ke China.

Cara keempat, soal siasat marathon . Mereka menyoal siasat saya secara bergilir-gilir dan tidak membenarkan saya berehat. Mereka berharap semangat saya akan 'dipatahkan' akibat tekanan mental yang sangat sukar. Bagaimanapun, saya telah dapat mengatasinya dengan kekuatan tekad dan ketabahan hati.

Dua 'pakar psikologi'

Kelima, 'membersihkan' otak (brainwashing). Pasukan 'pembersih otak' kebanyakannya bekas pemimpin-pemimpin Parti Komunis Malaya (PKM) yang telah mengkhianati perjuangan parti mereka. Berasaskan pengalaman berjuang, mereka cuba berhujah kenapa sosialisme akan gagal di negara ini, umpamanya sosialisme tidak mendapat sokongan Melayu yang beragama Islam.

'Pakar-pakar psikologi' tersebut boleh digolongkan kepada dua jenis. Pertama, mereka berlagak sebagai 'veteran revolusi' yang berpengalaman luas tetapi terpaksa tunduk kepada realiti masyarakat kita yang memang tidak menguntungkan revolusi sosialisme. Mereka cuba membawa mesej bahawa berbanding dengan mereka (yang lebih hebat), tahanan yang sedang dibasuh otak itu hanya 'melukut di tepi gantang,' dan memang tidak berdaya untuk berbuat apa-apa!

Sejenis lagi, lebih bersikap 'mesra.' Mereka menunjukkan kesediaan untuk membantu dalam urusan keperluan harian dan perubatan. Mereka mengambil berat tentang kesihatan tahanan. Seorang daripada mereka sering 'bersembang' dengan saya mengenai masalah keluarga dan sosial, dan kedudukan kaum Cina dan kebimbangannya tentang masa depan negara kita.

'Kawan' itu dengan 'ikhlas' memberitahu, dia tidak dapat berbuat apa-apa jika saya masih berdegil dengan pendirian asal. Bagaimanapun dia akan membuat laporan secara objektif, tetapi mengikut pengalamannya, harapan saya untuk dibebaskan tipis. Dia juga mengingatkan, tempoh tahanan boleh diulang dua tahun demi dua tahun sehingga saya dianggap tidak berbahaya lagi terhadap 'keselamatan negara.'

Walaupun kaedah-kaedah dua jenis 'pakar psikologi' tersebut berlainan tetapi matlamat 'pembersihan otak' tetap sama - mematahkan semangat juang tahanan ISA agar mereka tunduk dan berubah pendirian. Jika seseorang tidak bersiap sedia lebih awal, bukan senang hendak menghadapi pegawai penyiasat yang memang pakar dalam pelbagai teknik 'pembersihan otak' dan mengubah pendirian.

Bahagian 3 terbit esok