KOLUM | Di bahu menara condong
KOLUM | Pada 1982 saya menyertai pertandingan deklamasi sajak. Saya mempertaruhkan sajak ciptaan sendiri yang bertajuk Di Bahu Menara Condong. Ketika itu, saya sedang menunggu keputusan peperiksaan SPM.
Pertandingan itu dianjurkan bersempena perayaan 100 Tahun Teluk Anson. Acara itu diadakan di padang Majlis Daerah Hilir Perak berhampiran tapak pasar minggu Teluk Intan.
Sebuah astaka berbentuk bulat di tepi padang itu menjadi tempat kami bersajak.
Ramai orang hadir pada malam tersebut dan banyak acara dipersembahkan. Program berkenaan meriah dengan pelbagai gerai jualan di sekeliling padang yang berhampiran gereja dibina Inggeris.
Persatuan Muzium Malaysia juga menerbitkan sebuah buku bertajuk Teluk Anson (Teluk Intan) 100 Tahun bersempena perayaan tersebut.
Dalam kata-kata alu-aluan Yang Dipertua Persatuan Muzium Malaysia, Shahrum Yub, dia menyatakan bahawa Teluk Intan bukan saja merupakan bandar bersejarah bahkan bandar yang penting di dalam sejarah Malaysia.
Buku itu ditulis oleh Prof Khoo Kay Kim dari Jabatan Sejarah Universiti Malaya yang memang merupakan anak tempatan Teluk Intan.
Lahirnya riwayat picisan
Nama Teluk Anson digunakan sejak 1882 bagi menggantikan nama asalnya Teluk Mak Intan. Residen Perak ketika itu, Hugh Low, menulisnya sebagai Teluk Malunting.
Nama Anson diambil daripada nama pemangku Gabenor Negeri-Negeri Selat, Archibald Edward Harbord Anson, yang menjadi pelukis pelan pertama bandar Teluk Anson.
Bersempena perayaan 100 Tahun Teluk Intan, nama Teluk Anson ditukar kepada nama asalnya dengan sedikit pengubahsuaian - daripada Teluk Mak Intan menjadi hanya Teluk Intan.
Nama Intan diambil bersempena nama saudagar wanita Mandailing yang menjadi satu legenda di daerah tersebut.
Peristiwa pertukaran nama itu memberi kesedaran baru khususnya secara peribadi dan masyarakat tentang pensejarahan mengikut acuan tempatan.
Sayangnya sejarah saudagar wanita itu masih kabur dan tiada bukti yang dapat dikongsi. Lalu, dari situ lahirlah riwayat-riwayat picisan yang tidak boleh dipertanggungjawabkan.
Riwayat tersebut tidak mampu berhadapan dengan disiplin pensejarahan moden. Maka jadilah ia sekadar ‘sembang kari’.
Lazimnya sifat riwayat adalah cetusan daripada cebisan himpunan khayalan yang bersalut emosi dan keghairahan identiti. Ini termasuklah kejadian yang berlaku di bandar itu beberapa hari lepas.

Peristiwa itu memberi nyawa baru kepada nafas perkauman yang ditiupkan bersulam dengan khayalan kononnya ‘keterancaman’ sebuah bangsa.
Menurut laporan, sekumpulan pelancong asing yang sedang meraikan perayaan kebudayaan telah mengibarkan bendera China di dataran Menara Condong.
Ia kemudian disimbah dengan minyak politik bagi mengolak rasa terancam orang yang tidak yakin kepada kekuatan bangsanya sendiri.
Rasa paranoid itu kemudian diadun dengan sentimen kebencian bangsa, lalu terhasillah lensa yang membawa perspektif sempit sehingga mereka hanya terarah pada bendera China.
Dan seperti selalu, ada juga yang menyokong tanpa melihat realiti.
Burung dari luar
Tanpa menafikan China sememangnya dikaitkan komunisme, sejarah menyerlahkan perkembangan negara ini turut terkait dengan negara tersebut.
