HEP - jangan jadi alat kerajaan
Pemilihan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) sesi pengajian 2001/2 yang dijalankan serentak di 14 buah Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) pada 26 November lalu, kecuali Universiti Islam Antarabangsa yang diadakan 29 November, memperlihatkan keazaman kerajaan untuk menguasai MPP dengan memperalatkan unit Hal Ehwal Pelajar (HEP).
Kerajaan mendakwa berjaya menawan lapan buah IPTA 'muda' termasuk Universiti Teknologi Mara (UiTM), Universiti Utara Malaysia (UUM) dan Universiti Sarawak (Unimas) yang masih belum dipengaruhi parti pembangkang.
Manakala bilangan pemimpin MPP yang pro-kerajaan dikatakan semakin bertambah di enam buah universiti yang dianggap 'lubuk' pembangkang iaitu Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Islam Antarabangsa (UIA), Universiti Pertanian Malaysia (UPM), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Universiti Malaya (UM) dan Universiti Sains Malaysia (USM).
Apa yang menarik ialah ada sesetengah pegawai IPTA dengan bangganya mengisytiharkan kemenangan calon-calon pro-kerajaan. Malahan pergerakan Pemuda Umno menjemput mereka yang dilabel pro-kerajaan berbuka puasa di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) sebagai meraikan kemenangan mereka.
Sesungguhnya perbuatan membahagikan anggota MPP kepada kategori pro-kerajaan dan pro-pembangkang adalah tidak adil serta mengelirukan. Malah ada tanda menunjukkan pemilihan MPP kali ini diperalatkan oleh pihak tertentu untuk 'membersihkan' kumpulan pro-pembangkang.
Jika benar kerajaan tidak membenarkan elemen luar khususnya politik mempengaruhi pemilihan MPP, mengapa hanya pengaruh pembangkang saja yang dihalang memasuki kampus sedangkan pengaruh kerajaan terus dialu-alukan?
Kemelut perjuangan
Umumnya definisi pro-pembangkang dan pro-kerajaan perlu dijelaskan. Adakah MPP yang mengambil pendirian sealiran dengan parti pembangkang dalam beberapa isu anti-ISA, anti-korupsi dan kronisme, menuntut keadilan dan demokrasi yang lebih besar, mereka dilabel sebagai propembangkang?
Bukankah MPP berhak menyetujui sesetengah dasar yang diperjuangkan oleh parti pembangkang di samping menyokong beberapa dasar yang dilaksanakan oleh kerajaan?
Bukankah Malaysia mengamalkan sistem demokrasi? Untuk itu rakyat termasuk siswa berhak menyuarakan sokongan atau bantahan berkaitan dasar yang diperjuangkan oleh pembangkang mahupun kerajaan.
Sebenarnya tiada MPP suka dilabelkan sebagai pro-pembangkang atau pro-kerajaan. Mereka lebih bangga dengan pendirian mereka yang bebas serta membebaskan diri dari politik kepartian tanpa terikat kepada sebarang ideologi atau kepentingan kepartian yang sempit .
Umpamanya Abdullah Abdul Karim, pemimpin pelajar UKM yang dilabel sebagai pro-pembangkang ketika diwawancara, tidak menafikan sesetengah isu yang mereka ketengahkan kebetulan sealiran dengan perjuangan parti pembangkang.
Namun dia menegaskan bahawa ia tidak membuktikan PMUKM adalah kelompok pelajar pro-pembangkang. Ini satu tuduhan berat yang tidak adil.
Manakala Shamshuhardi Basir, pemimpin pelajar UUM dikategorikan sebagai pro-kerajaan dalam wawancara yang sama apabila beliau mengaku menyokong sepenuhnya dasar kerajaan.
Padahal beliau dengan lantang menegaskan bahawa pelajar tidak sepatutnya mewakili mana-mana parti politik, sebaliknya perlu memperjuangkan ideologi sendiri tanpa kongkongan mana-mana pihak.
Sekatan HEP
Dari kacamata warga kampus, elemen campurtangan, sekatan dan manupulasi IPTA khususnya dari unit HEP adalah lebih serius dari pengaruh luar kampus.
Umpamanya tarikh pemilihan MPP, kelayakan calon, tempoh kempen dan urusan pengundian ditetapkan secara unilateral dan subjektif oleh HEP tanpa bermuafakat dengan wakil pelajar.
Campurtangan, sekatan dan manupulasi seperti ini bertentangan dengan prinsip, semangat dan amalan demokrasi kampus ke arah memupuk warga kampus yang matang, berdikari, berdisiplin, dan bertanggungjawab.
Difahamkan bahawa HEP di IPTA dikatakan tidak begitu mesra dengan pelajar sebaliknya bertindak sebagai penindas ke atas pelbagai aktiviti pelajar yang mereka anggap sebagai berbau 'pro-pembangkang'.
Pelbagai peraturan baru telah ditambah. Sedikit sahaja kesilapan dilakukan, pelajar dikenakan pelbagai tekanan termasuk amaran, denda, digantung pelajaran atau dipecat. Banyak kumpulan aktivis telah dirampas hak mereka untuk berkesatuan dan terpaksa bergerak secara 'haram', dan sentiasa terancam.
Sejak kebelakangan ini rungutan mengenai tindak-tanduk HEP semakin banyak. Sebagai contoh ada pelajar dihukum kerana membuat kenyataan akhbar tanpa kebenaran, memakai lencana anti-ISA, menyertai pertandingan debat tanpa kelulusan dan banyak lagi hukuman atas alasan yang tidak munasabah.
Ubah peranan
Untuk itu sudah tiba masanya bagi pihak HEP di IPTA mengubah peranan yang bertentangan dengan prinsip demokrasi kampus agar tradisi kampus yang lebih liberal dapat dibina tanpa campurtangan kuasa politik di luar kampus.
Usaha melenyapkan MPP pro-pembangkang adalah lanjutan daripada kempen kerajaan untuk mengawal dan menguasai IPTA negara ini. Sebelum ini ratusan pensyarah telah diberi amaran, ditukar jawatan, diturunkan pangkat dan dipecat.
Di samping itu Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) digunakan untuk memejarakan aktivis pelajar tanpa perbicaraan.
Kesatuan yang dianggap 'haram' dan pensyarah pro-pembangkang juga diberi amaran dan diancam akan dikenakan tindakan disiplin mengikut peraturan-peraturan tertentu.
Dalam situasi sebegini ke manakah IPTA negara kita akan dibawa?
Pelajar, pensyarah, dan warga kampus yang lain termasuk aktivis yang memperjuangkan demokrasi kampus dan sistem autonomi pelajar kini menemui jalan buntu untuk mengatasi pelbagai persoalan yang berlaku.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.