Dalam sejarahnya, PAS mempunyai banyak penyokong yang boleh dikerah untuk menggerakkan jentera pilihan raya secara percuma dan ikhlas. Tetapi PAS tidak mempunyai pemimpin utama yang boleh dijadikan ketua gabungan dan selanjutnya dicalonkan sebagai Perdana Menteri
Pada tahun 1988 Umno berpecah dua apabila Tengku Razaleigh Hamzah bertanding jawatan presiden yang ketika itu disandang oleh Mahathir Mohamad. Tengku Razaleigh dan pasukannya kalah dan bawa Umno ke mahkamah kerana mempertikaikan kesahihan pemilihan itu.
Ekoran itu, mahkamah mengisytiharkan Umno haram. Tengku Razaleigh bertindak segera menubuhkan parti dengan nama Umno Malaysia. Pendaftar Pertubuhan (ROS) menolak nama itu dan Tengku Razaleigh perlu mencari nama lain. Sementara itu, Mahathir mendaftar parti Umno Baru dan ROS meluluskannya.
Tengku Razaleigh memilih nama Parti Semangat 46. Maka pengikut-pengikut beliau menyertai S46 sementara penyokong-penyokong Mahathir sertai Umno Baru. Oleh kerana kedua-duanya tidak mewarisi Umno yang lama, maka cawangan-cawangan perlu ditubuhkan semula.

Dalam keadaan ini, PAS yang ketika itu hanya ada satu kerusi Parlimen mengalu-alukan perkembangan ini Tengku Razaleigh berpendapat bahawa untuk melawan Umno Baru, pakatan dengan PAS adalah perlu.
Maka ditubuhkan Angkatan Perpaduan Ummah.
S46 ada dana tetapi kekurangan sukarelawan. Sementara PAS kekurangan dana tetapi mempunyai sukarelawan.
Jadi dalam PRU tahun 1990, penyokong PAS banyak membantu S46. Apa yang ketara S46 mempunyai banyak pemimpin yang berpengalaman tetapi kekurangan aktivis, berbanding PAS yang mempunyai banyak aktivis tetapi kurang pemimpin berkemampuan.

Sudah tentu Presiden PAS, Fadzil Noor bersedia menerima Tengku Razaleigh sebagai calon perdana menteri. Beliau adalah bekas menteri kewangan dan kelayakannya adalah setanding dengan Mahathir, kalau tidak pun lebih.
Walaupun PAS dan S46 berlainan fahaman politik tetapi kesepakatan dapat dicapai dalam satu gabungan lebih besar bersama Gagasan Rakyat yang turut dianggotai oleh DAP dan Parti Rakyat Malaysia (PRM).
Persefahaman dibuat atas manifesto bersama bertajuk Selamatkan Malaysia.
Walaupun Tengku Razaleigh gagal mengalahkan Mahathir tetapi Angkatan menyapu bersih Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan. Kerusi Parlimen PAS pula bertambah dari satu kepada tujuh.
Dalam PRU berikutnya, iaitu pada tahun 1995, PAS dan S46 masih bersama dalam Angkatan tetapi semangatnya sudah luntur. Angkatan tidak lagi menguasai sepenuhnya DUN Kelantan.

Selepas PRU itu, Tengku Razaleigh sertai Umno Baru. Mahathir letak syarat supaya S46 dibubarkan sepenuhnya. Dengan penyertaan bekas ahli S46 ke dalam Umno Baru, maka ROS luluskan pengguguran perkataan “baru” dan ia diterima sebagai pewaris Umno asal.
Maka menjelang PRU berikutnya PAS kembali bersendirian tanpa bergabung dengan mana-mana parti. Tiba-tiba pada tahun 1998, Umno bergolak. Timbalan Presiden Umno, Anwar Ibrahim bukan saja dipecat tetapi didakwa dengan tuduhan yang dahsyat.
Fadzil yang pernah menjadi Timbalan Presiden ABIM di bawah Anwar tidak teragak-agak menolak tuduhan-tuduhan yang dilemparkan oleh Umno dan kerajaan.
Apabila Anwar melancarkan Reformasi, bukan saja Fadzil menyokongnya tetapi keseluruhan ahli PAS turut memihak kepada Anwar.

Fadzil mengajak Anwar menyertai PAS. Sementara PRM di bawah Syed Husin Ali juga menawarkan partinya kepada Anwar.
Akhirnya Parti Keadilan Nasional ditubuhkan. Setiausaha Jawatankuasa Penaja Keadilan, Anuar Tahir menceritakan betapa sukarnya hendak mencari ahli untuk menubuhkan cabang parti walaupun di kalangan penyokong-penyokong Anwar dalam Umno dan ABIM.
Menjelang PRU, pemimpin-pemimpin dan para sukarelawan PAS membantu Keadilan dalam kempen tahun 1999. Fadzil, Nik Aziz Nik Mat, Mohamad Sabu pergi merata-rata berceramah untuk membantu Keadilan. Ahli dan penyokong PAS membantu Keadilan bukan kerana mematuhi arahan pimpinan semata-mata tetapi sememangnya mereka menyokong Anwar.
Dalam usaha ini, PAS berpakat dengan Keadilan, DAP dan PRM dalam satu pakatan yang dinamakan Barisan Alternatif (BA). Parti terbesar dalam pakatan itu dari segi kerusi Parlimen ialah DAP iaitu lapan kerusi. Hanya satu kerusi lebih daripada PAS. Tetapi semuanya sepakat bahawa calon Perdana Menteri mereka adalah Anwar.
Dari segi keahlian dan aktiviti, PAS adalah parti terbesar, jauh lebih lebih besar daripada Keadilan tetapi tidak ada sesiapapun yang mencadangkan supaya Fadzil menjadi calon Perdana Menteri.

Ketika mana Keadilan sedang berusaha mencari ahli, banyak juga penyokong-penyokong Anwar tidak menyertai Keadilan tetapi memilih PAS. Keahlian PAS mendadak naik.
Ternyata PAS mengaut banyak keuntungan daripada gerakan Reformasi selepas PRU tahun 1999, PAS bukan saja mengukuhkan kedudukannya di Kelantan tetapi juga menguasai Terengganu. Di Parlimen, PAS memperoleh 27 kerusi, DAP dapat 10 kerusi dan Keadilan lima kerusi. Maka PAS jadi Ketua Pembangkang tetapi BA tetap menerima Anwar sebagai calon Perdana Menteri mereka.

Ketika menghadapi PRU tahun 2004, semangat Reformasi sudah menurun. Mahathir pun telah meletak jawatan. Atas arahan Anwar, Keadilan bersatu dengan PRM untuk menjadi PKR. Atas desakan akar umbi, DAP keluar daripada BA walaupun masih tetap bekerjasama dengan PAS dan PKR dalam pilihan raya.
Dalam PRU tahun 2004, PAS terlepas Terengganu dan hampir kehilangan Kelantan, kerusinya di Parlimen merosot daripada 27 kepada tujuh dan PKR tinggal satu. DAP dapat tambah kerusi kepada 12.
Sekali lagi DAP tidak menyertai BA dalam PRU tahun 2008 walaupun kesepakatan antaranya dengan PAS dan PKR tetap teguh. Masa inilah kelihatan penyokong PAS membawa bendera DAP. Sementara ada penyokong DAP tularkan video kempen nyanyian biduanita Teresa Teng bertajuk The Moon Represent My Heart (Bulan Mewakili Hatiku) dengan berlatarkan lambang PAS.
Menjelang PRU tahun 2008 itu, Anwar sudah dibebaskan tetapi tidak boleh dicalonkan. Beliau turut berkempen dan BA yang berpakat dengan DAP tetap menerima Anwar sebagai bakal Perdana Menteri.

