mk-logo
Kolum
KOLUM | PRN Johor boleh jejas kestabilan nasional

KOLUM | Pengumuman pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor bukan saja tidak mengejutkan tetapi dinanti-nantikan. Apabila BN Johor mengumumkan akan bertanding di semua kerusi, itu petanda semua parti di negeri itu perlu bersedia.

Parti-parti yang terlibat adalah Umno, MCA dan MIC yang berada dalam Barisan Nasional, PKR, DAP dan Amanah yang bergabung dalam Pakatan Harapan, Bersatu, PAS dan Gerakan dalam Perikatan Nasional, serta Muda dan Bersama.

Semua parti itu bukan saja perlu bersedia di peringkat negeri Johor tetapi juga di peringkat negeri lain khususnya di Negeri Sembilan yang mana BN menarik sokongan daripada Kerajaan Perpaduan pimpinan PH. Negeri lain yang wajar diadakan PRN ialah Perlis kerana PAS tidak puas hati terhadap Menteri Besar Bersatu.

Tetapi apa yang lebih besar ialah tindakan BN Johor dan BN Negeri Sembilan yang merupakan cabaran kepada Kerajaan Perpaduan. Kedua-dua BN negeri itu terang-terang menolak dasar pucuk kepimpinan BN yang mahukan kerjasama antara BN dan PH dalam pilihan raya. Maknanya Presiden Umno dan Pengerusi BN, Zahid Hamidi tidak cukup pengaruh untuk menentukan perjalanan politik di peringkat negeri.

Pucuk pimpinan Umno menyatakan bahawa bertanding secara solo akan merugikan mereka dengan undi terpecah dan akhirnya akan memberikan kemenangan kepada PN. Belum dikira pula dana yang diperlukan untuk pilihan raya. BN sekarang tidak seperti semasa BN menjadi kerajaan pusat dan negeri.

Tetapi BN Johor mempertahankan keputusan mereka untuk bertanding solo dengan menyatakan ia merupakan tuntutan akar umbi yang yakin gabungan itu akan menang dengan bertanding semua kawasan walaupun berlaku pecah undi. Ini kerana perpecahan undi akan berlaku pada pihak pembangkang iaitu PH dan PN, dan bukannya BN.

Akhirnya pucuk pimpinan Umno pusat akur tetapi menegaskan bahawa walau apa pun yang berlaku di peringkat negeri, kerjasama antara PH dan BN di peringkat pusat tetap utuh. Kerajaan Perpaduan akan terus mentadbir sehingga tamat tempoh penggal.

Sedangkan pada awalnya, Perdana Menteri, Anwar Ibrahim dalam Konvensyen PH di Johor Bahru bulan lalu telah membayangkan jika kerajaan politik sebegini rupa, kerajaan persekutuan boleh dibubarkan lebih awal supaya pilihan raya umum dapat diadakan serentak dengan PRN.

Maknanya, cadangan kerjasama PH-BN dibatalkan dan masing-masing bertanding secara solo yang akan merugikan kedua-dua pihak, lebih-lebih lagi BN sendiri. Pertandingan tiga penjuru ini akan menggugat lebih pada BN Johor.

Ini kerana dikesan bahawa kemenangan BN pada PRN lalu adalah atas asas bahawa banyak pengundi yang tidak balik untuk mengundi di kampung halaman mereka. Kekurangan peratus mengundi menguntungkan BN kerana ia umumnya membabitkan pengundi-pengundi Cina yang cenderung untuk mengundi PH.

Pengundi-pengundi itu ada yang tinggal di luar Johor umpamanya di Selangor, atau di luar negara seperti Singapura dan Australia. Umumnya mereka akan pulang untuk mengundi semasa PRU dan sekali gus mengundi di peringkat negeri. Sering kali mereka tidak pulang sekiranya diadakan PRN saja ataupun pilihan raya kecil. Ini bukan saja soal perbelanjaan wang tetapi juga menganggap kerajaan negeri mempunyai kuasa terhad berbanding peringkat persekutuan.

Maka dalam keadaan begini, BN dan PN di Pantai Barat akan lebih suka PRN diadakan berasingan daripada PRU untuk mendapatkan keputusan seperti apa yang pernah berlaku di Johor dan Melaka.

Dari segi semangat demokrasi, kemenangan yang bergantung pada kekurangan peratus pengundi yang tidak pulang ke kampung halaman tidak mencerminkan perolehan mandat rakyat sebenar.

Lagipun mengadakan PRU dan PRN serentak akan menjimatkan perbelanjaan bukan saja kerajaan tetapi rakyat yang terlibat dengan pilihan raya. Jumlah dana amat besar bukan saja bagi menguruskan pilihan raya tetapi juga perbelanjaan kempen yang perlu dibelanjakan oleh parti-parti politik, dengan sumbernya pasti dari orang ramai termasuk pertubuhan dan syarikat perniagaan.

Bayangkan berapa banyak minyak yang digunakan oleh pengangkutan juru kempen pilihan raya sedangkan negara sedang berjimat-cermat dalam hal penggunaan minyak pada waktu sekatan Selat Hormuz sekarang ini.

Maka, adalah dijangkakan bahawa Perdana Menteri Anwar Ibrahim tidak akan membubarkan Parlimen bagi membolehkan PRU diadakan lebih awal. Bukan saja tempoh penggal masih panjang iaitu sehingga November 2027 tetapi lebih penting lagi negara sedang menghadapi krisis bekalan yang mana langkah jimat-cermat perlu dilaksanakan.

