Paling Popular
Terkini

KOLUM | Pilihan raya pertama yang saya saksikan ialah pada tahun 1964 di Batu Pahat, Johor. Ketika itu saya berusia lima tahun. Kampung saya yang hanya empat kilometer dari bandar. Tiada bekalan air paip, tiada bekalan elektrik dan jalan tanah merah. Untuk telefon perlu ke pekan. Malah posmen pun tidak masuk kampung.

Dalam pilihan raya itu, calon yang bertanding ialah MCA yang mewakili Perikatan dan Parti Buruh yang mewakili Front Sosialis (SF). Perikatan berlambang kapal layar dan SF berlogokan kepala lembu.

Hampir semua penduduk dewasa kampung saya adalah ahli Umno atau MCA. Saya berdiri di tepi parit dan memerhatikan kereta-kereta Perikatan keluar dan masuk mengambil pengundi. Hanya ada sebuah saja kereta yang membawa lambang kepala lembu. Tidak ada pengundi yang ingin menaiki kereta itu.

Tentulah Perikatan menang. Kebanyakan pengundi hanya mendapat maklumat dari sebelah pihak. Radio dikuasai kerajaan. Televisyen belum ada. Dari masa ke masa Jabatan Penerangan menayangkan filem percuma di padang sekolah. Tidak semua pengundi tahu membaca. Orang Melayu yang pandai membaca umumnya baca tulisan jawi. Akhbar Utusan Melayu yang bertulisan jawi dikuasai Umno sejak tahun 1960.

Kampung saya terletak di Bukit Pasir, Batu Pahat. Dalam sejarah negara pada tahun 1945 , di situlah terletak sebuah markas Parti Komunis Malaya (PKM) di mana Pegawai Daerah, Dato’ Onn Jaafar telah datang berunding untuk memujuk anggota-anggita parti itu supaya tidak turun untuk bertempur dengan pengikut-pengikut Kiyai Salleh yang berkumpul. Dato’ Onn berjaya mengelak suatu pertumpahan darah.

Dato’ Onn yang pernah menjadi Menteri Besar menggerakkan penentangan orang Melayu terhadap Malayan Union. Beliau menubuhkan Umno. Tetapi kemudian beliau keluar Umno kerana cadangannya supaya pertubuhan itu membuka keahliannya kepada kaum Cina dan India ditolak. Turut bersama beliau ialah Ketua Pemuda Pertama Umno iaitu anaknya, Hussein. Beliau juga adalah Setiausaha Agung Umno.

Beliau membantu bapanya menubuhkan Parti Kemerdekaan Malaya (IMP) pada tahun 1951. Parti ini bersekutu dengan MIC, parti pekerja-pekerja ladang sementara Umno bersekutu dengan MCA, parti ahli perniagaan dalam pilihan raya tempatan pada tahun 1952. Pakatan IMP-MIC kalah pada Perikatan Umno-MCA yang mempunyai dana lebih. Kemenangannya menentukan hala tuju negara. MIC kemudian menyertai Perikatan itu untuk melengkapkannya sebagai gabungan pelbagai kaum yang dapat diterima oleh British.

Kemunculan Parti Negara

Dengan kekalahan itu, Dato’ Onn bertukar haluan sepenuhnya. Beliau menubuhkan Parti Negara yang dasarnya lebih “pro-Melayu” daripada Umno. Parti ini juga bersekutu dengan PAS yang masa itu dikenali dengan kependekan PMIP (Pan-Malayan Islamic Party) .

Perlu diingat bahawa PAS bermula dari Biro Agama Umno yang ahli-ahlinya terdiri daripada ulama. Pada mulanya mereka ini menubuhkan NGO bernama Persatuan Islam Seluruh Tanah Melayu (Pan-Malayan Islamic Association) pada tahun 1951 untuk menyokong Dato’ Onn. Apabila beliau keluar Umno, sebahagian pemimpinnya menyertai IMP.

Parti Negara yang berlambangkan padi ditubuhkan pada tahun 1953 selepas Dato’ Onn membubarkan IMP. Hussein turut serta dan menjadi Ketya Pemudanya. Bagaimanapun beliau tinggalkan politik pada tahun 1954 untuk belajar undang-undang di Lincoln’s Inn, London.

Parti Negara menyertai pilihan raya tahun 1955 dan 1959. Menurut cerita orang tua-tua pada saya, Umno di Batu Pahat bimbang calon Parti Negara menang di Johor kerana pengaruh Dato’ Onn.

Antara kempen pihak Parti Negara ialah jika rakyat tidak mengundi mereka, rakyat tidak akan dapat makan kerana parti itu berlambangkan padi. Sementara Umno berkempen jika orang Melayu tidak mengundi ‘kapal layar’ iaitu lambang Perikatan, mereka tidak akan dapat pergi haji.

Parti Negara gagal mendapat sebarang kerusi dalam PRU tahun 1955. Sementara pada tahun 1959, Parti Negara iaitu Dato’ Onn sendiri hanya memenangi kawasan Kuala Terengganu, itu pun atas pertolongan PAS yang turut menangi negeri Terengganu.

Dato’ Onn meninggal dunia pada tahun 1961 dan Parti Negara kehilangan pemimpin dan akhirnya dibubarkan pada tahun 1963. Adalah diandaikan bahawa kebanyakan ahli-ahlinya sama ada menyertai Umno atau PAS.

Hussein Onn kembali ke tanah air

Saya membesar di Parit Linau Besar pada awal 1970-an di mana terdapat seorang mistik bernama Wak Kandar yang tinggal bersendirian di sebuah pondok kecil tidak jauh dari surau. Banyak orang datang dari jauh untuk berubat dengannya. Ada juga yang datang meminta nombor ekor.

