KOLUM | Terdapat banyak makna yang datang daripada pemberhentian hubungan antara PAS dengan Bersatu. Sebaik saja pengumumannya, maka pengikut-pengikut perkembangan politik pasti tertanya-tanya. Dengan siapa pula PAS akan adakan hubungan.
Mungkin PAS akan mengadakan hubungan dengan kumpulan Reset, yang terdiri daripada bekas ahli Bersatu yang menjadi penyokong Hamzah Zainuddin, bekas Timbalan Presiden Bersatu. Itu yang dipanggil “Passet”.
Atau PAS akan mengadakan pakatan dengan Barisan Nasional sebagai Muafakat Nasional 2.0. Apa-apa perkembangan pun boleh berlaku.
Presiden Umno, Zahid Hamidi ada berkata, partinya tidak akan tubuhkan Muafakat Nasional 2.0. Cukuplah dengan Muafakat Nasional 1.0 dari tahun 2019 hingga 2020. Beliau dikatakan sudah serik.

Pada masa itu Setiausaha Agung Umno ialah Annuar Musa yang kini sudah berada dalam PAS. Pastinya beliau masih percaya tentang kepentingan muafakat Umno-PAS.
Sebab itu ada perkhabaran pernah dicadangkan untuk menubuhkan kerajaan BN-PAS dan kumpulan “Reset” dengan Zahid sebagai Perdana Menteri dan timbalannya ialah Hamzah.
Maka dikhabarkan pula bahawa percubaan ini digagalkan oleh Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin.
Tetapi struktur ini mungkin juga akan digunakan untuk pilihan raya umum akan datang, iaitu persepakatan BN, PAS dan kumpulan Reset dengan awalnya Zahid dicadangkan menjadi Perdana Menteri tetapi kemudian melalui pemilihan Umno, beliau akan digantikan dengan “Team B” Umno yang diketuai Hishammuddin Hussein.

Buat masa ini walaupun Kerajaan Perpaduan PH-BN masih utuh tetapi boleh saja berlaku kerjasama antara Umno-PAS di peringkat negeri.
Ada saja pemimpin Umno negeri yang tidak akan mematuhi presiden mereka iaitu seperti apa yang berlaku di Johor dan Negeri Sembilan.
Mereka beranggapan bahawa kerjasama BN-PH hanya di pusat. Umno negeri wajar membuat pilihan untuk bertanding solo. Dalam pertandingan tiga penjuru di negeri, boleh saja Umno bekerjasama dengan PAS.
Itulah pun yang pernah berlaku dalam PRU tahun 2018 yang membuat BN kecundang. Sedangkan pada masa itu pertandingan tiga penjuru BN-PH-PAS diharapkan akan membawa kemenangan kepada BN kerana undi PH sebagai pembangkang dipecahkan oleh PAS yang ketika itu adalah juga pembangkang. Namun begitu, landskap politik hari ini tidak boleh disamakan dengan keadaan tahun 2018.

Pemberhentian kerjasama PAS dengan Bersatu tentunya membawa kepada kesan ke atas Perikatan Nasional (PN).
Maka akan diketahui nasib PN, sama ada ia dikuasai PAS ataupun Bersatu. Mungkinkah ia dibubarkan?
Muhyiddin berkata Bersatu tetap berada dalam PN kerana partinya adalah pengasas gabungan itu. PAS juga mengatakan keadaan PN tidak berubah.
Maknanya, PAS dan Bersatu masih berada dalam PN walaupun kedua-dua parti itu tidak bekerjasama. Bercerai tetapi duduk di satu rumah.

Buat masa ini, Menteri Besar Terengganu, Dr Samsuri Mokhtar adalah pengerusi PN. Ia juga bererti kerajaan PN diteruskan di Kedah dan Perlis.
PN pula gabungan berdaftar dengan ada lambang dan bendera. Tidak seperti Pakatan Rakyat, Barisan Alternatif dan Angkatan Perpaduan Ummah yang pernah disertai oleh PAS sebelum ini.
Ketiga-tiga gabungan itu tidak dapat didaftarkan dan tidak mempunyai lambang dan bendera kerana kerajaan pimpinan dahulu menghalang penubuhan gabungan politik berdaftar yang kurang tujuh parti komponen. Maka gabungan yang hanya layak didaftar adalah BN yang ketika itu mempunyai lebih tujuh parti komponen.
Dari segi rekod, sememangnya kerajaan BN tidak keberatan untuk menekan pembangkang semasa mereka dominan. Ia merupakan suatu keadaan yang banyak kalangan generasi lama sudah lupa dan generasi baharu tidak ketahui.

Dari segi sejarah, hubungan PAS dengan PKR adalah paling lama iaitu melalui Barisan Alternatif (1998-2008) dan bersambung dengan Pakatan Rakyat (2008-2015) yang keseluruhannya 17 tahun. Berbanding dengan Parti Semangat 46 (1988-1996) iaitu lapan tahun. Kerjasama PAS dengan Bersatu pula bermula dengan Langkah Sheraton pada Februari 2020 dan ia didaftarkan pada Ogos 2020.
Adalah menarik bahawa Bersatu, PKR dan Semangat 46 adalah pecahan dari Umno. Apabila Umno pecah, serpihannya akan cari PAS untuk diadakan kerjasama.
Tetapi Umno sendiri pernah bergabung dengan PAS. Pertama kali ialah ketika penubuhan kerajaan campuran PAS-Perikatan pada tahun 1974 yang merintis kepada penubuhan BN yang dianggotai oleh Umno-PAS. Kerjasama ini bertahan hanya empat tahun iaitu sehingga 1978.
Kedua kali Umno-PAS bekerjasama ialah melalui gagasan Muafakat Nasional pada tahun 2019 yang hingga dapat menubuhkan kerajaan bersama Bersatu pada tahun 2020 sehinggalah Parlimen dibubarkan pada tahun 2022.

