Peguam Negara Abdul Gani Patail, pada 17 Disember 2007, telah menarik balik tuduhan cubaan membunuh terhadap 31 orang penyokong Hindraf berkaitan kecederaan seorang pegawai polis di Batu Caves pada 25 November lalu.

Perkembangan terbaru ini merupakan susulan permintaan Perdana Menteri Abdullah Ahmad Badawi kepada Peguam Negara supaya mengkaji semula tuduhan terbabit atas rayuan Samy Vellu kononnya yang tertuduh sudah insaf mereka diperdaya oleh Hindraf dan berjanji tidak akan mengambil bahagian dalam mana-mana perhimpunan Hindraf pada masa yang akan datang.

Ketika ditanya wartawan kenapa beliau menarik balik tuduhan tersebut, Abdul Gani memberi tiga alasan berikut:

1. Keputusan dibuat setelah pendakwaan gagal mengenal pasti siapakah yang telah membaling batu;

2. Meskipun pendakwaan boleh bertindak tegas namun masanya belum tiba untuk berbuat demikian; dan

3. Kesemua tertuduh di dalam surat yang dihantar telah menafikan bahawa mereka penyokong Hindraf dan mengutuk perjuangan tersebut.

Tuduhan cubaan membunuh adalah tuduhan yang amat berat. “Tidak dapat mengenalpasti siapakah yang telah membaling batu” bermakna Abdul Gani telah membuat dakwaan yang tidak berasas, iaitu langsung tiada bukti bahawa mereka yang tertuduh itu terlibat dalam membaling batu, dan lebih penting lagi, telah mencederakan pegawai polis terbabit!

Dengan kata lain, tuduhan terbabit padahal lebih bermotif politik daripada menegakkan keadilan undang-undang. Ia dilakukan untuk menganiayai penyokong Hindraf dan mematahkan perjuangannya. Beliau “bertindak tegas” (tuduhan berat dan tidak dibenarkan ikatjamin) seperti desakan Perdana Menteri dahulu, dan menarik balik dakwaan cubaan membunuh bila Perdana Menteri cuba “berlembut” pula selepas lima pemimpin Hindraf telah ditahan di bawah ISA, dan “ketegasan” Peguam Negara itu padahal tidak berasas dan amat melampau.

Surat semua tertuduh untuk menafi mereka adalah penyokong Hindraf malah mengutuk perjuangan gerakan terbabit membuktikan keputusan tarik balik dakwaan terbabit, seperti keputusan dulu untuk mendakwa, padahal membayangkan hasrat dan agenda kerajaan untuk menumpaskan perjuangan Hindraf, suatu sabotaj terang-terangan terhadap lunas pembahagian kuasa antara Pentadbiran, Penggubal Undang-undang dan Penghakiman yang merupakan asas dan imbangan sistem demokrasi.

'Insaf' dan 'bertaubat '

Presiden MIC S. Samy Vellu mengaku secara terus-terang bahawa menggugurkan tuduhan cubaan membunuh adalah keputusan kerajaan, kerana dia telah menulis surat rayuan kepada Perdana Menteri mengatakan 31 orang tertuduh padahal telah dipergunakan oleh pihak-pihak tertentu. Rayuan itu telah mendapat simpati kerajaan Barisan Nasional, maka Perdana Menteri pun meminta kepada Peguam Negara agar tuduhan cubaan membunuh itu dikaji semula.

Dalam episod tersebut, rasanya peguam-peguam tertuduh, secara sedar atau tidak sedar, telah “terperdaya” oleh Presiden MIC S. Samy Vellu, Perdana Menteri Abdullah Ahmad Badawi, dan Peguam Negara Abdul Gani untuk mengkompromikan integriti anak-anak guamannya dan sekaligus perjuangan Hindraf.