Sebab itu, timbul rasa kekesalan sebahagian orang ramai apabila pembubaran itu dilakukan pada waktu yang dirasakan tidak sesuai bagi negara sedangkan tempoh penggal bagi DUN Johor masih lama lagi iaitu pada Mac 2027.

Lagipun tidak ada keperluan bagi kerajaan itu dibubarkan segera. Kerajaan Johor adalah stabil kerana BN memiliki majoriti dan ia tidak perlu berkongsi dengan parti lain. Ia juga bukanlah Kerajaan Perpaduan kerana ia ditubuhkan sebelum pilihan raya umum. PRN tahun 2022 diadakan pada bulan Mac sedangkan PRU pada bulan November.

Krisis bekalan yang dijangka memperlihatkan kesan pada bulan Julai menuntut semua pihak negara ini, baik kerajaan, swasta dan orang ramai bertindak secara jimat-cermat. Ahli-ahli politiklah yang sepatutnya lebih sedar bahawa masa ini adalah tidak sesuai untuk mengadakan pilihan raya demi kepentingan rakyat dan negara.

Sebab itu ada pihak yang menyatakan bahawa BN Johor bersikap tidak bertanggungjawab atas tindakan mereka membubarkan DUN. Ini kerana pada waktu genting inilah kerajaan negeri patut turut menyumbang kepada maslahat negara.

Lebih-lebih lagi pada Isnin lalu, Iran menyatakan keengganannya untuk bertemu dengan pihak Amerika Syarikat kerana Israel berterusan mengebom Lubnan. Maka, Iran akan terus menutup Selat Hormuz yang pasti akan memberi impak kepada dunia termasuk Malaysia.

Tindakan untuk membubarkan DUN pada waktu krisis bekalan ini adalah seperti apa yang berlaku di Sabah yang membubarkan DUN ketika negara masih dilanda wabak Covid-19 pada tahun 2020. Ia merupakan tindakan tidak bertanggungjawab hingga memberatkan lagi ancaman wabak itu.

Tetapi sebelum ini ada laporan yang menyatakan kerajaan Johor merancang untuk membubarkan DUN lebih awal lagi tetapi terhalang apabila berlaku krisis politik di Negeri Sembilan. Krisis itu menjejaskan imej BN yang kelihatan mahu menjatuhkan kerajaan sendiri melalui penarikan diri daripada Kerajaan Perpaduan negeri. Peristiwa itu dilihat sebagai suatu usaha “pengkhianatan” dan mencalar imej BN.

Apa yang mudah dalam pertandingan solo ialah BN tidaklah perlu berunding dengan PH tentang pembahagian kawasan.

Apa yang nyata ialah PRN kali ini memihak kepada BN. Mereka telah memenangi PRN pada Mac 2022 dengan senario apabila PH berpecah dengan ketiadaan Bersatu. Menteri Besar Hafiz Onn Ghazi pula dianggap popular dalam kalangan rakyat. BN yakin akan memperoleh kedudukan lebih kuat berbanding tahun 2022.

Sementara itu, pihak PH sedang mengalami krisis dalaman yang membawa perpecahan PKR dengan lahirnya Bersama. Calon menteri besar dari PH pula tidak jelas.

Amanah kelihatannya tidak kuat dan kedengaran berlakunya gejolak politik dalam DAP. Kali ini parti Muda juga sudah tidak bersama PH.

Keputusan AdunSkudai, Marina Ibrahim tidak akan bertanding juga mencalar imej DAP sebagai parti berbilang kaum. Skudai memiliki majoriti pengundi kaum Cina dan ia wajar diwakili oleh Adun kaum Cina. Maka DAP cadang memindahkan dia ke kawasan bandar lain yang mempunyai pengundi Melayu yang ramai.

Dalam pada itu, PN pula tidak kemas. Hubungan antara Bersatu dengan PAS dalam keadaan tidak baik. Sementara perselisihan dalam Bersatu iaitu antara Muhyiddin Yassin dengan Hamzah Zainuddin belum benar-benar selesai.

Sememangnya perselisihan dalam Bersatu dan PN tidak berkait dengan negeri Johor. Ia berlaku di luar Johor tetapi Presiden Bersatu, Muhyiddin berpangkalan di Johor. Begitu juga krisis PKR dengan Bersama juga berlaku di luar Johor.

Pesaing DAP ialah MCA dalam BN dan Gerakan dalam PN. Walaupun penyokong-penyokong DAP tidak akan mengundi BN atau PN, mereka mungkin tidak mengundi jika merasakan tidak berpuas hati dengan DAP.

Tema kempen awal BN ialah “Kestabilan”. Mereka menghujahkan bahawa rakyat perlu mengundi BN untuk kestabilan.

Tetapi tidakkah selama ini kerajaan negeri Johor sudah stabil? Malah sebaliknya pembubaran DUN ini boleh membawa kepada ketidakstabilan kerana hasilnya tidak menentu.

Lagipun PH dan PN juga menghujahkan bahawa majoriti besar pada sama ada PH atau PN akan juga membawa kestabilan. Kestabilan dihasilkan daripada kemenangan majoriti tetapi dengan syarat bahawa tidak berlaku pengkhianatan dari dalam parti atau gabungan.


ZIN MAHMUD ialah seorang wartawan veteran dengan pengalaman lebih tiga dekad.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS