KOLUM | Sekiranya sesuatu konflik mencapai tahap kusut, tiada lagi jalan penyelesaian dan tidak nampak tanda untuk dimuafakati, kepada siapakah pengamal Adat Perpatih perlu merujuk?

Untuk menjawab pertanyaan ini, kita perlu kembali kepada perbilangan Adat Perpatih itu sendiri. Termasuk sejarah atau sebarang insiden konflik terdahulu yang menjadi rujukan pendahulu.

Saya akan memberi empat peristiwa bersejarah untuk menjelaskan siapakah yang akan menjadi pemutus sekiranya sesuatu konflik itu menjadi terlalu kusut di dalam Adat Perpatih.

Untuk membolehkan penerangan dijalankan, ia akan dibahagi kepada tiga siri.

Sebelum saya menjelaskan bagaimana kaedah peleraian dilakukan ekoran kekusutan dalam Adat Perpatih, tidak dapat tidak saya perlu menerangkan secara ringkas hierarki kepimpinan dalam sistem adat ini. Penjelasan ini adalah seperti yang diterangkan dalam buku Warisan Diraja Negeri Sembilan Darul Khusus.

Perbilangan adat mengatakan perihal kepimpinan ini begini:

“Alam beraja
Luak berpenghulu
Suku bertua
Anak Buah berbuapak.”

Setiap luak atau daerah dengan itu mempunyai seorang pemimpin yang bergelar penghulu. Jawatan penghulu atau disebut juga Undang itu digilirkan dalam kalangan ahli dalam suku Biduanda atau Waris. Taraf Undang itu disebut dalam Perbilangan sebagai:

“Pusaka Undang berkhalifah
berterombo, berlembaga; bersabda di balai.”

Pada waktu dahulu, kuasa Undang sangat luas seperti dijelas oleh perbilangan adat:

“Sah batal pada Undang
Keris penyalang pada Undang.”

Dalam menjalankan pentadbiran, Undang mempunyai pembesar, sama ada Besarnya atau Lembaganya. Mereka itulah yang menasihatkan Undang.

Seperti dimaklumi orang Negeri Sembilan juga bersuku. Ketua untuk setiap suku disebut Lembaga dan mereka memiliki gelaran tertentu.

Kedudukan mereka dalam pentadbiran adat itu diibaratkan sebagai:

“Yang tumbuh di lereng bukit
Sebagai beluluk tumbuh di rusuk.”

Lembaga berfungsi untuk memimpin sukunya dan menyelesaikan masalah yang berhubungan dengan adat, harta, perceraian, perkelahian dan sebagainya. Jika Lembaga tidak dapat mencari penyelesaian maka perkara tersebut akan dibawa kepada pengetahuan Undang melalui Orang Besar atau Undang.

Seterusnya masalah itu akan dibawa ke atas.

Ada kuasa agak terhad

Pelantikan ke jawatan Lembaga ini adalah sepanjang hayat namun boleh dipecat oleh anak buah (ahli suku) jika melakukan salah satu kesalahan adat seperti "melindungkan, mengendapkan pecah, menghilangkan, mencacatkan terkurung mati".

Undang pula boleh memecat seseorang Lembaga jika ia didapati:

“Derhaka, celaka
Dehaga - dehagi
Rumbun - bakar
Tikam, bunuh
Upus, racun
Sumbang salah.”

Pemilihan seorang Lembaga itu dibuat oleh Buapak secara bergilir-gilir mengikut giliran Perut dalam sesuatu Suku. Pemimpin untuk urusan pentadbiran kelompok Perut ialah Buapak yang juga mempunyai gelaran-gelaran tertentu.

Buapak dipilih berdasarkan kebulatan di kalangan anak buah dalam Perut-perut dalam sesuatu suku. Buapak dipilih dengan persetujuan Lembaga. Kedudukan Buapak adalah diibaratkan sebagai:

“Berangan yang tumbuh di lepan
bertunas daripada rumpunnya.”

Dalam hal kepimpinan, Buapak bertanggungjawab dalam hal-hal yang berkaitan dengan Perutnya. Selain daripada ketua-ketua adat di atas, terdapat lagi ketua yang bergelar Besar, iaitu pertamanya; Orang Besar Undang yang bergelar pegawai kepada Undang dan tongkat sokong kepada Lembaga.

Keduanya, Orang Besar Lembaga yang dikenali juga sebagai Orang Besar Anak Buah.

Kedudukan yang pertama lebih tinggi daripada Buapak dan di bawah Lembaga. Mereka mempunyai kuasa agak terhad iaitu sebagai penasihat serta menyampaikan perkara-perkara yang dinyatakan oleh Undang sahaja.

Di samping itu mereka menjadi pemerhati kepada perbuatan Lembaga terhadap Buapak-buapak sukunya dan akan menyembahkan kepada Undang jika berlaku kejadian-kejadian yang buruk.

Kategori Besar kedua ialah selaku pemimpin kepada Kelompok Ruang.

Pemilihan mereka dibuat oleh Lembaga dan Buapak serta dipersetujui oleh Undang. Kedudukan mereka adalah di bawah Buapak dan menjadi pegawai kepada Lembaga.

Menurut Mohd Rosli Saludin dalam Sejarah Raja Negeri Sembilan, sistem Tiang Balai yang berpaksi kepada Penghulu wujud sekitar 1600, manakala sistem beraja dalam Adat Perpatih di Negeri Sembilan pula muncul sekitar 1722.

Ia kemudiannya ditegakkan pesaka Lembaga dan muafakat untuk ‘menabalkan’ raja.

Teromba yang menjadi panduan dalam Adat Perpatih memutuskan tangga kepimpinan itu menaik dari bawah sebagai:

“Anak Buah menjadikan Buapak
Buapak menjadikan Penghulu
Penghulu menjadikan Ketua Penghulu
Ketua Penghulu menjadikan Raja.”

Istilah Undang untuk menggantikan Ketua Penghulu digunakan oleh Inggeris pada 1898 untuk menggelarkan Ketua Penghulu di Jelebu, Rembau, Johol dan Sungei Ujong.

Hal itu diakui oleh A Samad Idris dalam Payung Terkembang.

Bagai air yang jernih

Dalam Adat Perpatih, raja itu adalah keadilan. Ia misalnya dirakam oleh Mohd Rosli Saludin dalam Seri Menanti Tanah Beradat Bermula di Sini menerusi dokumentasi teromba yang saya petik di sini:

"Selepas diangkat, Raja dalam Perlembagaan Adat Perpatih dapat didaulat jika baginda adil dan boleh terganggu jika raja itu zalim. Raja itu tidak boleh bermaharajalela dalam menjalankan pentadbiran kerajaannya."

Hal yang demikian jelas menunjukkan bahawa yang dikaitkan dengan raja itu ialah keadilan dan keadilan itulah raja. Buktinya dapat dilihat melalui kata-kata adat berikut:

Anak buah ke buapak
Buapak ke lembaga
Lembaga ke penghulu
Penghulu ke keadilan.

(Baharin Kalam, Kampung Dioh, Negeri Sembilan, 7 Julai 1997).

Dalam Adat Perpatih, seseorang pemimpin akan dirujuk apabila berlaku kekusutan di peringkat bawah lagi. Ia seharusnya menempuh tahap Perut, Buapak, Lembaga, Undang.

Sekiranya Undang atau Penghulu itu sendiri nampaknya bermasalah, dipermasalahkan atau masalah menjadi kusut dan tidak dapat diselesaikan mereka di Luak, maka dalam beberapa keadaan ia akan dibawa sehingga ke peringkat Yamtuan Besar.

Dalam Adat Perpatih, seorang raja itu "berkeadilan" dan akan dirujuk apabila krisis menjadi tepu dan terkunci.

Dalam hal ini perbilangan menyatakan, pemimpin dalam Adat Perpatih seharusnya menjadi pelindung:

“air yang jernih
tempurung yang ceper
seperti pohon di tengah padang
uratnya tempat bersila
batangnya tempat bersandar
dahannya tempat bergantung
buahnya untuk dimakan daunnya untuk berlindung.”

Perbilangan juga menegaskan, seseorang pemimpin itu mestilah bersifat bersih umpama "air yang jernih" dan ikut memberi perlindungan kepada rakyat atau anak buahnya seperti "sepohon pokok di tengah padang".

Untuk ia berlaku, pemimpin dengan itu perlu menjadi seorang yang bijak dan berbudi bahasa iaitu "lubuk akal, lautan budi" selain berfikiran dalam.

Budi bahasa sangat penting dalam hal ini kerana ia akan dapat membantu menyelesaikan masalah dengan adil, bahkan perbilangan percaya:

“tidak ada kusut yang tidak boleh diselesaikan,
tidak ada keroh yang tidak
dapat dijernihkan.”

Untuk menghindari kekusutan, seseorang pemimpin dianjurkan melakukan peleraian dengan penuh rapi dan hati-hati; "menarik rambut di dalam tepung; tepung jangan terserak rambut jangan putus."

Sifat pemimpin rasional

Perbilangan juga sedar bahawa tidak semua yang dilakukan oleh seseorang pemimpin itu akan mudah diterima, bahkan pemimpin tidak terlepas menerima umpat keji dan kritik daripada masyarakat.

Untuk itu Adat Perpatih berpesan agar pemimpin menginsafi diri mereka itu diumpamakan sebagai:

“ke kana jalan ke Kurai
satu simpang ke Empat Angkat
kalau benar Penghulu bagaikan lantai
kalau berpijak jangan menjungkit, teluk biasa timbunan kapal lurah biasa
timbunan air bukit biasa timbunan kabut pemimpin biasa mendapat umpat.”

Ini bermakna seorang pemimpin perlu berfikiran luas dan tidak menghiraukan umpat keji tersebut. Pemimpin yang bijaksana tahu selalu sedar peranannya:

“tanduk ditanam
daging dilapah
kuah dikacau.”

Perbilangan di atas adalah perlambangan daripada pengurusan sebuah kenduri yang kerjanya dilakukan secara bergotong-royong dengan masing-masing ada fungsi.

Pemimpin yang rasional akan menanam tanduknya, dan melapah daging. Pemimpin juga akan menyerap segala teguran dan kritikan seperti disebut dalam perbilangan:

“gunting dari Empat Angkat
dibawa oleh orang Mandiangin
dipinjam orang ke Biara
kalau datang persoalan dan umpat.”

Kuasa pemutus kusut dalam Adat Perpatih sebetulnya tidaklah serumit mana.

Jika krisis atau kekusutan itu terjadi di Luak Tanah Mengandung, tidak lain tidak bukan kuasa pemutus akan kembali kepada Yamtuan Besar, atau Yang di-Pertuan Besar ketika itu.

Apakah peristiwa duluan yang dapat kita rujuk?

Pantang menurut adat

Dalam hal Luak Tanah Mengandung kita kembali kepada konflik Suku Seri Lemak Minangkabau, iaitu krisis di antara Perut Mertang dengan Perut Galau, Jumbang, Kampung Umor dan Juaseh antara 1968 sehingga 1970.

Kejadian berlaku di Luak Tanah Mengandung yang tiada Undang. Kejadian tersebut direkodkan oleh Abd Aziz Hitam pada 1984 dalam kertas berjudul Krisis Kepimpinan Di Luak Tanah Mengandong: Satu Kajian Kes di Luak Ulu Muar dan dibentangkan di Seminar Kebangsaan Adat Perpatih dan Wilayah Budaya Negeri Sembilan antara 3 sehingga 5 Mei 1984.

Sayugia diingatkan, krisis itu pada mulanya sangat rumit dan agak mustahil untuk diperikan secara terperinci. Akan tetapi memadai disingkatkan di sini bahawa ia berlaku apabila Datuk Senara Muda Haji Lateh meninggal dunia pada 1965.

Justeru perlu dipilih Datuk Senara Muda yang baru. Buapak suku Seri Lemak Minangkabau dari Perut Parit, Mertang, Seri Menanti dan Pilah tidak membenarkan Perut Galau, Jumbang, Kampung Umor dan Juaseh bertanding dengan alasan mereka orang datang dan menumpang.

Dakwaan itu serius, dan sebetulnya terhasil ekoran pembahagian sempadan antara Luak Ulu Muar, dan Gunong Pasir. Datuk Senara Muda yang baru, Muhamad Pilus telah menggelarkan Buapak Md Nor Pilus walaupun ketika itu Buapak Setia Muda Abu Samah masih hidup.

Usaha pemuafakatan pertama dibuat untuk meleraikan masalah. Ia dilangsungkan di Rumah Tua Galau pada 27 Julai 1968. Kira-kira 60 orang waris yang hadir membuat keputusan bersurat untuk mengekalkan Buapak Setia Muda Abu Samah memandangkan dia masih hidup, justeru tiada sebab kukuh untuk diketepikan.

Ia juga suatu pantang menurut Adat Perpatih jika "satu kapal dua nakhoda, sebatang enau dua sigai, dan satu waris dua buapak".

Langkah pemuafakatan kedua berlaku apabila Perut Galau, Jumbang, Kampung Umor dan Juaseh masuk menghadap Datuk Senara Muda Muhamad Pilus pada 10 Ogos 1968 dan menyatakan bantahan mereka.

Surat bantahan itu dihantar secara rasmi dengan dibalut kain songket benang mas merah dan didulang oleh Ibu Soko Zainab Cik Wan.

Malangnya rombongan ini tidak dapat bertemu Datuk Senara Muda kerana dia beranggapan mereka menceroboh, menyalahi adat, dan tidak berfikiran waras.

Selain itu, Datuk Senara Muda juga menyatakan Perut yang membantah itu hanyalah orang luar, yang sepatutnya berada di Gunong Pasir, dan kehadiran mereka di Ulu Muar hanyalah sebagai penumpang.

Keputusan ini disiarkan di Utusan Zaman bertarikh 11 Ogos 1968.

Langkah pemuafakatan ketiga dilancarkan apabila Perut yang tidak diakui Datuk Senara Muda itu menjawab tuduhan terhadap mereka, dan membuat keputusan mengadukan hal nasib yang kini telah terbuang dan tidak berbuapak kepada salah seorang Putera Berempat iaitu Tunku Laksamana Nasir selaku Penyelia Adat.

Mereka telah menghadap di Istana Besar Seri Menanti pada 24 Sept 1968. Turut hadir dalam upacara itu adalah Tunku Kecil Muda A Rahim alHaj.

Oleh kerana mereka tidak berbuapak dan dianggap menumpang, perbincangan panjang akhirnya memutuskan yang Perut Galau, Jumbang, Kampung Umor dan Juaseh akan ‘keluar suku’ dan diterima masuk dalam Adat Lingkungan.

Keputusan tersebut ditandatangani oleh semua Ibu Soko sebelum dibawa mengadap Yang di-Pertuan Besar di Istana Hinggap Seremban pada 26 Feb 1969.

Keluarnya mereka dari suku yang dua belas itu kemudian digazet Warta Kerajaan Negeri Sembilan setelah mengalami proses penyiasatan oleh Dewan Keadilan dengan restu dan titah Yang di-Pertuan Besar.

Mereka dengan itu beroleh Lembaga sendiri iaitu Alias Buyung dengan gelar Datuk Setia Maharaja Bakti, dan akan terus berlindung di bawah Adat Lingkungan, langsung di bawah istana.

Majlis penerimaan ini berlaku pada 17 Feb 1970 di Istana Seri Menanti iaitu pada Hari Raya Haji.

Dari insiden yang saya jelaskan di atas, kita memahami jika berlakunya kekusutan, pemutus yang berhak meleraikan dan berkeadilan adalah Yang Dipertuan Besar yang dalam hal ini dapat dianggap sebagai kuasa apex.

Yang Dipertuan Besar ketika itu adalah Almarhum Tuanku Ja'afar ibni Almarhum Tuanku Abdul Rahman.

Namun demikian, peristiwa ini berlaku di Luak Tanah Mengandung yang mana kuasa Yamtuan Besar adalah jelas di sini. Bagaimana pula sekiranya jika berlaku di Luak lain, khusus yang kuasa pemerintahan ada pada Undang?


FAISAL TEHRANI ialah pengarang dan felo pengkaji di Institut Alam dan Tamadun Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), merangkap anak buah dari suku Tiga Batu.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.