Beliau dikatakan adalah seorang pesilat pada masa mudanya dan pernah menuntut ilmu silat dan perdukunan di pergunungan di Jawa. Rakan seperguruannya ialah Mat Indera, komandan PKM yang menyerang balai polis Bukit Kepong.

Mat Indera yang mempercayai perjuangannya adalah menentang British tersenarai sebagai salah seorang tokoh pejuang kemerdekaan negeri Johor.

Menurut cerita orang kampung, terdapat persefahaman antara Wak Kandar dan Mat Indera bahawa komandan komunis itu tidak mengganggu kampung ini walaupun pasukannya aktif di sekitar hutan Batu Pahat dan Muar.

Bapa saya menceritakan beliau melihat Mat Indera yang telah ditangkap dan diletakkan dalam sangkar di Balai Polis Batu Pahat. Sangkar itu digantung kerana ada kepercayaan bahawa jika kakinya menjejak tanah, beliau akan dapat melepaskan diri. Ketika itu bapa saya berusia 15 tahun, iaitu pada tahun 1953.

Pada tahun 1968, Timbalan Presiden Umno ketika itu, Tun Razak memujuk Hussein Onn kembali ke tanah air dan menyertai Umno. Apabila PRU tahun 1969 diadakan, Hussein bertanding di Johor Bahru Timur, iaitu kawasan bandar. Beliau menang dengan mengalahkan calon DAP yang mana partinya sedang mencari tapak di Johor. Beliau menyertai kabinet Tun Razak sebagai Menyeri Pelajaran. Beliaulah yang bertanggung jawab melaksanakan Dasar Pendidikan Kebangsaan.

Apabila Tun Dr Ismail Abdul Rahman meninggal dunia pada tahun 1973, Hussein Onn dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri. Pada tahun itu saya mula mengetahui mengenai politik dan menyedari bahawa Menteri Besar Johor adalah Othman Saat.

Pada tahun itu juga saya mempersoalkan mengapa kampung saya tidak ada bekalan air dan elektrik serta jalan tanah merah yang sering becak. Juga tiada talian telefon. Sedangkan setiap hari air dari Segamat mengalir ke Singapura dengan banyaknya melalui paip di tambak Johor.

Kekurangan wang menyebabkan kerajaan negeri mengenakan lesen basikal. Saya menyaksikan basikal-basikal diangkut oleh pihak majlis bandaran kerana ketiadaan lesen.

Sungguhpun begitu hampir kesemua orang Melayu menyokong Umno. Osman Saat menjadi Menteri Besar selama tiga penggal, dari tahun 1967 hingga 1982.

Penubuhan BN

Semasa pilihan raya 1974, kedudukan Umno kembali kuat dengan penubuhan Barisan Nasional. Bagaimanapun, di kawasan DUN Penggaram di Baru Pahat, ada seorang calom muda Bebas yang berani melawan BN. Inilah pertama kali saya mendengar ceramah politik. Calon itu adalah Pet Ludin yang merupakan bekas Ketua Kesatuan Pelajar Islam Johor (KPIJ). Tentulah beliau kalah.

Pada masa itu Hussein Onn bertanding di Seri Gading, Batu Pahat. Beliau menang tanpa bertanding. Tidak ada siapa berani cabar beliau. Tentulah BN menang. Radio dan televisyen dikawal kerajaan. Akhbar-akhbar dimiliki Umno.

Pada tahun 1974, bekalan air dan elektrik masuk kampung saya. Tetapi aliran air amat lemah dan sering terganggu. Talian telefon masih tiada. Jalan masih tanah merah.

Apabila Tun Razak meninggal dunia, Hussein Onn menjadi Perdana Menteri. Pesta Pembangunan peringkat kebangsaan diadakan di Batu Pahat. Pameran dan perarakan diadakan di situ. Tapak pesta itu dibina pelbagai kemudahan awam seperti masjid dan perpustakaan.

Pada sekitar 2010-an, dari segi politik, Johor mula berubah. Kalau dulu kampung saya sepenuhnya penyokong BN tetapi pada tahun-tahun itu sudah ada cawangan PAS. Cawangan PKR ada di bandar. Anak-anak penyokong MCA yang pulang dari luar negara menyokong DAP.

Othman Saat digantikan dengan Ajib Ahmad pada tahun 1982. Ajib menjadi Menteri Besar sehingga tahun 1986. Beliau digantikan dengan Muhyiddin Yassin yang menjadi Menteri Besar sehingga tahun 1995. Kemudian Ghani Othman sehingga tahun 2013. Khaled Nordin menggantikan beliau sehingga tahun 2018.

Dalam PRU tahun 2018, buat pertama kalinya Umno kalah. BN terlepas Johor kepada Pakatan Harapan (PH) yang dianggotai oleh Bersatu, PKR, DAP dan Amanah. Menteri Besar yang dilantik ialah Osman Sapian dari Bersatu. Kalau tidak ada Bersatu, PH tidak akan berkuasa.

Perkara ini benar-benar berlaku apabila Bersatu keluar dari PH pada tahun 2020. Maka PRN pada tahun 2022, PH gagal memenangi Johor.

Tanpa Bersatu, PH sukar untuk menguasai Johor. Namun begitu, negeri Johor juga sudah berubah. Walaupun BN boleh menang semula tetapi ia tidak boleh kembali seperti zaman ketika Umno berkuasa dari tahun 1955 hingga tahun 2018. Antara sebabnya ialah kini ada telefon pintar dengan wifi dan aplikasi media sosial. Radio, televisyen dan akhbar sudah tidak berpengaruh.


ZIN MAHMUD seorang wartawan veteran dengan pengalaman lebih tiga dekad.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS