Tulisan ini di garap pada hari terakhir 2025, ketika beberapa jam lagi matahari di wilayah kita akan tenggelam dan malam sampai. Detik-detik malam berjalan. Waktu dan masa berubah. Lalu 2025 meninggalkan kita. Tahun baru 2026 mencelah masuk.
Saya melihat kembali 2025 yang baru berlalu. Saya melihat kembali babak-babak dan liku hidup yang telah saya lalui pada tahun 2025.
Agenda antarabangsa yang utama saya terlibat secara langsung pasti Gaza dan perjuangan Palestin. Perang Gaza yang bermula pada Sabtu 7 Oktober 2023 menjemput saya terlibat secara langsung untuk menyokong perjuangan rakyat Palestin.
Pada tahun 2025 genosid yang dilakukan oleh Zionis Israel ini telah masuk ke tahun ke dua.

Justeru – bersama kawan-kawan saya telah menyusun mengatur untuk melahirkan kesedaran tentang Palestin dan Gaza. Tentang Yahudi, Zionis dan Israel.
Kami keluar berdemo. Kami berpropaganda memberi kesedaran. Pada tahun pertama Gaza diserang kami berkhemah di pinggir jalan berhampiran Pejabat Duta Amerika.
Demo dan tunjuk perasaan terus disusun. Seperti biasa hari akhir Jumaat bulan Ramadan ialah Hari Al-Quds Sedunia.
Pada Jumaat ini kami akan berhimpun, mendengar ucapan dan berarak menyatakan setia kawan kepada perjuangan rakyat Palestin.

Saya masih ingat Hari Al-Quds Ramadan 2025. Pada Jumaat 21 Mac 2025 saya telah membawa bendera Palestin terbesar yang pernah berkibar di Malaysia.
Bendera Palestin ini telah diarak dari Dataran Tabung Haji menuju ke Pejabat Duta Amerika. Ribuan penunjuk perasaan mengiringi bendera ini. Saya tersenyum bangga dan puas hati.
Saya tempah bendera Palestin ini dari Latiff Tukang Jahit di Bangunan Komplex Pertama. Si Latiff ini kenalan baik saya. Justeru walaupun bendera ini amat besar yang pernah dibentang di kota Kuala Lumpur tapi harga tempahan bendera amat demokratik. Saku saya tidak koyak kerana Latiff juga bersetia kawan dengan Palestin. Amin.
Di Gaza pada 5 Oktober Damai 2025 diumumkan oleh Presiden Trump. Pada 10 Oktober gencatan senjata berkuat kuasa. Zionis Israel seperti biasa terus melakukan pembunuhan terhadap warga Palestin walaupun sudah ada gencatan senjata.

Saya yang berada dalam keadaan selamat di Kuala Lumpur mengalu-alukan gencatan senjata ini. Walaupun saya sedar perjuangan rakyat Palestin ini belum selesai.
Hanya saya memiliki perasaan kecewa. Saya kecewa kerana di Malaysia perjuangan Palestin ini masih dianggap perjuangan agama Islam. Justeru di Malaysia perjuangan adil rakyat Palestin dibaca dan di lihat sebagai perjuangan Umat Islam Melayu.
Warga Malaysia – termasuk Melayu Islam – gagal mentafsir bahawa perjuangan Palestin ialah perjuangan antikolonial melawan penjajah Zionis Israel semenjak tahun 1948. Malah warga Malaysia berketurunan Cina dan India amat jarang akan bersama bersetia kawan berdemo berarak ke Pejabat Duta Amerika.
Saya merasa bangga dan dalam masa yang sama kecewa bila melihat beratus ribu anak muda dan warga kota London, Paris, New York, Toronto, Rom atau Melbourne turun berdemo menyokong Palestin. Walhal di Kuala Lumpur hanya ada tiga atau empat ribu yang turun berdemo.

Untuk memedihkan hati – tidak sampai 10 orang warga Malaysia bukan Islam yang ikut serta bersolidariti.
Ini amat berbeza ketika saya anak mahasiswa menyusun demo pertama menyokong Palestin di Kuala Lumpur. Ini berlaku ketika Perang Ramadan yang bermula pada 6 Oktober 1973.
Ketika itu siswa pelajar di Universiti Malaya – anak semua bangsa dan bangsa semua agama telah turun berdemo di Bangunan AIA Jalan Ampang – Pejabat Duta Amerika.
Kami pelajar dari Universiti Malaya dibelasah dengan tembakan gas pemedih mata oleh FRU. Ini rakaman sejarah.

Lima puluh dua tahun kemudian saya terfikir alangkah baik dan indah jika Lim Kit Siang, Anthony Loke, Teresa Kok, Dr Ramasamy atau Guan Eng bersuara menyokong perjuangan rakyat Palestin. Amin.
Tahun 2025 juga mengingatkan saya dengan Indira Gandhi – bukan PM India. Ini Indira Gandhi Malaysia yang telah kehilangan anak kandung semenjak tahun 2009.
Ini bermula dengan kes cerai. Sang suami untuk menyakitkan hati sang isteri telah masuk Islam dan menculik anak perempuan dan menukar agama secara unilateral dan mengislamkan ketiga-tiga anak mereka tanpa kebenaran sang ibu.
Mahkamah Persekutuan telah mengisytihar perbuatan mualaf bernama Muhamad Riduan Abdullah ini tidak sah. Tapi hingga sekarang setelah 19 tahun sang anak dan mualaf Riduan masih belum ditemukan.

Prasana Diksa anak kandung Gandhi yang diculik pasti telah menjadi anak dara. Lalu persoalan timbul di mana Prasana sekarang?
Siapa yang membantu menyorokkan mereka? Apakah Prasana Diksa dikurung hingga tak dapat lari untuk mencari ibu kandung?
Ini satu soalan saya pada akhir tahun 2025.
Satu lagi kes yang saya terlibat secara langsung ialah kes mendiang Teo Beng Hock. Ini kes anak muda yang didapati mati ketika disoal siasat oleh SPRM.

Beng Hock ditemui mati di bangunan milik SPRM pada 16 Julai 2009. Hingga ke hari ini apa yang terjadi hingga Beng Hock yang dikatakan jatuh mati masih belum diselesaikan secara tuntas.
Setiap tahun pada Hari Mengingati Teo Beng Hock, saya akan memainkan lagu Anak Muda Bernama Teo dalam blog Tukartiub yang saya kendalikan.
Komposer lagu ini ialah penyanyi jalanan bernama Nik Jidan – juga kenalan baik saya. Saya kerap bekerjasama dengan Nik Jidin menulis beberapa buah lagu termasuk lagu Anak Muda Bernama Teo.
Bila mengulang baca kes Teo Beng Hock ini maka kita akan kembali membuka babak-babak kehilangan Hilmi Jamaluddin, Ruth Setepu, Amri Che Mat dan Pastor Raymond Koh. Di mana sosok-sosok ini sekarang?

Pelik lagi menghairankan – di dalam dunia yang berteknologi canggih kita masih gagal mencari sosok-sosok yang hilang ini.
Apakah mereka telah ditawan oleh Jin Afrit, diculik oleh UFO atau mereka telah dibakar menjadi abu?
Pada tahun 2025, warga Malaysia terkejut dengan berita kehilangan Datin Seri Pamela Lin Yueh. Media melaporkan Pamela telah diculik ketika dalam perjalanan ke ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Putrajaya pada 9 April 2025.
Difahamkan, Pamela dijadualkan hadir bagi memberi keterangan berkaitan siasatan kes pengubahan wang haram. Namun, Pamela tidak pernah sampai ke pejabat SPRM seperti dirancang dan gagal dihubungi sejak itu.

Ini satu lagi misteri yang terkait rapat dengan SPRM.
Tahun 2025 juga akan mengingati kita kembali dengan slogan – Keadilan Untuk Zara – Justice For Zara. Kematian Zara di Sabah telah menggemparkan negara.
Malah demo dan tunjuk perasan berlaku di kota dan pekan di Sabah. Malah demo Keadilan Untuk Zara melarat juga ke Semenanjung.
Zara Qairina Mahathir, seorang murid Tingkatan Satu Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Tun Datu Mustapha, Papar, Sabah, meninggal dunia pada 17 Julai 2025.

Zara ditemui tidak sedarkan diri di longkang berhampiran asramanya, dan dipercayai jatuh dari tingkat tiga bangunan asrama sekolah. Disangka secara popular sebagai mangsa buli.
Berita arwah meninggal dunia tanpa siasatan forensik yang lengkap menyebabkan gaya kematiannya dipertikai. Ini ditambah pula dengan desas-desus keterlibatan 'orang kaya' dan 'orang berkuasa' lagi berpengaruh yang cuba menyembunyikan kes kematian Zara.
Tidak dapat tidak kes Zara ini menimbulkan budaya buli yang terdapat di dalam sekolah. Kes Zara ini membuka kembali kes kematian Syamsul Haris Shamsuddin.
Berita melaporkan Mahkamah Tinggi memerintahkan kubur Syamsul yang telah meninggal dunia pada 28 Julai 2025 digali semula untuk menjalani siasatan forensik.

Siswa 22 tahun ini seorang pelatih Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes) Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai Johor.
Persoalan sama timbul – apakah Shamsul juga seperti Zara menjadi mangsa buli?
Kes arwah Zara ini telah membuka satu lagi kematian pelajar yang berlaku 12 tahun yang lalu. Pada 12 Ogos 2025 Berita Harian muncul dengan tajuk berita "Kematian pelajar tahfiz: Keluarga desak siasatan kes 12 tahun lalu dibuka semula, dikendalikan Bukit Aman."
Sama seperti kes arwah Zara keluarga juga telah mengadakan himpunan untuk menuntut dibuka kembali kes kematian Wan Ahmad Faris Wan Abdul Rahman yang meninggal dunia di dalam tandas sebuah Maahad tahfiz di Kok Lanas Kelantan.

Semua kes-kes kematian yang bersangkutan dengan buli ini masih belum selesai. Kes Zara masih di mahkamah – masih bersidang untuk menjalankan Inkues. Tahun 2026 – kita menunggu jawapan.
Untuk saya tahun 2025 akan di akhiri dengan berita gempak kes rasuah di Sabah yang melibatkan ramai para YB dan ahli politik. Kes ini bermula dengan kes pembocoran klip rakaman video dari Albert Tei.
Ini kes memberi dan menerima rasuah. Penerima ialah politikus di Sabah. Pemberi rasuah ialah Albert Tei seorang broker yang sedang mencari tanah di Sabah untuk lombong.
Kes Albert Tei ini menjadi hangat apabila setiausaha politik Anwar bin Ibrahim didakwa telah juga menerima duit daripada Albert Tei.

Klip rakaman video yang dibuat oleh Albert Tei ini memperdengar dan memperlihatkan Shamsul Iskandar meminta pound sterling daripada Albert Tei kerana ingin bercuti ke London.
Keterlibatan Shamsul ini telah memperlihatkan bahawa janji Anwar bin Ibrahim untuk melawan rasuah hanya omong kosong. Shamsul walaupun telah meletakkan jawatan tapi muka Anwar bin Ibrahim telah selamat 'dibopengkan'.
Bila 2025 menutup tirai untuk saya – Justice For Zara – akan terus menjadi ingatan yang berkekalan.
Imej klasik tahun 2025 yang menjadi ingatan warga Malaysia pastilah klip video depan rumah Albert Tei.

Pegawai SPRM telah menangkap Albert Tei dan membawa dia masuk ke dalam kereta.
Albert Tei menjerit: "Muncung pistol atas kepala saya... muncung pistol atas kepala saya....." Jeritan itu didengar berkali-kali.
Jeritan Albert Tei ini jeritan rakyat Malaysia yang sedang berhadapan dengan muncung pistol Perjanjian Anwar – Trump 2025.
Perjanjian yang ditandatangani pada 26 Oktober 2025 ketika Trump singgah di Kuala Lumpur dalam perjalanannya ke Jepun dan Korea Selatan. Amin.
HISHAMUDDIN RAIS aktivis politik, penulis dan pengarah filem.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.
