KOLUM | Iran diserang oleh Amerika dan Israel pada 28 Februari 2026. Pertempuran berlaku selama 40 hari. Pada 8 April gencatan senjata diumumkan.
Pada 11 April rundingan berjalan di Islamabad, Pakistan. Pakistan menjadi orang tengah - pengantara utama bagi meredakan ketegangan dan membincangkan usul gencatan senjata.
Rundingan damai di Islamabad berjalan selama lebih 21 jam. Rundingan ini berakhir tanpa mencapai sebarang persetujuan atau kata sepakat. Usaha untuk menyambung pusingan kedua selepas itu dilaporkan menemui jalan buntu.
Ketika tulisan ini digarap gencatan senjata dikatakan masih berjalan.

Semenjak rundingan gagal di Islamabad, saban hari Presiden Trump akan berlabun bahawa ‘damai’ akan sampai tidak lama lagi. Damai hanya di luar pintu menunggu untuk ditandatangani.
Melalui Truth Social – syarikat media sosial milik Trump sendiri – Presiden Amerika ini tak sudah-sudah akan memberi maklumat bahawa perang akan tamat. Iran sudah kalah. Tentera laut dan tentera udara Iran sudah musnah.
Justeru mengikut Trump, Iran merayu minta tamatkan perang ini. Ini labun popular Presiden Donald J Trump.
Apa sebenarnya sedang berlaku?
Kini semua pemerhati politik, penganalisa politik dari universiti dan pengkaji perjalanan geopolitik - hampir telah sepakat dan bersetuju bahawa dalam perang ini Amerika telah kalah.
Amerika bukan kalah dari segi tentera. Amerika kalah dari segi geopolitik.
Stesen TV PBS dalam tinjauan Mei 2026 menunjukkan bahawa kira-kira 56 peratus hingga 60 peratus rakyat Amerika menentang tindakan ketenteraan Amerika dan penglibatan dalam perang di Iran.
Kira-kira 6 dalam 10 orang Amerika tidak bersetuju dengan serangan tentera yang sedang dijalankan.

Kira-kira 86 peratus daripada Demokrat menentang tindakan ketenteraan berbanding dengan hanya kira-kira 15 peratus daripada Republikan.
Ekonomi menjadi sebab utama yang menjadikan warga Amerika antiperang. Sebelum perang dengan Iran bermula pada 28 Februari 2026, purata harga satu gelen petrol di Amerika Syarikat adalah kira-kira 3 dolar. Hari ini satu gelen minyak sudah mencecah 4 ke 5 dolar – mengikut kawasan.
Kini ramai rakyat Amerika semakin sedar bahawa Amerika telah digunakan oleh Zionis Israel untuk menyerang Iran.
Malah kumpulan MAGA – Make America Great Again - penyokong tegar Presiden Trump juga telah beralih kiblat. Tidak lagi memberi sokongan membuta tuli kepada Trump.

Kumpulan MAGA dan garis politik kanan di Amerika makin kritikal terhadap pengaruh Israel dalam badan politik Amerika. Semakin ramai rakyat Amerika dari kumpulan dan garis politik kanan yang mula mempersoalkan mudarat pengaruh Zionis dalam badan politik Amerika.
Untuk warga Amerika yang menentang perang mereka menganggap Trump telah ditipu oleh Netanyahu.
Mereka telah sependapat bahawa Iran tidak membawa apa-apa malapetaka terhadap Amerika. Iran tidak dilihat mengancam keselamatan Amerika.
Heboh-heboh tentang senjata nuklear Iran kini dilihat sebagai projek jahat Israel untuk mengaburi mata politikus Amerika. Sama seperti berlaku terhadap Saddam Hussein dan Iraq pada tahun 2003.

Senjata nuklear digunakan sebagai umpan mengolah persetujuan untuk menyerang Iran. Sama seperti ‘weapons of mass destruction’ milik Saddam Hussein - Iran juga tidak memiliki senjata nuklear.
Di Timur Tengah hanya Israel yang kini disahkan memiliki 90 butir bom nuklear.
Zionis Israel tahu dan sedar hanya dengan bantuan bala tentera Amerika maka Iran boleh diserang. Isreal negara kecil walaupun memiliki teknologi canggih tidak ada keupayaan untuk melawan Iran.
Tujuan Zionis Israel dalam perang ini cukup jelas. Wajib diberitahu kepada generasi muda hari ini bahawa ketika zaman Shah Reza Pahlavi Iran dan Israel ada negara abang adik – cukup kamcing.

Polis rahsia Iran bernama Savak dilatih oleh Mossad. Banyak persenjataan Iran pada zaman Shah dibekal oleh Israel. Malah ketika Perang Iran-Iraq 1980-88 masih ada senjata dibekal oleh Israel kepada Iran.
Wajib juga diberitahu bahawa Amerika Syarikat membantu memulakan program nuklear Iran pada 1950an di bawah inisiatif "Atoms for Peace" Presiden Dwight D. Eisenhower. Program ini menyediakan Iran dengan reaktor penyelidikan pertama dan teknologi nuklear yang aman.
Presiden Ford dan Presiden Carter merundingkan kawalan tanpa percambahan dengan Shah. Kerjasama ini berakhir secara tiba-tiba semasa Revolusi Iran 1979.
Revolusi Iran ini mengubah geopolitik di Timur Tengah. Perkara asas yang mengubah geopolitik ini ialah sokongan Iran terhadap Palestin.

