Apabila merujuk pada keputusan pilihan raya negeri Johor, maka kedudukan Perikatan Nasional serta PAS adalah sama dengan Muda dan Bersama yang tidak memenangi sebarang kerusi. Tetapi PN dan PAS tidak wajar mengalami sama dengan kedudukan Muda dan Bersama. Kedua-dua parti itu baru dan kecil serta bukan pemain utama.
Sebaliknya, PN yang di dalamnya ada PAS dan Bersatu dengan presidennya, Muhyiddin Yassin adalah dari Johor serta dua ahlinya pernah menjadi Menteri Besar tidak sepatutnya jatuh sehingga begitu rendah sekali.
Tetapi itu tidak bermakna Pakatan Harapan berada dalam kedudukan lebih baik daripada PAS dan Bersatu. PKR dan Amanah masing-masing memperoleh satu kerusi. Maknanya hanya satu kerusi lebih daripada PAS dan Bersatu sedangkan PH adalah parti utama kerajaan perpaduan dengan Perdana Menteri turut turun berkempen.
Apa yang diperolehi DAP iaitu enam kerusi berbanding MCA yang memperoleh lapan di Johor, MCA lebih berhak mewakili kaum Cina berbanding DAP. Walaupun diketahui bahawa kemenangan MCA itu adalah atas sokongan besar orang Melayu terhadap MCA. Maknanya wakil Cina hakikatnya ditentukan oleh orang Melayu.
Namun ternyata dalam PRN Johor ini, BN telah menang bergaya. Ia merupakan suatu pencapaian besar. BN telah menang negeri ini sebanyak dua kali iaitu pada tahun 2022 dan kali ini dalam suasana di mana media adalah bebas. Tidak seperti kemenangan-kemenangan lama iaitu dari tahun 1955 hingga 2013 di mana akhbar, radio dan televisyen berada di bawah kawalan kerajaan pimpinan Umno dengan media sosial belum meluas.
BN telah menunjukkan bahawa gelombang biru tua telah menenggelamkan gelombang hijau. Gelombang hijau ini ditakuti oleh “golongan progresif”. Tentunya gelombang hijau merujuk pada PAS. Sementara “golongan progresif" merujuk kepada bukan saja PH tetapi juga Bersama, Muda dan Parti Sosialis Malaysia (PSM) yang turut bertanding dan hilang deposit.
Lawan kepada “golongan progresif” adalah “golongan konservatif” yang terdiri daripada BN dan PN, dan dari segi parti-parti Melayu, ia adalah Umno, PAS, Bersatu, Pejuang, Putra dan Berjasa. Walaupun “konservatif” dan “progresif” merupakan fahaman politik yang ada pada parti-parti itu, ia bukanlah monolitik dan kaku (rigid), tetapi label itu mampu memberi gambaran terhadap sikap, mentaliti dan kecenderungan para pendukungnya.
Maka Kerajaan Perpaduan ini adalah pada asasnya merupakan kerjasama “golongan progresif” yang diwakili oleh PH dan “golongan konservatif” yang diwakili oleh BN. Sementara lawannya iaitu PN yang asasnya merupakan kerjasama antara dua “golongan konservatif” iaitu PAS dan Bersatu.
Jadi pihak BN berasa dicabar apabila PN berkempen menyatakan bahawa kerjasama BN dengan PH, atau lebih khusus lagi, antara Umno dan DAP sebagai “Umdap” sememangnya menyusahkan Umno.

