Paling Popular
Terkini

Tidak ada siapa dalam dunia ini yang tidak kenal dengan zoo. Mungkin ada yang tidak pernah sampai ke zoo tetapi tahu bahawa zoo ialah taman haiwan. Zoo ialah di mana haiwan liar disimpan, dijaga untuk di perlihatkan kepada pelawat - orang ramai.

Di Malaysia ada 33 buah zoo dan taman haiwan hidupan liar. Hampir setiap bandar besar dalam negara kita ini ada memiliki zoo atau taman haiwan.

Zoo Negara di Hulu Klang, Zoo Melaka, Zoo Taiping, Taman Burung Kuala Lumpur, Taman Hidupan Liar Langkawi adalah antara yang di kenali ramai.

Saya amat yakin semua kanak-kanak di sekolah amat suka diberi peluang melihat haiwan liar. Babi , kera, lotong, tenggiling, ungka, biawak dan monyet untuk budak kampung seperti saya bukan satu yang baru. Tanpa perlu membeli tiket kadang-kadang saya terserampak dengan haiwan ini.

Tetapi singa dan badak sumbu lain cerita.

Saya mendapat peluang kali pertama melihat harimau, singa, kuda dan gajah apabila pertunjukan sarkas sampai ke Kuala Klawang Jelebu pada tahun 1960.

Saya ingat lagi – saya sendiri kagum dan bangga apabila saya sempat melawat Zoo Negara yang baru di buka pada tahun 1963. Dalam Zoo Negara Hulu Klang kali pertama saya dapat melihat zirafah dan burung Kiwi.

Hari ini pandangan saya tentang zoo telah jauh berubah. Dari pembacaan dari pengamatan dan dari percampuran saya telah mendapat satu kesedaran baru : Saya tidak lagi menyokong kewujudan zoo.

Zoo di uar-uar dan dihebohkan sebagai wilayah atau sekolah untuk mendidik kanak-kanak dan budak-budak agar mencintai dan berkasih sayang terhadap haiwan.

Dari kecil mereka dididik untuk mencintai haiwan. Indah dan menarik bunyinya.

Zoo juga di katakan adalah wilayah konservasi atau pemuliharaan. Zoo tempat kajian dan ilmuwan tentang haiwan terkumpul. Dari zoo kita mendapat membuat kajian tentang gajah, harimau , badak , tapir dan pelbagai jenis haiwan.

Indah, menarik dan meyakinkan bunyinya.

Betul ke anak-anak cinta pada haiwan liar kerana mereka melihat haiwan ini dalam zoo. Jawabnya tidak.

Buktinya mudah. Hari ini rata-rata anak-anak di seluruh dunia jatuh hati dan jatuh cinta dengan dinosaur dan dengan pelbagai haiwan di zaman Jurassic. Haiwan ini semuanya telah beribu tahun pupus tetapi haiwan ini masih jadi tarikan untuk pencinta haiwan terutama kanak-kanak.

Hakikatnya jelas : untuk jatuh cinta dengan haiwan kita perlu ada di zoo.

Cinta dan kasih sayang akan berputik hanya melalui pembacaan dan melihat gambarnya. Malah dengan filem dokumentari haiwan yang wujud hari ini semua jenis kehidupan haiwan, unggas, burung dan ulat semuanya boleh kita tonton.

Wajib saya beri pencerahan di sini : untuk saya zoo ini sama seperti kedai. Zoo ialah kedai yang berniaga. Haiwan yang dikurung adalah produk yang dijual kepada pelawat atau pelanggan.

Apabila Dara, Amoi dan Kelat sampai ke Tennoji Zoo di Osaka pada 21 April 2026 media Jepun membuat laporan.

Pengarah zoo, Takeshi Mukai, berkata, "Kami berterima kasih kepada kerajaan Malaysia kerana mengamanahkan gajah-gajah Asia yang berharga ini kepada kami-haiwan yang turut digelar sebagai 'khazanah Malaysia'."

Beliau menambah dengan penuh penekanan, "Saya berharap orang ramai akan mempelajari tentang ekologi haiwan yang bersaiz sangat besar ini serta kepentingan hidup bersama hidupan liar."

Kemudian Takeshi Mukai menerangkan kepada orang ramai bahawa... “ Dara, Amoi dan Kelat akan dipamerkan setelah di kuarantin 60 hari. Tiket harga 500 yen boleh ditempah sekarang..”

Jelas khazanah Malaysia kita ini sedang jadi produk. Jika mahu melihat Dara, Amoi dan Kelat, pelawat wajib membeli tiket.

Ini namanya Tennoji Osaka yang tidak ada bezanya dari Coley Bangsar.

Tennoji Zoo di Osaka menjual tiket untuk melihat haiwan liar. Coley Pub Bangsar Telawi ialah pub menjual beer, wiski dan brandi untuk pelanggan. Dua-dua lembaga ini memiliki tujuan dan niat yang sama: mencari keuntungan.

Jika zoo dilihat sebagai perniagaan bagaimana pula dengan niat dan cita-cita zoo untuk menjadi wilayah pemuliharaan dan pengembang baik haiwan liar.

Tentang pengembang biak haiwan dalam zoo ini saya ingin mencarut. Kerana inilah satu-satunya perkara yang paling tidak masuk akal.

Saya bertanya kepada Lebai Google di Internet tentang keluasan kawasan yang diperlukan oleh gajah untuk membiak.

Ini jawapan Lebai Google: Gajah memerlukan kawasan keliaran yang sangat luas untuk mencari makan dan meneruskan kelangsungan hidup. Secara purata, seekor gajah liar memerlukan kawasan seluas 10 hingga 250 kilometer persegi. Bagi sekumpulan gajah (kira-kira 60 ekor), mereka memerlukan habitat minimum seluas 465.1 kilometer persegi.

Berapa luas agaknya Tennoji Zoo di Osaka untuk Darat, Amoi dan Kelat bercengkerama di bulan mengambang.

Dari gambar terbaru Dara Amoi dan Kelat - saya ternampak mereka berdiri atas simen. Atas simen... saya ulang... Dara , Amoi dan Kelat berdiri atas simen, bukan atas bumi, bukan atas rumput dan bukan atas tanah.

Berapa luas kawasan tempat tinggal mereka. Dalam kawasan tempat tinggal Dara, Amoi dan Kelat ini adakah Pisang Karuk dan Pokok Petai ditanam sama. Soalan seperti ini Guru Nanak pun tidak akan dapat menjawab. Amin.

Pada hemat saya apakah setelah beberapa tahun di Osaka maka Dara dan Amoi akan bunting dan beranak. Kelat akan berbangga menjadi ayah.

Setelah 25 tahun nanti keluarga DAK ini akan menaiki Japan Airline dari Osaka menuju ke Sepang. Di KLIA kita akan berkompang dan berbunga Manggar menyambut pulang ‘ khazanah Malaysia yang dulu tiga ekor kini menjadi lima ekor... kita arak mereka pulang ke Kuala Gandah Pahang.

Ini semua angan-angan karut.

Soalan hakiki yang wajib kita tanya sekarang ialah apakah Dara, Amoi dan Kelat akan berumur panjang. Gajah boleh hidup hingga ke 75 tahun. Apakah mereka akan selamat di Tennoji Zoo.

Bayangkan belum pun satu bulan duduk di sana gading Kelat telah patah. Dikatakan ia telah tersangkut di pagar... saya ulang tersangkut di pagar ... ertinya mereka hidup dalam pagar.

Perlu juga saya nyatakan di sini bahawa di Jepun ada wujud satu NGO – Pertubuhan Bukan Kerajaan yang mengawasi keselamatan dan kebajikan gajah-gajah dalam zoo di Jepun.

Kumpulan NGO Gajah Di Jepun dilancarkan pada Hari Gajah Sedunia, 12 Ogos 2017, berikutan kematian Hanako pada 2016. Hanako gajah yang hidup bersendirian berusia 69 tahun mati di zoo Tokyo. Hanako ini digelar "gajah paling sunyi di dunia" oleh media Jepun.

Pada ketika ini kumpulan gajah di Jepun sedang memberi perhatian yang rapi kepada Dara, Amoi da Kelat. Ini kerana sebelum tiga gajah dari Malaysia ini, Hiroko yang berumur telah mati di Tennoji Zoo.

Hiroko dibawa ke zoo semasa masih kecil dan hidup bersendirian selama lebih sembilan tahun selepas kematian pasangannya, Haruko, pada tahun 2014.

Dari kajian ahli biologi gajah Dr Keith Lindsay yang memerhatikan Hiroko di lokasi pada bulan Februari 2017, beliau mendapati keadaan mental haiwan itu tidak begitu baik. Hiroko kelihatan lesu dan menghabiskan sebahagian besar masanya dengan bergoyang-goyang secara berterusan—suatu tingkah laku biasa bagi menangani tekanan hidup.

Hiroko mati pada 25 Januari 2018 ketika berusia 48 tahun.

Haiwan juga memiliki perasaan, haiwan juga menghadapi tekan hidup. Haiwan juga berhadapan dengan stress. Mereka tidak menyatakan tekanan ini seperti kita berkomunikasi sesama manusia.

Tetapi pakar ahli biologi gajah dapat memahami apa yang sedang dirasakan oleh gajah dalam zoo.

Mengikut pakar - haiwan juga berhadapan dengan Zoochosis . Ini ialah keadaan psikologi luar biasa pada haiwan dalam kurungan.

Cirinya amat mudah dapat dilihat melalui tingkah laku obsesif dan berulang-seperti berjalan mundar-mandir, berayun-ayun, atau mencederakan diri sendiri-akibat tekanan kronik daripada pengurungan.

Lalu persoalan timbul : apakah Kelat sengaja mematahkan gadingnya untuk menyatakan bahawa dia tidak selesa tidur atas simen.

Kesah Dara, Amoi dan Kelat ini wajib terus kita jadikan perbualan nasional. Jika kita manusia yang memiliki akal fikiran dan perasaan tidak berani bersuara maka ini petanda awal yang kita juga telah hilang naluri kemanusiaan kita.

Tanya diri sendiri : Apakah kita tidak merasa sedih melihat gambar ibu gajah berdiri dalam belukar di tepi jalan raya. Ibu gajah ini sedang menangis jenazah yang mati di langgar kereta di Felda Nitar Mersing.

Gambar Harian Metro pada 1 Julai 2026 ini akan terus menduga dan mencabar wujudiah kita sebagai manusia. Amin.


HISHAMUDDIN RAIS aktivis politik, penulis dan pengarah filem.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS