Apabila Presiden Donald Trump mengisytiharkan bahawa angkatan laut Amerika Syarikat akan menutup laluan di Selat Hormuz, hampir seluruh dunia pasti memberi tumpuan kepada tindakan itu serta memikirkan apakah kesannya kepada semua negara.

Tetapi pada waktu itulah Israel memusnahkan satu persatu kampung halaman rakyat Lubnan yang terletak di sepanjang sempadan. Serentak itu peta dalam telefon berjenama Apple didakwa memadam semua nama kampung itu. Sedangkan dalam peta Google, nama tempat-tempat itu masih ada. 

Sebuah lagi jenama, yang dikatakan mempunyai alat intipan meletup di tangan beberapa warga Lubnan. Letupan itu seperti yang berlaku pada alat kelui yang membunuh komandan Hezbollah. Teknologi bom dalam alat kelui hanya dibangunkan oleh Israel.

Kampung-kampung yang dimusnahkan itu adalah milik warga Lubnan dari komuniti Arab Syiah. Mereka adalah komuniti yang diwakili oleh Hezbollah dalam Parlimen Lubnan. Sebaik saja perang Israel/Amerika ke atas Iran, rejim Zionis menghebahkan pada penduduk selatan Lubnan supaya meninggalkan rumah. Maka warga Lubnan itu menjadi pelarian dan berpindah ke utara.

Israel tidak berselindung untuk menyatakan bahawa ia mahu menakluk dan merampas wilayah Lubnan, bahagian selatan pada Sungai Litani. Maka Lubnan selatan sudah menjadi seperti Bukit Golan, Syria; Tebing Barat dan Gaza, iaitu wilayah-wilayah yang diduduki Israel.

Untuk itu, Israel memusnahkan semua rumah di Lubnan selatan seperti apa yang berlaku di Gaza. Jangan harap warga Lubnan yang dihalau itu dapat kembali semula ke kampung halaman.

Pada mulanya tentera Lubnan yang dipimpin oleh komuniti Kristian Maronit berusaha untuk mempertahankan wilayah itu tetapi mereka akhirnya mengundurkan diri. Pihak yang berusaha mempertahankan komuniti Syiah Lubnan ialah Hezbollah. Israel berazam hendak memusnahkan Hezbollah. Serangan bom dilemparkan ke Beirut. Ratusan warga Lubnan termasuk kanak-kanak mati terkorban. Sebagai memenuhi permintaan rejim Zionis, kerajaan Lubnan mahu Hezbollah dibubarkan dan anggotanya diserapkan ke dalam angkatan tentera Lubnan. Tentulah perkara ini ditolak oleh Hezbollah kerana tanpa mereka, komuniti Syiah di situ tidak mempunyai perlindungan.

Secara rasmi, Israel mengumumkan kehendaknya bahawa Lubnan hendak dibahagi tiga. Pertama ialah apa yang dipanggil sebagai Zon Penampan. Kedua ialah Zon Ketenteraan dan ketiga barulah wilayah yang ditadbir kerajaan Lubnan.

Zon Penampan dan Zon Ketenteraan hendaklah dikosongkan daripada warga Lubnan. Zon Penampan diletakkan bawah pentadbiran awam Israel dan Zon Ketenteraan bawah tentera Israel. Apapun ia hendak dijadikan sebahagian daripada wilayah Israel yang akhirnya akan ditempatkan kampung Yahudi.

Ladang tua zaitun

Untuk itu semua warga Lubnan di Zon Penampan dan Zon Ketenteraan dihalau ke utara Lubnan. Tentera Israel bukan saja memusnahkan rumah kediaman dan masjid tetapi ladang-ladang zaitun yang usianya lebih tua daripada entiti Israel yang ditubuhkan pada tahun 1948.

Penghalauan warga Lubnan ini dianggap sebagai “nakba” atau “bencana” bagi rakyat Lubnan. Warga Palestin mengalami “nakba” mereka pada tahun 1948 apabila dihalau oleh Zionis daripada kampung halaman masing-masing. Mereka terpaksa menjadi pelarian ke Tebing Barat yang ketika itu ditadbir Jordan dan Gaza serta diperintah Mesir. Kini selepas bertukar generasi, mereka tidak dapat kembali ke kampung sendiri. Nasib yang sama sedang menimpa warga Lubnan.

Ladang zaitun di Lubnan

Menurut seorang menteri Israel, Lubnan tidak seperti Palestin, ia terletak di luar wilayah yang menjadi minat pada entiti Zionis. Ia menjadi perhatian kerana Lubnan mempunyai warga asal Palestin. Mereka dahulu merupakan pelarian dari Tebing Barat dan mewujudkan pusat perlawanan Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO). Pada tahun 1980-an, Israel menakluk sebahagian Lubnan dan mengepung kem pelarian Palestin di Sabra dan Shatila. Mereka kemudian membenarkan kumpulan teroris Kristian Maronit Falangis membunuh beramai-ramai (massacre) pelarian Palestin itu.

Atas tekanan Israel, pelarian Palestin dan pejuang PLO pimpinan Yasser Arafat dipindahkan ke Tripoli, Libya ketika itu bawah Muammar Gaddafi. Selepas Perjanjian Oslo dan janji untuk penubuhan negara Palestin, mereka dibenarkan pulang ke Tebing Barat dan Gaza.

Perjuangan menentang Israel di Lubnan dicergaskan semula selepas Revolusi Islam di Iran pada tahun 1981. Komuniti Syiah di Lubnan yang terpinggir dalam politik Lubnan mengatur diri mereka, mula-mula oleh kumpulan Amal diikuti dengan Hezbollah. Dengan bantuan Iran, mereka dapat membebaskan kampung halaman mereka di Lubnan Selatan pada tahun 1980-an.

Republik Lubnan diisytiharkan merdeka daripada tanah mandat Perancis pada tahun 1943, seperti Palestin yang merupakan tanah mandat British. Seperti British terhadap Palestin, Perancis memperoleh Lubnan dari kerajaan Uthmaniyah yang tumbang selepas Perang Dunia Pertama pada tahun 1918. Komposisi agama di Lubnan ialah 53 peratus Islam dan 41 Kristian. Sementara orang Islam terdiri daripada 27 peratus Syiah dan 26 peratus Sunni.

Kini kerajaan Israel tanpa berselindung menghebahkan mengenai gagasan Greater Israel atau Israel Raya yang jelas meliputi Lubnan. Sama ada namanya Zon Penampan atau Zon Ketenteraan, ia sudah dijadikan sebahagian daripada Israel.

Mereka mahukan kerajaan Lubnan menangani Hezbollah dengan menghapuskannya. Sementara itu, ia juga mahukan Lubnan menyertai perjanjian Abraham Accords yang terdiri daripada negara-negara Islam “mesra Israel”. Kini anggota mereka terdiri daripada Israel, Maghribi, Sudan, Bahrain dan Emiriah Arab Bersatu (UAE). Abraham Accords merupakan cerminan pada gagasan Pax Judaica iaitu keamanan dunia bawah hegemoni Zionis global.

Sasaran Israel hampir semua tanah Arab 

Tetapi sasaran Israel adalah supaya Mesir, Maghribi, Somaliland (wilayah pro-Israel di Somalia), Jordan, Syria, Iraq, Lubnan, Kuwait, Arab Saudi dan Oman– majoriti dunia Arab. Turut sama sasaran Abraham Accords ialah negara Islam bukan Arab iaitu Turki, Azerbaijan, Albania, Kosovo dan Indonesia. Namun perang Israel/Amerika ke atas Iran sedang menjejaskan projek Israel ini.

Projek penting dalam konteks Abraham Accords ini ialah Board of Peace (BOP) atau Lembaga Perdamaian yang mahu membangun semula Gaza dalam bentuk hartanah kapitalis. Anggota negara BOP terdiri daripada lima negara iaitu Amerika, Qatar, Bahrain, UAE dan Indonesia. Israel tidak menyertainya tetapi terdapat dua operator Yahudi dalam projek itu iaitu Duta Khas Amerika, Steve Witkoff, seorang ahli perniagaan hartanah yang rapat dengan Presiden Trump dan Jared Kushner, menantu Trump yang juga ahli perniagaan hartanah. Kedua-duanya bukan saja Zionis dan pro-Israel malah sahabat Benjamin Netanyahu. Di waktu mudanya, beliau pernah tidur di rumah Kushner.