Perlu diingatkan bahawa umumnya masyarakat Malaysia ini adalah konservatif, bukan saja Melayu tetapi Cina dan India, menurut budaya kaum masing-masing. Baik semasa sebelum merdeka, hinggalah sekarang, iaitu walaupun sudah bergantian generasi dengan generasi lebih terpelajar dan bermaklumat.
Sebab itu, parti-parti progresif sukar mendapat sokongan. Baik Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) dan Kesatuan Demokratik Malaya (MDU) ketika sebelum merdeka mahupun Parti Rakyat Malaya (PRM) dan Parti Buruh Malaya (LPM) selepas merdeka. Ditambah pula parti-parti progresif atau disebut sebagai “kiri” ditekan oleh pentadbir kolonial dan kemudiannya oleh kerajaan Tunku Abdul Rahman..
Malah pengasas Umno, Dato Onn Jaafar ditolak oleh orang Melayu sendiri termasuk di Johor, negerinya ketika beliau mencadangkan suatu hala tuju “progresif” dengan menjadikan Umno sebagai Pertubuhan Malaya Kebangsaan Bersatu dan juga menubuhkan Parti Kemerdekaan Malaysia (IMP).
Dato Onn gagal dan akur terhadap realiti bahawa masyarakat Melayu adalah konserrvatof. Beliau membubarkan IMP dan tubuhkan Parti Negara dan berpakat ddngan PAS yang lebih konservatif daripada Umno.
Walaupun PAS adalah parti konservatif tetapi ia pernah dipimpin oleh seorang yang progresif iaitu Dr Burhanuddin Al-Hilmy yang pernah mengetuai PKMM dan Pusat Tenaga Rakyat (Putera), gabungan-pertubuhan kiri Melayu.

Seorang lagi pemimpin PAS yang progresif ialah Fadzil Noor. Beliau pernah membawa parti itu bekerjasama dengan PRM dan DAP melalui kerjasama Angkatan Perpaduan Ummah dan Gagasan Rakyat pada tahun 1990. Begitu juga kemudiannya melalui Barisan Alternatif dan Pakatan Rakyat. Kini PAS kembali menjadi konservatif dan sebahagian daripada ahli-ahlinya yang progresif kini sudah berada dalam Parti Amanah Negara, yang asalnya adalah Parti Pekerja-pekerja Malaysia.
Kalau masyarakat Malaysia adalah konservatif, mengapakah PH boleh menang dalam PRU tahun 2018?
Perlu diingat bahawa akan sentiasa ada dalam masyarakat yang mendukung fahaman progresif. Ini kerana dalam fahaman ini ada nilai-nilai kemanusiaan seperti penekanan terhadap kebebasan; demokrasi, kesaksamaan dan antikorupsi yang pasti menjadi tarikan lebih-lebih lagi pihak konservatif yang berkuasa menjadi korup.
Tetapi kemenangan PH dalam PRU 2018 adalah atas kerjasama dengan golangan konservatif. Pada masa itu PH turut dianggotai oleh Bersatu yang merupakan parti konservatif. PH 2018 adalah berbeza PH 2020. Ini kerana PH 2018 adalah pakatan PKR-Bersatu.
Sebab itu dalam PRU 2022, PH bukan majoriti. Tanpa kerajaan Perpaduan, ia hanya mampu menubuhkan kerajaan minoriti sebagai parti gabungan yang mempunyai kerusi terbanyak.

Sebab itu Anwar Ibrahim tubuhkan kerajaan Perpaduan yang berasaskan pada kerjasama PH-BN yang merupakan pakatan progresif-konservatif. Kerajaan Perpaduan berhadapan “gelombang hijau” iaitu PN yang merupakan pakatan konservatif PAS-Bersatu. Gelombang ini besar dan mampu mengalahkan pakatan PH-BN pada PRU akan datang.
Kerjasama pilihan raya PH-BN juga dilaksanakan pada PRN Negeri Sembilan, Selangor dan Pulau Pinang serta pilihan-pilihan raya kecil kemudiannya yang menghasilkan kemenangan.
Dalam keadaan ini, PH menjadi selesa dan yakin terhadap PRU akan datang sedangkan BN sedang merancang untuk bertanding solo. Dalam BN, terdapat percanggahan pendapat.. Ada yang percaya bahawa dengan kerjasama PH-BN; mereka boleh kekal berada dalam kerajaan walaupun Anwar akan menjadi perdana menteri bagi penggal kedua.
Ada pula yakin bahawa BN mampu kembali berkuasa di Putrajaya dengan bertanding solo. Ini kerana bekerjasama dengan PH adalah satu beban kerana adanya DAP. Lebih-lebih cabaran yang dihadapinya adalah dari PN yang konservatif.
Saya percaya dari awal lagi golongan “BN tolak PH” telah merancang lama untuk bertanding solo. Tapak permulaannya adalah di Johor yang sememangnya dikuasai oleh BN. Mereka menyediakan jentera untuk bertanding secara lebih awal, dari akar umbi . Sebab itu, Umno Johor menghujahkan bahawa keputusan untuk bertanding solo datangnya dari akar umbi apabila dipersoalkan oleh Umno pusat.
Namun begitu, saya percaya; rancangan untuk BN bertanding solo bukan saja di Johor tetapi di seluruh Malaysia dengan matlamat untuk BN kembali berkuasa di Putrajaya tanpa perlu berpakat dengan PH atau PN.