Ketika itu Fadzil sudah meninggal dunia dan jawatan presiden PAS disandang oleh Abdul Hadi Awang. Tetapi Nik Aziz yang menyandang jawatan Mursyidul Am dan Menteri Besar Kelantan adalah pemimpin de facto PAS. Beliau adalah pendukung kuat kepimpinan Anwar dan persepakatan PKR-PAS-DAP.
PRU tahun 2008 merupakan titik perubahan politik negara. Pakatan BA dan DAP menang lima negeri dan menafikan BN majoriti dua pertiga. PAS menjadi Menteri Besar di Kelantan, Kedah dan Perak dengan sokongan DAP. DAP menguasai Pulau Pinang dan PKR memimpin Selangor. Di Parlimen, PKR memperoleh 31 kerusi, DAP 28 kerusi dan PAS 23 kerusi.
Waktu inilah, Anwar menubuhkan Pakatan Rakyat (PR) yang dianggotai oleh PKR, DAP dan PAS. Maka calon Perdana Menteri dari PR adalah tetap Anwar.
Pada pilihan raya umum 2013, BN menawan kembali Kedah dan Perak. DAP memperoleh 38 kerusi, PKR mendapat 28 kerusi dan PAS 21 kerusi.
Tahun 2015 menyaksikan perubahan besar politik negara. Anwar dimasukkan ke penjara bagi kali kedua pada 10 Februari. Nik Abdul Aziz meninggal dunia pada 12 Februari.
Muktamar PAS pada Jun menyingkir pemimpin-pemimpin yang menyokong Anwar sebagai calon Perdana Menteri.
Mereka juga meluluskan usul supaya PAS putuskan hubungan dengan DAP. Akibatnya pada Julai, PR dibubarkan. Pada 16 September, Amanah ditubuhkan oleh bekas ahli-ahli PAS yang mendukung Anwar sebagai calon Perdana Menteri dan mahukan hubungan dengan DAP diteruskan. Pada 22 September, Pakatan Harapan (PH) ditubuhkan oleh PKR, DAP dan Amanah dengan Anwar sebagai Ketua Umum dan calon Perdana Menteri.
Pada tahun 2017, Bersatu pimpinan Mahathir menyertai PH dan sekali gus menjadi calon Perdana Menteri dengan janji Anwar akan menjadi penggantinya selepas separuh penggal.

Dalam PRU tahun 2018, PH mengalahkan BN dengan majoriti mudah. PKR memperoleh 47 kerusi, DAP 42 kerusi, Bersatu 13 kerusi dan Amanah 11 kerusi. PAS pula mendapat 18 kerusi. PAS menang Kelantan dan Terengganu. Menteri Besar Bersatu mentadbir Johor, Perak dan Kedah. Menteri Besar PKR mentadbir Selangor dan Negeri Sembilan. Ketua Menteri DAP mentadbir Pulau Pinang dan Amanah di Melaka.
Pada tahun 2020, Bersatu keluar dari PH dan kerajaan pimpinan Mahathir pun berakhir. PAS pula sertai kerajaan baru bersama Bersatu dan BN.
Apabila PRU tahun 2022 diadakan, PKR memperoleh 31 kerusi, DAP dapat 40 kerusi dan Amanah lapan kerusi. PAS pula dapat 43 kerusi dan Bersatu 31 kerusi. Ada kepercayaan bahawa kebanyakan undi yang diterima Bersatu datang dari penyokong PAS.

PAS muncul sebagai parti terbesar tetapi dalam Perikatan Nasional (PN), ia memberi laluan pada Muhyiddin Yassin sebagai calon Perdana Menteri mereka.
PAS ada sebut bahawa mereka tidak bermimat untuk jadi Perdana Menteri. Mereka hanya mahu menjadi “kingmaker” atau penentu Perdana Menteri.
PAS sendiri sedar bahawa sukarnya mereka menjadi Perdana Menteri. Ada dua sebab. Pertama, presidennya tidak berminat dan tidak layak menjadi Perdana Menteri. Kedua, PAS mempunyai fahaman politik keagamaan yang “regresif”, iaitu bukan konservatif dan bukan progresif yang menimbulkan rasa bimbang oleh sebahagian besar rakyat.
Kini PAS berusaha untuk mengetuai gabungan bagi membolehkan mereka menjadi bukan setakat “kingmaker” tetapi juga Perdana Menteri. Untuk itu, mereka mengemukakan Menteri Besar Terengganu, Ahmad Samsuri Mokhtar untuk mengetuai PN. Kini penyokong-penyokong PAS sudah mengharapkan beliau untuk menjadi Perdana Menteri ke-11.
ZIN MAHMUD ialah seorang wartawan veteran dengan pengalaman lebih tiga dekad.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.