BOP dipengerusikan oleh Trump seumur hidup dengan lembaga eksekutifnya terdiri daripada Tony Blair, bekas perdana menteri Britain yang turut bertanggungjawab dalam perang Amerika ke atas Iraq dahulu. Dua lagi ahli lembaga eksekutif BOP tentunya Witkoff dan Kushner.

Kedua-duanya juga menjadi wakil kerajaan Amerika dalam rundingan damai dengan Amerika. Mereka hanya bercakap semasa rundingan untuk menyatakan tentang kepentingan Israel. Kushner dihubungi Netanyahu ketika rundingan sedang berlangsung. Itulah yang menimbulkan kemarahan Menteri Luar Iran, Abbas Aragchi.

Benjamin Netanyahu

Apabila Amerika dan Iran menyatakan persetujuan gencatan senjata yang juga melibatkan Lubnan dan Palestin, rejim Zionis membalasnya dengan menyerang Lubnan dengan menyatakan gencatan senjata itu tidak melibatkan Lubnan.

Iran membantah dan membalasnya dengan serangan dron dan peluru berpandu ke atas Tel Aviv. Satu sasaran penting adalah Lapangan Terbang Ben Gurion, lapangan terbang utama Israel.

Ada corak tertentu yang dapat dilihat dalam peperangan ini. Serangan pertama Israel/Amerika ke atas Iran disusuli dengan serangan besar-besaran tentera Zionis ke atas Lubnan. Serangan balas pun berlaku. Hezbollah dapat melawan hingga memasuki Israel utara. Suasana menjadi reda walaupun peperangan belum tamat.

Apabila diumumkan berlaku gencatan senjata yang turut melibatkan medan perang di Lubnan, Israel terus menyerang habis-habisan. Iran dan Yaman membantu Hezbollah melawan balik. Apabila dibuktikan pada dunia bahawa gencatan senjata melibatkan Lubnan, maka Israel menghentikan serangannya ke atas Lubnan.

Serangan ketika gencatan

Kemudian apabila rundingan itu gagal, Israel segera menyerang Lubnan sedangkan gencatan senjata masih berlaku kerana persetujuannya adalah untuk dua minggu. Sebab itu dari pengalaman-pengalaman lalu, Iran tidak pernah mempercayai gencatan senjata Israel dan Amerika.

Perang Israel/Amerika-Iran yang bermula pada 28 Februari adalah disepakati bahawa ia merupakan asas inisiatif Israel dapat mempengaruhi Amerika. Walaupun ketika itu Amerika dan Iran sedang dalam rundingan dan Oman berkata persetujuan hampir tercapai.

Ternyata dengan jelas bahawa Israel tidak mahu persetujuan dicapai oleh Iran dan Amerika. Ia berlaku pada 28 Februari 2026 dan juga tahun lalu.

Maka apabila pihak Amerika mencadangkan supaya rundingan diadakan, Iran menolaknya. Tetapi Pakistan berusaha supaya gencatan senjata diadakan dan rundingan dimulakan. Iran meletakkan 10 syarat yang Trump kata ia boleh diusahakan. Maka Iran pun setuju walaupun tidaklah optimis atau percaya pada Amerika.

Dari awal lagi Israel bukan saja menolak rundingan tetapi mensabotajnya. Netanyahu menyatakan bahawa pesawat terbang yang membawa jururunding adalah sasaran sah peperangan. Sesuatu yang Israel pernah lakukan iaitu membunuh pemimpin Hamas yang sedang berunding dengannya dan juga jururunding Iran yang sedang berunding dengan Amerika.


ZIN MAHMUD ialah seorang wartawan veteran dengan pengalaman lebih tiga dekad.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.