Seperti diakui Abdul Gani sendiri, pihak pendakwa padahal tidak dapat mengenal pasti siapakah yang membaling batu dan mencederakan pegawai polis yang terbabit. Tanpa bukti yang diperlukan, pihak pendakwa padahal tidak mungkin menang dalam kes ini, buat apa mengkompromikan perjuangan Hindraf, terutamanya kini lima pemimpinnya, iaitu P. Uthayakumar, M. Manoharan, R. Kengadharan, V. Ganabatirau dan T. Vasanthakumar sudah ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Tuduhan yang dilemparkan terhadap mereka oleh Peguam Negara Abdul Gani dan Ketua Polis Negara Musa Hassan lagi teruk: kononnya terdapat bukti Hindraf berusaha mendapatkan sokongan dan bantuan pengganas antarabangsa, khasnya Pemberontak Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) dari Sri Lanka, dan Rashtriya Swayamsevak sangh (RSS) di India.

Jika tuduhan cubaan membunuh masih dapat dipertahankan dalam mahkamah terbuka, di bawah ISA, atas tuduhan “mengancam keselamatan negara” , tahanan ISA telah kehilangan hak kehakiman mereka untuk diadili di mahkamah terbuka!

Jika mereka tidak “insaf” dan “bertaubat” atas “kesalahannya” yang dipaksakan ke atas mereka tanpa dibicarakan di mahkamah, maka mereka terpaksa ditahan selama dua tahun, dan perintah tahanan itu boleh dilanjutkan dua tahun demi dua tahun tanpa hadnya - demikianlah kejamnya ISA!

Namun, jika mereka sanggup “tunduk” kepada kemahuan kerajaan dan mengutuk perjuangan Hindraf, maka mereka juga boleh dibebaskan pada bila-bila masa saja.

Hak pertahan diri

Dulu tahanan ISA sering dikaitkan dengan aktiviti subversib komunis; beberapa tahun dahulu, mereka mulai dikaitkan dengan aktiviti militan Islam (JI umpamanya); kini, lima pemimpin Hindraf cuba dikaitkan pula dengan LTTE dan RSS.

Padahal pihak berkuasa terbabit boleh membuat sebarang tuduhan yang direka-rekakan, kerana tahanan ISA telah dirampas hak untuk mempertahankan diri dalam mahkamah terbuka!

Masalah-masalah kaum India yang disuarakan oleh Hindraf, yang sudah mendapat sokongan puluhan ribu orang India yang keluar berdemonstrasi secara “haram”, dan mereka yang menyokong secara senyap, tidak dapat dilenyapkan dengan segala tindakan represif.

Kesilapan Hindraf dalam penggunaan istilah “pembersihan etnik” dan pendekatan kaum dan agama telah dieksploitasi dan diperbesar-besarkan, dan dikaitkan pula dengan kumpulan-kumpulan pelampau antarabangsa seperti LTTE dan RSS dengan sewenang-wenangnya. Hishammuddin Hussein malah menuduh Hindraf berhasrat untuk menggunakan kekerasan dan menubuhkan tentera gerila sendiri!

Nekad Umno dan kerajaan untuk menumpaskan Hindraf melalui tindakan represif polis dan FRU, tangkapan dan tuduhan dalam mahkamah, dan penggunaan undang-undang terkutuk seperti Akta Hasutan dan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) hendaklah dibantah demi mempertahankan lunas-lunas demokrasi dan hak-hak Perlembagaan Persekutuan tanpa mengira bangsa dan agama.

Konspirasi mana-mana pihak untuk mengeruhkan lagi suasana politik dan hubungan kaum negara kita agar tangkapan besar-besaran ala Operasi Lalang 1987 dapat dilakukan, juga harus dibongkar dan ditentang.

Amat dikesali dedahan Timbalan Menteri Keselamatan Negeri Johari Baharum bahawa senarai nama mereka yang akan ditahan selanjutnya di bawah ISA sudah ada, hanya menunggu masa untuk ditangkap, kerana gertakan seperti ini hanya akan menegangkan suasana yang sudah begitu tegang dan membimbangkan!

Dan tidakkah gertakan seperti ini juga akan menjejaskan imej negara kita di arena antarabangsa?