Ketika gerak kerja BN solo dilakukan, PH sedang leka dengan kepercayaan BN akan setia bersama hingga ke PRU akan datang. PH hanya tersedar apabila berlaku krisis di Negeri Sembilan. Maka gerak kerja baru bermula dengan jentera parti PKR, DAP dan Amanah tidaklah secekap akar umbi Umno, MCA dan MIC terutamanya di Johor.
Ada dua peristiwa besar yang menguntungkan Umno Johor. Pertama, perpecahan PKR yang melahirkan Bersama dan sedikit sebanyak menjejaskan perhatian politik PH. Kedua, yang lebih besar ialah perpecahan Bersatu yang membawa kepada perpecahan PN hingga mampu menahan “gelombang hijau.”
Jadi perbalahan Anwar-Rafizi melemahkan golongan progresif. Itu belum lagi dikira dengan pergolakan politik dalaman DAP dan Amanah yang sedikit sebanyak melemahkan fokus.
Tetapi perbalahan antara Muhyiddin Yassin dengan Hamzah Zainudin yang disokong Hadi Awang sememangnya perpecahan golongan konservatif yang telah diambil kesempatan oleh Umno.
Sedangkan sokongan kepada sikap konservatif telah dibina sejak selepas PRU tahun 2022. Ada semacam gerakan konservatif merentas parti yang meniupkan sentimen keagamaan dan perkauman dari pelbagai sudut dan isu, masa kini dan sejarah.
Semua isu termasuk soal pembinaan kuil, penternakan babi hinggalah kepada soal Rohingya adalah kesemuanya menunjukkan ada suatu usaha dan agenda terancang untuk memburuk-burukkan Perdana Menteri dan menyingkirkan PH daripada pemerintahan.

Segala kempen berbau perkauman menguntungkan parti-parti konservatif khususnya PAS dan Bersatu dalam PN. Namun begitu ia juga boleh mendatangkan kesan kepada BN. Pertama, ia akan memecahkan Umno, iaitu antara pihak pro-Madani dan anti-Madani. Ia menggalakkan supaya BN tinggalkan kerajaan perpaduan dan bertanding solo.
Maknanya, isu-isu bernada perkauman ini adalah supaya semua parti Melayu iaitu Umno, PAS, Bersatu, PKR dan Amanah menolak DAP. Untuk kepentingan kaum Cina, orang Cina patut pilih MCA yang merupakan anggota BN dan Gerakan yang merupakan anggota PN yang boleh menerima hegemoni dan kedudukan dominan parti Melayu.
Tetapi ketika PRN Johor, PN sedang berpecah yang menimbulkan kejengkelan di kalangan orang Melayu. Akhirnya mereka menolak PN dan sebaliknya yang memperoleh manfaat daripada kempen bernada perkauman ini ialah Umno.
Saya percaya kejayaan BN Johor sudah menjadi formula yang akan digunakan di negeri-negeri lain hingga ke peringkat persekutuan. Walaupun tentulah setiap negeri mempunyai landskap politik yang tersendiri dan memerlukan pengubahsuaian. Asasnya ialah bertanding solo dan perkemaskan akar umbi kerana jentera Umno telah terbukti sejak tahun 1955.
Lepas ini, tumpuannya adalah kepada PRN Negeri Sembilan dan kemudian ke Melaka. Jika sudah bersedia, BN keluar dari Kerajaan Perpaduan dan boleh memaksakan PRU lebih awal.
ZIN MAHMUD seorang wartawan veteran dengan pengalaman lebih tiga dekad.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.
