KOLUM | Malam minggu lalu, grup-grup WhatsApp sunyi sepi. Selalunya kalau malam mengira undi, untaian perbualan masuk tiada henti.
Namun setelah pada petangnya hanya ada satu hantaran pautan untuk mendapatkan keputusan tidak rasmi secara langsung, perbualan terus senyap.
Tidak ada sebarang bunyi kedengaran sehingga keesokan hari.
Saya berada di hujung utara, tertidur lena setelah seharian bermandi peluh dibakar mentari daerah paling panas negara ini – Chuping.
Riang ria mengacau tiga kawah bubur Ashura ternyata memerah bukan sahaja keringat bahkan seluruh kudrat yang ada. Sehinggakan apa sahaja yang sedang kacau di Johor tiadalah sahaya peduli.
Sehingga jam lebih kurang 9.30 malam.
Sunyi sepi perbualan politik di WhatsApp justeru terasa begitu berdentum sekali (ini upaya saya menterjemah deafening silence. Mungkin tak kena, tapi tak apa. Namun begitulah ia).
Sambil menggenyeh-genyeh mata yang dikejutkan daripada lena, saya periksa keputusan pilihan raya negeri selatan.
“Nahhhhaaiiii…” kata saya, separuh berbisik, “sampai tera ni?” ujar saya menggusur garis masa media sosial, menanggapi keadaan yang demikian mengejutkan.
Izinkan saya memutar kembali waktu sekadar tujuh hari lalu. Turun dari kereta api di KL Sentral, saya bertemu seorang teman dalam perjalanan ke Johor. Selesai sapa menyapa, saya tanya apa khabar kerja kempen? Meriah?
“Lima sahaja boleh menang. Yang lain susah,” kata dia. Berdasarkan hujah yang diberikan: kadar keluar mengundi rendah (ramalannya waktu itu), rasa tidak puas hati pengundi Cina, gelombang kemarahan orang Melayu, perbandingan dengan jumlah majoriti yang diterima pada PRN 2022, saya tidak boleh tidak bersetuju dengan beliau.
Laa budda kalau dalam bahasa Arab.
Keliru isyarat dari jalan sesak
Kemudian muncul ramalan Ilham Centre (Ilham) – pusat kajian dengan karomah kasyaf yang luar biasa – yang menjangkakan BN bukan sahaja menang, malah akan menang besar.
Bersekali dengan satu tajuk kecil dalam analisis itu: "Onn Hafiz lebih popular daripada Anwar Ibrahim". Ilham malah menggunakan "daripada", bukannya "ketimbang".
Punyalah saya setuju dengan laporan Ilham itu sampaikan kolum yang saya tulis untuk minggu lalu pun saya padam. Buat apa baca benda sama dua kali, kan!
Malah sebenarnya dapatan mereka itu sudah boleh diteka berbulan-bulan lebih awal. Maka tidak ada kejutan sebenarnya. Tidak boleh terkejut.
Ini kata saya seperti mahu bangun tidur awal pagi, tetapi tidak tidur kerana menunggu penggera berbunyi. Luar biasa sekali wake up call ini.
Siam kata non mai lap. Tidoq tak lena. Makanya tidak ada kejutan.

PKR menang satu di Puteri Wangsa meski kehilangan kerusi yang disandangnya sebelum ini di Bukit Batu. Amanah terselamat dengan 170 undi di Simpang Jeram.
Prestasi ini, di tengah gegak-gempita khabar jalan raya sesak dengan orang yang pulang dari merantau untuk kembali mengundi di kampung halaman.
Sekali, rupa-rupanya yang mereka pangkah bukanlah seperti yang dijangkakan.
Dan ini tentunya lebih menusuk kalbu bagi DAP.
Kepala mesti bergolek
DAP bertanding di 17 kerusi. Parti itu tewas di 11 kerusi. Empat daripadanya termasuklah kerusi yang disandang di Johor Jaya, Tangkak, Jementah dan Perling.
Penentuan hala tuju
Perling sebelum ini disandang oleh Liew Chin Tong, mantan Pengerusi DAP Johor. Sudahnya yang menang di situ calon MIC. Di Johor Jaya, MCA menyentap kegembiraan lebih satu dekad DAP dengan majoriti tujuh ribu undi.
Kerusi-kerusi eksperimen di Tiram, Parit Raja dan Bukit Permai juga kalah semua.
Ketika tulisan ini ditaip, belum ada maklumat tentang mesyuarat Jawatankuasa Kerja Pusat (CEC) DAP untuk membedah keputusan PRN Johor.
Usai PRN Sabah tempoh hari, CEC bersidang sehingga lewat tengah malam untuk membuat keputusan-keputusan berat, termasuk memberi tempoh kepada perdana menteri melaksanakan reformasi-reformasi tertangguh.
DAP juga tiba-tiba kelihatan garang buat beberapa hari kemudiannya dengan menuntut itu dan ini.
CEC malah mengumumkan akan mengadakan konvensyen khas bagi menentukan hala tuju parti selepas tempoh enam bulan tersebut.

Konvensyen itu khabarnya sudah ditunda ke Ogos ekoran berlangsungnya PRN Johor kelmarin dulu, dan kemudian PRN Negeri Sembilan beberapa hari lagi.
Saya mengenali DAP sebagai sebuah organisasi yang hanya memahami bahasa letak jawatan.
Ditanya bagaimana jalan ke hadapan untuk parti tersebut menghadapi keputusan Johor dan kemungkinan gelombangnya merebak ke Negeri Sembilan, saya cuma menyebut bahawa sukar untuk kita melihat jalan selain menyusun semula organisasi dan kepimpinan parti agar kembali ke peringkat akar rumput.
Parti juga perlu memeriksa keadaan, menyemai keyakinan anggota parti, membenih semula idealisme dan meletakkan jawatan. Baik di peringkat parti mahupun di peringkat kerajaan.
Bagi saya inilah isyarat kebertanggungjawaban DAP yang saya kenali.
Apatah lagi kalau MCA dan MIC pun boleh menang. Bagaimana kalau gelombang ini membadai lebih jauh ke utara, dari Negeri Sembilan membawa ke Melaka dan seterusnya Selangor?
Apa akan terjadi di konvensyen khas yang sudah dijadual itu?
Tak lenalah nampaknya CEC dua tiga hari ini.
IZMIL AMRI merupakan penulis dan pemerhati politik.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.
