Pimpinan Gerakan tunduk pada ugutan Pemuda Umno
Pada 21 Desember 2007, Naib Ketua Pemuda Gerakan, S. Paranjothy telah menggagahkan dirinya untuk mengeluarkan suatu kenyataan empat muka surat. Tindakan beraninya itu umpama melontarkan sebiji bom tangan yang meletup di kalangan Barisan Nasional!
Antara lain, beliau telah mengemukakan dakwaan-dakwaan bagaimana pemimpin-pemimpin Umno sering mengapi-apikan sentimen perkauman untuk meningkatkan karier politik mereka, malah parti-parti komponen juga sering dijadikan sasaran untuk mencari populariti di kalangan masyarakat Melayu.
Insiden-insiden yang disebut termasuk Ketua Menteri Melaka Mohd Ali Rustam yang menghina Parti Progresif Rakyat (PPP), Ketua Pemuda Umno Hishammuddin Hussein yang menghunus keris di perhimpunan agung Umno, kenyataan Naib Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin bahawa jika Umno lemah kaum lain akan mengambil kesempatan untuk kepentingan mereka, dan gesaan Ahli Parlimen Parit Sulong Syed Hood Syed Edros supaya tanda salib dan patung Kristian di sekolah-sekolah mubaligh dibuang.
Disentuh juga Artikel 152 Perlembagaan Persekutuan, yang menurut beliau, telah memberi hak-hak dan keistimewaan kepada orang Melayu yang mendiskriminasikan kaum lain seperti sekolah berasrama penuh, program matrikulasi, kuota dalam kursus-kursus kritikal, biasiswa kerajaan, kontrak kerajaan tanpa ditender, diskaun membeli kenderaan dan hartanah dan peluang penyertaian perkhidmatan awam dan naik pangkat yang berat sebelah yang diberi kepada bumiputera.
Pada 21 Desember 2007, Naib Ketua Pemuda Gerakan, S Paranjothy telah menggagahkan dirinya untuk mengeluarkan suatu kenyataan empat muka surat. Tindakan beraninya itu umpama melontarkan sebiji bom tangan yang meletup di kalangan Barisan Nasional!
Antara lain, beliau telah mengemukakan dakwaan-dakwaan bagaimana pemimpin-pemimpin Umno sering mengapi-apikan sentimen perkauman untuk meningkatkan karier politik mereka, malah parti-parti komponen juga sering dijadikan sasaran untuk mencari populariti di kalangan masyarakat Melayu.
Insiden-insiden yang disebut termasuk Ketua Menteri Melaka Mohd Ali Rustam yang menghina Parti Progresif Rakyat (PPP), Ketua Pemuda Umno Hishammuddin Hussein yang menghunus keris di perhimpunan agung Umno, kenyataan Naib Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin bahawa jika Umno lemah kaum lain akan mengambil kesempatan untuk kepentingan mereka, dan gesaan Ahli Parlimen Parit Sulong Syed Hood Syed Edros supaya tanda salib dan patung Kristian di sekolah-sekolah mubaligh dibuang.
Disentuh juga Artikel 152 Perlembagaan Persekutuan, yang menurut beliau, telah memberi hak-hak dan keistimewaan kepada orang Melayu yang mendiskriminasikan kaum lain seperti sekolah berasrama penuh, program matrikulasi, kuota dalam kursus-kursus kritikal, biasiswa kerajaan, kontrak kerajaan tanpa ditender, diskaun membeli kenderaan dan hartanah dan peluang penyertaian perkhidmatan awam dan naik pangkat yang berat sebelah yang diberi kepada bumiputera.
Kerajaan BN juga diselar tidak adil dalam pengeluaran permit untuk mengadakan perhimpunan awam. Menurut Paranjothy, beliau pernah mengambil bahagian dalam perhimpunan anjuran Pemuda BN yang diterajui Pemuda Umno untuk menyerahkan memorandum. Tanya beliau, pernahkah permohonan mereka untuk permit perhimpunan ditolak oleh pihak berkuasa terbabit?
Di pihak yang lain, beliau telah mendakwa bahawa masyarakat India Malaysia dilayan seperti rakyat kelas empat dan kelebihan mereka daripada kaum-kaum lain ialah dalam jenayah keganasan, di penjara, samseng, kes bunuh diri dan penyakit-penyakit masyarakat.
Ugutan Hishammuddin
Cetusan ketidakpuasan hati Paranjothy sebenarnya ekoran cetusan ketidakpuasan kaum India pada 25 November 2007 lalu di mana 30,000 orang India telah menyertai perhimpunan “haram”.
