BA mulai bertapak di Sarawak
new
Pilihanraya negeri Sarawak kelapan yang berlangsung pada 27 September lalu bukan sahaja membawa kemenangan besar kepada Barisan Nasional (BN), tetapi juga telah mendedahkan kelemahan Barisan Alternatif (BA) yang makin menonjol.new
Pilihanraya negeri Sarawak kelapan yang berlangsung pada 27 September lalu bukan sahaja membawa kemenangan besar kepada Barisan Nasional (BN), tetapi juga telah mendedahkan kelemahan Barisan Alternatif (BA) yang makin menonjol.Kemenangan BN yang begitu besar adalah di luar jangkaan, kerana menjelang hari pengundian, beberapa analisa media masih menganggap calon pembangkang dan bebas mungkin menawan 10 kerusi, jauh melebihi dua kerusi yang dimenangi oleh pembangkang (DAP satu dan Bebas satu) dalam pilihanraya kali ini.
Dan yang lebih sukar ditelan oleh parti pembangkang ialah tidak sedikit calon mereka kehilangan wang pertaruhan: Keadilan 11 (daripada 25), DAP 3 (daripada 13), dan Pas 1 (daripada 3). Oleh itu, mereka telah disindir sebagai "cakap besar, kalah besar" oleh media arus perdana.
Bagi pihak BN, selain bersandar kepada taktik tradisional seperti monopoli media, politik wang dan ugutan, menekankan dasar pembangunan dan membangkitkan sentimen tempatan, ia juga mengeksploitasi secara habis-habisan isu tindakan DAP keluar BA, isu serangan maut di Amerika Syarikat untuk membangkitkan isu anti-Negara Islam, dan kempen anti-politik militan yang kononnya merupakan matlamat dan cara perjuangan BA.
Malah, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad menyifatkan kekalahan teruk parti pembangkang dalam pilihanraya Sarawak kali ini sebagai bukti rakyat menolak politik kotor dan kasar yang dibawa ke negeri itu.
Dan lucu sekali, pilihanraya kecil kawasan DUN di Lunas (di mana calon BN telah ditumpaskan oleh calon BA), dijadikan contoh apa yang dinamakan 'politik kotor dan kasar' BA itu.
Tindakan DAP keluar daripada pakatan BA di tengah-tengah kempen pilihanraya Sarawak, sungguhpun diperjelaskan oleh DAP sebagai 'kebetulan', telah memberi senjata ampuh - negara Islam - kepada BN untuk menikam calon-calon Keadilan di kawasan majoriti pengundi bukan-Melayu, kerana dituduh sebagai penyokong negara Islam
Mungkin DAP sendiri tidak menyangka bahawa "senjata negara Islam" itu juga telah 'memakan tuannya' kerana tidak dapat dinafikan bahawa hampir dua tahun mereka telah tidur sebantal dengan PAS meskipun mimpinya berbeza.
Berlagak
Oleh itu, mereka juga didesak untuk mengaku bersalah kerana membantu memperkuatkan pengaruh PAS yang bermatlamat untuk menegakkan negara Islam.
Setelah keluar daripada pakatan BA, calon DAP cuba berlagak sebagai wakil tunggal pengundi Cina, dan Keadilan digolongkan sebagai parti Melayu yang menyokong negara Islam.
Namun jika dilihat pada jumlah undi yang diperolehi calon DAP, dibandingkan dengan undi calon Keadilan dalam dua kawasan di mana kedua-dua parti itu bertembung, ternyata sekali DAP tidak layak mendakwa sebagai wakil tunggal pengundi Cina.
Di Repok, calon Keadilan Wong Hua She mendapat 2,652 undi, manakala calon DAP hanya memperolehi 1,516 undi. Di Pending pula, calon Keadilan Dominique Ng Kim Ho mendapat 3,150 undi, manakala calon DAP Voon Lee Shan meraih 3,937 undi.
Sungguhpun berada dalam kedudukan yang tidak menguntungkan setelah DAP tiba-tiba keluar daripada pakatan BA di tengah-tengah kempen pilihan raya Sarawak, dan diserang serentak dari kiri dan kanan oleh BN dan DAP, calon keadilan masih sanggup memperolehi undi setara dengan undi yang diperolehi oleh calon DAP.
Tidakkah ini satu tanda yang menunjukkan bahawa 'kerelevanan' DAP dalam politik negara kita pada masa yang akan datang juga telah tercabar?
Harapan pemimpin DAP untuk memenangi lebih banyak kerusi untuk membuktikan keputusannya keluar daripada pakatan BA diterima pengundi Cina, dan sekaligus menjadi satu-satunya parti Cina pembangkang yang sanggup mewakili kepentingan kaum Cina, hancur apabila ia gagal di kawasan yang dianggap boleh dimenangi, terutamanya Bukit Assek dan Padungan.
Serangan berani mati ke atas Pusat Dagangan Dunia dan Pantagon di Amerika Syarikat, diexploitasi khususnya olehSUPP untuk mempengaruhi pengundi masyarakat Cina, juga dianggap sebagai punca utama kekalahan DAP.
Pengerusinya Lim Kit Siang dan Setiausaha Agungnya, Kerk Kim Hock mendakwa DAP gagal mematahkan propaganda SUPP "bahawa satu undi untuk calon DAP adalah satu undi untuk pelampau militan dan huru-hara."
Benarkah pengundi Cina sanggup menerima logik yang begitu aneh sekali: Serangan maut di AS = pelampau militan = Pas = Keadilan = DAP?
Putus asa
DAP sudah berputus arang dengan PAS dan keluar daripada pakatan BA sebelum hari pengundian. Tetapi hakikatnya ialah DAP Sarawak telah lebih awal lagi keluar daripada BA apabila menentang negara Islam tajaan PAS.
Selain itu, perjuangan jalanan yang merupakan salah satu taktik gerakan reformasi juga jarang disertai DAP.
Taktik kempen DAP untuk 'membersihkan diri' daripada sebarang kaitan dengan pakatan BA, sebaliknya menjadikan isu momokan negara Islam dan isu pelampau militan yang diwar-warkan oleh BN lebih menakutkan.
Perpecahan dalam BA juta telah lebih mudah dieksploitasi oleh BN untuk menyerang calon pembangkang, termasuk calon DAP sendiri. Ini mungkin merupakan salah satu penyebab yang lebih penting daripada isu serangan maut di AS.
Isu negara Islam dan pelampau militan tetap akan menghantui BA pada masa akan datang. Kemampuan parti-parti komponen BA untuk menangani kedua-dua isu tersebut akan menentukan jatuh bangunnya pakatan tersebut
Jika PAS berkeras hendak memasukkan negara Islam sebagai sasaran perjuangan pakatan BA, ia sudah tentu akan memencilkan pakatan BA daripada rakyat pelbagai kaum atau PAS sendiri yang akan disingkirkan daripada pakatan itu.
Walaupun isu pelampau militan yang diperbesar-besar dan dieksploitasi oleh kerajaan BN untuk menindas gerakan reformasi dan parti pembangkang melalui Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), ia juga tidak wajar dianggap sebagai 'sandiwara' kerajaan semata-mata.
Ini kerana kewujudan dan kemungkinannya berkembang juga harus dipandang berat oleh semua pihak yang berpegang kepada perjuangan berperlembagaan.
Jika tidak dipandang dari segi bilangan kerusi sahaja, tetapi sebagai parti politik yang baru menjejak kaki di Sarawak, Keadilan dan PAS telah memberi tekanan dan cabaran kepada BN di beberapa kawasan pilihanraya. Ini boleh dianggap sebagai suatu permulaan yang agak memberangsangkan.
Rancangan jangka panjang
Yang penting ialah parti pembangkang harus menitikberatkan kerja oraganisasi untuk jangka panjang. Mereka tidak harus menaruh harapan kepada kelemahan atau krisis dalaman BN untuk meniupkan angin perubahan, dan dengan mudah sahaja mahu memungut durian runtuh!
Tanpa kerja organisasi jangka panjang, tenaga manusia dan kewangan yang mencukupi, saya sangsi sama ada tindakan meletakkan ramai calon adalah suatu taktik yang bijaksana. Pendapat ini telah saya sampaikan kepada teman saya dalam Keadilan sebelum bilangan calonnya ditetapkan.
Satu persoalan menarik ialah apakah kumpulan bekas Menteri Pertahanan Abang Abu Bakar Mustapha bertanding dalam pilihanraya kali ini sebagai proksi kepada Umno di Sarawak? Jika benar ia bermakna yang kalah teruk sekali ialah Umno.
Ini kerana Abang Abu Bakar dan pasukannya seramai 45 orang yang bertanding atas tiket bebas, bukan sahaja tewas tetapi juga perolehan jumlah undi yang agak memalukan. Adakah ini menandakan Umno tiada tempat dalam politik Sarawak atau keputusan pilihanraya kali ini akan menimbulkan krisis dalaman yang lebih sengit dalam pusingan yang akan datang?


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.