Iran semenjak zaman Ayatollah Khomenei dengan jelas telah menyatakan sokongan padu terhadap perjuangan kemerdekaan Palestin.
Dasar Palestin Merdeka ini bukan sahaja mengancam Israel malah mengancam negara-negara boneka Amerika seperti Kuwait, Saudi, UAE, Qatar dan Bahrain.
Sebelum Revolusi Iran 1979 – kuasa hegemoni mutlak di Timur Tengah ialah Israel. Semua Negara Arab Telok akur dan menerima hegemoni Israel.
Hegemoni ialah negara, kumpulan, atau individu yang dominan yang memegang kuasa dan pengaruh tertinggi ke atas orang lain. Istilah ini berasal daripada perkataan Greek hegemon (bermaksud "pemimpin" atau "pemerintah"). Digunakan dalam politik dan sejarah untuk menggambarkan negara yang menentukan istilah global atau serantau.

Niat dan cita-cita Israel ialah untuk menjadi hegemoni - kuasa dominasi di Timur Tengah.
Masalah besar yang dihadapi oleh Israel ialah kewujudan Islamik Republik Iran. Negara yang bernama Iran ini bukan saja menyokong Palestin – yang buminya dijajah oleh Israel - Iran juga memiliki kekuatan bala tentera yang boleh berupaya menandingi Israel.
Justeru projek hegemoni Israel ini tergendala.
Cara terbaik untuk Israel ialah memusnahkan dan memecah-belahkan Iran. Zionis Israel merancang: di Utara jadikan wilayah Kurdistan. Di Selatan jadikan wilayah Baluchistan. Di Timur jadikan wilayah Arabistan. Inilah yang sedang berlaku sekarang.

Negara-negara Arab seperti Saudi, Kuwait, Bahrain, UAE, Iraq dan Qatar semuanya di bawah pengaruh Amerika. Hanya Oman dilihat berkecuali. Negara-negara ini sedang mendapat tekanan untuk menerima apa yang dipanggil Abraham Accord – Perjanjian Abraham.
Perjanjian Abraham ialah satu siri perjanjian bersejarah yang diuruskan oleh Trump yang mewujudkan normalisasi diplomatik, ekonomi dan keselamatan rasmi antara Israel dan beberapa negara Arab.
Perjanjian awal pada September 2020 telah ditandatangani antara Israel, UAE dan Bahrain. Tidak lama selepas itu, Mahgribi dan Sudan turut serta. Mesir telah mengadakan hubungan diplomatik dengan Israel pada tahun 1979 dan dengan Jordan tahun 1994.
Bagaimana pula dengan Turki yang bukan negara Arab?

Ya, Turki secara rasmi telah lama mengiktiraf Israel. Pada Mac 1949, Turki secara rasmi mengiktiraf Negara Israel, menjadikannya negara majoriti Islam pertama yang menjalin hubungan diplomatik dengan Zionis Israel.
Indonesia – negara terbesar majoriti Muslim pula tidak menyokong atau mengambil bahagian dalam Perjanjian Abraham. Indonesia tidak ada hubungan diplomatik sehingga Israel secara rasmi mengiktiraf sebuah negara Palestin yang merdeka dan berdaulat.
Justeru di mana kita sekarang?
Jelas dibuktikan bahawa perang yang berlaku di antara Amerika dan Iran ini ialah perang melawan Zionis Israel. Amerika di bawah Trump sedang menjadi budak suruhan Zionis Israel.
Apa yang berlaku di Yaman dengan Houthi, atau serangan Israel terhadap Hizbullah di Lebanon dan runtuhnya kerajaan Syria adalah sebahagian daripada projek hegemoni Israel.

Ketika tulisan ini digarap perang telah memasuki hari ke-97. Gencatan senjata masih berjalan. Terakhir ini Amerika telah membedil kapal Iran dan mengebom Pulau Qeshm.
Iran membalas serangan Amerika dengan menghantar dron dan peluru berpandu menyerang pangkalan tentera Amerika di Kuwait. Iran juga melancarkan serangan peluru berpandu ke ibu pejabat Armada Kelima Amerika di Bahrain.
Jelas awal bulan Jun 2026 ini keadaan di Telok Parsi dan Selat Hormuz semakin tegang.
Seperti biasa Presiden Trump di tepi pintu pejabatnya bila ditanya oleh wartawan telah menjawab: "Saya dengar rundingan itu sendiri berjalan dengan baik sebenarnya," kata Trump, sambil menambah mengenai potensi perjanjian: "Ia mungkin tidak berlaku... Ia boleh berlaku pada hujung minggu."

Ketika Trump mendakwa rundingan sedang berjalan – harga bahan bakar minyak petroleum di pasaran dunia telah mencecah 97 dolar satu tong.
Harga minyak terkini di Malaysia bagi tempoh 4 hingga 10 Jun 2026 mencatatkan penurunan berbanding minggu sebelumnya. RON95: RM3.72 seliter (tanpa subsidi). RON97: RM4.35 seliter. Diesel (Semenanjung): RM4.67 seliter.
Kita telah diberi tahu keadaan ini akan berubah selepas bulan Jun ini. Daripada apa yang kita semua ikuti dan diberi tahu Iran siap siaga untuk menghadapi apa sahaja langkah Amerika.
Perang atau damai Iran tetap bersedia.
Apa yang jelas ialah punca perang ini masih dilihat buntu. Bukan Uranium milik Iran. Bukan Selat Hormuz yang kini dikawal oleh Iran. Bukan Hizbullah atau Houthi. Semua ini pelakon pembantu. Watak utama ialah Palestin.
Palestin – bumi Palestin inilah yang masih dijajah oleh Zionis Israel ialah induk penyebab. Justeru selagi bumi Palestin masih dijajah selagi itu wilayah Asia Barat ini akan bergolak. Amin.
HISHAMUDDIN RAIS aktivis politik, penulis dan pengarah filem.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.