Demonstrasi “haram” terbabit telah mengakibatkan tindasan kekerasan pihak polis dan FRU, melalui serangan cota, tembakan meriam air dan gas pemedih mata, disusuli dengan tangkapan dan dakwaan dalam mahkamah (termasuk dakwaan cubaan membunuh yang kemudiannya digugurkan), dan penahanan lima pemimpin Hindraf dan mungkin lebih ramai lagi pada masa yang akan datang di bawah ISA, selain daripada penggunaan Akta Hasutan yang represif.
Sehari selepas kenyataan Paranjothy itu, ketua Pemuda Umno Hishammuddin Hussein (kanan) lantas mendesak agar pucuk pimpinan parti Gerakan memberi penjelasan berhubung kenyataan Naib Ketua Pemuda Gerakan itu, serta mengugut untuk memutuskan hubungan Umno dengan Gerakan sekiranya penjelasan tersebut gagal diberi atau tidak memuaskan.
Di bawah ugutan Hishammuddin, pemangku Presiden Gerakan, Dr Koh Tsu Koon (kiri) menunduk dengan serta-merta dan mengatakan Gerakan telah memulakan tindakan tatatertib terhadap Naib ketua Pemudanya, Paranjothy kerana mengeluarkan kenyataan yang boleh menyinggung perasaan masyarakat majmuk di negara ini.
Jelas Dr Koh, pelbagai bentuk tindakan boleh dikenakan terhadap Paranjothy, termasuk menggantung keanggotaannya atau memecatnya daripada parti. Maklumlah memecatnya daripada parti justeru apa yang diminta oleh Gerakan Pemuda.
Dalam sidang akhbar, Dr Koh sebut tentang ketidak-wajaran ugutan Pemuda Umno untuk memutuskan hubungan Umno dengan Gerakan, namun beliau tetap tunduk dengan segera dan bersedia memecatkan Paranjothy di bawah ugutan terbabit.
Lima soalan
Mudah saja Paranjothy dikorbankan demi “semangat Barisan Nasional” (baca: kemahuan Umno), tetapi pimpinan Gerakan dan parti-parti komponen BN yang lain perlu memberi jawapan kepada soalan-soalan berikut untuk meyakinkan ahli-ahli parti masing-masing:
1. Berbanding dengan kenyataan-kenyataan pemimpin-pemimpin Umno seperti yang disebut oleh Paranjothy dalam kenyataannya, jelas sekali kenyataan-kenyataan terbabit lebih bersifat perkauman daripada kenyataan Paranjothy. Jika Paranjothy harus dipecat, kenapa tiada sesiapa yang berani meminta agar pemimpin-pemimpin Umno terbabit juga dipecat, atau sekurang-kurangnya diambil tindakan tatatertib yang sewajarnya?
2. Jika mengkritik Umno secara terbuka seperti yang dilakukan oleh Paranjothy adalah tidak dibenarkan oleh “semangat Barisan Nasional”, maka adakah mengugut secara terbuka untuk memutuskan hubungan Umno dengan Gerakan seperti perbuatan Hishammuddin Hussein yang jauh lebih serius itu sebaliknya dibenarkan oleh “semangat Barisan Nasional”?
3. Adakah semua pemimpin Umno, termasuk Ketua Pemudanya, bermandat atau dibenarkan mewakili Umno untuk membuat kenyataan yang boleh menjejaskan hubungan baik antara parti-parti komponen BN seperti yang dilakukan oleh Ketua Menteri Melaka Mohd Ali Rustam terhadap Parti Progresif Rakyat (PPP) dan Hishammuddin Hussein terhadap Gerakan?
4. Adakah Umno berkuasa untuk memecat mana-mana parti komponen dari Barisan Nasional, atau hanya pimpinan Barisan Nasional saja yang berkuasa untuk memecatkan mana-mana parti komponennya?
5. Jika saluran dalaman BN untuk menyelesaikan masalah secara tertutup sudah menemui jalan buntunya seperti dalam kes ketidakpuasan golongan pinggiran kaum India yang tercetus sebagai demonstrasi jalanan besar-besaran, selain daripada memprotes secara terbuka, apa gunanya berpaut kepada retorik “semangat Barisan Nasional” lagi mengikut telunjuk Umno?
Mungkin sudah sampai masanya “semangat Barisan Nasional” yang sempit, kepartian dan perkauman itu diganti dengan “semangat rakyat” yang lebih inklusif, demokratik dan adil.
Bukan kepentingan Barisan Nasional/Umno saja yang patut dipelihara dan ditekankan, sebaliknya kepentingan seluruh rakyat yang meliputi parti pemerintah, parti pembangkang dan badan-badan bukan kerajaan juga patut diambil kira, agar perpaduan tulen pelbagai kaum dan agama dapat dipupuk dan dikekalkan.

