KOLUM | “Abang, jangan lupa lima perkara,” kata Munif kepada kami sambil tersenyum.

Munif Muhamad Nor bukanlah nama yang selalu menjadi tajuk utama akhbar seni, namun bagi sesiapa yang mengikuti perkembangan dunia seni visual tanah air, nama itu memang cukup dikenali.

Dia ialah sosok pelukis yang rajin bereksperimen, seorang pengkaji dalam senyap dan yang menjadikan studio sebagai makmal, manakala kanvas sebagai ruang ujian.

Sejak awal lagi, Munif dikenali dalam kalangan rakan pelukis sebagai seorang yang suka mencuba-cuba bahan. Kami selalu katakan kepada dia yang “sudah-sudahlah uji kaji, start melukis la pulok…!”

Dia tidak pernah malu memperkenalkan hasil eksperimen daripada kertas buatan sendiri atau linen kedai jahit yang dijadikannya medium karya.

Bagi sesetengah orang, ia mungkin kelihatan pelik atau tidak konvensional, tetapi bagi Munif, itulah keseronokan berkarya. Daripada bahan-bahan itulah lahir sebuah identiti yang terbina secara tidak sengaja.

Dan kerana itu juga, karya-karyanya kelihatan sedikit berbeza berbanding pelukis lain.

Munif membuktikan bahawa seni tidak semestinya lahir daripada kanvas mahal atau peralatan berjenama. Kadangkala, seni lahir daripada apa yang tercapai tangan saja.

Bahan yang boleh disentuh dan boleh dirasai teksturnya, dan yang mampu memberi pengalaman berbeza kepada pelukis serta penonton.

Dalam hampir setiap pertandingan seni berskala kecil, nama Munif sering muncul.

Dia seakan tidak pernah jemu menyertai, sama ada di bandar besar atau daerah kecil.

Ramai yang mengusik dia dengan gelaran “pelukis pertandingan”, namun bagi Munif, ia bukan sekadar gelaran. Ia adalah satu jalan mencari rezeki.

Tak terikat satu gaya

Di Kuantan, Munif menghabiskan masa mencari makan sebagai pelukis potret di Center Point. Duduk berjam-jam menunggu pelanggan yang mahu wajah mereka diabadikan di atas kertas.

Dari situ, tangannya semakin mahir melakar, mengawal cahaya dan bayang, serta memahami wajah manusia dengan lebih dalam.

Pertandingan pula menjadi medan dia menguji keberkesanan bahan dan tekniknya. Rezeki pula sering menyebelahi Munif.

Mungkin kerana keunikan karya yang dihasilkan menggunakan kertas buatan sendiri atau linen kedai jahit itu, para juri terpesona lalu memilihnya sebagai pemenang.

Satu lagi keistimewaan Munif ialah keberaniannya. Dia tidak takut untuk mencuba apa sahaja medium. Daripada cat air yang halus ke akrilik yang berlapis, cat minyak yang klasik, arang yang mentah, hinggalah ke bitumen yang jarang disentuh pelukis tempatan.

Kepelbagaian itu menjadikan karya Munif sentiasa segar dan tidak terikat dengan satu gaya sahaja. Walaupun begitu, cat air tetap menjadi medium yang paling rapat dengan dirinya.

Dengan cat air, Munif mampu mengekspresikan kejujuran dan kesepontanan, sementara medium lain membuka ruang eksperimen dan kemungkinan baru.

Bagi Munif, seni bukan tentang mencari kesempurnaan, tetapi tentang keberanian mencuba.

Bior lain sikit,” katanya dalam satu perbualan.

Dalam dunia seni, ada pelukis yang cepat menawan hati kolektor besar dan galeri ternama. Ada juga yang memilih jalan lebih sunyi dengan menghasilkan karya untuk khalayak yang lebih kecil tetapi lebih dekat.

Munif berada dalam kelompok kedua.

Pesanan semasa berbaring

Karya-karyanya mungkin belum lagi menjadi buruan kolektor antarabangsa atau nama besar dalam dunia seni. Namun bagi masyarakat marhaen, karyanya dekat dengan jiwa.

Mereka melihat ada keikhlasan dalam sapuan, ada keberanian dalam pilihan bahan, dan ada kejujuran dalam ekspresi.

Bagi Munif, itu sudah memadai. Seni bukan hanya untuk diperdagangkan, tetapi untuk dihidupi.

Di mana-mana pun Munif berada, dia sentiasa membawa semangat eksperimentasi.

Identitinya tidak lahir daripada gaya konsisten yang dipaksa, tetapi daripada percubaan demi percubaan yang tidak pernah berhenti.

Setiap bahan yang disentuh, setiap teknik yang dicuba, semuanya menambah lapisan kepada perjalanan seninya.

Ada pelukis yang membina nama dengan formula yang pasti. Munif sebaliknya membina namanya melalui ketidakpastian, melalui keberanian menolak keselesaan. Itu menjadikan dia berbeza.

Pesanan untuk mengingati lima perkara itu dia sampaikan kepada kami sambil berbaring. Munif sekarang ini sedang dirawat di Hospital Sultan Ahmad Shah UIAM Kuantan.

Walaupun kelihatan lebih sihat berbanding pertemuan kami di Balai Seni Negara beberapa minggu lalu, dia nampaknya memang sedang menahan sakit.

Kami mendoakan agar Munif segera sembuh dan kembali semberono dalam menghasilkan karya.