Seingat saya pada 1960-an dan 1970-an, Menara Condong dikelilingi para peniaga kecil Melayu menjual pelbagai barangan sehinggalah 1980-an apabila nereja dipindahkan ke bangunan baru berhampiran stesen bas Teluk Intan.
Ketika itu, tiada pelancong yang berminat untuk melihat bangunan unik berbentuk pagoda yang dibina pada 1885 oleh kontraktor Cina. Keadaannya bukan seperti hari ini.
Pihak berkuasa tempatan dan masyarakat setempat kini giat mempromosi Teluk Intan sebagai salah satu destinasi pelancong domestik dan antarabangsa.
Tarikan lain di Teluk Intan ialah Pulau Bangau. Ia merupakan persinggahan puluhan ribu pelbagai jenis burung. Khabarnya, burung dari Siberia, Rusia pun singgah di situ.
Ribuan burung itu mengembangkan sayapnya yang berbeza bulu dan warna sehingga memberikan panorama indah pada waktu senja.
(Tidakkah kamu fikirkan?)

Setiap hujung minggu, banyaknya bas pelancong luar datang yang datang ke situ membawa makna tersirat bahawa kantung peniaga di tepi jalan juga bertambah isinya.
Dataran itu jugalah sering dijadikan tempat untuk pelbagai program keagamaan seperti sambutan Maulidur Rasul, ceramah, pameran dan konsert.
Sebenarnya politik perkauman dibangkitkan melalui slogan yang bersalut 'kesedaran' dan dikipas-kipas untuk membakar emosi rakyat, lalu disambut oleh pihak yang naif.
Memang menjadi kepakaran politikus beramal sempit untuk menghidupkan khayalan sama ada dalam bentuk menakut-nakutkan atau menggembirakan masyarakat.
Dalam situasi begitu, jalan perbincangan biasanya hanya mencipta lebih banyak permusuhan dan menimbulkan lebih ramai pandir berlagak sarjana.
Memasung fikiran rakyat
Prof Syed Hussein Alatas dalam bukunya menerangkan gelaja tersebut sebagai minda tertawan (captive mind).
Ia menjelaskan fenomena kerangka pemikiran masyarakat yang kekal terjajah meskipun sebenarnya kita telah lama merdeka. Kita terperangkap dalam sangkar orientalisme.
Dalam konteks tulisan ini, ia adalah berkenaan manusia yang terperangkap dengan kurungan politik perkauman. Kita masih terperangkap dalam kerangka pemikiran Ali, Ah Chong, dan Ramasami yang ditanam oleh penjajah.
Inilah juga yang disebut asabiyyah yang dilarang dalam agama dan pernah menjadi 'jajaan' politik. Mereka tidak mampu untuk membawa idea-idea baru yang berasaskan pengalaman dan tradisi tempatan.
Sebaliknya mereka memusuhi usaha untuk membebaskan masyarakat agar tidak terus dijajah oleh pemikiran yang memerangkap dan mengurung minda rakyat.
Kelompok atau individu cauvinis - dari kumpulan atau bangsa mana pun - memang tidak harus diraikan sebagai wira. Ia hanya memasungkan lagi pemikiran masyarakat terhadap rasa benci kepada gaya hidup harmoni.
Jika terdapat pelanggaran sebarang peraturan, biarlah undang-undang yang berbicara.
Akhir kalam, saya rakamkan kembali rangkap puisi puluhan tahun silam yang dibacakan di Teluk Intan itu.
Di bahu menara condong ini
lalang kemiskinan jiwa tumbuh melata
rumput kering daunnya
luka akalnya hanyut
pada lesunya Sungai Perak mengalir.
MUHAIMIN SULAM ialah penulis, penyelidik dan ahli Jawatankuasa Pimpinan Amanah Nasional.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2024/10/a2fa4209228186b762eb03af2bbf54ec.jpg)