Umno juga pernah bekerjasama dengan pecahan-pecahan PAS. Pada tahun 1978, apabila PAS dikeluarkan daripada BN, ia melahirkan sebuah parti kecil yang mesra Umno iaitu Barisan Jamaah Islam Se-Malaysia (Berjasa) yang diterima sebagai komponen BN.
Apabila berlaku krisis kepimpinan PAS pada tahun 1982, bekas Yang Dipertuanya, Datuk Asri Muda keluar parti dan menubuhkan Hizbul Muslimin (Hamim). Parti ini diterima masuk BN.
Kemasukan Hamim ke dalam BN tidak dipersetujui oleh Berjasa yang bertindak keluar daripada BN. Namun begitu, apabila Umno diisytiharkan haram dan dua parti ditubuhkan untuk menggantikannya iaitu Umno Baru dan Parti Semangat 46, kedua-dua Berjasa dan Hamim memilih untuk bersama Parti Semangat 46 dan PAS dalam gabungan Angkatan Perpaduan Ummah.
Tetapi pada tahun 1990, Hamim mengalami perpecahan dengan sebuah parti serpihannya ditubuhkan yang bernama Ikatan Masyarakat Islam Malaysia. Parti inilah kemudian diambil alih oleh penyokong-penyokong Anwar Ibrahim untuk dijadikan Parti Keadilan Nasional yang kini bernama PKR apabila bergabung dengan Parti Rakyat Malaysia (PRM) untuk menjadi PKR.

Kerjasama PAS dan PRM jauh lebih lama iaitu pada tahun 1986 dalam gagasan yang bernama Harakah Keadilan Rakyat (HAK). Gabungan ini membawa PAS bekerjasama juga dengan parti pecahan Umno yang bernama Parti Nasionalis Malaysia (Nasma) dan parti pecahan DAP iaitu Parti Sepakat Demokratik (SDP) yang nama asalnya ialah Parti Demokrasi Sosial.
Gabungan ini dibubarkan selepas PRU tahun 1986. Tetapi pada PRU berikutnya, secara tidak langsung PAS bekerjasama dengan PRM dan DAP melalui Gagasan Rakyat yang turut dianggotai oleh Semangat 46. Kerjasama tidak langsung itu berlaku kerana Semangat 46 menganggotai kedua-dua gabungan iaitu Gagasan dan Angkatan yang turut disertai PAS.
Pengumuman pemberhentian kerjasama PAS dengan Bersatu dibuat melalui kenyataan akhbar yang dikeluarkan oleh Pejabat Agung PAS yang terletak di Jalan Raja Laut. Kenyataan akhbar itu menyebut bahawa keputusan politik itu dibuat setelah mesyuarat Jawatankuasa Kerja PAS Pusat dan persetujuan Majlis Syura Ulama yang membuat pertimbangan dari segi hukum syariah.
Apa yang hendak dinyatakan ialah keputusan pemberhentian hubungan PAS dengan Bersatu bukan dilakukan oleh Presidennya, Abdul Hadi Awang secara bersendirian. Ia juga telah dipersetujui oleh Jawatankuasa Kerja Pusat dan Majlis Syura.

Pemberhentian hubungan PAS-Bersatu menjejaskan kekuatan Perikatan Nasional dan menyumbangkan lagi kepada perpecahan rakyat Malaysia khususnya perpaduan orang Melayu.
Apa saja perkembangan yang memecahkan sebarang gabungan politik menyumbangkan kepada ketidakstabilan negara. Begitu juga, apa saja perpecahan dalam parti yang menghasilkan parti baharu yang kecil turut menimbulkan perpecahan dan ketidakstabilan.
Perpecahan antara PAS dan Bersatu bukanlah perkembangan baik bagi negara walaupun ia merupakan keuntungan politik bagi pihak lawannya.
Perkembangan ini bermula dengan krisis kepimpinan Bersatu di mana Muhyiddin menyingkir timbalannya, Hamzah dengan PAS campur tangan dan menyebelahi Hamzah.

Tetapi perpecahan lebih besar dalam politik negara ialah kegagalan PH bekerjasama dengan BN untuk menghadapi pilihan raya negeri dan pusat. Ia pula berpunca dari pergeseran dalam Umno yang tidak memberi sokongan padu kepada Zahid.
Walaupun PH dapat mengekalkan perpaduan iaitu antara PKR, DAP dan Amanah tetapi PKR mengalami perpecahan yang menghasilkan Bersama dan seterusnya menjejaskan kestabilan politik negara.
Ada peribahasa yang berbunyi “Bersatu teguh, bercerai roboh” yang menunjukkan kepentingan perpaduan. Sementara cogan kata negara pula menyebut Bersekutu Bertambah Mutu dan dalam bahasa Inggeris cogan kata itu pula berbunyi "Unity is Strength (Perpaduan itu Kekuatan.)"
Tetapi sebahagian orang Melayu tidak mempedulikan hal ini. Atas tujuan-tujuan buruk, mereka memainkan sentimen perkauman. Sentimen ini berbahaya dan boleh mengancam bukan saja perpaduan antara kaum tetapi keselamatan kepada rakyat. Ingatlah, usah bermain api. Sesal dahulu berpendapatan, sesal kemudian tidak berguna.
ZIN MAHMUD ialah seorang wartawan veteran dengan pengalaman lebih tiga dekad.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.
